Rabu, 31 Oktober 2012

Kawalan Perosak Peringkat Awal

Dalam artikel lepas, ada dinyatakan racun serangga tidak perlu digunakan bagi tempoh 40 hari lepas tanam dan ulat lipat daun bukannya serangga perosak yang mendatangkan kerosakan serius. Namun demikian, beberapa feedback yang diterima daripada petani menyatakan serangan ulat lipat daun sangat serius sehingga merosakkan keseluruhan tanaman padi mereka kerana jumlahnya yang terlalu banyak - menyebabkan mereka terpaksa menyembur racun serangga. Jika tidak disembur, habis pokok padi kata mereka.

Penggunaan racun serangga pada peringkat awal perlu dielakkan supaya serangga predator dan parasitoid yang penting bagi kawalan biologi dapat bertapak di sawah. Namun, dilema yang dihadapi oleh petani yang diserang dengan ulat lipat daun pada kadar yang teruk menyebabkan mereka terpaksa beralih kepada kaedah kawalan secara kimia.

Bagi mengelakkan penggunaan racun pada peringkat awal, petani boleh menyembur anak padi dengan ekstrak daun neem/semambu. 2kg daun neem ditumbuk lumat bersama 30 gram sabun mandi dan direndam dalam air. Biarkan semalaman. Tapis air ekstrak daun neem dan campur dengan air pada nisbah 1:3 dan semburnya pada tanaman padi. Ekstrak daun neem boleh menyebabkan serangga perosak tidak berselera untuk makan dan membantutkan proses reproduksi.

Bagi kawalan tikus, 1kg jering tua (yang telah tumbuh akar) ditumbuk dan direndam di dalam 3 liter air yang tidak mempunyai klorin. Selepas dua hari, tapis air jering dan campur bersama air dengan nisbah 1:20. Ekstrak jering ini mempunyai sejenis bahan kimia semulajadi yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang pada tikus.

Selain penggunaan bahan-bahan semulajadi sebagai pembasmi perosak, petani perlu mengamalkan elemen kejuruteraan ekologi dengan menanam pokok berbunga di ban-ban sawah. Pokok bunga yang mudah didapati dan senang ditanam seperti pokok bunga tahi ayam, pokok bunga keembong dan bunga-bunga yang mempunyai nektar yang lain yang ada di sekeliling rumah boleh digunakan. Pokok berbunga ini boleh menarik serangga predator dan parasitoid yang menjadi rakan baik kita di dalam menguruskan perosak.

Dengan ini, petani dapat mengelakkan semburan racun kimia pada peringkat awal penanaman dan mengurangkan kos membeli racun perosak. Selamat mencuba!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar