Sabtu, 30 Juli 2011

Selamat Berpuasa



"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak."
(Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abu Hurairah)

Selamat berpuasa kepada semua pengunjung dan pembaca yang beragama Islam. Puasa dapat meningkatkan ketakwaan (ketaatan) kita kepada Allah SWT. Ketakwaan adalah sesuatu yang menentukan kejayaan kita di akhirat kelak. Selain daripada ketaatan kita menjalankan ibadah fardhu yang lain seperti solat, zakat atau haji, puasa juga adalah merupakan suatu kewajipan bagi kita , Umat Islam. Allah s.w.t menyebut dalam firmanNya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah : 183)

Selain daripada meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, Islam menekankan umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri, tidak mudah marah, bersifat kasar dan lain-lain perkara yang tidak baik sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan Nabi Yusuf a.s pernah berkata :
"Aku takut kekenyangan, nanti aku akan lupa orang yang lapar" ('Ibaadaatul Islam, Muhyiddin Mastu:153)

Inilah masanya kita menginsafi dan merasai kelaparan dan kedahagaan umat Islam seperti di negara Asia Barat dan Sub Sahara Afrika. Di peringkat global, 2 billion manusia hidup dalam kemiskinan; berpendapatan kurang dari AS$1 sehari dan hanya mampu makan untuk sekali sehari. Dan krisis harga makanan memburukkan keadaan. Kemiskinan global dan kelaparan mengakibatkan kebuluran seperti yang berlaku di Somalia dan rusuhan di Haiti. Inilah juga masanya kita untuk menambah amal, bersedekah serta mendisiplinkan diri daripada sifat tamak yang membawa kepada pembaziran. Tidak dinafikan bulan Ramadhan merupakan "pesta makanan", yang menyediakan pelbagai juadah yang lazat dan menyelerakan tetapi kita perlu mendisiplinkan hawa nafsu yang boleh merosakkan kita. Semoga kita sentiasa mengingati orang lain yang kelaparan ~ supaya kita sentiasa berjimat cermat dan hanya membeli makan mengikut keperluan. Diharap puasa kita semua mencapai kualiti yang terbaik dan diberikan kesihatan dan usia untuk bertemu Ramadhan akan datang. InsyaAllah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar