Sabtu, 27 Agustus 2011

Cabaran Getir Dunia Dalam Menghadapi Kemelesetan Ekonomi Makanan

Sambungan daripada entri: Geopolitik Baharu Untuk Makanan

Di dalam era bekalan makanan dunia yang semakin mengecil, kemampuan untuk mengembangkan pengeluaran makanan dengan pantas menjadi satu bentuk baharu yang memanfaatkan geopolitik, dan negara-negara akan berebut untuk mendapatkan kepentingan parokial mereka sendiri bagi perbelanjaan barangan keperluan asas mereka.

Tanda-tanda awal masalah ini datang pada tahun 2007, apabila petani mula menghadapi kesukaran memenuhi pertumbuhan dalam permintaan global bagi bijirin. Harga bijirin dan kacang soya mula naik, tiga kali ganda menjelang pertengahan 2008. Sebagai tindak balas, banyak negara-negara pengeksport cuba untuk mengawal kenaikan harga makanan domestik dengan menghadkan eksport. Antaranya ialah Rusia dan Argentina, dua pengeksport gandum terkemuka. Vietnam, pengeksport beras kedua, mengharamkan eksport sepenuhnya untuk beberapa bulan pada awal 2008. Begitu juga beberapa pengeksport gandum lain yang lebih kecil.

Apabila satu persatu sekatan eksport dilakukan pada tahun 2007 dan 2008, negara mengimport mulai panik. Tidak lagi dapat bergantung kepada pasaran untuk membekalkan bijirin yang mereka perlukan, beberapa negara telah mengambil langkah cuba untuk berunding bagi mendapatkan bekalan jangka panjang melalui perjanjian dengan negara-negara pengeksport. Filipina, misalnya, merundingkan perjanjian tiga tahun dengan Vietnam untuk 1.5 juta tan beras setahun. Satu delegasi dari Yemen mengembara ke Australia dengan matlamat yang sama, tetapi hampa. Dalam pasaran, pengeksport keberatan untuk membuat komitmen jangka panjang.

Kerana bimbang kemungkinan tidak mampu untuk membeli gandum yang diperlukan daripada pasaran, beberapa negara kaya, yang diketuai oleh Arab Saudi, Korea Selatan dan China, mengambil langkah luar biasa pada tahun 2008 membeli atau menyewa tanah di negara-negara lain yang menanam bijirin untuk mereka. Kebanyakan pengambilalihan tanah ini berlaku di Afrika, di mana sesetengah kerajaan memajak tanah pertanian kurang daripada $1 bagi setiap ekar setahun. Antara destinasi utama adalah Ethiopia dan Sudan, negara-negara di mana berjuta-juta orang menerima bantuan makanan dari Program Makanan Sedunia PBB. Kerajaan kedua-dua negara ini didapati bersedia untuk menjual tanah kepada kepentingan asing walaupun rakyat mereka sendiri lapar - sesuatu yang menyedihkan untuk kepimpinan mereka.

Menjelang penghujung 2009, banyak perjanjian pengambilan tanah berjaya dirunding, sesetengahnya melebihi satu juta ekar. Analisis Bank Dunia pada 2010, dilaporkan bahawa sejumlah hampir 140 juta ekar terlibat dalam "rampasan tanah" ini - kawasan yang melebihi keluasan tanah pertanian yang dikhaskan untuk jagung dan gandum digabungkan di Amerika Syarikat. Pengambilalihan itu juga biasanya melibatkan hak air, yang bermaksud bahawa tanah dirampas berpotensi menjejaskan semua negara yang berada di hilir. Mana-mana air yang diekstrak dari lembangan Sungai Nil di bahagian atas (hulu) untuk mengairi tanaman di Ethiopia atau Sudan, misalnya, kini tidak sampai ke Mesir, menjadikan politik air yang menambah bilangan negara baharu untuk berunding dengan Mesir.

Potensi konflik - bukan hanya sekadar konflik air. Banyak tawaran tanah ini telah dibuat secara rahsia, dan dalam kebanyakan kes, tanah yang terlibat yang digunakan oleh penduduk kampung telah dijual atau disewa. Penduduk kampung yang telah mengerjakan tanah ini untuk pertanian tidak dibawa berunding. Dan disebabkan pada kebiasaannya tiada hak milik tanah yang formal dalam kampung yang terpencil, terutama sekali di negara membangun, petani yang kehilangan tanah mereka tidak mempunyai sokongan untuk membawa kes mereka ke mahkamah. Wartawan John Vidal, yang menulis dalam Britain Observer, memetik kata-kata Nyikaw Ochalla dari rantau Gambella Ethiopia: "Syarikat asing yang tiba dalam jumlah yang besar, menafikan hak rakyat untuk tanah yang mereka telah gunakan selama berabad-abad tanpa berunding dengan penduduk asli. Urus janji tersebut telah dilakukan secara rahsia. Satu-satunya perkara yang rakyat tempatan lihat ialah orang asing yang datang dengan traktor untuk menakluk tanah air mereka."

Permusuhan setempat terhadap rampasan tanah mula terjadi. Pada tahun 2007, kerana harga makanan telah mula meningkat, China telah menandatangani perjanjian dengan Filipina untuk pajakan 2.5 juta ekar tanah yang dijadualkan untuk tanaman makanan yang akan dihantar ke China. Apabila maklumat ini bocor, bantahan awam - kebanyakan dari petani Filipina - memaksa Manila menggantung perjanjian tersebut. Perkara yang sama menggegarkan Madagascar, di mana sebuah firma dari Korea Selatan, Daewoo Logistic, telah diberi hak untuk lebih daripada 3 juta ekar tanah. Perjanjian itu membantu menyemarakkan kemarahan politik yang menumbangkan kerajaan dan memaksa pembatalan perjanjian tersebut.

Bukan sahaja tawaran ini berisiko, tetapi pelabur asing yang mengeluarkan makanan di negara yang dipenuhi orang yang lapar menghadapi satu lagi soalan politik bagaimana untuk membawa gandum keluar. Adakah penduduk kampung akan membenarkan trak yang sarat dengan gandum yang menuju ke bandar pelabuhan apabila mereka sendiri boleh berada di ambang kebuluran? Di negara-negara di mana penduduk kampung telah kehilangan tanah mereka dan mata pencarian mereka berpotensi untuk mengalami ketidakstabilan politik. Konflik dengan mudah boleh terjadi diantara pelabur dengan negara-negara tuan rumah.

Pengambilalihan ini merupakan pelaburan yang berpotensi dalam bidang pertanian bagi negara-negara membangun dengan jumlah yang dianggarkan sebanyak $50 bilion. Tetapi ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk merealisasikan sebarang keuntungan daripada pengeluaran yang besar. Infrastruktur awam bagi pertanian moden yang berorientasikan pasaran belum lagi wujud dalam kebanyakan Afrika. Di sesetengah negara, ia akan mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk membina jalan raya dan pelabuhan yang diperlukan untuk membawa masuk input pertanian seperti baja dan mengeksport produk ladang. Selain itu, pertanian moden memerlukan infrastruktur sendiri: bangsal mesin, kelengkapan pengeringan bijirin, silo, bangsal penyimpanan baja, kemudahan penyimpanan bahan api, pembaikan peralatan dan perkhidmatan penyelenggaraan, pam pengairan dan tenaga untuk kuasa pam. Secara keseluruhannya, pembangunan tanah pertanian yang diperolehi akan memerlukan masa yang lama.

Jadi berapa banyak pelaburan ini akan meningkatkan pengeluaran makanan dunia? Kita tidak tahu, tetapi analisis Bank Dunia menunjukkan bahawa hanya 37 peratus daripada projek-projek ini akan dikhaskan untuk tanaman makanan. Kebanyakan tanah yang dibeli setakat ini akan digunakan untuk menghasilkan biofuel dan lain-lain tanaman industri.

Walaupun beberapa projek-projek ini akhirnya meningkatkan produktiviti tanah, tetapi siapakah yang akan mendapat manfaat? Jika hampir semua input peralatan ladang, baja, racun perosak, benih dibawa masuk dari luar negara dan jika semua output dihantar keluar negara, ia akan menyumbang sedikit kepada ekonomi negara tuan rumah. Pada tahap terbaik, penduduk tempatan boleh mencari kerja sebagai buruh ladang, tetapi dalam operasi yang banyak menggunakan jentera, pekerjaan akan menjadi kurang. Paling teruk, negara-negara miskin seperti Mozambique dan Sudan akan dibiarkan dengan kekurangan tanah dan air untuk memberi makan kepada penduduk mereka yang lapar. Setakat ini rampasan tanah telah menyumbang lebih kepada pergolakan berbanding pengembangan pengeluaran makanan.

Dan jurang negara kaya dan negara miskin ini boleh menjadi lebih ketara dan tidak lama lagi. Menjelang bulan Januari, peringkat baharu dalam perebutan di kalangan negara pengimport makanan mula terungkap apabila Korea Selatan, yang mengimport 70 peratus keperluan gandum mereka, mengumumkan bahawa ia telah mewujudkan entiti baru awam-swasta yang akan bertanggungjawab untuk mendapatkan sebahagian daripada bijirin ini. Dengan menubuhkan pejabat di Chicago, rancangan ini adalah untuk memintas firma perdagangan antarabangsa yang besar dengan membeli gandum terus dari petani AS. Mereka boleh menandatangani kontrak penghantaran selama bertahun-tahun dengan petani, bersetuju untuk membeli gandum, jagung atau kacang soya dengan kuantiti yang ditetapkan dan pada harga tetap.

Negara pengimport lain tidak akan berdiam diri apabila Korea Selatan cuba untuk mengikat sebahagian tuaian bijirin Amerika Syarikat (AS) walaupun sebelum ia sampai ke pasaran. Usaha Korea Selatan tidak lama lagi akan disertai oleh China, Jepun, Arab Saudi, dan lain-lain pengimport utama. Walaupun fokus awal Korea Selatan ialah Amerika Syarikat, sebagai pengeksport bijirin terbesar di dunia, mereka boleh mempertimbangkan tawaran pembrokeran dengan Kanada, Australia, Argentina, dan lain-lain pengeksport utama. Ini sedang berlaku kerana China mungkin di ambang memasuki pasaran AS sebagai pengimport gandum besar-besaran. Dengan 1.4 bilion pengguna China yang semakin mewah mula bersaing dengan pengguna di Amerika Syarikat untuk tuaian bijirin AS, makanan yang murah, yang dilihat sebagai hak kelahiran Amerika, boleh sampai ke penghujungnya.

Tiada siapa yang tahu ke mana persaingan bagi mendapatkan bekalan makanan ini akan pergi, tetapi dunia seolah-olah bergerak jauh dari kerjasama antarabangsa yang berkembang sejak beberapa dekad selepas Perang Dunia II kerana setiap negara mempunyai falsafah mereka sendiri. Nasionalisme makanan boleh membantu meningkatkan bekalan makanan yang selamat bagi negara-negara individu yang mewah, tetapi ia tidak sedikit pun meningkatkan keselamatan makanan dunia. Malah, negara-negara berpendapatan rendah yang dirampas tanah mereka atau mengimport keperluan bijirin mereka mungkin akan melihat kepada keadaan makanan yang merosot.

Selepas kebinasaan daripada dua perang dunia dan kelembapan ekonomi yang membawa kepada Kemelesetan Besar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diwujudkan pada tahun 1945, akhirnya menyedari bahawa dalam dunia moden, kita tidak boleh hidup secara berasingan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah diwujudkan untuk membantu menguruskan sistem kewangan dan menggalakkan kestabilan dan kemajuan ekonomi. Dalam sistem PBB, agensi-agensi khusus dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memainkan peranan utama di dunia hari ini. Semua ini telah memupuk kerjasama antarabangsa.

Ketika FAO mengumpul dan menganalisis data pertanian global dan menyediakan bantuan teknikal, tidak ada usaha terancang untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dunia. Rundingan mengenai perdagangan pertanian di peringkat antarabangsa sehingga baru-baru ini memberi tumpuan kepada akses kepada pasaran, dengan Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan Argentina berterusan menekan Eropah dan Jepun untuk membuka pasaran pertanian mereka yang amat dilindungi. Tetapi pada dekad pertama abad ini, akses kepada bekalan telah muncul sebagai isu utama dunia sebagai peralihan dari era lebihan makanan kepada politik baharu kekurangan makanan. Pada masa yang sama, program bantuan makanan AS yang pernah bekerja untuk menangkis kebuluran di mana-mana telah sebahagian besarnya diganti dengan Program Makanan Dunia PBB (WFP), di mana Amerika Syarikat adalah penderma utama. WFP kini mempunyai operasi bantuan makanan di kira-kira 70 negara dan belanjawan tahunan sebanyak $4 bilion. Presiden Perancis Nicolas Sarkozy - Presiden yang mempengerusikan G-20 - bercadang untuk berurusan dengan kenaikan harga bahan makanan dengan cara membendung spekulasi dalam pasaran komoditi. Walaupun ini mungkin berguna, ia sekadar menganggap gejala krisis makanan yang semakin meningkat kerana kekurangan bekalan, bukan sebab-sebab lain, seperti pertumbuhan penduduk dan perubahan iklim. Dunia sekarang perlu memberi tumpuan bukan sahaja mengikut dasar pertanian, tetapi pada struktur yang mengintegrasikan dengan dasar tenaga, penduduk, dan air, setiap yang secara langsung menjejaskan keselamatan makanan.

Tetapi perkara ini tidak berlaku. Sebaliknya, kekurangan tanah dan air semakin menjadi-jadi, kerana suhu bumi yang meningkat dan keselamatan makanan dunia merosot, menyebabkan geopolitik berada dalam keadaan yang berbahaya kerana krisis kekurangan makanan bakal muncul. Rampasan tanah, rampasan sumber air, dan membeli bijirin terus dari petani di negara-negara pengeksport kini merupakan bahagian penting dalam perjuangan kuasa global untuk keselamatan makanan.

Dengan stok bijirin rendah dan ketidaktentuan iklim, risiko juga meningkat. Kita kini begitu hampir kepada pemecahan dalam sistem makanan yang boleh datang pada bila-bila masa. Sebagai contoh, apa yang akan berlaku jika gelombang haba yang berlaku pada tahun 2010 yang berpusat di Moscow telah sebaliknya berpusat di Chicago. Menggunakan nombor bulat, dengan penurunan 40 peratus di Rusia bagi penuaian kira-kira 100 juta tan gandum (kekurangan sebanyak 40 juta tan gandum), angka ini akan menjadi lebih besar jika berlaku di AS dimana kehilangan sebanyak 160 juta tan . Stok gandum dunia (jumlah tuaian) telah menurun kepada penggunaan hanya 52 hari. Tahap ini akan menjadikan bukan sahaja terendah dalam rekod, tetapi juga berada di bawah 62 hari ketika krisis 2007-2008.

Apa yang akan terjadi? Huru-hara di pasaran bijirin dunia. Harga beras akan naik. Sesetengah negara pengeksport gandum, akan cuba untuk menstabilkan harga makanan dalam negeri, dengan cara menghadkan atau mengharamkan eksport, seperti yang mereka lakukan pada tahun 2007 dan 2008. Berita di TV akan menunjukkan rakaman rusuhan makanan di negara-negara pengimport gandum yang berpendapatan rendah dan laporan kerajaan yang jatuh kerana kelaparan merebak di luar kawalan. Negara-negara pengeksport minyak akan cuba untuk membuat pertukaran barter minyak untuk bijirin, dan pengimport bijirin berpendapatan rendah akan mengalami kesukaran. Dengan kejatuhan kerajaan dan keyakinan dalam pasaran bijirin dunia yang berkecai, ekonomi global telah mula berkecamuk.

Kita mungkin tidak selalu bernasib baik. Yang menjadi isu sekarang ialah sama ada dunia ini boleh memberi tumpuan kepada gejala keadaan makanan yang semakin merosot dan mengatasi punca maalah ini. Jika kita tidak boleh menghasilkan tanaman yang memberi hasil yang lebih tinggi dengan kurang penggunaan air dan memelihara tanah yang subur, banyak kawasan pertanian akan terhenti menjadi produktif. Jika kita tidak boleh bergerak dengan pantas untuk menstabilkan iklim, kita mungkin tidak mampu untuk mengelakkan harga makanan naik. Jika kita tidak boleh mempercepatkan peralihan kepada keluarga yang lebih kecil dan menstabilkan jumlah penduduk dunia, mereka yang kelaparan hampir pasti akan terus berkembang. Ini adalah masa untuk bertindak sebelum krisis makanan tahun 2011 terjadi.

Rabu, 24 Agustus 2011

Padi SRI - ke arah pengurusan air yang lestari

Tanah yang sentiasa digenangi air akan mempunyai masalah kekurangan oksigen. Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, "tambiazana" atau kepingan bewarna perang kemerahan yang timbul di atas air sawah merupakan petunjuk bahawa tanah sawah mengalami keracunan ferum akibat kekurangan oksigen kerana terendam lama di dalam air. Tanah hidromofik yang mempunyai kandungan gambut yang tinggi lebih kritikal. Tanah jenis ini tidak sepatutnya dibanjiri air kerana kebanyakan oksigen dalam tanah ini digunakan oleh organisma dalam tanah untuk mengurai bahan organik.

Pesawah padi di seluruh dunia termasuk di negara ini merupakan mangsa kepada kepercayaan universal "air ialah nutrien utama untuk padi". Dengan kepercayaan ini, mereka akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan air dalam sawah - membina ban di sekeliling sawah untuk menakung air, mengambil air yang lebih dari keperluan, mengepam air dari parit dan menakung dalam sawah semaksimum mungkin. Akibatnya, tanaman padi sentiasa berada dalam "kelemasan". Lebih menyulitkan keadaan, tanaman padi ditanam rapat dan padat menyebabkan persaingan diantara tanaman padi itu sendiri untuk air, nutrien dan cahaya serta menyukarkan tanaman untuk memberi prestasi terbaik.

Dalam satu kertas yang ditulis oleh Pinar Keskin : Thirsty Factories, Hungry Farmers, petani di seluruh dunia menggunakan 70 hingga 80 peratus air untuk pertanian dan dalam tempoh tiga dekad yang lalu, kekurangan air telah menimbulkan isu besar akibat daripada tekanan populasi, pengeluaran pertanian dan perindustrian di negara-negara membangun. Menurut IRRI (1997), lebih 90 peratus padi ditanam dan dimakan oleh negara-negara membangun di Asia, dimana beras merupakan makanan ruji, dengan lebih 80 peratus pengambilan kalori harian. Padi merupakan tanaman yang intensif air. Bagi mengeluarkan 1 kg padi, 5,000 liter air diperlukan, dua kali ganda jumlah air yang diperlukan oleh tanaman lain. Laporan yang dikeluarkan oleh WWF : Thirsty Crops: Agricultural Water Use and River Basin Conservation, menyenaraikan padi, tebu, kapas dan gandum sebagai tanaman yang "paling dahaga" di 9 lembangan sungai besar yang kaya dengan biodiversiti. Bersama, kempat-empat tanaman ini mewakili 60 peratus kawasan pertanian yang berpengairan di dunia.

Kaedah menanam padi SRI memerlukan tanah sawah yang mempunyai akses kepada saliran yang baik. Sistem pengairan yang baik masih menjadi keutamaan namum dengan kaedah SRI yang lebih kepada teknik pengurusan air dan tanah yang lebih cekap, air hanya diperlukan untuk melembabkan tanah. Sistem saliran yang dinamakan "the peripheral belt method" diperlukan bagi menyalirkan air keluar dari petak sawah melalui beberapa bahagian.

Pengairan dengan air yang sangat minimum sememangnya merisaukan mereka yang skeptikal dengan sistem ini. Sawah padi tanpa air bukannya sawah padi. Amalan biasa menaikkan air 5 hingga 10 cm selepas menanam dipraktikkan oleh petani (gambar kiri). Melalui kaedah SRI, prinsip yang digunakan ialah memberi pengairan sekadar cukup untuk melembabkan tanah bagi memberi keadaan aerobik pada tanah dan tanaman. Hujan boleh digunakan secara efektif bagi mengairi tanaman. Tanaman padi boleh hidup tanpa dibanjiri air. Kaedah SRI membenarkan akar adventitious serta persekitaran mikrobialnya mendapat akses kepada oksigen. Petani tidak perlu bimbang dengan keadaan tanah merekah kerana akar padi yang ditanam dengan kaedah SRI boleh mencari air jauh ke dalam tanah. Pada peringkat tillering dimana perkembangan vegetatif tidak begitu aktif hanya sedikit air diperlukan. Peningkatan air di dalam tanah melalui tekanan kapilari akan mengeringkan rongga tanah - sangat penting dimana air akan diganti dengan udara. Apabila hujan, air akan menekan udara ke dalam tanah dan oksigen akan bertambah di dalam tanah. Ini akan membantu perkembangan akar dan meningkatkan jumlah keluasan akar (untuk mencari dan mendapatkan air).

Selain SRI, sesetengah sistem yang memperkenalkan teknik menjimatkan air seperti menanam dalam air yang cetek atau tepu air (SSC) dan kitaran berselang kering dan basah (AWD) mampu mengurangkan input air 40 hingga 70% tanpa mengurangkan hasil pengeluaran seperti yang telah ditulis di sini. Dalam beberapa eksperimen menggunakan kaedah SRI, mengurangkan jumlah air boleh meningkatkan hasil dan kecekapan guna air pada tanaman padi.

Dalam menguruskan sistem pengeluaran pertanian yang sentiasa dahaga ini, teknik pengurusan tanaman dan air yang betul perlu diamalkan oleh petani. Kaedah SRI berkembang dengan inovasi petani dan kaedah "trial and error" oleh petani. Apa yang penting, keyakinan dalam kaedah ini.

Kaedah SRI mempromosi perubahan dalam pengurusan air yang cetek, kering dan lembab. Empat kebaikan kaedah ini; pertama pengudaraan tanah diperbaiki dan oksigen yang cukup dapat dibekalkan. Kedua, kesuburan tanah diubah dan dipulihara oleh air, menjadikan persekitaran tanah diperbaiki. Ketiga, iklim setempat pada tanah diperbaiki, menjadikan penyakit dan perosak tidak dapat merebak. Keempat, memperbaiki struktur tanah dan "hard pan" kerana tanah tidak berada dalam keadaan ditenggelami air sepanjang masa. Dalam strategi pengurusan air sawah ke arah kecekapan guna air oleh tanaman padi, mengurangkan air bertakung dalam petak sawah, cukup sekadar melembabkan tanah; dapat mengurangkan tekanan hidrostatik. Ini bermakna air tidak akan ditekan oleh tekanan hidrostatik dan hilang melalui resapan, sesapan dan perkolasi.

Di masa akan datang, kekurangan air untuk pertanian akibat persaingan dengan penggunaan domestik dan perubahan iklim akan menjejaskan petani. Berubah kepada pengurusan air yang lestari melalui kaedah SRI dapat membantu petani menghadapi masalah kekurangan air dan terus mengeluarkan hasil yang menguntungkan.

Rabu, 17 Agustus 2011

Kertas Sesi 37 Persidangan FAO oleh Kofi Annan

Persidangan FAO yang diadakan pada 25 Jun - 2 Julai 2011 di Rome, Itali telah membincangkan dengan panjang lebar berkenaan dengan keselamatan makanan. Dalam sesi perbentangan ke 37, Kofi Annan, Pengerusi Board of Alliance for a Green Revolution in Africa telah membentangkan satu kertas yang bertajuk "Delivering Global Food and Nutrition Security - The Challenge of Our Time".

Dalam kertas perbentangan tersebut, beliau telah mengingatkan dunia telah menemui masa yang sangat kritikal dan penting. Cabaran, jangka pendek dan jangka panjang yang dihadapi oleh FAO tidak pernah segetir ini. Dalam pelbagai cara, dunia telah berubah secara mendadak sejak FAO ditubuhkan pada tahun 1945. Secara keseluruhan, kita menikmati kekayaan dan peluang, namum perkembangan ini tidak pernah dikongsi. Beratus juta penduduk senegara kita masih hidup dalam ketakutan dan kemiskinan. Dan walaupun cita-cita mereka yang mengasaskan FAO, makanan dan nutrisi insecurity berterusan menjadi tunjang kepada ketidakadilan ini. Di dalam perbentangan McDougall lalu, Olivier De Schutter telah menarik perhatian kita kepada satu fakta, untuk pertama kali dalam sejarah, jumlah penduduk dunia yang kelaparan telah menjangkau satu billion. Beliau bercakap mengenai kesan daripada kenaikan harga makanan dan apabila krisis kewangan global telah menjejaskan ekonomi dan penduduk di seluruh dunia. Namun, terdapat prospek yang benar menunjukkan kita boleh melangkau penanda satu bilion ini - dan dalam jangka masa panjang jumlah ini akan terus meningkat.

Harga Makanan yang Meningkat

Tidak perlu pakar untuk memberi keterangan panjang lebar berkenaan dengan kenaikan harga makanan dan impaknya kepada kehidupan manusia. Walaupun harga yang tinggi memberi kesan-kesan yang positif, volatiliti (turun-naik) ekstrem yang kita lihat pada hari ini - dan ketidakpastian yang terjadi - lebih mendatangkan kesukaran. Dan kejutan ini telah melangkau jauh daripada kesusahan individual. Ketidakupayaan keluarga untuk memberi makan mereka sendiri merupakan faktor major dalam ketidakstabilan politik di beberapa bahagian dunia. Apabila dunia berhadapan dengan volatiliti harga dan kekurangan makanan, bukan sahaja regim yang menekan rakyat akan merasai bahang kemarahan dan kekecewaan. Seperti yang ditulis baru-baru ini oleh Lester Brown, makanan telah menjadi pemandu yang tersembunyi kepada politik dunia, dengan potensinya untuk memulakan konflik di dalam negara atau negara-negara berdekatan. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila harga makanan mulai turun daripada rekod tertinggi, kelegaan ini hanya bersifat sementara.

Trend Jangka Panjang

Harga makanan dipandu oleh tekanan jangka panjang yang mana akan terus meningkatkan permintaan tetapi menyukarkan peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan. Populasi global telah menjangkau 7 bilion. Laporan terbaharu daripada UN Population Division memberi amaran bahawa jumlah ini tidak akan stabil pada sembilan billion, kerana jangkaan ini dibuat dua tahun yang lalu, tetapi boleh menjangkau 10 billion. Pada masa yang sama, kekayaan bertambah di negara membangun memperlihatkan tiga bilion penduduk naik dalam rantaian makanan - peningkatan golongan pertengahan dengan citarasa yang berkembang untuk daging dan produk tenusu. Bijirin yang dahulu untuk makanan manusia meningkat untuk bertukar kepada makanan haiwan. Pertumbuhan populasi dan peningkatan kekayaan meningkatkan permintaan makanan kepada 70% menjelang 2050. Ini hanya satu perdua daripada persamaan yang bahaya. Terdapat halangan baharu yang berkait ke atas produk makanan yang meliputi tanah, tenaga, air dan iklim. Peningkatan harga minyak, sebagai contoh, telah membawa kepada persaingan yang lebih besar daripada pertanian makanan bersubsidi tinggi kepada bio-fuel. Ketika harga minyak terus meningkat, pertukaran bijirin kepada minyak menjadi semakin menarik, tidak kira keraguan kita berkaitan etika dan kelestariannya. Sumber air telah dieksploitasi dalam keadaan yang tidak lestari. Kekurangan air merupakan punca kepada kekurangan hasil bijirin sehingga dua pertiga di Arab Saudi dalam dekad yang lepas. Seperti mana yang ditekankan oleh Ketua Pengarah FAO, kita tidak boleh secara automatik bergantung kepada sains untuk meningkatkan hasil seperti dahulu. Di negara-negara membangun, kita telah sampai kepada had impak inovasi dan teknologi bagi peningkatan hasil pertanian. Dalam semua tekanan kepada bekalan makanan kita, kita perlu mengambilkira impak bencana akibat perubahan iklim dengan kesannya kepada suhu, hujan, produktiviti tanah dan kekerapan cuaca buruk. Di Russia ketika musim panas yang lalu, suhu yang tinggi dan kemarau telah mengakibatkan 40% kejatuhan hasil tuaian dan kerosakan bijirin untuk eksport. Sesetengah pakar memberi amaran bahawa mereka mungkin telah memandang rendah terhadap impak jangka panjang perubahan iklim kepada hasil. Apa yang telah pasti ialah, gabungan amalan pertanian yang tidak lestari, perubahan iklim telah mengubah kawasan yang luas dengan tanah yang produktif kepada "jelapang debu". Perubahan iklim merupakan legasi buruk untuk anak-anak kita dan generasi akan datang. Namun begitu, sehingga kini pemimpin kita masih gagal untuk mencari visi dan keberanian untuk menghadapinya.

Cabaran untuk FAO

Jadi ini adalah latar belakang yang gelap berbeza dengan apa yang kita bincangkan untuk beberapa hari akan datang. Terdapat ancaman sebenar krisis yang serius akan berubah menjadi bencana kekal, membahayakan nyawa jutaan manusia. Jika gagal, akan banyak korban berlaku. Jika negara-negara dunia tidak dapat bersatu menyelesaikan masalah keselamatan makanan - keperluan asas manusia - harapan kita untuk kerjasama anatarabangsa yang lebih luas akan terkubur. Makanan kini merupakan komoditi yang mempunyai nilai yang terdedah kepada spekulasi. Kita telah melihat peningkatan yang membimbangkan protectionism (perlindungan), sekatan ekspot unilateral, rampasan tanah dan perjanjian eksklusif bagi memenuhi keperluan makanan mereka yang kaya bukannya miskin. Disamping mengatasi masalah berkaitan perubahan iklim, keselamatan makanan dan nutrisi ialah cabaran kita pada masa kini. Dalam mengatasi halangan-halangan ini, kita telah mengeluarkan makanan sehingga dua kali ganda. Dan harga makanan yang tinggi - secara ironi - mungkin membuka peluang dan asas kepada kita membina masa depan makan yang lebih baik.

Harga yang Tinggi Boleh Meningkatkan Pengeluaran Makanan

Untuk pemahaman, bukan kenaikan harga makanan yang mengakibatkan impak kerosakan, tetapi kadar luar biasa yang telah meningkat akibat kenaikan harga makanan ini. Walaupun kenyataan ini agak kontroversial bagi sesetengah bahagian, terdapat kes yang kukuh yang dibuat menunjukkan harga makanan perlu diseimbangkan semula, menangani votaliti dan melindungi ketidaktentuan. Harga makanan, dibantu oleh peningkatan pengeluaran telah jatuh begitu banyak dalam tiga dekad lalu. Walaupun ini merupakan berita baik untuk pengguna, terutama sekali di negara membangun, ia telah merosakkan banyak masyarakat luar bandar dan bekalan makanan global jangka panjang. Jika harga rendah, petani dinafikan pulangan yang setimpal dan insentif bagi meningkatkan pengeluaran mereka. Ini secara umumnya merosakkan petani berskala kecil, yang mana merupakan hampir separuh populasi dunia. Secara kontras, harga tinggi yang stabil boleh menggalakkan pelaburan dan membantu komuniti, tetapi dengan syarat jika pegangan petani yang mendapat kebaikannya. Jadi dalam jangka masa panjang, harga yang patut boleh memberi stimulasi kepada pengeluaran bagi membantu memenuhi permintaan dan mengekang harga pada masa hadapan. Tetapi kita perlu bersedia untuk berlindung daripada bahaya votaliti harga.

Halangan Tambahan

Walaupun harga patut dapat menyediakan platform kepada kita, terdapat berbagai-bagai halangan di peringkat nasional dan antarabangsa yang perlu diatasi bagi menyampaikan keselamatan makanan. Harga makanan yang tinggi tidak akan menutup kerugian dalam pelaburan pertanian di negara yang didapati boleh memberi impak yang besar kepada peningkatan hasil. Secara keseluruhan, tiada kekurangan dalam pelaburan untuk pertanian dan makanan. Apa yang berlaku ialah, negara yang kaya menggunakan pelaburan kewangan untuk melindungi sektor pertanian mereka. OECD pada tahun 2009 melaporkan negara-negara kaya melabur sejumlah USD385 bilion untuk melindungi sektor pertanian mereka. Pelaburan penting bagi meningkatkan infrastruktur ladang termasuk pengairan, jalan dan kemudahan penyimpanan. Pelaburan tambahan perlu untuk penyelidikan dan dipadankan dengan hak paten yang lebih fleksibel supaya inovasi dapat dikongsi. Kepentingan biodiversiti perlu dipulihara bagi membantu kita mengatasi penyakit dan perosak. Apabila banyak makanan dihasilkan, kita perlu menghantarnya kepada tempat yang perlu. Pelaburan juga perlu untuk manusia disamping membantu mereka mengadaptasi teknologi baharu. Kita perlu melakukan lebih banyak untuk menarik golongan muda - dengan tenaga mereka dan keterbukaan untuk menerima idea baharu - kepada pertanian dan membina perniagaan berasaskan pertanian di luar bandar. Ini akan membantu mengurangkan kesan penghijrahan ke bandar yang sudah sedia sesak.

Kepentingan Ladang Kecil

Untuk meningkatkan pengeluaran, kita perlu mengelakkan kerosakan berterusan kepada alam sekitar sosial yang diakibatkan oleh Revolusi Hijau. Peladang kecil perlu menjadi tunjang kepada membekalkan keselamatan makanan yang mana telah dikenalpasti dan diiktiraf oleh organisasi ini. Jumlah dan potensi yang besar kepada peladang kecil boleh meningkatkan pengeluaran makanan dan menyediakan aktiviti bagi menyara keluarga. Kita tidak boleh mempercepatkan dan meluaskan pengeluaran makanan tanpa melibatkan peladang kecil. Sejarah juga menunjukkan Revolusi Hijau yang berlaku di Asia dimulakan oleh peladang kecil yang menjadikan pertumbuhan ekonomi yang luas dan pantas.

Peranan Ladang Komersil

Dalam memberi fokus kepada ladang berskala kecil, kita tidak boleh mengenepikan ladang berskala besar. Ladang yang besar tidak boleh beroperasi secara berasingan. Ladang besar berskala komersil boleh diintegrasikan dengan aktiviti bersama-sama komuniti, sebagai hab yang memberi jaringan kepada peladang kecil di sepanjang rantaian nilai, berkongsi pengetahuan dan kepakaran, mereka boleh memainkan peranan penting dan positif. Kita perlu secara berterusan membantu mengembangkan perniagaantani dan menyokong pertanian berskala kecil.

Penyelidikan dan Pembangunan

Ini bukannya kecil vs besar. Ini berkaitan dengan memastikan kesemua petani dapat meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah yang lestari. Keamatan yang lestari yang memerlukan akses kepada varieti tanaman yang boleh menunjukkan prestasi yang baik dengan input luaran yang sedikit - dan teknik baharu pengurusan tanah dan air. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, ini akan memerlukan lebih pelaburan untuk penyelidikan dan lebih sokongan untuk petani mengamalkan teknologi baharu. Kita juga perlu memastikan mereka mempunyai pasaran yang cukup untuk hasil tanaman mereka - di peringkat setempat, negara dan global. Pada masa kini, pasaran sering sahaja mengherot (distorted) atau tidak boleh diharap, dengan petani tidak mendapat harga yang baik untuk produk mereka atau menjana keuntungan jika harga naik.

Kesimpulan

Survival 1 bilion manusia - yang paling lemah dan mudah terancam di dunia ini - bergantung kepada jawapan kita kepada kelaparan. Masa depan 9 bilion manusia bergantung kepada polisi yang betul dan sistem penyampaian keselamatan makanan dalam dekad mendatang. Harapannya ialah dunia yang aman di mana semua orang boleh bekerjasama bagi mengharungi cabaran dan menuju kepada matlamat yang dikongsi bersama.

[dipetik dan dari kertas pembentangan Kofi Annan sempena Persidangan FAO]

Minggu, 14 Agustus 2011

Ke Arah Revolusi Hijau Sebenar untuk Keselamatan Makanan (bahagian 2)

Ke arah revolusi teknologi hijau sebenar untuk pertanian

Analisis yang sentiasa dijalankan jelas menunjukkan memerangi kelaparan dan kekurangan nutrien dalam bentuk yang lestari dan melindungi daripada harga makanan yang tinggi memerlukan pendekatan radikal yang berlainan bagi menangani halangan ke atas pengeluaran makanan di dalam kerangka pengurusan lestari sumber semulajadi yang lebih besar. Ini akan melibatkan pembangunan kerangka nasional yang komprehensif bagi pengurusan sumber yang lestari dan aplikasi teknologi dan inovasi yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti keuntungan, kestabilan, dan potensi pemindahan kesan perubahan cuaca kepada sistem pengeluaran luar bandar dan hutan. Penjimatan air, pemuliharaan tanah dan peningkatan biodiversiti perlu untuk membina sebahagian daripada pendekatan yang lestari bagi pengurusan tanah dan hutan, yang perlu mengintegrasikan biofizikal dengan sosio-budaya, institusi dan perubahan perlakuan disamping mengenalpasti kepelbagaian fungsi semulajadi dalam pertanian.

Pendekatan yang holistik, merentas-sektoral perlu, ini termasuklah mengambilkira kehilangan (trade-off) dan membina sinergi diantara sektor hutan dan pertanian. Di dalam konteks guna tanah yang kompetetif, pelbagai penyelesaian, termasuk pilihan yang sukar, hanya boleh dicapai melalui rundingan dan perbincangan. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, sinergi diantara sektor (menghasilkan inter alia, di dalam mengurangkan penebangan hutan dan meningkatkan produktiviti tanah, dan kelestarian sumber air) boleh menghasilkan keputusan "menang-menang" melalui pengurusan sumber yang lebih baik yang disediakan melalui institusi sekitar.

Pembinaan institusi yang betul sangat penting bagi menyokong pertanian berskala kecil dengan meningkatkan pelaburan dalam pertanian dan produktiviti serta memelihara sumber semulajadi. Negara mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan dalam membina infrastruktur luar bandar (termasuk jalan, kemudahan sistem pengairan dan tempat penyimpanan); memperbaiki akses pasaran (termasuk kemudahan kredit, input dan insurans); menyediakan servis pengembangan teknologi pembinaan kapasiti; menggalakkan kordinasi diantara pemegang kepentingan (stakeholder); dan mengawal hak kepada harta (termasuk dalam pengagihan semula tanah).

Pertanian lestari perlu menjadi keutamaan kepada negara membangun bagi memastikan penggunaan tenaga yang cekap dan mengurangkan penggunaan baja dan racun kimia. Subsidi yang tinggi kepada pertanian termasuk subsidi untuk pengeluar biofuel (menggalakkan perubahan pengeluaran makanan kepada minyak), telah membawa kepada ketidakseimbangan di dalam ekonomi pengeluaran pertanian dan penggunaan di seluruh dunia.

Polisi kerajaan dalam untuk memberi stimulasi kepada revolusi teknologi baharu pertanian perlu dibina di atas pengalaman yang luas berkaitan dengan inovasi di dalam 30 tahun ke belakang. Inovasi pertanian terkini menggunakan konsep sistem inovasi pertanian bagi "menjalinkan jaringan diantara pemain ekonomi dan bukan ekonomi, dan hubungan diantara pemain-pemain bagi memberi kemudahan dalam bentuk teknologi, organisasi dan pembelajaran sosial yang diperlukan bagi memberi penyelesian kepada kandungan yang spesifik" (PBB, Persidangan Pembangunan dan Perdagangan 2010). Kertas ini mencadangkan untuk mengguna konsep sistem inovasi pertanian lestari (sustainable agricultural innovation system, SAIS) bagi memberi fokus kepada pembangunan kerangka polisi yang lebih komprehensif untuk inovasi yang akan memberi respon kepada cabaran berganda di dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan kelestarian alam semulajadi. SAIS merupakan satu teras pertanian di dalam konsep "penghijauan" yang lebih besar; National Inovation System (G-NIS), yang akan dibincangkan lebih lanjut dalam penulisan akan datang.

Di dalam kerangka SAIS, empat objektif yang kritikal yang setiap satunya memerlukan sokongan polisi yang strategik bagi memberi kesan kepada transformasi ke arah pertanian lestari, iaitu;
  1. Memperbaiki akses kepada kepelbagaian teknologi.

  2. Akses yang lebih baik kepada servis sokongan, termasuk mengetepikan halangan bersifat politik yang menghalang perkembangan produktiviti.

  3. Sensitiviti jantina dalam proses inovasi pertanian.

  4. Mengukuhkan kerjasama dan perkongsinan bagi memacu inovasi.


Kerangka Sistem Inovasi Pertanian Lestari

Perspektif SAIS membantu dalam mengenalpasti kepelbagaian pemain yang mengeluar dan menggunakan pengetahuan global (termasuk universiti, institut penyelidikan, firma, petani, pegawai pengembangan, organisasi awam dan yayasan persendirian), kepentingan mereka, dalam konteks intitusi di mana interaksi berlaku di sepanjang proses inovasi, dan pembelajaran yang dinamik dan perubahan institusi. Perspektif SAIS juga menekankan kepentingan inovasi di dalam menambahbaik proses, produk dan pemasaran, dan memperkasakan organisasi dan kerjasama diantara bahagian sistem yang berbeza melalui jalinan dengan berbagai pemain.

Perspektif sistem inovasi mengenalpasti perkembangan evolusi semulajadi dalam pencapaian inovasi melalui kesan kumulatif iteraksi diantara ejen di bahagian penawaran dengan bahagian permintaan, di dalam kerangka institusi formal dan tidak formal, polisi sokongan dan penglibatan pemegang kepentingan, seperti di bawah.


Inovasi dalam pertanian

Perkembangan penyelidikan dan pembangunan pertanian tidak pernah terbantut walaupun di bahagian dunia yang paling mencabar seperti Afrika, walaupun mereka kurang mendapat sokongan untuk mengembangkan teknologi dan inovasi untuk kebaikan bersama. Dua pengalaman yang berjaya dibincangkan di bawah sebagai ilustrasi peranan pelbagai pemegang kepentingan bagi mencapai penambahbaikan yang pantas kepada produktiviti petani berskala kecil dengan amalan yang lestari kepada alam sekitar. Penglibatan secara terus petani berskala kecil di dalam proses pembelajaran berterusan dan adaptasi merupakan kunci utama kejayaan. (m/s 121 dalam laporan survey).

Sistem Keamatan Padi (SRI)

Tanaman padi membekalkan makanan ruji kepada dunia terutama sekali Asia. Mengikut amalan sedia ada, tanaman padi berada dalam keadaan sentiasa dibanjiri air dan penggunaan baja tidak organik yang tinggi, pengeluaran padi merupakan sumber utama pembebasan gas metana dan salah satu punca utama kontaminasi tanah dan air. Dianggarkan 24-30 peratus air digunakan di seluruh dunia untuk pengeluaran padi. Dengan sokongan daripada Africare, Oxfam America, the WWF-ICRISAT Project dan Bank Dunia, satu inovasi yang dikenali sebagai Sistem Keamatan Padi, SRI telah berjaya diuji di 40 buah negara dengan keputusan yang memberansangkan. Dengan perubahan yang mudah di dalam pengurusan tanaman yang melibatkan penanaman anak pokok dalam sawah yang tidak digenangi air pada usia yang muda dengan jarak yang luas, bersama dengan penggunaan baja organik dan amalan pengurusan perosak bersepadu, tanaman padi menjadi resistan kepada perosak dan perubahan cuaca. Bergantung kepada keadaan dan situasi setempat, hasil boleh ditingkatkan sehingga 50 peratus. Penjimatan air berada diantara 25 hingga 50 peratus; kos input per hektar dapat dijimat pada anggaran 23 peratus, disebabkan oleh penjimatan air dan kimia pertanian; dan pendapatan petani meningkat. Menurut Brooks and Loevinsohn (2011, p. 11): "Di India, yang mempunyai kawasan terbesar SRI, "learning alliances" ditubuhkan untuk berkongsi pengalaman dan memulakan langkah untuk berinteraksi dengan kerajaan... (terutama sekali di peringkat setempat)... seperti di Andhra Pradesh, Tamil Nadu and Tripura.” Dalam pada itu, penglibatan institut penyelidikan lebih marginal, dengan pengalaman positif dicatatkan di China dan Indonesia. Kerajaan Kemboja, China, India, Indonesia dan Vietnam mengiktiraf sistem ini dan menjadikannya sebagai strategi nasional untuk keselamatan makanan (Africare, Oxfam America and WWF-ICRISAT Project, 2010, p. 3).

Pendekatan Sekolah Latihan Ladang (Farm Field School)

Disebabkan oleh pencemaran alam sekitar akibat penggunaan pestisid dan baja kimia yang berleluasa di Asia Tenggara, institut penyelidikan telah membangunkan pendekatan integrasi yang lebih kukuh bagi menambahbaik pengurusan kawalan perosak melalui pemuliharaan musuh semulajadi (seperti labah-labah dll) dan pengurusan ekologi yang lebih baik pada tanah petani. Sekolah Latihan Petani (Farmer Field Schools, FFS) telah dibangunkan lebih 10 tahun yang lalu di Indonesia dan Filipina, menyediakan peluang kepada petani belajar melalui eksperimen dan pemerhatian di ladang. Dengan sokongan daripada kerajaan Indonesia, PBB melalui United States Agency for International Development and the Food and Agriculture Organization menyebarkan pendekatan FFS kepada beberapa buah negara membangun (Bangladesh, Cambodia, China, India, Laos, Nepal, the Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam); pendekatan ini diubahsuai mengikut keperluan setempat dan diaplikasi di dalam berbagai sistem pertanian. Kemahiran pengurusan yang pelbagai telah diperluaskan termasuk di dalam pengeluaran sayuran, jagung, kapas, kentang, buah-buahan, ternakan, pengurusan kesuburan tanah, pengurusan tanah dan air, pengurusan air bawah tanah, pemuliharaan pertanian, pertanian hutan, perhutanan komuniti, perikanan dan pemuliharaan biodiversiti. Sistem inovasi pertanian telah berkembang daripada pengalaman kepada pengurusan perosak bersepadu dan Sekolah Latihan Petani menjadikannya lebih mudah melalui penglibatan aktif pelbagai pihak. Institut penyelidikan kebangsaan Filipina dan Indonesia telah menyediakan pengetahuan yang saintifik manakala organisasi bukan kerajaan di Indonesia telah membangunkan proses pedagogik yang diperlukan untuk membantu pembelajaran dewasa. Penderma bilateral dan organisasi antarabangsa (seperti FAO) sangat kritikal di dalam menyokong pembangunan Sekolah Latihan Petani di negara lain melalui sumbangan dana, perkongsian maklumat dan perundingan. Pada hari ini, FFS telah beroperasi di 87 buah negara termasuk di Asia, Afrika sub-Sahara, Amerika Latin dan Caribbean, Afrika Utara dan Timur, Eropah Tengah dan Utara, Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Pendekatan FFS menyumbang kepada pembangunan dan penjanaan kemahiran di kalangan petani, membuka kepada permintaan yang lebih tinggi untuk pengurusan tanaman yang lebih fleksibel.

[bersambung di bahagian 3]

Rabu, 10 Agustus 2011

Kerintangan bena perang terhadap racun dan pemulihan ekosistem sawah untuk kawalan biologi

Bena perang (Nilaparvata lugens) merupakan perosak penting bagi tanaman padi yang mengakibatkan kerugian besar kepada petani. Sejak serangga ini menjadi perosak utama di sawah padi di seluruh dunia, pelbagai jenis racun diperkenalkan bagi mengawal serangan perosak ini. Bena perang juga dilabel sebagai "perosak Revolusi Hijau" pada tahun 1977. Gambar kiri : kesan serangan bena perang yang dikenali sebagai "hopperburn".

Bagi mengawal serangan bena, racun serangga jenis phenylpyrazole seperti fipronil dan ethiprole, carbamate seperti aldicarb, carbofuran, carbaryl, BPMC dan MIPC, neonicotinoid seperti imidacloprid, thiamethoxam dan clothianidin, pyrethroid seperti allethrin, cypermethrin, permethrin dan prallethrin dan organophosphate seperti acephate, monocrotophos, diazinon, disulfoton dan malathion digunakan sejak sekian di kebanyakan negara Asia Tenggara dan Asia Timur. Namun begitu, kerintangan kepada racun perosak ini mula dikesan di beberapa buah negara setelah beberapa tahun diperkenalkan. Bermula dengan kerintangan kepada malathion, fenitrothion dan carbaryl pada sekitar 1970-an di beberapa buah negara, bena perang terus menerus berevolusi untuk menghadapi tekanan racun perosak. Kerintangan kepada abamectin dan cypermethrin menyebabkan kesan serangan menjadi buruk sebaik sahaja disembur dikenali sebagai outbreak-causing insecticide. Terdapat juga laporan yang menyatakan bena perang telah membina kerintangan silang (cross-resistance) terhadap racun imidacloprid dan thiamethoxam.

Di seluruh dunia terutama benua Asia, bena perang dilaporkan telah resistan kepada pelbagai jenis insektisid. Diantaranya ialah:
  • Imidacloprid
  • Fenobucarb
  • Fipronil
  • Diazinon
  • Clothianidin
  • BPMC
  • MIPC
  • MTMC
  • Malathion
  • Fenthion
  • Malaoxon
  • Methyl parathion
  • Monocrotophos
  • Carbofuran
  • Abamectin
  • Cypermethrin
  • Acephate
  • Dinotefuran
  • Fenitrothion
  • Thiamethoxam
  • Carbaryl
  • Cartap
  • Buprofezin
Tahap penyesuaian diri atau adaptasi bena perang terhadap racun perosak sangat tinggi. Bena perang boleh membina kerintangan dengan cepat dan kebanyakan kajian menunjukkan kerintangan yang lengkap berlaku pada generasi ketiga. Negara China, Taiwan, Vietnam dan Filipina merekodkan bena perang mempunyai kerintangan 40 hingga 100 kali kepada fipronil. Negara Thailand, Vietnam dan Laos pula mencatatkan bena perang yang mempunyai kerintangan sehingga 200 kali kepada imidacloprid. Penyelidikan dan pembangunan dalam kejuruteraan genetik telah dapat menghasilkan varieti padi yang resistan kepada serangan bena perang seperti Cheongcheongbyeo, ASD7 dan Gayabyeo (Korea). Namun begitu, bena perang telah berevolusi dan dapat menyesuaikan diri untuk "resistan kepada gen yang resistan" pada varieti padi tersebut.

Selain kerintangan kepada racun, populasi bena perang dilihat tertarik dengan penggunaan baja berunsur nitrogen yang berlebihan di sawah padi. Graf di bawah menunjukkan simulasi yang dijalankan terhadap populasi bena perang vs jumlah baja nitrogen (0 kg hingga 400 kg/ha).


Kesan penggunaan baja nitrogen yang berlebihan terhadap populasi bena perang juga pernah dibincangkan di sini

Adakah serangan bena perang disebabkan oleh kerosakan servis dalam ekosistem?

Penggunaan racun perosak bagi mengawal bena perang sebenarnya membawa lebih banyak kerosakan dan keburukan berbanding kebaikan. Racun seperti imidacloprid, monocrotophos dan lain-lain sangat toksid kepada hidupan lain seperti burung dan lebah disamping mempunyai ciri "broad spectrum" iaitu membunuh secara meluas. Kesannya, serangga berguna; predator dan parasitoid turut terbunuh dan mengganggu pertalian mangsa-pemangsa dan ikatan rantaian makanan. Penggunaan racun yang berlebihan turut mencemarkan udara, tanah dan air yang sekaligus membawa kepada masalah kesihatan kepada manusia.

Serangan merebak (outbreak) bena perang terjadi daripada ledakan populasi bena perang dalam tempoh masa yang singkat. Biasanya serangan merebak ini akan meninggalkan impak yang buruk kepada ekonomi apabila tanaman musnah sama sekali. Serangan merebak jarang terjadi dalam ekosistem semulajadi. Bena perang merupakan serangga yang monophagous, bergerak dari petak sawah ke petak sawah yang lain. Serangan akan menjadi buruk pada sawah yang mudah diserang. Oleh itu, jika serangan merebak kerap berlaku, itu merupakan petanda ketidakstabilan di dalam alam sekitar terhadap sistem pengeluaran. Satu lagi petanda ialah kadar kerintangan terhadap racun berlaku dengan pantas akibat penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan bagi mengawal bena perang.

Servis ekosistem yang tinggi di sawah padi terhasil dari jumlah biodiversiti arthropod, terutama sekali yang kaya dengan spesis predator dan parasitoid. Dalam satu kajian oleh IRRI, mengurangkan penggunaan racun sehingga 95%, biodiversiti arthropod meningkat dan pulih seperti semulajadi dan serangan merebak bena perang tidak terjadi. Memandangkan bena perang merupakan "r-strategists", yang mempunyai keupayaan untuk berpindah, kapasiti pembiakan yang tinggi dan jangka hayat yang rendah, populasi perosak ini lebih efektif ditangani di peringkat berskala besar. Teknik kejuruteraan ekologi boleh diadaptasi bagi meningkatkan biodiversiti setempat dalam meningkatkan servis ekosistem.

Servis ekosistem

Servis ekosistem didefinisi sebagai "kebaikan yang diperolehi oleh manusia daripada ekosistem" dan termasuk dalam servis ini ialah kaitan dengan sokongan, perencanaan, pematuhan dan fungsi budaya. Konsep servis ekosistem yang telah mendapat tempat melahirkan "kejuruteraan ekologi" sebagai satu halatuju untuk pengurusan perosak dalam pertanian. Secara amnya, servis ekosistem diterangkan dalam carta di bawah (klik carta untuk paparan lebih jelas).


Servis ekosistem telah digunakan sebagai kerangka yang beritegrasi dengan penyelidikan pengurusan sumber semulajadi, ekologikal, sosial, dan dimensi ekonomik serta boleh digunakan bagi model pemuliharaan alam sekitar bagi pengeluaran makanan.

Pengurusan habitat bagi pemuliharaan musuh semulajadi bena perang di sawah

Kebanyakan agroekosistem merupakan persekitaran yang tidak sesuai untuk musuh semulajadi disebabkan oleh ganggunan yang melampau. Pengurusan habitat, satu bentuk pemuliharaan pengawalan biologikal, merupakan pendekatan secara ekologi yang mensasarkan satu ekosistem yang seimbang dalam pertanian yang pro kepada musuh semulajadi sebagai agen kawalan biologi. Matlamat pengurusan habitat ialah untuk membina satu infrastruktur ekologikal yang stabil di dalam landskap sistem pertanian untuk membekalkan sumber seperti makanan kepada musuh semulajadi dan tempat tinggal untuk hidup dan membiak. Sumber-sumber ini haruslah diintegrasi melalui pendekatan kejuruteraan ekologi di dalam membentuk ekosistem pertanian yang seimbang secara semulajadi. Rujuk musuh-musuh semulajadi bena perang di sini

Menyediakan diversiti yang "betul"

Beberapa diversiti yang betul dan tepat perlu dikenalpasti bagi memberi kelebihan kepada predator dan parasitoid. Mekanisma yang berpotensi termasuklah memperbaiki dan menambah kedapatan sumber makanan alternatif seperti nektar dan debunga, menyediakan tempat perlindungan dan microclimate yang mana predator dapat berlindung daripada perubahan persekitaran yang ekstrem dan menyediakan habitat dimana hos dan pemangsa alternatif boleh didapati. Sebagai tambahan, kedapatan sumber boleh dimanipulasi dengan membekalkan atau menanam pelbagai tumbuhan hos di awal musim untuk menarik predator dan parasitoid.

i) Sumber makanan alternatif

Sesetengah parasitoid mampu untuk mencari makanan pada tanaman padi, namun ada diantaranya memerlukan tumbuhan lain. Dalam membantu spesis parasitoid untuk terus berada di sawah, pendekatan kejuruteraan ekologikal digunakan bagi mengembalikan biodiversiti dan memperbaiki servis ekosistem. Sawah padi yang diperkayakan dengan tanaman berbunga yang mempunyai nektar dapat membantu menambah jumlah biodiversiti parasitoid dan meningkatkan kadar parasitism.

Tumbuhan berbunga, Vernonia spp. biasanya dikenali dengan warna ungu walaupun terdapat beberapa spesis bunga Vernonia yang mempunyai warna putih dan merah. Nektar bunga Vernonia digemari oleh beberapa spesis parasitoid.

Warna bunga juga memainkan peranan penting kerana warna merupakan faktor penting untuk serangga mengenali bunga dan faktor warna juga telah ditemui mempunyai hubungan dengan biologi pendebungaan. Pemilihan warna bunga perlu dilihat sebagai faktor kritikal di dalam membuat pilihan jenis tanaman berbunga yang sesuai untuk kawalan biologi. Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap beberapa spesis bunga Alyssum spp., didapati bunga Alyssum yang berwarna putih menjadi tarikan kepada agen kawalan biologi berbanding warna lain.


Gambar kiri: lebah menghisap nektar (madu) dari bunga dan gambar kanan: tanaman berbunga putih ditanam pada ban sawah.

Bagi mencari tanaman bunga yang sesuai untuk kawalan biologi, sebaiknya pilih bunga yang rimbum dan mudah membiak seperti Tridax procumbens.

ii) Tempat perlindungan dan "micro climate"

Bagi memulihara dan membina "rumah kedua" kepada serangga predator dan labah-labah, pendekatan ini boleh dipraktikkan. Menanam tumbuhan yang boleh menyerupai iklim mikro pada tanaman padi boleh membantu predator untuk berlindung dan membiak.

Rumpai Acalypha boleh dijadikan tempat perlindungan kepada beberapa spesis predator. Antara spesis yang boleh didapati di negara ini ialah Acalypha indica dan A. hispida. Rumpai ini memang digunakan sebagai tumbuhan hos untuk pelbagai jenis predator bagi kawalan biologi di beberapa buah negara.

Dactylis glomerata juga dikenali di Eropah sebagai "false oat" pada asalnya dianggap sebagai rumpai yang perlu dikawal sehinggalah muncul beberapa penyelidikan dibuat berkaitan dengan pertalian ekosistem rumpai ini dengan serangga predator. Kini rumpai ini ditanam sebagai tumbuhan hos yang menyediakan tempat perlindungan kepada serangga predator.
Selain itu, beberapa jenis rumpai lain boleh digunakan seperti "ryegrass" (Lolium spp.).


iii) Memanipulasikan sumber untuk diversiti musuh semulajadi secara kejuruteraan ekologi

Thailand (Chainat), tumbuhan berbunga seperti Tridax procumbens ditanam pada ban sawah bagi menarik serangga parasitoid.

Thailand (Kukiat), tumbuhan berbunga, Crotolaria spp. ditanam di tepi ban sawah.





Kehadiran semula parasitoid dan predator ke dalam ekosistem sawah akan mengambil masa untuk populasi di dalam biodiversiti parasitoid dan predator kembali pulih. Walaubagaimanapun, penggunaan racun kimia harus dielakkan sama sekali supaya kawalan biologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pendekatan kejuruteraan ekologikal perlu diperluaskan (upscalling) bagi memulihkan servis ekologi untuk kawalan secara biologi bena perang. Penggunaan kawalan biologi yang lestari dapat mengurangkan insiden serangan merebak dan mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan racun kimia yang merbahaya kepada ekologi.

Kamis, 04 Agustus 2011

Kerintangan terhadap racun (pesticide resistance)

Kita sering mendengar laporan kesan serangan merebak (outbreak) yang menyebabkan kehilangan hasil dan kerugian petani. Petani berterusan mengawal perosak menggunakan kawalan kimia dengan menyembur racun namun perosak masih berleluasa dan merosakkan tanaman mereka. Faktor cuaca dan angin sering dipersalahkan kerana mengakibatkan serangan perosak menjadi-jadi. Tidak ketinggalan racun yang digunakan tidak berkesan dan bantuan input racun serangga tidak tiba tepat pada masa. Namun apakah kita tidak terfikir berkenaan satu perkara: kerintangan perosak terhadap racun berlaku akibat penggunaan racun yang berleluasa?

Kerintangan terhadap racun (pesticide resistance) merupakan satu bentuk adaptasi populasi perosak kepada racun yang menyebabkan perosak tidak terjejas oleh bahan kimia dalam racun tersebut. Dalam kata lain, perosak membentuk kerintangan kepada bahan kimia melalui pilihan semulajadi: organisma yang paling resistan akan terus hidup dan memindahkan ciri tersebut melalui genetik kepada keturunannya.

Syarikat pengeluar racun perosak memilih terma "field resistance" sebagai definisi kegagalan produk mereka di dalam situasi sebenar. Insecticide Resistance Action Committee (IRAC) memberi definisi kerintangan terhadap racun sebagai "perubahan yang boleh diwarisi kepada populasi perosak yang menggambarkan kegagalan berulang sesuatu produk untuk mencapai paras kawalan ketika digunakan mengikut tatacara penggunaan pada label yang disyorkan untuk spesis perosak".

Apa yang membimbangkan, kerintangan perosak terhadap racun semakin bertambah. Di seluruh dunia pada hari ini terdapat lebih 500 spesis perosak yang telah menunjukkan kerintangan kepada racun (Fruit Crop Ecology and Management, Chapter 2: "Managing the Community of Pests and Beneficials). Terdapat sumber lain yang menyatakan jumlah spesis perosak yang dianggarkan telah mengalami kerintangan kepada racun ialah 1,000 spesis sejak tahun 1945 (Sustaining the Earth, 6th edition. Thompson Learning, Inc. Pacific Grove, California).

Faktor
  1. Spesis perosak biasanya berkemampuan untuk membiak dan menghasilkan anak yang banyak. Ini akan meningkatkan kemungkinan mutasi rawak dan memastikan peningkatan jumlah mutant yang resistan setiap kali mutasi berlaku.
  2. Spesis perosak telah terdedah kepada toksin semulajadi untuk tempoh masa yang lama sebelum wujudnya tamadun manusia. Sebagai contoh banyak tumbuhan yang mengeluarkan fitotoksin sebagai perlindungan daripada dimakan oleh herbivor atau serangga perosak. Hasilnya, herbivor atau serangga perosak ini akan membentuk satu koevolusi yang mengubah keupayaan fisiologikal untuk menyahtoksin atau kebal kepada racun.
  3. Manusia sering bergantung kepada racun yang eksklusif bagi mengawal perosak - mengawal perosak menggunakan satu jenis racun sahaja. Ini akan menyebabkan tekanan selektif kepada kerintangan perosak. Pesitisid yang gagal untuk terurai dengan cepat akan tinggal di kawasan semburan dan akan menyumbang kepada pembentukan organisma yang resistan walaupun pestisid tersebut tidak disembur dalam tempoh yang lama.
Sebagai respon kepada kerintangan perosak terhadap racun, petani biasanya akan meningkatkan penggunaan racun (meningkatkan dos racun, menambah kekerapan semburan dan membuat campuran cocktail racun) dan tanpa mereka sedar memburukkan keadaan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pestisid yang digunakan toksik kepada spesis yang makan atau bersaing dengan perosak (predator dan parasitoid), menjadikan populasi perosak meningkat dengan banyak menyebabkan petani menyembur lebih banyak pestisid. Terma pesticide trap atau pesticide treadmill digunakan bagi menunjukkan kesan penggunaan racun yang berterusan dan meningkat menyebabkan petani terpaksa membayar lebih banyak kos yang menyebabkan keuntungan kepada hasil berkurangan.

Serangga predator dan parasitoid yang hidup di atas populasi serangga lain biasanya mempunyai populasi yang kecil dan amat jarang sekali membentuk kerintangan kepada pestisid berbanding sasaran pestisid sebenar. Kebanyakan pestisid yang digunakan akan turut membunuh predator dan parasitoid. Ini akan menjadikan masalah perosak semakin buruk kerana secara semulajadinya predator dan parasitoid mengawal populasi perosak.

Tekanan juga secara langsung dan tidak langsung memberi impak kepada keresistenan perosak. Kekurangan sumber makanan menjadikan perosak membentuk kerintangan kepada pesitisid dengan pantas kerana kurangnya sumber makanan dan peluang untuk membiak dengan populasi yang belum terdedah dengan pestisid. Faktor lain yang mempercepatkan kadar pembentukan kerintangan perosak ialah tempoh pembentukan generasi (generation time - telur > pupa/larva > dewasa) yang pendek menjadikan kerintangan pestisid kepada perosak sangat pantas. Fenomena ini menyebabkan berlaku serangan merebak (outbreak) kepada tanaman sebaik sahaja semburan racun dilakukan. Lebih banyak racun digunakan, lebih teruk kesan serangan.

Kerintangan berlaku kepada berbagai spesis perosak: kerintangan kepada racun serangga pertama didokumenkan pada 1914 oleh A. L. Melander apabila ujian menunjukkan serangga kutu daun menunjukkan kerintangan kepada racun tidak organik. Diantara tahun 1914 hingga 1946, 11 lagi kes kerintangan dilaporkan. Penghasilan DDT (dichlorodiphenyltrichloroethane) pada 1939 memberi harapan baharu bahawa kerintangan merupakan sesuatu yang lapuk. Namun demikian pada tahun 1947, lalat rumah yang resistan kepada DDT direkodkan. Di sesetengah tempat, DDT yang digunakan untuk mengawal nyamuk pembawa malaria tidak memberi kesan kepada penurunan kes malaria kerana wujud kerintangan nyamuk terhadap racun ini. Dengan pengenalan lebih banyak kelas racun serangga - cyclodiene, carbamate, formamidine, organophosphate, pyrethroid, malah bakteria Bacillus thuringiensis - kes kerintangan muncul di dalam tempoh 2 hingga 20 tahun.

Contoh-contoh kes kerintangan:
  • Bena perang (Nilaparvata lugens) menunjukkan kerintangan kepada racun abamectin dan cypermethrin.
  • Nyamuk aedes (Aedes spp.) dan lalat buah (Bacterocera spp.) menunjukkan kerintangan kepada racun malathion.
  • Racun DDT tidak lagi berkesan mengawal malaria.
  • Rumpai Amaranthus palmeri menunjukkan kerintangan kepada racun Roundup.

Kerintangan pelbagai atau kerintangan silang (cross-resistance)

Kerintangan pelbagai ialah fenomena dimana perosak menjadi rintang kepada lebih dari satu kelas racun. Sebagai contoh kumbang pengorek kentang Colorado menunjukkan kerintangan kepada 52 jenis racun pelbagai kelas. Ini boleh berlaku apabila satu jenis racun digunakan sehingga perosak menjadi resistan, kemudian ditukar kepada jenis racun yang lain dan perosak sekali lagi menjadi resistan kepada racun tersebut. Petani akan berulang-ulang kali menukar kelas racun dan perosak akan terus menerus membentuk kerintangan kepada kepelbagaian jenis racun. Kerintangan silang berlaku apabila mutasi genetik yang rintang kepada racun terbentuk kepada sesuatu spesis menjadikannya terus menerus bermutasi bagi menjadi resistan kepada beberapa jenis racun terutama sekali racun yang mempunyai mekanisma tindakan yang sama.

Fisiologi

Biasanya perosak menjadi resistan kepada pestisid kerana perubahan fisiologikal yang melindungi perosak tersebut daripada kesan bahan kimia pestisid. Dalam sesetengah kes, perosak boleh meningkatkan jumlah salinan gen, membolehkannya menjana lebih banyak enzim perlindungan yang memecahkan pestisid kepada bahan kimia yang tidak toksik. Enzim-enzim terlibat termasuklah esterase, glutathione transferase, dan campuran microsomal oxidase. Secara alternatif, jumlah reseptor biokimia untuk kimia mungkin telah berkurangan dalam perosak, atau reseptor telah diubah, mengurangkan sesnsitiviti perosak kepada kompaun racun. Perlakuan resistan juga dikesan pada perosak; contohnya nyamuk Anopheles memilih untuk "berehat" diluar kawasan yang disembur pestisid. Selain itu, terdapat perosak yang dapat meningkatkan penghasilan anti-toksin yang dapat mengelakkan bahan kimia dari pestisid menjejaskannya, menyimpan komponen toksin pestisid jauh daripada tisu dan organ dan mengurangkan kemasukan toksin melalui dinding badan serangga.

Pengurusan

Kawalan Perosak Bersepadu (IPM) perlu diadaptasi bagi mengurangkan risiko kerintangan perosak terhadap racun. Penggunaan racun yang secara meluas terutama sekali penggunaan kimia yang spesifik perlu dielakkan dan petani perlu menggunakan teknik kawalan bukan kimia seperti kaedah kultura dan kawalan biologi. Kaedah kawalan biologi dapat membentuk kembali peranan semulajadi predator dan parasitoid dalam menekan populasi perosak major kepada perosak minor. Penggunaan pelbagai pestisid yang mempunyai tindakan berbeza boleh menyukarkan perosak membentuk kerintangan namun petani perlu berhati-hati tidak menggunakan berulang kali supaya cross-resistance tidak berlaku.

Bacaan lain dari blog ini:
Padi SRI - ekologi dan biodiversiti serangga untuk kawalan biologi
Biodiversiti dan perosak tanaman padi

Rabu, 03 Agustus 2011