Jumat, 02 November 2012

Memerangi perosak dengan biodiversiti

Kepelbagaian biodiversiti dalam pertanian sangat penting dalam memerangi perosak. Satu kertas kajian yang diterbitkan baru-baru ini; Tooker, J., & Frank, S. (2012). Genotypically diverse cultivar mixtures for insect pest management and increased crop yields Journal of Applied Ecology memberi pencerahan berkenaan biodiversiti dalam pertanian dalam mengawal perosak.

Banyak bukti yang menyokong potensi variasi intra-spesis untuk menyumbang kepada kawalan serangga perosak yang berkesan tetapi sangat sedikit usaha dibangunkan bagi sokongan empirikal atau amalan pelaksanaan yang berdaya maju dalam sistem pertanian. Oleh itu, pelaksanaan amalan ini adalah terhad.

Dan ada pelbagai bukti yang menunjukkan bahawa kepelbagaian genotip (variasi antara varieti) dan kepelbagaian genetik (perubahan di peringkat pelbagai populasi) umumnya mengurangkan kesan perosak. Mungkin persoalan yang timbul ialah mengapa tidak ada penyelesaian yang berkesan dalam cara pelaksanaan. Kesannya mungkin bermula dari bawah ke atas (bottom up), dengan menggunakan pelbagai mekanisme yang boleh mengurangkan keupayaan perosak untuk mencari perumah yang sesuai, atau dari atas ke bawah (top down), iaitu menggunakan pelbagai mekanisme yang bertindak melalui musuh semulajadi perosak.


Rajah 1: Kepelbagaian varieti memberi peluang kepada serangga predator menekan populasi serangga perosak (herbivor) yang merosakkan tanaman. Rajah ini menunjukkan secara konsep bagaimana kepelbagaian varieti mengurangkan serangan perosak berbanding tanaman monokultur. Kaedah ini lebih berkesan pada populasi perosak yang besar.

Masih banyak lagi yang perlu dipelajari tentang peranan kepelbagaian genotip dalam interaksi ekologi dan fungsi ekosistem, bukti yang sedia ada telah memberi harapan kepada pertanian kerana produktiviti, rintangan kepada herbivor (perosak) dan daya tahan kepada tekanan abiotik yang merupakan ciri-ciri penting dalam pengeluaran tanaman yang mampan. Selain itu, kepelbagaian genotip boleh dilaksanakan dengan perubahan yang agak kecil kepada amalan pertanian. Jika teori dan keputusan empirikal terus menyokong kesan baik kepelbagaian genotip bagi produktiviti tumbuhan, pendekatan mudah yang baharu untuk pertanian boleh mengubah strategi menanam dan produktiviti pertanian. Selain daripada penekanan terhadap "intensifikasi mampan" (sustainable intensification), sistem pengeluaran pertanian boleh menimbangkan penggunaan kepelbagaian biodiversiti bagi membantu pengeluaran pertanian yang tinggi dan mampan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar