Selasa, 15 Januari 2013

Kerintangan rumpai Amaranthus palmeri terhadap racun Glyphosate (bahagian 1)

Superweed (rumpai super) merupakan ancaman terhadap sistem pengeluaran pertanian. Kerintangan rumpai terhadap racun telah mencapai paras yang membimbangkan. Topik ini pernah dibincangkan dalam beberapa entri sebelum ini;

Superweed - ancaman kepada keselamatan makanan
Tanaman GM meningkatkan perkembangan superweed
Superweed meningkatkan penggunaan racun

Seperti mana yang telah difahami, rumpai super terjadi akibat daripada kerintangan rumpai terhadap racun. Definisi kerintangan terhadap racun adalah "perubahan yang boleh diwarisi kepada populasi perosak yang menggambarkan kegagalan berulang sesuatu produk untuk mencapai paras kawalan ketika digunakan mengikut tatacara penggunaan pada label yang disyorkan untuk spesis perosak". Bacaan lanjut: Kerintangan terhadap racun.

Bagi Persatuan Sains Rumpai AS, definisi kerintangan rumpai terhadap racun adalah seperti berikut:


Penggunaan racun yang kerap terutama sekali bagi sistem tanaman monokultur menyebabkan berlakunya masalah kerintangan racun. Begitu juga dengan tanaman ubahsuaian genetik (GM) yang dipakejkan dengan racun rumpai. Penggunaan benih yang dirawat dengan rawatan tunggal racun yang spesifik menyebabkan berlakunya masalah ini. Beberapa kes kerintangan rumpai Amaranthus palmeri (pigweed atau rumpai babi) kepada racun Roundup (bahan aktif: Glyphosate) telah direkodkan di ladang-ladang tanaman kapas dan kacang soya di Amerika. Seperti mana yang telah ditulis sebelum ini benih Roundup-ready crop keluaran Monsanto mewakili 90 peratus tanaman kapas dan 95 peratus tanaman kacang soya di Amerika Syarikat sahaja. Glyphosate berfungsi dengan merencat enzim 5-enolpyruvylshikimate-3-phosphate synthase (EPSPS) pada tumbuhan. Kerintangan rumpai ini terhadap Glyphosate telah direkodkan di Amerika Syarikat dengan kadar yang sangat membimbangkan. Ini jelas menunjukkan bagaimana gergasi kimia pertanian Monsanto telah kalah di dalam peperangan terhadap rumpai.


Gambar 1: Kegagalan tanaman kapas akibat serangan rumpai babi di Georgia, AS

Graf 1: Kerintangan rumpai terhadap Glyphosate di ladang kapas (sumber: Cotton Inc)

Kerintangan terhadap racun ini membawa masalah yang serius kepada ekologi kerana ia mendorong petani untuk mengguna racun dengan lebih banyak, lebih pekat dari pelbagai jenama serta jenis. Gambar 2 (bawah): kesan daripada kerintangan rumpai babi terhadap Roundup dalam ladang kapas, petani terpaksa meningkatkan kepekatan racun Roundup (kredit: Cotton Inc).






Kerintangan rumpai terhadap racun meninggalkan kesan negatif kepada petani, pengeluaran tanaman dan alam sekitar. Petani mengambil keputusan untuk menambah jumlah racun yang akhirnya merugikan mereka. Kos pembelian racun dan buruh meningkat tetapi peningkatan pengeluaran hasil berlaku sebaliknya. Yang menjadi mangsa seterusnya adalah pengguna dan alam sekitar akibat pencemaran disebabkan oleh penggunaan racun yang berleluasa.

Rujukan:
Third World Network (TWN) - Genetically Engineered Backslide: The Impact of Glyphosate-Resistant Palmer Pigweed on Agriculture in the United States
Control, Assessment and Glyphosate Resistance of Palmer Amaranth (Amaranthus palmeri S. Wats) in Virginia

Tidak ada komentar:

Posting Komentar