Jumat, 04 November 2011

Cabaran tahun 2050 kepada sistem makanan dunia

Menyediakan makanan bagi 9 bilion orang menjelang 2050 akan menjadi satu cabaran besar. Apabila orang bercakap tentang makanan dunia pada tahun 2050, tumpuan hampir secara eksklusif diberi kepada meningkatkan pengeluaran makanan. Bagaimanakah kita boleh lakukan apa yang telah dilakukan dengan lebih baik? Apakah teknologi yang kita boleh hasilkan dan gunakan untuk mendapatkan hasil atau kalori yang lebih, daripada beberapa tanaman dan haiwan yang menguasai bekalan makanan global?

Artikel ini akan membentangkan satu perspektif yang berbeza mengenai isu ini, kerana sebenarnya cabaran menyediakan makanan bagi 9 bilion orang menjelang 2050 mempunyai banyak yang perlu dilakukan terutama sekali bagaimana pasaran global pertanian dibina bagi meningkatkan pengeluaran. Terdapat kira-kira satu bilion orang yang kekurangan zat hari ini, jauh lebih tinggi daripada 30 tahun yang lalu. Tetapi, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kita mengeluarkan 17 peratus lebih kalori bagi setiap orang hari ini, lebih daripada apa yang kita lakukan 30 tahun yang lalu, dan jauh lebih daripada cukup untuk semua orang di planet ini mempunyai makanan. Jadi dimanakah silapnya?

Cabaran kebuluran global hari ini bukan merupakan asas sama ada kita boleh menghasilkan makanan yang cukup atau tidak. Cabarannya ialah hampir satu bilion orang tidak mempunyai akses kepada makanan. Dan orang yang cuba untuk membeli makanan murah mendapati bahawa kalori termurah bukannya makanan yang menyihatkan. Kini lebih daripada satu bilion orang di seluruh dunia yang gemuk, dan kira-kira satu bilion lagi yang lapar. Sistem makanan global semakin terdedah kepada risiko dan mengagagalkan lebih ramai orang. Ini disebabkan oleh kegagalan pasaran dan kegagalan dasar, bukannya kekurangan pengeluaran. Jika kita tidak mengatasi cabaran-cabaran ini secara sistemik, persoalan yang akan timbul bukannya berapa banyak makanan yang kita perlu hasilkan pada tahun 2050 - sedangkan lebih daripada satu bilion orang lagi akan ketinggalan.

Diantara cabaran-cabaran yang sistemik dalam sistem makanan global bagi mencapai pengeluaran makanan yang mencukupi menjelang 2050 ialah;

1. Kita perlu menangani kemiskinan global. Kita tidak boleh memisahkan ekonomi makanan global dari keseluruhan ekonomi global. Kita kini mempunyai 46 juta orang yang hidup dalam kemiskinan di Amerika Syarikat, dan jumlah ini meningkat saban tahun. Pada tahun 2005, Bank Dunia menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 1.5 bilion orang di dunia yang hidup dalam kemiskinan dan kita boleh pastikan bahawa jumlah ini menjadi lebih tinggi sekarang. Jadi, sekarang dan pada tahun 2050 - cabaran yang paling besar bagi mengatasi kebuluran global ialah keupayaan untuk semua orang mampu membayar makanan, dan seperti yang kita lihat kepada statistik obesiti yang semakin meningkat, makanan yang sihat masih mencukupi. Bagaimana untuk mencapai tujuan ini adalah persoalan besar, dan di seluruh dunia sekarang orang akan bertanya: bagaimana kita mewujudkan peluang pekerjaan baharu? Di satu tempat kita mungkin bermula dengan melihat pada harga yang berpatutan kepada petani dan gaji saksama bagi pekerja-pekerja ladang dan pekerja industri makanan. Tabung Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian menggangarkan 70 peratus daripada mereka yang hidup di dalam kemiskinan tegar berada di kawasan luar bandar. Jadi, harga yang lebih baik untuk petani akan membantu untuk mengurangkan kemiskinan kerana pembangunan pertanian adalah asas utama bagi pertumbuhan ekonomi negara membangun. Makanan dan pekerja industri makanan adalah sebahagian besar tenaga kerja global, dan petani tradisional telah menjadi antara kumpulan yang paling mudah dieksploitasi dari segi upah dan amalan buruh.

2. Kita perlu mengakui kesan liberalisasi perdagangan (trade liberalization) selama dua dekad yang telah menghancurkan jaminan bekalan makanan. 30 tahun yang lalu, "perdagangan bebas" telah digelar sebagai cara terbaik untuk mendapatkan makanan kepada mereka yang amat memerlukannya. Negara-negara membangun digesa dan adakalanya dipaksa mengurangkan tarif import, menghapuskan subsidi kepada pengeluar dan menjual stok penimbal, kerana dijanjikan bahawa pasaran global akan memberi ganjaran kepada petani mereka dan membawa makanan yang mempunyai kos lebih rendah kepada pengguna. Dengan pengecualian kepada beberapa pengeksport pertanian pendapatan sederhana seperti Brazil dan Argentina, janji telah terbukti "kosong".

Tanpa sokongan kerajaan, pengeluaran makanan negara membangun tidak banyak berubah, dan terus dilemahkan oleh lambakan makanan murah dari Amerika Syarikat. Menjelang 2007, lebih dua pertiga daripada negara-negara membangun bergantung kepada import makanan untuk memberi makan kepada rakyat mereka. Kemudian pada tahun 2007-08, dan sekali lagi pada Januari lepas, harga makanan global mencecah rekod tertinggi, dan negara-negara pengimport mula menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan. Hasilnya lebih seratus juta orang kelaparan, rusuhan makanan dan revolusi di beberapa negara terjadi.

Salah satu hujah liberalisasi perdagangan stok makanan yang diuruskan oleh kerajaan tidak diperlukan lagi, kerana sektor swasta boleh menguruskan bekalan makanan. Namun begitu, peristiwa-peristiwa yang berlaku tiga tahun yang telah membuktikan perkara ini menjadi malapetaka. Kini, stok makanan global semakin rendah mengikut Bank Dunia, bermakna jika ada gangguan yang besar dalam pengeluaran, kita berada dalam masalah yang lebih mendalam.

Sesetengah ahli ekonomi mencemuh "gangguan pasaran" dan ketidakcekapan rizab makanan, mengambil contoh masalah program di Amerika Syarikat dan Eropah, dan sudah tentu apabila sistem itu tidak diuruskan dengan baik, mereka tidak akan berfungsi dengan baik. Apabila terdapat keruntuhan pengeluaran yang tidak diduga atau kenaikan harga terjadi, stok penimbal tidak cekap adalah jauh lebih baik untuk tidak wujud sama sekali. G-20, FAO dan lain-lain secara serius mencari kaedah bagaimana menggunakan rizab makanan dengan lebih berkesan, dan berfungsi dengan baik kerana sistem rizab makanan akan menjadi penting bagi tahun 2050.

3. Penyahkawalseliaan kewangan (financial deregulation) telah menyebabkan bencana dalam pasaran pertanian. Pada awal 2008, kita mendengar masalah petani di Barat Tengah Amerika Syarikat menghadapi masalah mendapat kontrak hadapan dari gudang bijirin tempatan. Jika dilihat lebih mendalam, terdapat laporan yang menunjukkan bagaimana satu siri langkah-langkah pelonggaran kawal selia dalam Kongres dan cawangan eksekutif bagi membuka komoditi pasaran hadapan termasuk pertanian -menjadikannya sebagai gelombang spekulatif kewangan baharu. Komoditi makanan ini memainkan peranan dramatik dalam memandu harga pada tahun 2007-08, dan selepas jualan dibuat secara besar-besaran, harga mulai jatuh. Trend perdagangan dengan memanipulasi turun naik harga yang melampau masih diteruskan sehingga ke hari ini. Wakil Senate Committee on Investigations ke PBB telah membuat kesimpulan bahawa perkara ini adalah satu isu yang perlu ditangani. Tetapi ada yang masih kekal: Jika Wall Street dibenarkan untuk terus menjadikan pasaran hadapan komoditi makanan sebagai "kasino yang mengaut keuntungan besar", kesannya akan memberikan impak yang besar kepada usaha-usaha mengatasi kelaparan pada tahun 2050.

4. Kita mesti mempunyai dasar kepada perubahan iklim bagi mengurangkan pencemaran dan menyokong pertanian lestari yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Pengeluaran makanan merupakan sektor ekonomi yang sangat dipengaruhi oleh perubahan iklim. 20 peratus pengeluaran makanan dunia kini telah terjejas akibat banjir, kemarau dan kesan-kesan lain akibat perubahan cuaca yang melampau. . Di peringkat global, kemarau teruk di Afrika Timur mengancam nyawa lebih daripada 10 juta orang. Negara-negara pertanian utama seperti Rusia, China, Brazil dan Australia telah mengalami kemarau melampau dan banjir dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang menjejaskan pengeluaran makanan global.

Dasar iklim yang menyeluruh bukan sahaja akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk pertanian, ia juga akan membina daya tahan iklim. Ladang tanaman perlu diusahakan berdasarkan prinsip-prinsip agroekologi bagi mengurangkan risiko kemarau dan banjir. Pelaburan terhadap sistem pertanian yang berdaya tahan perlu dilakukan, untuk berdiri dan berkembang maju di bawah tekanan yang semakin meningkat akibat iklim yang berubah-ubah. Sistem pertanian bergantung kepada bahan api fosil, baja kimia, jentera dan racun perosak akan perlu menjalani perubahan besar menjelang 2050.

5. Kita perlu menyokong negara-negara yang masih tidak selamat dari segi bekalan makanan untuk membina dan membina semula sistem makanan mereka sendiri. Keperluan ini diakui oleh semua pihak dan telah termaktub dalam komitmen oleh pemimpin G-8 pada tahun 2008 dan merupakan sebahagian daripada Feed the Future oleh Pentadbiran Obama. Namun begitu, pelaburan sebenar amat terhad.

Jika kita hendak menangani kemiskinan, kekurangan pengeluaran makanan dan perubahan iklim secara sekali gus, kita perlu membina semula sistem ini melalui agroekologi, satu pendekatan bersepadu yang mengguna pakai prinsip ekologi kepada pertanian, dengan penekanan kepada petani yang bekerja untuk pertanian kecil-kecilan. Ini adalah sesuatu yang telah disahkan oleh lebih 60 buah negara sebagai sebahagian daripada penilaian pertanian antarabangsa beberapa tahun yang lalu, yang diketuai oleh Bank Dunia dan PBB; penilaian menyimpulkan bahawa pendekatan one-size-fits-all (satu saiz untuk semua pakai) bagi pertanian tidak akan berhasil, terutama sekali jika digabungkan kepada skala pengeluaran perindustrian dan bergantung kepada bahan api fosil. Ladang jagung dan kacang soya di Iowa atau Brazil bukannya model yang boleh digunakan di tempat lain. Jika model ini dibangunkan di negara-negara membangun yang tidak boleh menghasilkan lebih banyak makanan, dan walaupun ia berfungsi, ia mungkin tidak boleh memberi makanan yang mencukupi kepada lebih ramai orang. Kira-kira 85 peratus ladang di dunia adalah bersaiz kurang daripada dua hektar. Artikel ini bukanlah menggalakkan sistem yang memaksa petani menyerahkan tanah atau menyuruh mereka berhutang, tetapi kita perlu membantu mereka membina pengetahuan dan menggunakan sumber yang mereka ada di tangan dengan lebih cekap.

Sebagai contoh di Kemboja, petani kecil mengusahakan tanaman padi dengan kaedah SRI yang membolehkan mereka untuk meningkatkan hasil sebanyak 60 peratus, mengurangkan penggunaan racun perosak dan baja sebanyak 70 peratus, mengekalkan pemilikan benih mereka, dan meningkatkan kesuburan tanah . Pendapatan mereka meningkat, penggunaan air berkurangan manakala kualiti air bertambah baik, dan bekalan makanan yang lebih stabil diwujudkan. Petani yang pertama memperkenalkan kaedah ini menyebarkan berita kepada petani lain. Kini, 130,000 petani menyertainya dan sistem ini menjadi sebahagian daripada strategi kerajaan bagi meningkatkan hasil padi.

Juga, kita perlu mengiktiraf peranan penting wanita di dalam pengeluaran pertanian, kerana kebanyakan petani skala kecil di seluruh dunia adalah wanita. Pakar-pakar pembangunan menyatakan bahawa pelaburan kepada wanita termasuk akses kepada pemilikan kredit, dan latihan memberi pulangan yang berbaloi.

Kolektif Wanita Tamilnadu di India adalah satu contoh yang baik. Satu kertas kerja ringkas telah dibentangkan oleh IATP mengenai bagaimana kolektif ini dengan lebih 150,000 ahli menawarkan latihan, kredit dan sokongan dengan menggabungkan program memperkasa wanita dengan pertanian yang mampan dan rendah kos serta input. Seperti petani Kemboja, mereka telah menyesuaikan diri dengan kaedah agroekologikal yang sesuai dengan keadaan tertentu untuk meningkatkan pendapatan dan hasil, tanpa input bahan kimia. Mereka kini menjadi pemimpin-pemimpin dalam komuniti mereka dan mengambil tindakan di peringkat serantau untuk mendapatkan sokongan orang ramai yang diperlukan untuk menjadikan program ini berjaya.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah kejayaan seperti ini di seluruh dunia, tetapi mereka lebih cenderung untuk tidak mendapat perhatian kerana mereka memberi tumpuan kepada ladang-ladang kecil dan pengeluaran makanan bagi penggunaan domestik dan bukan untuk eksport, yang digerakkan oleh petani sendiri dan bukannya organisasi pembangunan antarabangsa.

6. Sebagaimana kita perlu menggabungkan keperluan daya tahan iklim kepada sistem pertanian, kita juga perlu menggabungkan kesihatan awam kepada sistem makanan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, akses kepada kalori tidak bermakna akses kepada makanan yang sihat. DI dalam banyak bahagian dunia yang bergelut dengan keselamatan makanan, termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat, makanan yang tidak sihat adalah yang paling mudah untuk didapati. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baharu selesai mengadakan mesyuarat global di New York untuk menangani krisis penyakit tidak berjangkit. Ini disebabkan oleh diet yang tidak seimbang termasuk penyakit jantung, diabetes, strok dan sesetengah kanser - bukan sahaja berkembang pesat - turut juga meningkatkan kos penjagaan kesihatan. Menjelang 2050, kita akan memerlukan dasar-dasar di kedua-dua belah pihak; di dalam polisi ladang domestik dan di peringkat antarabangsa, untuk mencerminkan apa yang kita tahu mengenai makanan yang sihat dan yang tidak sihat.

7. Akhir sekali, kita memerlukan sistem yang lebih berkesan dan demokratik di peringkat antarabangsa. Sekarang, kita mempunyai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah "terperangkap dalam lumpur" selama satu dekad. Kita juga mempunyai agensi-agensi PBB dan konvensyen yang menyedihkan kerana kekurangan pembiayaan dan mempunyai keberkesanan yang terhad. Bank Dunia dan IMF telah lama dikritik, kerana mendesak perlaksanaan model ekonomi neo-liberal yang telah gagal di kebanyakan bahagian dunia. Institusi-institusi ini tidak berfungsi dengan baik dan blok kuasa ad hoc seperti G-20 telah terbukti tidak berkesan dan kurang mendapat pengiktirafan. Seperti yang telah diterangkan, pengeluaran makanan dunia memerlukan tindakan ke atas beberapa isu-isu global bagi mendesak peraturan perdagangan, pelaburan dan pasaran kewangan yang lebih baik; menangani perubahan iklim; dan sokongan pelbagai hala untuk membina sistem makanan yang mampan di negara membangun. Membina semula sistem yang kukuh, demokratik dan berkesan bagi institusi antarabangsa akan menjadi penting jika kita hendak membina sistem makanan yang kita perlukan, dari peringkat tempatan di peringkat global, menjelang tahun 2050.

Kita semua boleh meneka, menyediakan makanan bagi 9 bilion orang menjelang 2050 adalah cabaran dasar, lebih besar daripada cabaran teknologi. Apa yang kita telah lakukan sekarang tidak berhasil, jadi menjalankan usaha yang lebih banyak tidak akan membawa kita ke mana-mana. Semua orang di seluruh dunia menuntut hak mereka untuk makanan, dan mereka mahu makanan yang "betul".

Mesejnya sangat jelas - bahawa dasar sedia ada setakat ini gagal untuk mendengar suara penduduk dunia; bahawa kita perlu mewujudkan dasar yang mengiktiraf makanan bukan sahaja sebagai satu komoditi yang boleh didagangkan tetapi sebagai satu keperluan asas untuk hidup; dasar yang memberikan individu, komuniti dan negara-negara lebih kawalan ke atas makanan dimana makanan ini datang dan dasar-dasar yang memupuk dan mengiktiraf orang-orang yang menyediakan makanan secara sihat, sesuai dengan budaya dan pemeliharaan alam sekitar yang mampan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar