Tampilkan postingan dengan label Perataan Tanah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Perataan Tanah. Tampilkan semua postingan

Jumat, 11 Maret 2011

Merata Sawah (bahagian 4)


Keadaan sawah selepas perataan tanah dilakukan dalam keadaan kering


Air dimasukkan ke dalam petak sawah sebelum membuat perataan dan bajak basah

6. Setelah selesai merata sawah dalam keadaan kering (menggunakan bucket leveller > box leveller > rotary cultivator), sawah akan diratakan buat kali keempat dalam keadaan basah. Air akan dimasukkan ke dalam petak sawah bagi menjadikan tanah tepu air dan traktor dengan kapasiti 70 hingga 80 HP akan digunakan bersama implemen niplo harrow untuk membuat perataan terakhir.



Traktor 4 roda bersama implemen niplo harrow untuk bajak basah dan merata sawah


Merata sawah basah menggunakan jentera dua roda

Selasa, 08 Maret 2011

Merata Sawah (bahagian 3)

Spesifikasi kerja merata sawah

1. Sebelum memulakan kerja, kontraktor diminta merujuk kepada pelan tata-letak plot sawah di pelan yang diberikan bersama arahan kerja. Satu pasukan pembanci hendaklah diwujudkan untuk membuat kerja-kerja bancian mengukur paras tanah dengan menggunakan peralatan laser beam.

Membaci kerataan sawah

2. Penggunaan traktor yang sesuai iaitu minimum 60 kuasa kuda dengan implement yang sesuai. Semua kerja-kerja perataan tanah seboleh-bolehnya dilaksanakan di atas tanah sawah yang kering. Semua kerja merata sawah perlu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan atau sebelum tarikh air masuk ke sawah.

3. Pasukan merata tanah sawah hendaklah terdiri daripada traktor empat roda 60 hingga 70 HP dengan pacuan empat roda bersama back bucket, traktor empat roda 60 hingga 70 HP (pacuan dua atau empat roda) bersama rotory cultivator (medium duty) 70 hingga 80 inci dan traktor empat roda 60 hingga 70 HP (pacuan dua atau empat roda) bersama alat leveller.

Box leveller
Bucket leveller
Reversible land leveller

4. Selepas selesai kerja meratakan tanah menggunakan bucket, kerja merata dibuat menggunakan leveller bersama alat kelengkapan laser emmiter.

Traktor membawa leveller yang dipasang dengan laser transmitter untuk mendapatkan kerataan yang tepat

Laser transmitter yang dipasang pada leveller

5. Kerja merotor kedua menggunakan traktor dan rotor (medium duty) dijalankan bagi setiap lot sawah yang diratakan. Kedalaman pembajakan ialah 4 inci. Kontraktor boleh menggunakan kaedah membajak rotor atau kerja scrapping/plough bagi melonggar tanah di kawasan yang tinggi sahaja. Kerja-kerja merata tanah sawah dilaksanakan dengan cara memindahkan tanah dari kawasan yang tinggi ke kawasan yang rendah di dalam lot berkenaan. Tahap perbezaan paras tanah hendaklah ± 5 cm bagi setiap petak.


Jenis-jenis implemen untuk kerja merotor tanah

Minggu, 06 Maret 2011

Merata Sawah (bahagian 2)

Perataan tanah berskala besar

Perataan tanah secara besar-besar (major land levelling) melibatkan kerja-kerja merata menggunakan jentera dan perkakasan yang lengkap dan dilakukan secara berperingkat. Biasanya perataan secara berskala besar ini dilakukan untuk membuka kawasan baru bagi penanaman padi ataupun membuat penyatuan tanah-tanah sawah bagi mendapatkan tanah yang lebih rata dan sempurna. Kepakaran teknikal diperlukan untuk membuat perataan tanah berskala besar dan memerlukan penggunaan pelbagai jenis jentera berat. Gambar 2 menunjukkan perataan berskala besar menggunakan jentera berat.

Gambar 1 : Perataan tanah berskala besar menggunakan jentera berat

Perataan tanah berskala kecil

Jika dahulu perataan tanah secara berskala kecil dilakukan dengan bantuan haiwan ternakan, kini pesawah telah menggunakan jentera seperti traktor kecil dan sederhana atau mengupah operator jentera bagi meratakan tanah sawah di dalam lot sawah mereka sendiri. Biasanya selepas musim menuai, pesawah akan membuat penyediaan tanah sawah secara kecil (minor land levelling) untuk musim menanam berikutnya kerana keadaan tanah sawah yang tinggi rendah selepas musim menuai. Ketika penyediaan tanah, pesawah atau operator jentera itu akan mengalihkan tanah dari kawasan yang tinggi kepada kawasan yang rendah bagi membentuk permukaan tanah yang rata. Setelah beberapa tahun, keadaan tanah di dalam sawah akan menjadi stabil dan membantu memperbaiki pengairan dalam lot sawah. Kaedah perataan sebegini menjadi amalan di dalam penyediaan tanah bagi setiap musim penanaman padi dan tidak memerlukan kos tambahan kerana tidak melibatkan kerja-kerja perataan yang lebih besar (major land levelling). Gambar -gambar di bawah menunjukkan perataan tanah secara berskala kecil menggunakan traktor.

Gambar 2 : Perataan tanah berskala kecil menggunakan traktor dengan implement jenis bucket dalam keadaan kering

Gambar 3 : Perataan tanah berskala kecil menggunakan traktor bagi kerja menyisir, merotor dan merata dalam keadaan basah

Jumat, 04 Maret 2011

Merata Sawah (bahagian 1)

Di dalam meningkatkan hasil padi, keadaan tanah sawah memainkan peranan yang sangat penting di dalam aktiviti penanaman padi. Tanah sawah yang baik adalah rata dan mempunyai lapisan tanah keras (hard pan) yang baik disamping mempunyai sistem pengairan dan saliran yang sempurna. Merata dan membentuk pemukaan tanah sangat penting kepada sistem permukaan sawah bagi menyokong sistem pengairan serta pertumbuhan pokok. Ia melibatkan proses bagi memastikan kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang dapat membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam. Perataan tanah perlu dilakukan hampir setiap musim menanam kerana aktiviti penanaman padi yang intensif dilakukan sepanjang musim dan penggunaan jentera berat semasa menuai hasil mengubah permukaan tanah.

Terdapat dua pendekatan yang digunakan dalam merata sawah; (1) membuat cerun yang menyokong bekalan air; dan (2) merata tanah supaya menepati keadaan terbaik dengan peralihan tanah yang minimum dan kemudian mengikut paras bekalan air di dalam petak sawah tersebut. Pendekatan kedua lebih baik kerana lebih ekonomik. Merata sawah dapat memperbaiki serta meningkatkan kecekapan air dan tenaga kerja.

Kepentingan merata sawah
(i) Menguruskan air dengan baik dan cekap;
(ii) Memperbaiki struktur hard pan tanah;
(iii) Pertumbuhan pokok seragam;
(iv) Memudahkan kerja-kerja jentera;
(v) Memudahkan kerja-kerja pembajaan, meracun dan kawalan perosak.

Merata sawah melibatkan beberapa komponen kerja seperti membuat perataan secara major (major land levelling) dan perataan secara minor (minor land levelling), membina ban di antara petak sawah, membina parit ladang serta parit tengah dan memasang kotak kawalan air.

Operasi merata tanah walaubagaimanapun merupakan gangguan yang paling intensif kepada kaedah penanaman. Oleh itu, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melakukan kerja-kerja perataan tanah. Perubahaan topografi yang besar akan mengurangkan pengeluaran sehinggalah kesuburan tanah pada kawasan tersebut dapat diganti semula. Tanah yang terlalu padat juga mengurangkan kadar resapan air menyebabkan kawasan berkenaan sentiasa ditenggelami air. Bagi sesetengah kawasan yang mempunyai tanah yang terlalu lembut atau tidak mempunyai saliran yang baik pula, jentera berat tidak dapat digunakan. Jadi, sistem saliran yang baik juga perlu diberi perhatian di dalam proses perataan tanah sawah.

Fasa kejuruteraan

Sebagai permulaan, kawasan yang hendak diratakan perlu dikaji dan keseluruhan strategi bagi pengairan dan saliran perlu dikaji. Setelah kajian dibuat, perataan secara skala kecil boleh dibuat.

Langkah pertama di dalam membuat perataan tanah ialah membuat plan bagi kawasan. Ia melibatkan kerja meletakkan grid rujukan pada kawasan berkenaan, membuat pemerhatian kepada topografi sedia ada dan membuat pengiraan untuk mendapatkan topografi baru dengan mengubah titik pada grid kawasan berkenaan mengikut plan. Setelah rangka plan permukaan tanah selesai dibuat, operasi membuat perataan dimulakan. Secara tipikalnya, ia melibatkan kerja-kerja mengubah dan mengalihkan tanah dan kesamaan pada perataan tanah ini bergantung kepada jentera serta alatan yang digunakan dan yang paling penting kemahiran operator jentera tersebut.

Pemerhatian dan pemetaan kawasan melibatkan penentuan sistem grid yang seragam dan pembentukan topografi kawasan. Bagi kawasan penanaman padi di KBLS, lot sawah boleh digunakan sebagai asas untuk pemerhatian ini. Bacaan untuk grid boleh diambil dari lokasi struktur bekalan air seperti palong konkrit bagi memudahkan kerja-kerja penentuan untuk merata tanah sawah dan juga pembinaan parit ladang.

Kecerunan yang sesuai juga perlu ditentukan mengikut keadaan kawasan dan sistem pengairannya. Alur saliran (drainage basin) perlu dibuat sama mengikut arah pada kawasan. Sempadan lot sawah tidak seharusnya mempunyai sebarang cerun–silang (cross–slope), namun bagi sesetengah kawasan, cerun–silang 2 hingga 3 peratus diperlukan bergantung kepada keadaan tanaman dan tanah.

Satu kaedah yang biasa digunakan ialah 'plane method' (kaedah perataan permukaan atau topologi) satu kaedah yang agak rasmi bagi mendapatkan paras ketinggian dan kecerunan yang sesuai untuk perataan tanah sawah.

Kaedah ini ialah regresi linear (linear regression) untuk mengukur permukaan yang rata pada satu garis lurus dalam dua dimensi (two-dimensional manifold). Perubahan akan dibuat pada bahagian tengah permukaan untuk menepati kadar boleh–ubah ‘potong dan isi’ (variable cut/fill ratios) – iaitu satu kaedah di dalam kejuruteraan dimana jumlah tanah yang dipotong (diambil) sama dengan jumlah tanah yang diperlukan bagi menambak dalam kawasan yang sama.

Rabu, 12 Januari 2011

Pengurusan air sawah

Pengurusan air ialah gabungan proses pengambilan, penyaluran, pengawalseliaan, pengukuran, penyebaran, penggunaan dan pembuangan air. Ia tertumpu di peringkat sawah di mana proses-proses tersebut dilakukan pada kadar, kuantiti dan masa yang tepat untuk mendapatkan keuntungan maksima daripada penggunaan tanah dan air. Dalam memastikan air dapat disalurkan secara cekap, tiga perkara harus ditekankan, iaitu;
  • Pastikan ban dalam keadaan baik dan mengikut piawai; 
  • Pastikan keadaan sistem taliair utama, sekunder, tersier dan sistem saliran berfungsi dengan baik; 
  • Pastikan infrastruktur pengairan, saliran dan jalan ladang dalam keadaan baik dan diselenggarakan secara berjadual.
Rajah 1: Keratan rentas struktur sawah dan infrastruktur pengairan dan saliran


Pengurusan air sawah

Peringkat penyediaan tanah sawah
Baiki batas sawah. Sebaik-baiknya ukuran batas tidak kurang daripada 30.5 cm lebar dan 15 cm tinggi. Pemeriksaan dan pembaikan batas hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kebocoran dan menjamin simpanan air yang cukup bagi tanaman. Tanah sawah perlu diratakan dengan sempurna supaya bekalan air dapat diagihkan sama rata.



Peringkat pra tepu
Air dimasukkan ke dalam sawah untuk melaksanakan aktiviti membajak atau badai ketiga. Petani perlu memastikan air dalam sawah di keluarkan sehingga peringkat tepu sahaja (diistilahkan: air cap-cap).



Peringkat menabur benih
Air akan dibuang sehingga permukaan sawah menjadi cukup sekadar basah sahaja. Benih padi akan ditabur ke atas permukaan tanah. Pastikan taburan sekata dan seragam.
*Jika guna kaedah tabur serak dalam air, maka air dalam sawah tidak perlu dibuang.



Peringkat vegetatif (tampang)
Air dimasukkan ke dalam sawah dan aras air di dalam sawah dinaikkan secara beransur-ansur sehingga ke paras 5 cm. Pastikan batas sawah tidak bocor agar air tidak dibazirkan.



Peringkat beranak (tillering)
Selepas itu, paras air hendaklah dinaikkan dan dikekalkan pada paras 10 cm selama lebih kurang 35 hari iaitu ke peringkat beranak maksima. Air yang berlebihan hendaklah disalirkan keluar.



Peringkat bunting
Pastikan aras air di dalam sawah adalah 5 cm hingga 10 cm. Air yang terlampau dalam menggalakkan pokok padi meninggi. Ini memudahkan lagi kejadian padi rebah. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi terbit
Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi terbit penuh
Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi mengisi
Air dikurangkan ke paras 2.5 hingga 5 cm sahaja. Pastikan parit dalam sawah dalam keadaan bersih untuk memudahkan pembuangan air.



Peringkat padi masak sehingga padi dituai
Air akan dibuang sepenuhnya pada peringkat padi mula menguning. Bergantung kepada varieti padi, usia padi masak mungkin berbeza; 96 hingga 105 hari (MR 211), 100 hingga 110 hari (MR 219, MR220), 110 hingga 125 hari (MR 159, MR167, MR84, MR185).


Faedah mengurus air
  • Menjamin bekalan air yang cukup di sawah. 
  • Dapat mengelakkan pembaziran air. 
  • Dapat mengawal rumpai. 
  •  Masa yang kritikal untuk menyekat pertumbuhan rumpai bermula dari menanam hingga 25-35 hari selepas menanam (bergantung kepada jenis padi). 
  • Dapat mengelakkan pertelagahan atau salah faham di antara petani. 
  • Dapat mengawal penyakit seperti reput tangkai dan serangga perosak seperti kutu bruang. 
  • Dapat mengurangkan kos pembajaan secara mengurangkan kehilangan baja melalui larian air pemukaan dan larutlesap. 
  • Membolehkan petani menanam padi dengan lebih luas kerana kurangnya pembaziran air.


Pautan luar: Jabatan Pertanian Perak dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani