Adakah kita bersedia untuk menghadapi krisis air dalam industri pertanian dan pengeluaran makanan?
Tanaman padi memerlukan 1,600 liter air bagi menghasilkan satu kilogram padi (sumber: "Water Resources: Agricultural and Environmental Issues," BioScience, October 2004).
Selama lebih 4,000 tahun pengeluaran padi dibuat dengan kaedah menanam padi dalam sawah yang dibanjiri air sedalam 5 hingga 15 cm. Kaedah membanjiri sawah dibuat untuk amalan agronomik, memudahkan kerja pengurusan tanaman padi. Membanjiri tanah sawah memudahkan kerja membajak, mengawal rumpai dan mengawal perosak. Air juga melarutkan nutrien dalam tanah dan memudahkan tanaman mengambilnya. Lapisan air biasanya disimpan dalam petak sawah sebagai langkah berjaga-jaga jika musim kemarau melanda. Namun, pandangan mengenai industri pengeluaran padi yang telah diperbaiki dan kedapatan teknologi baru membuatkan kenyataan ini tidak lagi diterima pakai. Perkembangan teknologi dan kaedah baru dalam industri agrokimia, mekanisasi dan kawalan air yang betul membenarkan tanaman padi ditanam tanpa memerlukan keadaan dibanjiri air.
Di dalam dunia yang semakin dihimpit kekurangan air bersih, tiga fakta hasil analisis pakar ekologi menunjukkan : kurang satu peratus kedapatan sumber air tawar di muka bumi, sektor pertanian menggunakan 60-80% bekalan air tawar yang ada (70% sumber bekalan air tawar di Asia digunakan untuk padi); dan 60% air yang digunakan untuk pengairan tanaman tidak sampai kepada tanaman.
Laporan yang ditulis dalam jurnal BioScience (Vol. 54, No. 10) itu menamakan petani sebagai "the prime target for incentives to conserve water" (sasaran utama bagi insentif untuk menjimatkan air). Laporan tersebut secara kritikalnya menunjukkan perlunya pemuliharaan sumber air yang "murah" oleh petani bagi meneruskan kelestarian alam.
Laporan tersebut menggariskan enam perkara yang perlu diberi keutamaan bagi penggunaan air yang bijak:
- Petani perlu menjadi sasaran utama dalam inisiatif penjimatan air.
- Amalan pertanian yang menjimatkan air seperti pengairan titis dijalankan bagi mengurangkan pembaziran air.
- Amalan pemuliharaan air dan tanah seperti menanam tanaman penutup bumi dan crop rotation perlu dijalankan bagi meminimumkan larian air yang berkait dengan hakisan tanah.
- Subsidi air yang menggalakkan pembaziran oleh petani perlu dihapuskan.
- Hutan, paya dan sumber alam semulajadi perlu dilindungi.
- Pencemaran air perlu dikawal bagi memelihara kesihatan manusia, pertanian dan alam sekitar.
Faktor sosio-ekonomi yang praktikal seperti pertambahan kos buruh dan peningkatan persaingan untuk sumber semulajadi telah "memaksa" tanaman padi dibuat dalam keadaan kurang air, tanah dan buruh. Penanaman padi merupakan aktiviti yang menggunakan tenaga buruh yang tinggi (labour intensive), kerana kaedah menanam secara mengubah anak pokok. Maka, kaedah tabur terus diperkenalkan. Tekanan kepada kekurangan tanah memaksa tanaman padi dibuat 2 kali setahun dan akhir sekali kekurangan air memaksa tanaman padi dibuat dalam situasi yang menjimatkan air.
Padi dengan sedikit air
Padi dengan air yang sedikit bermaksud keperluan air untuk tanaman padi dibekalkan ke dalam sawah tetapi dalam keadaan tanpa lapisan air kelihatan dalam sawah (cukup sekadar tanah lembab atau tepu air). Seperti yang dinyatakan sebelum ini, 70% bekalan air tawar di Asia diberi kepada pengairan untuk sawah padi, maka cadangan untuk menjimatkan air dengan mengubah kaedah menanam perlu dilihat dengan serius bagi mengelakkan krisis bekalan air bersih.
Beberapa siri eksperimen telah dijalankan di India, China, Indonesia dan Madagascar untuk mencari kaedah yang sesuai bagi meminimakan penggunaan air dalam sawah dan pada masa yang sama tidak mengurangkan hasil padi. Kaedah SRI merupakan satu pendekatan yang digunakan dalam menjimatkan air dan telah diterima pakai sejak 1980-an. Hasil kajian awal mendapati input air dalam sawah dapat dijimatkan sehingga 50% tanpa menjejaskan hasil padi. Pencarian kaedah yang menjimatkan air masih lagi diteruskan dengan eksperimen di seluruh dunia dijalankan sehingga hari ini.
Mengubah kaedah pengairan sawah padi memerlukan perubahan kepada keseluruhan pengurusan tanaman. Oleh itu, perubahan beberapa amalan seperti membaja, mengawal rumpai dan perosak perlu diawasi secara kerap. Hubungan (interaksi) yang kompleks diantara karakteristik tanah, cuaca, varieti padi, perosak dan rumpai, bersama dengan kedapatan buruh, air dan tanah merumitkan proses perubahan ini. Keadaan sosio-ekonomi dan institusi di antara lokasi amat berbeza memerlukan kaedah ini juga dibuat spesifik kepada lokasi.
Adakah petani bersedia?
Untuk petani mengubah kaedah menanam padi kepada kaedah yang menjimatkan air, beberapa faktor perlu diambilkira dan diberi penekanan dengan kaedah penyelesaian yang sesuai. Keputusan petani untuk berubah banyak bergantung kepada situasi sosio-ekonomi mereka, termasuk risiko, sekuriti makanan, pendapatan, kedapatan buruh, amalan dan pengalaman. Kaedah pengembangan perlu dibuat bagi menyediakan petani dengan pengetahuan serta kemahiran dan penerangan perlu diberi dan disokong dengan fakta yang meyakinkan petani. Beberapa siri eksperimen yang dibuat bersama-sama petani dilihat mencapai kejayaan seperti di Madagascar, India, Indonesia, Sri Lanka dan China boleh dijadikan titik tolak bagi mengembangkan kaedah tanaman padi yang menjimatkan air.
Rumusan
Perubahan kaedah pengairan kepada kaedah yang menjimatkan air banyak memberi keuntungan. Air yang dijimatkan dapat dibekalkan untuk kegunaan aktiviti lain seperti pengembangan dan pembukaan kawasan baru pengairan, serta kegunaan industri dan domestik. Bagi petani, perubahan ini akan dapat meningkatkan pendapatan kerana mengubah amalan pengurusan yang menjimatkan tenaga buruh dan air. Kajian dan penyelidikan sentiasa diteruskan dengan interaksi bersama petani, pembuat polisi dan badan bukan kerajaan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk keperluan masa hadapan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar