Rabu, 01 Juni 2011

Padi SRI - Pengalaman India

India yang mempunyai keluasan bertanam padi seluas 76.3 juta hektar (anggaran 1999-00) merupakan pengeluar beras kedua terbesar di dunia, selepas China. Walau bagaimanapun, jumlah padi yang diperdagangkan sedikit kerana keperluan domestik yang besar. India kini bergerak ke arah negara perindustrian mempunyai 70% dari populasi penduduknya merupakan petani; 80% daripadanya mempunyai tanah kurang dari 1 hektar. Lebih dari separuh keluasan bertanam padi mendapat pengairan; menyumbang 75% jumlah pengeluaran, tetapi menggunakan 50-60% sumber air tawar negara yang terhad.

Populasi India yang dijangka bertambah dari 1.15 billion kepada 1.6 billion menjelang tahun 2050 akan memberi tekanan kepada sumber air dan tanah. WWF sebuah badan antarabangsa melibatkan diri sejak 2003 dengan membuat program kerjasama bersama-sama dengan International Crops Research Institute for the Semi-Arid Tropics (ICRISAT) yang beribu pejabat di Andra Pradesh, India untuk memperbaiki produktiviti padi disamping menjamin kelestarian sumber air dan tanah. Ini menjadikan pengeluaran padi di India menjadi perhatian utama WWF kerana dijangka 60% sumber air India akan menghadapi keadaan kritikal dalam tempoh 20 tahun dan keperluan untuk mengubah kaedah penanaman.


SRI telah diperkenalkan di India pada tahun 2000 apabila pegawai penyelidik dari Tamil Nadu Agricultural University (TNAU) memulakan eksperimen melibatkan beberapa kolaborasi projek bagi menanam padi menggunakan air yang sedikit. Dalam tempoh 2002-03, percubaan yang dijalankan secara berskala besar melibatkan 300 petani di lembangan sungai Cauvery dan Tamiraparani menunjukkan peningkatan hasil padi sehingga 1.5 tan/ha dengan pengurangan sebanyak 8% keperluan buruh di kedua-dua lembangan sungai tersebut. Penilaian ini menjadikan SRI disyorkan pada petani menjelang tahun 2004.

Pada masa yang sama sebuah universiti pertanian di Andhra Pradesh, Acharya N.G. Ranga Agricultural University (ANGRAU), memperkenalkan SRI kepada petani di dalam musim Kharif pada tahun 2003, selepas saintis dari AGRAU melihat bukti peningkatan hasil padi melalui SRI di Sri Lanka. Percubaan dijalankan secara besar-besaran melibatkan kawasan penanaman padi seluas lebih 300 hektar memberikan hasil yang tinggi dengan purata peningkatan sebanyak 2.5 tan/ha dan penjimatan sebanyak 50% sumber air.


Tertarik dengan keputusan padi SRI yang dibuktikan oleh TNAU dan ANGRAU, WWF-INCRISAT menjalankan dialog dan kerjasama bagi meningkatkan penyebaran kemahiran teknikal dan mendapatkan sumber kewangan untuk menjalankan percubaan lebih luas melibatkan 11 negeri bermula padi musim Rabi (2004-05). Agensi kerajaan, Directorate of Rice Research of the Indian Council for Agricultural Research mula menunjukkan minat dan terlibat dalam meluaskan SRI.

Pada November 2005, berpandukan keputusan percubaan SRI yang baik, WWF-INCRISAT mendekati kerajaan negeri Andra Pradesh untuk meluaskan penanaman padi secara SRI. Kerajaan negeri tersebut memberikan respon yang positif dengan menubuhkan plot percubaan SRI dan keperluan kewangan bagi menjalankan projek. Sepanjang 5 tahun (2003-04 sehingga 2007-08) tanaman padi SRI berjaya meningkatkan hasil sebanyak 26.5% di India berbanding kaedah konvensional yang lain. (Kilk jadual di bawah bagi paparan lebih jelas)


Pada hari ini, dianggarkan lebih 600,000 petani dengan satu juta hektar kawasan tanaman padi di India bertanam menggunakan kaedah SRI melibatkan 300 daerah daripada 564 daerah yang mempunyai sawah padi. WWF-INCRISAT kini menjalankan projek berskala besar dan beberapa siri dialog dengan kerajaan India untuk memastikan sekurang-kurangnya 20% kawasan penanaman padi di India ditanam dengan kaedah SRI menjelang tahun 2015.

SRI membantu petani menghadapi musim kemarau

Selepas musim monsun yang berlaku selama 4 tahun berturut-turut, tahun 2009 merupakan musim kering ketika monsun sepatutnya membawa kadar hujan yang tinggi dari Jun hingga Ogos, pada masa petani amat memerlukan air untuk mengairi sawah mereka. Kebiasaannya, negeri Andra Pradesh menerima 297 mm hujan sehingga Julai, tetapi pada tahun 2009, hanya 157 mm hujan yang turun. Aras air tanah juga merosot sehingga hampir 2 meter dari 9.33 meter pada Julai 2009 berbanding 11.09 meter pada Julai 2008.

Petani-petani terpaksa menggali telaga dengan lebih dalam bagi mendapatkan air, malah ada yang terpaksa meninggalkan kerja petani menjadi buruh kerana musim kemarau menyebabkan tanaman padi tidak dapat hidup. Tanah-tanah sawah mula menunjukkan kesan rekahan yang besar kerana kehilangan air yang banyak akibat musim kemarau.


Namun begitu, segelintir petani yang mempraktiskan teknik SRI tidak terjejas. Padi SRI terus hidup subur walaupun dalam keadaan air yang sangat sedikit. Dalam keadaan kemarau, petani yang menanam padi SRI masih boleh menikmati hasil 6.05 tan/ha sedangkan tanaman padi secara konvensional tidak mendapat sebarang hasil. Kejayaan SRI menghadapi musim kering menjadi titik tolak penyebaran di kalangan petani di India dan kini menjadi rujukan serta data penting bagi penyelidik dalam menyokong sistem ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar