Selasa, 08 November 2011

Keluarbiasaan Global (bahagian 1)

Perhatikan satu daripada penilaian yang dikeluarkan pada tahun 2009 - satu kajian yang dikeluarkan oleh Program Bersama MIT tentang Sains dan Dasar Perubahan Global. Secara senyap-senyap, badan itu telah mengemaskini Model Sistem Integrasi Global (Integrated Global System Model) yang menjejak dan meramal perubahan cuaca yang berlaku semenjak 1861 hingga 2100. Kajian tersebut menyatakan, "Dalam simulasi model global, ia menunjukkan pemanasan lautan berlaku lebih perlahan daripada yang dijangka, dan kadar penyerapan karbon adalah lebih lemah. Maklum balas dari sistem daratan pula menunjukkan suhu meningkat dengan pantas, pelepasan gas rumah hijau yang terkumpul pada abad ini lebih tinggi, dan penyejukan berimbangan daripada pelepasan aerosol adalah lebih rendah. Tidak ada satu pun daripada kesan ini yang mampu untuk bertindak sendiri, dan gabungan kedua-dua kesan yang berbeza ini tidak cukup kuat untuk meningkatkan suhu. Walau bagaimanapun, berbanding tindakan tambahan yang terhasil, gabungan kedua-dua kesan yang berbeza ini mengakibatkan tindakan penggandaan. Dengan tindak balas daripada faktor penyumbang, ia telah menyebabkan kemungkinan besar peningkatan suhu yang lebih tinggi, sesuatu yang agak mengejutkan."

Di sini, secara serius mereka menggulung hujah tentang kajian dasar. Ini fakta yang membimbangkan: cuaca berubah dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan ahli sains. Ia membimbangkan, tetapi tidak mengejutkan mereka. Sementelah, hampir setiap hari terpampang dalam akhbar yang memberitahu kita sesuatu yang luar biasa berlaku - sesuatu yang di luar daripada kepelbagaian cuaca. "Gelombang haba di Eropah pada Julai - Ogos 2003 - apabila ia kekal pada paras melebih 100 darjah Fahrenheit - membunuh 35,000 orang penduduk," ulas John Holdren, pakar iklim di Havard University yang kini berkhidmat sebagai penasihat sains untuk Presiden Obama. "Gelombang haba ini dijangka berlaku sekali dalam masa 100 tahun. Sebelum kita meremeh-temehkan cuaca, ia dijangka berlaku sekali dalam masa masa 250 tahun. Apa yang ditunjukkan oleh model ini sekarang adalah menjelang 2050, ia akan berlaku sekali setahun. Pada 2070 pula musim panas di England akan menjadi dingin."

"Sedekad lalu, orang ramai fikir bahawa perkara terburuk yang boleh berlaku ialah semua ais di Artik akan mencair pada musim panas 2070," kata Holdren. Beberapa orang yang sangat pesimis pula berkata ia akan berlaku pada 2040. Kini orang ramai berkata ia akan berlaku dalam masa beberapa tahun sahaja lagi. Tidak menghairankan: Pada musim panas 2007, suhu panas mula mencairkan ais di kawasan Artik dan merebak sehingga Lautan Artik yang dahulunya tidak boleh dilalui dengan kapal. Akan tetapi kini kapal sudah boleh melaluinya. Laluan Barat Laut (The Northwest Passage) bebas ais buat kali pertama dalam sejarah, membolehkan kapal belayar melaluinya. The Associated Press (11 Disember 2007) telah menyiarkan kisah berikut yang tepat pada waktunya tentang kejadian yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah dijangka akan berlaku:
Pencairan ais di Artik yang berlaku dengan pantas yang tidak berhenti-henti pada musim panas ini,merupakan satu amaran kepada ahli sains bahawa pemanasan global telah melepasi titik yang membimbangkan. Ada juga yang menyatakan ais pada musim  panas akan mencair dalam masa 5 tahun. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh The Associated Press berdasarkan data yang diperoleh daripada NASA, lapisan ais di Greenland mencair hampir 19 billion tan berbanding paras tertinggi yang lalu, dan jumlah ais pada penghujung musim panas berkurang lebih daripada separuh berbanding empat tahun lalu. "Lautan Artik sedang terancam," kata Mark Serreze, ahli sains kanan di Government's Snow and Ice Data Center di Boulder, Colo. Tahun lepas, dua orang ahli sains mengejutkan rakan sejawat mereka dengan menunjukkan bahawa Lautan Ais Artik mencair dengan pantas dan ia akan mencair sepenuhnya menjelang musim panas 2040. Minggu ini, selepas menerima data terbaharunya, ahli sains klimatologi dari NASA, Jay Zwally berkata: "Pada kadar ini, Lautan Artik akan menjadi bebas ais pada penghujung 2012, lebih cepat daripada jangkaan lepas." Justeru, ahli sains pada hari ini bertanyakan soalan ini kepada diri mereka: Adakah rekod pencairan yang dilihat di Lautan Artik pada 2007 menunjukkan blip di tengah-tengah yang tidak berhenti dan pemanasan yang stabil? Atau adakah semua bergerak terlalu pantas menjadi kitaran cuaca baharu dan akan menjadi lebih teruk daripada yang digambarkan oleh model komputer? "Artik kini selalu dijadikan penanda aras perubahan iklim dunia seperti burung kenari yang digunakan di lombong arang batu pada suatu masa dahulu," kata Zwally yang sewaktu mudanya dahulu pernah bekerja di lombong arang batu. Jika burung kenari itu ialah penanda aras kepada iklim yang semakin panas, maka, burung kenari itu telah mati. Masanya telah tiba untuk keluar dari lombong tersebut."

Perkara menakutkan yang telah kita ketahui

Apakah sebenarnya yang telah kita lakukan sehingga menyebabkan iklim telah berubah? Untuk menjawabnya, ada ketetapan bersama tentang jawapan saintifik yang diguna pakai tentang perubahan iklim, iaitu berdasarkan kepada kesimpulan yang dibuat oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dilaporkan dalam laporan penilaiannya yang dikeluarkan pada tahun 2007.

Berikut adalah fakta yang paling dasar: sebelum Revolusi Perindustrian, pada pertengahan abad ke 18 dan kira-kira 10,000 tahun lalu, bumi mempunyai kira-kira 280 bahagian per juta mengikut ukuran isipadu gas karbon dioksida di atmosfera. Ini bermakna jika kita memotong kiub sama saiz sebanyak satu juta molekul atmosfera pada tahun 1750, maka, sebanyak 280 kiub terdiri daripada karbon dioksida. Hari ini bilangan gas karbon dioksida ialah 384 kiub. Jawapan kepada perbezaan yang tinggi dalam masa yang singkat ini ialah akibat perlepasan karbon daripada penggunaan minyak fosil dalam industri dan juga daripada aktiviti pembasmian hutan sejak bermulanya Revolusi Perindustrian.

Benar, para penyangkal perubahan iklim selalu mengatakan, selain perlepasan karbon dioksida oleh manusia, terdapat juga faktor lain yang memberi kesan kepada penyejukan dan pemanasan planet ini. Sistem iklim mempunyai nadinya, manakala pergerakan bumi yang mengorbit matahari menjadi penentu rentaknya - gerakan inilah yang memacu nadinya dan juga jumlah haba yang diterima oleh planet kita. Satu sebab suhu purata bumi berubah sepanjang sejarahnya adalah kerana gerakan orbit yang mengelilingi matahari bukannya berbentuk bulatan, tetapi ia berbentuk bulatan yang direnggangkan, iaitu berbentuk elips. Oleh itu, kedudukan bumi dan matahari berubah-ubah secara perlahan-lahan semasa ia mengorbit matahari dan ini menjejaskan jumlah radiasi yang diperoleh bumi daripada matahari. Perubahan ini berlaku dalam kitaran kira-kira 100,000 tahun. Kecondongan inilah memberi kita musim, jika tidak, New York akan hanya mempunyai satu musim sahaja sepanjang tahun kerana garisan latitudnya akan mendapat radiasi matahari yang sama sepanjang tahun. Akan tetapi, perkara yang berlaku dalam tempoh kira-kira 40,000 tahun ialah kecondongan ini berubah sebanyak satu dan dua darjah yang menyebabkan ada tempat yang akan mengalami pertambahan sinaran matahari dan ada tempat pula yang semakin berkurangan menerima sinaran matahari. Faktor ketiga ialah perubahan tidak ketara pada kedudukan lantai mengufuk orbit bumi relatif terhadap matahari. Perubahan ini yang berlaku dalam tempoh kitaran 21,000 tahun turut menyebabkan sedikit penambahan dan pengurangan kekuatan sinaran matahari yang sampai ke bumi. Tiga proses berkala ini dinamakan Kitaran Milankovitch. Kitaran ini berlaku secara tetap dan jumlah kesan ini akan mencorakkan taburan sinaran matahari di bumi pada sesuatu masa.

"Kita tahu kitaran ini wujud dan kita boleh menganggarkan jumlah pertambahan dan pengurangan radiasi matahari ini sampai di bumi apabila kedudukan bumi berada dekat atau jauh dari matahari dan ini menentukan panjang pendeknya sesuatu musim itu mengikut masa," kata Nate Lewis, seorang ahli kimia di Caltech. "Dan kita boleh mengukur fakta ini daripada data teras ais yang berusia sehingga 670,000 tahun untuk menentukan suhu purata bumi bagi setiap tahun dan juga kepekatan purata karbon dioksida yang terdapat di bumi. Daripada data itu kita tahu suhu purata bumi telah berubah di sekitar 6 darjah Centigrade. Oleh itu, apabila bumi lebih panas semasa tempoh antara glasier, iaitu seperti masa kini, maka inilah iklim yang kita alaminya sekarang. Dan apabila kita berada dalam zaman glasier apabila suhu purata bumi jatuh sebanyak 6 darjah - kita mempunyai ais glasier di Kutub Utara sehingga Indiana."

Ramai penyangkal perubahan iklim berhujah bahawa perubahan bumi mengorbit matahari dan impak kepada perbezaan sinaran matahari yang sampai ke bumi ialah satu-satunya penyebab kepada peningkatan besar pada suhu bumi. Mereka mendakwa kegiatan manusia tidak memberi kesan terhadap perubahan suhu. Hanya ada satu kelemahan terhadap hujah itu kata Lewis: Perbezaan 6 darjah Celsius pada purata suhu global antara tempoh panas dengan tempoh glasier terlalu besar untuk diambil kira bahawa ia berpunca dari perubahan kadar sinaran matahari yang sampai ke bumi. Faktor yang menyebabkan perbezaan besar suhu tidak boleh diterangkan hanya berdasarkan perubahan kecil pada pengorbitan bumi.

"Perkara yang kita tahu ialah semakin kita berada dekat atau jauh dari matahari, ia akan memanaskan atau menyejukkan lautan dan lautan akan bertindak dengan melepas atau menyerap gas karbon dioksida," terang Lewis. "Apabila lautan semakin hangat, ia akan melepaskan karbon dioksida. Ia seperti apabila anda merasa panas, anda akan minum sebotol Sprite. Ia melepaskan gas karbon dioksida melalui gelembung gas melalui minuman Sprite. Inilah yang dilakukan oleh lautan. Ia melepaskan gas karbon dioksida dan ini akan memanaskan atmosfera dan kemudian memanaskan lagi lautan. Kemudian lautan melepaskan gas karbon dioksida dengan jumlah yang lagi banyak. Tambahan pula, apabila suhu semakin panas, bongkah ais di kutub akan cair. Hal ini akan menyebabkan bongkah ais semakin berkurangan untuk memantul semula sinar matahari. Oleh itu, apabila semakin banyak sinar matahari diserap, maka bumi akan menjadi semakin panas."

"Sehinggakan, apabila bumi beralih dari Zaman Glasier ke Zaman Interglasier pun kita tahu bahawa jumlah perubahan kepekatan gas karbon dioksida, daripada kepekatan yang tinggi hingga ke kepekatan yang rendah tidak melebihi 120 bahagian per satu juta (ppm)", kata Lewis. Jumlah ini berubah dari 180 ppm ke 300 ppm dan jatuh semula ke paras 180 ppm. Kenaikan suhu sebanyak 6 darjah Celsius akan dapat mengimbanginya. Namun selama 10,000 tahun yang lalu, kepekatan karbon dioksida menjadi stabil pada paras 280 ppm dan iklim dunia juga menjadi agak stabil.

Perubahan yang mendadak mula berlaku sekitar 1750-an. Selepas berlakunya Revolusi Perindustrian, lebih-lebih lagi pada 50 tahun yang lalu, gas karbon dioksida di atmosfera bumi meningkat dari 280 ppm ke 384 ppm, iaitu paras yang tidak pernah dicatat dalam masa 20 juta tahun yang lalu. Kadar kenaikan tersebut memerlukan beribu-ribu tahun dalam satu kitaran untuk matahari menghasilkan kepekatan karbon dioksida sebesar itu. Dan daripada apa-apa yang sedang kita lakukan sekarang, kita akan menambah 100 ppm atau lebih karbon dioksida di atmosfera dalam masa 50 tahun akan datang. Penambahan karbon dioksida ini bukannya datang dari lautan. Ia berpunca dari pembakaran bahan api fosil dan pembersihan hutan oleh manusia. Kita tahu hal ini kerana karbon boleh ditentukan usianya. Karbon dalam molekul karbon dioksida yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil dan karbon dioksida yang terdapat di laut mempunyai usia yang tidak sama. Dan pengukuran menunjukkan secara jelas bahawa penambahan karbon dioksida di atmosfera dalam masa 50 tahun lepas, adalah berpunca daripada karbon yang dilepaskan oleh bahan api fosil yang terbakar.

Kita juga tahu bahawa 100 tahun lalu hubungan bumi dengan matahari tidak berubah secara signifikan, tetapi kuantiti bersih gas karbon dioksida di atmosfera telah meningkat secara dramatik. "Hanya disebabkan oleh pada masa lalu matahari menjadi pencetus awal kepada kenaikan gas karbon dioksida, maka ini bukanlah bermakna peningkatan karbon dioksida tidak boleh dicetuskan oleh kejadian-kejadian atau penyebab-penyebab lain. Penyebab yang mengakibatkan pelepasan karbon dioksida yang telah mewujudkan pemanasan yang kita alami sekarang ini - dan penyebab lain itu sebenarnya ialah kita sendiri," kata Lewis. "Matahari memetik picu senapang dan menembakkan karbon dioksida. Akan tetapi, manusia memetik picu meriam pula dan memuntahkan lebih banyak gas karbon dioksida. Dan kita tahu bahawa peningkatan gas karbon dioksida akan memberi kita satu iklim yang sangat berbeza berbanding sekarang ini. Hal ini kerana dalam tempoh 670,000 tahun, apabila gas karbon dioksida meningkat, suhu juga meningkat. Begitu juga, apabila gas karbon dioksida di atmosfera menurun, suhu juga menurun. Maka untuk mengatakan gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia tidak menjadi masalah kepada kita adalah bertentangan dengan data yang terkumpul selama 670,000 tahun. Dan kita berharap agar kita terus bernasib baik.

[bersambung bahagian 2]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar