Rabu, 21 September 2011

Mengapa Transformasi Hijau Diperlukan

"Earth provides enough to satisfy every man's need, but not every man's greed" 
(Mahatma Gandhi).


Dalam artikel sebelum ini, Kehilangan Biodiversiti dan Kesannya Terhadap Manusia, gangguan manusia terhadap alam sekitar dan biodiversiti semula jadi merupakan faktor utama kemusnahan alam sekitar dan ekosistem di atas muka bumi ini yang membawa kepada kesan buruk kepada semua hidupan termasuklah manusia. Pertumbuhan populasi, peningkatan kekayaan serta pendapatan perkapita, penggunaan tenaga (Graf 1, Graf 2 dan Graf 3) dan perubahan diet secara langsung memberi tekanan kepada sistem pengeluaran makanan dunia. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, produktiviti pengeluaran perlu ditingkatkan; bermakna lebih banyak varieti baharu perlu diperkenalkan, lebih banyak tanah pertanian perlu dibuka, intensiti dan densiti penanaman perlu ditingkatkan dan lebih banyak baja dan racun kimia perlu digunakan.

Graf 1: Pertumbuhan populasi dunia. Sumber: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, “The World At Six Billion” (ESA/P/WP.154) (12 Oktober 1999), Jadual 2. Populasi selepas tahun 2008 adalah anggaran yang dibuat berdasarkan data Bahagian Populasi PBB/DESA.

Graf 2: Pertumbuhan dan peningkatan pendapatan perkapita. Sumber: Maddison data on population and GDP.

Graf 3: Peningkatan penggunaan tenaga sejak Revolusi Perindustrian pertama. Sumber: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 2009.

Peningkatan ini secara langsung dan tidak langsung akan memberi kesan kepada alam sekitar dan biodiversiti. Lebih memburukkan keadaan, amalan pertanian yang tidak lestari akan meningkatkan pembaziran sumber tanah, air dan input. Kesannya, pembasmian hutan akan menjadi semakin berleluasa, tahap aras air dalam tanah akan merosot, kesuburan tanah akan hilang dan jumlah pelaburan yang diperlukan untuk pembangunan pertanian akan meningkat.

Penuaian dan penggunaan sumber alam yang berlebihan yang dilakukan kepada sumber biodiversiti akan mempercepatkan kepupusan spesis dan kehilangan sumber semulajadi yang tidak ternilai. Meskipun kadar pertumbuhan populasi adalah pemangkin utama aktiviti sektor pertanian perlu dipergiatkan untuk menambah pengeluaran makanan, manusia sebenarnya sangat mudah terjejas jika biodiversiti hilang. Biodiversiti yang terdapat di atas muka bumi, di dalam lautan, di bawah tanah, malah di atas pergunungan merupakan sistem semulajadi yang saling berkait dan sentiasa menyokong di antara satu sama lain. Biodiversiti adalah penting bagi memastikan ekosistem kita dapat berfungsi dengan baik dan normal. Salah satu akibat daripada kehilangan biodiversiti ialah perubahan iklim yang menyebabkan kenaikan suhu dunia. Kenaikan suhu dunia  sebanyak 0.3 hingga 2 darjah Celcius merupakan peningkatan terbesar dalam jangka masa 1,000 tahun dan peningkatan ini disebabkan oleh pembebasan gas rumah hijau. Peningkatan suhu dunia ini sekaligus mengancam nasib biodiversiti dan tanpa adanya langkah pemuliharaan yang berterusan, kadar kepupusan spesis akan menjadi lebih pantas. Kehilangan sesuatu spesis akan menyebabkan kesan buruk kepada keseluruhan ekosistem.

Graf 4: Peningkatan suhu dunia 1880 - 2010. Sumber: National Aeronautics and Space Administration (NASA), Goddard Institute for Space Studies (GISS).

Sumber asli yang terdapat di muka bumi ini mempunyai hadnya. Penggunaan sumber asli yang tidak boleh diperbaharui akan menyebabkan kemerosotan sumber dengan pantas. Penukaran kepada penggunaan sumber yang boleh diperbaharui (seperti tenaga solar dan angin untuk menjana elektrik) merupakan langkah yang baik dalam pemeliharaan sumber asli. Walaubagaimanapun, teknologi dan inovasi perlu dipertingkatkan memandangkan penjanaan tenaga melalui solar dan angin masih jauh dari efisyen berbanding penjanaan tenaga melalui petroleum dan nuklear. Begitulah juga sumber biodiversiti. Eksploitasi berterusan manusia terhadap hutan tropika akan mendatangkan kesan buruk kepada keseluruhan struktur ekosistem dan biodiversiti dunia.

Graf 5: Peningkatan penggunaan bahan yang tidak boleh diperbaharui 1900 - 2000. Sumber: Wernick dan lain-lain (1997).

Memetik kembali kata Mahatma Ghandi "dunia ini cukup untuk keperluan manusia, tetapi tidak akan cukup untuk ketamakan manusia". Sejak berabad lamanya sumber dunia ini telah dimanipulasikan oleh manusia dalam keadaan yang sangat tidak lestari. Kehilangan dan kemerosotan sumber asli seperti mineral, tanah, air dan spesis akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa akan datang. Seperti yang ditulis di dalam Why A Green Technological Transformation Is Needed (PBB, 2010), business as usual (urusan seperti biasa) bukan lagi satu pilihan. Penggunaan "brown technologies" (teknologi yang memberi impak buruk terhadap alam sekitar) yang pada asasnya untuk mengatasi masalah kemiskinan telah mengakibatkan penggunaan sumber yang tidak lestari kepada alam sekitar.

Perlunya Transformasi Struktural dan Teknologi 

Untuk memastikan bahawa tiada had menyeberangi yang akan menjejaskan kestabilan ekosistem bumi, baik pulih teknologi asas dan transformasi struktur proses pengeluaran dan penggunaan ke arah ekonomi hijau akan diperlukan, bagi memastikan pencapaian kepada sekurang-kurangnya lima objektif-objektif berikut:
  1. Pengurangan keperluan sumber secara umum dan keperluan tenaga khususnya, dalam kedua-dua syarat mutlak dan relatif, setiap unit output; 
  2. Penggantian kepada sumber yang boleh diperbaharui bagi sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui, berdasarkan jumlah penggunaan sumber; 
  3. Penggantian kepada sumber yang boleh dikitar semula di peringkat mana-mana keluaran atau bahan buangan; 
  4. Pengurangan sisa (termasuk pencemaran), di peringkat mana-mana penggunaan sumber; 
  5. Perlindungan biodiversiti dan ekosistem.
Objektif ekonomi hijau ini adalah saling berkaitan. Sebagai contoh, penggantian sumber yang tidak boleh diperbaharui oleh sumber yang boleh diperbaharui membantu untuk mengatasi kekangan sumber (objektif pertama) dan mengurangkan sisa (objektif keempat). Begitu juga, pengurangan pengeluaran sumber dan penjanaan sisa adalah cara yang paling berkesan untuk melindungi biodiversiti dan ekosistem (objektif kelima). Untuk menentukan apa yang diperlukan untuk mencapai objektif ini, mereka perlu dikaji secara terperinci.


[bersambung]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar