Selasa, 19 Februari 2013

Imazapic

Peratusan kandungan imazapic 52.5% dalam racun OnDuty

Pengenalan

Imazapic adalah racun daripada keluarga imidazolinone. Racun imidazolinone bertindak sebagai perencat ALS: enzim acetolactate synthase (ALS) (juga dikenali sebagai acetohydroxyacid synthase, atau AHAS) yang merupakan langkah pertama dalam sintesis asid amino bercabang (valine, leucine, dan isoleucine). Racun ini secara perlahan-lahan menyebabkan tumbuhan mati kebuluran kerana pembentukan asid amino tumbuhan terjejas yang mengakibatkan sintesis DNA terencat. Racun ini memberi kesan terhadap tumbuhan monokot dan dikot.

Racun lain daripada keluarga imidazolinone adalah imazapyr, imazamethabenz-methyl, imazethapyr, imazaquin dan imazamox.

Ketoksidan

Imazapic didapati merosakkan tisu dan organ di dalam ujian makmal. Ini termasuklah kesan akut kerengsaan mata, anemia, mengurangkan kandungan hemoglobin darah, meningkatkan kandungan kolestrol dalam darah (mengakibatkan arteriosclerosis - penebalan dinding arteri), kerosakan hati dan penyusutan otot.



Imazapic juga dikaitkan dengan kecacatan semasa lahir. Racun ini boleh menyebabkan kecacatan semasa pembentukan tulang rusuk di peringkat fetus. Dalam ujian makmal yang dijalankan oleh EPA terhadap arnab yang terdedah kepada imazapic ketika bunting, insiden pembentukan abnormal rusuk pada anak arnab berlaku berbanding arnab yang tidak terdedah kepada racun ini.



Kesan terhadap tumbuhan bukan sasaran

Disebabkan racun ini adalah antara yang terkuat di pasaran, ia boleh menjejaskan tumbuhan bukan sasaran. Hanya sedikit sahaja jumlah racun ini cukup untuk merosakkan tumbuhan lain. 1/100 auns per ekar mampu membunuh spesis tumbuhan yang rentan. EPA dalam ujian terhadap imazapic mendapati kepekatan 4 bahagian per billion (ppb) sudah cukup untuk memusnahkan populasi tumbuhan akuatik "duckweed".

Kesan terhadap burung

Imazapic boleh menjejaskan keupayaan burung untuk membiak. Ujian EPA terhadap itik dan angsa mendapati jumlah embrio yang subur berkurangan apabila haiwan ini terdedah kepada imazapic.

Sisa baki dalam tanah

Imizapic mampu meninggalkan sisa baki dalam tempoh yang lama di dalam tanah sehingga 40 bulan. Menurut National Resources Conservation Service (AS), imazapic mempunyai purata separuh hayat (masa yang diperlukan untuk separuh daripada jumlah imazapic yang digunakan untuk mengurai atau bergerak jauh dari tapak penggunaannya) adalah 232 hari. Separuh hayat racun ini berbeza sehingga 13 kali ganda (31 - 410 hari) mengikut ujian yang diserahkan kepada EPA oleh pengilang imazapic.

Menggunakan kriteria yang dibangunkan oleh Oregon State University, imazapic mempunyai purata separuh hayat lebih 100 hari.

Kerosakan tanaman yang ditanam selepas rawatan imazapic juga menunjukkan pengekalan lama racun ini di dalam tanah. Penyelidik dari Texas A & M University dan Syarikat Cyanamid Amerika menunjukkan bahawa kira-kira 65 peratus daripada tanaman padi cedera apabila ditanam satu tahun selepas rawatan imazapic 1 auns/ekar. Rawatan ini juga mengurangkan hasil padi kira-kira 25 peratus.

Label untuk Cadre dan Plateau DG (nama dagangan racun imazapic) menyatakan "tempoh rehat" 18 bulan diperlukan di antara semburan imazapic dengan penanaman barli, oat, kapas, bawang, sorgum, dan jagung. Bagi kanola, bit, dan kentang, "tempoh rehat" ialah 40 bulan.

Sumber: JOURNAL OF PESTICIDE REFORM/ FALL 2003 • VOL. 23, NO. 3

Tidak ada komentar:

Posting Komentar