Rabu, 06 Juli 2011

Persidangan Kebangsaan SRI Pertama


Foto bersama peserta, pembentang kertas dan urusetia (klik gambar untuk paparan lebih besar)

Sebagai salah seorang urusetia yang terlibat secara langsung di dalam persidangan ini, saya amat berpuas hati dengan kehadiran tetamu dan peserta yang diluar jangkaan. Lebih 200 orang memenuhi dewan persidangan yang pada mulanya urusetia dan penganjur hanya menjangka 100 - 150 orang sahaja. Kerusi di dewan terpaksa ditambah dan persidangan berjalan dengan sangat lancar. Sesi perbentangan kertas sangat menarik dimulai dengan Prof. Norman Uphoff diikuti oleh Prof. Iswandi sehingga kepada sesi forum SRI. Tidak dilupa makanan di hotel yang enak dan menyelerakan. UKM sebagai penganjur dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr Anizan Isahak menjalankan tugas yang amat baik dengan penuh dedikasi bagi menjayakan persidangan ini.

Semoga ilmu yang ditimba dalam persidangan ini dapat dimanfaatkan oleh pendokong SRI dan semua peserta yang hadir. Persidangan kebangsaan kedua dijangka akan diadakan tahun hadapan pada bulan September atau Oktober dan UPM pula akan menjadi penganjur. Gagasan SRI-Mas yang dilancarkan pada akhir persidangan ini akan menjadi satu platform bagi mengembangkan SRI di Malaysia.

Selain itu, banyak pihak mula membuka mata dan menyedari kepentingan SRI dan pertanian ekologi melalui persidangan ini. Urusetia; pihak UKM, Mak Tam & Pak Tam, Felcra Training & Consultancy dan kumpulan petani Natural Farming Pt 9 Sg Leman menjadi menjadi tumpuan di dalam persidangan ini dengan pelbagai permintaan untuk mengembangkan padi SRI dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Perkembangan SRI di Malaysia dilihat mempunyai potensi yang baik dan masa depan yang cerah. Selepas persidangan, sebuah mesyuarat diadakan bersama-sama dengan semua urusetia dan pakar bagi membuat perancangan hala tuju SRI. Pihak admin blog ini dilantik sebagai pegawai IT Gagasan SRI-Mas bagi mengembangkan SRI di internet melalui forum, Facebook, Twitter, blog dan laman web. Workshop SRI akan diadakan pada tahun ini juga dengan Mak Tam & Pak Tam akan menganjur workshop berkaitan jentera bagi SRI di Selangor manakala pihak KEDA akan menganjurkan workshop berkaitan baja di Kedah.

Terima kasih kepada semua yang terlibat. UKM, UPM, MBI, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, FELCRA, BERNAS, JPS, semua peserta dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan persidangan ini. Jumpa lagi tahun hadapan!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar