Rabu, 02 Januari 2013

Hantu Revolusi Hijau

Revolusi Hijau memperkenalkan penggunaan kimia dalam pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman. Tidak dinafikan, pengeluaran makanan dunia meningkat sejak Revolusi Hijau diperkenalkan pada 1970-an sebagai penyelesaian kepada kegawatan krisis makanan pada ketika itu. Hasil bijirin berjaya ditingkatkan hampir tiga kali ganda dan kelaparan dunia dapat dikurangkan ketika kemuncak revolusi ini.

Namun di sebalik kemeriahan Revolusi Hijau yang kini menjadi tunjang utama pengeluaran makanan, muncul pula krisis agrarian. Di serata dunia, pengusaha ladang kecil (<2 ekar) mewakili hampir 90 peratus ladang dunia. Kebanyakan pemilik ladang kecil ini terdiri daripada penduduk luar bandar yang kebanyakannya berada dalam kemiskinan. Dianggarkan 40 peratus tenaga kerja ladang-ladang kecil ini adalah wanita.

Revolusi Hijau meninggalkan "hantu" yang paling sukar untuk "dihalau". Kepercayaan kepada perlunya penggunaan baja dan racun kimia bagi meningkatkan hasil amat sukar untuk dikikis. Akibatnya, petani menjadi mangsa keadaan. Antara 30 hingga 60 peratus kos pengeluaran terdiri daripada input kimia dan upah bagi menabur atau menyembur input-input tersebut. Sebahagian pendapatan mereka disimpan untuk membeli baja dan racun kimia. Ada juga petani yang terpaksa berhutang bagi mendapatkan bekalan baja dan racun kimia untuk mengusahakan tanaman mereka. Jika hasil tanaman tidak memuaskan, mereka tidak akan mampu untuk menjelaskan hutang, sekaligus tidak mampu untuk berhutang lagi bagi membeli baja dan racun kimia untuk penanaman bagi musim akan datang.

Di India, petani yang dibelenggu hutang sering mengambil keputusan membunuh diri dengan meminum racun kimia akibat tidak mampu membayar hutang. Majalah Down To Earth, 2004 menerbitkan sebuah rencana berkaitan kadar bunuh diri yang tinggi di kalangan petani India akibat beban hutang bertajuk Suicidal State.

Hampir semua petani yang bergantung kepada kawalan perosak secara kimia terperangkap dalam apa yang digelar "pesticide treadmill". Pesticide treadmill ialah keadaan di mana petani sentiasa memerlukan racun kimia bagi menjalankan aktiviti pertanian kerana kawalan perosak perlu dilakukan sepanjang masa.

Penggunaan racun kimia secara berleluasa mengakibatkan kes-kes kerintangan kepada racun semakin menjadi-jadi. Di seluruh dunia - terutama sekali di Asia, sebagai contoh, bena perang telah kebal terhadap lebih 20 jenis kelas racun perosak. Memburukkan keadaan, amalan petani yang membuat semburan awal membunuh musuh semulajadi bena perang yang mengakibatkan wabak serangan "outbreak" bena perang yang memusnahkan tanaman padi. Penggunaan racun yang membunuh secara meluas juga mengakibatkan serangga seperti ulat lipat daun yang merupakan perosak kecil-kecilan dan tidak menjejaskan hasil telah menjadi perosak utama yang merosakkan anak padi pada awal musim tanaman padi. Akibatnya, petani terpaksa menyembur racun pada awal musim tanaman padi dan fenomena pesticide treadmill akan terus berlaku.


Semburan berjadual telah menjadi amalan, tidak kira perosak wujud atau tidak. Malah ada pengeluar racun yang menyediakan jadual semburan produk-produk keluaran mereka mengikut usia tanaman. Lebih 60 peratus petani memilih semburan secara berjadual bagi mengawal perosak menurut satu kajian. Ini menjadikan racun perosak sebagai pilihan pertama, bukannya pilihan terakhir seperti mana yang disyorkan dalam IPM. Menyembur racun seolah-olah menjadi "insurans" atau langkah berjaga-jaga, andai kata perosak datang menyerang secara tiba-tiba.

Kegagalan untuk memberi pendedahan terhadap ekosistem pertanian menyebabkan kebergantungan kepada racun kimia yang sangat sukar untuk dibendung. Penerangan melalui pengembangan hanya menerangkan apa itu musuh semulajadi perosak tetapi tidak menunjukkan kaedah yang menggalakkan perkembangan diversiti dan populasi musuh semulajadi ke dalam ekosistem pertanian.

Dalam dasar kerajaan yang ingin meningkatkan hasil tuaian dan pengeluaran makanan, petani berada di barisan hadapan. Tetapi malangnya, petani-petani ini berhadapan dengan risiko kesihatan yang serius. Mereka terdedah dengan racun kimia yang disembur sepanjang hayat mereka. Ditambah pula dengan kelengkapan perlindungan yang tidak mencukupi dan peralatan yang kurang sempurna atau tidak sesuai digunakan, mereka meracuni diri mereka sendiri dengan racun yang disembur dengan tujuan untuk membunuh perosak kepada tanaman mereka.

Jika dikatakan bahawa kita tidak memerlukan baja dan racun kimia bagi meningkatkan produktiviti, sudah pasti jawapannya "ini mustahil". Inilah hantu Revolusi Hijau yang masih melekat di fikiran kita!

Bacaan tambahan: Resurrecting the ghost of Green Revolutions past: The brown planthopper as a recurring threat to high-yielding rice production in tropical Asia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar