Sawah dan input air
Kawasan tanaman padi tanah rendah di Malaysia yang ditanam secara tabur terus atau transplanter biasanya berada dalam keadaan digenangi air. Penyediaan tanah sebelum menanam biasanya melibatkan kerja-kerja merata, membajak dan menggembur dalam keadaan kering dan basah. Menaikkan air di dalam petak sawah memudahkan kerja mengawal rumpai, memecahkan partikel keras tanah dan memudahkan kerja merata sawah serta mengubah (transplanting) anak pokok. Dalam keadaan biasa, tanah sawah akan dibanjiri dengan air dan selepas kerja penyediaan tanah, tanah akan dibiarkan dalam keadaan digenangi air dalam tempoh masa tertentu sehingga proses menanam (tabur terus atau transplanting). Dalam "tempoh menunggu" tersebut, air dinaikkan ke paras 5 hingga 10 cm.
Di bawah keadaan tanah sawah dibanjiri air, air yang diperlukan perlu sama dengan kadar air yang keluar (outflow process). Disebabkan air dalam keadaan statik, tekanan hidrostatik akan terus menerus "menekan" air ke bawah melalui lapisan yang dibajiri air tersebut. Apabila air ditekan ke bawah sehingga di bawah paras zon akar, proses ini dinamakan resapan (percolation), (P), dan apabila air mengalir di bawah ban, proses ini dinamakan sesapan (seepage), (S). Disebabkan proses ini sukar dipisahkan di antara satu sama lain, S dan P biasanya diambil sebagai satu terma, SP.
Air juga hilang melalui evaporasi (E) melalui udara dan transpirasi (T) melalui tanaman. Proses ini juga sukar dipisahkan di antara satu sama lain dan sering digabungkan dalam satu terma, ET. Walaubagaimanapun, ketika peringkat tanah dibanjiri air semasa penyediaan tanah, hanya E akan mengambil tempat, dan ketika tanaman mula tumbuh, proses E dan T akan terjadi bersama. Akhir sekali, air turut hilang melalui aliran keluar dari atas ban (surface runoff) apabila aras air naik melebihi ban.
Jadual 1 memberi nilai tipikal aliran keluar air dari sawah. Bagi pertumbuhan tanaman dalam tempoh 100 hari (d), keperluan air berada di antara 675 hingga 4,450 mm, bergantung kepada musim dan karakteristik tanah dengan 1,500 hingga 2,000 mm merupakan nilai yang tipikal bagi kebanyakan tanah rendah.
Daripada kesemua faktor kehilangan air dari sawah, hanya T yang produktif kerana faktor ini berkait rapat dengan pertumbuhan tanaman dan pembentukan hasil. Transpirasi penting bagi tanaman kerana proses ini membantu menyejukkan pokok dan merupakan proses yang memandu aliran air dan nutrien di dalam tanaman daripada akar kepada pucuk. Walaubagaimanapun, kebanyakan air di dalam sawah hilang melalui resapan dan sesapan. Aliran ini tidak produktif dan tidak menyumbang kepada pertumbuhan dan pembentukan hasil tanaman.
Strategi pengurusan air bagi mengurangkan input air
Kita dapat mengurangkan input air dengan mengurangan aliran SP yang tidak produktif ketika peringkat penyediaan sawah dan pertumbuhan tanaman. Terdapat dua kaedah boleh dipraktikkan: (1) mengurangkan aliran air keluar di dalam tanah (dengan membentuk tanah yang resistan kepada aliran air keluar), (2) mengurangkan tekanan hidrostatik (dengan cara mengurangkan kedalaman air yang disimpan dalam petak sawah). Membentuk tanah yang resistan kepada aliran keluar air boleh dicapai dengan mengubah struktur fizikal tanah tersebut. Beberapa kajian menunjukkan kejayaan membentuk tanah yang resistan kepada kehilangan air dengan membuat bajak halus (shallow soil tillage) tambahan dalam keadaan air yang cetek di dalam sawah sebelum menanam bagi menutup sebarang rekahan tanah yang berkemungkinan menyebabkan kehilangan air. Amalan ini akan membuat tanah lebih padat dan mengurangkan kehilangan air.
Mengurangkan kehilangan air (aliran keluar SP) melalui tekanan hidrostatik boleh dicapai dengan menguruskan air dengan bijak. Amalan biasa yang menaikkan air ke paras 5 hingga 10 cm perlu diubah kepada membiarkan tanah sawah dalam keadaan sekadar tepu air sahaja. Amalan seperti ini telah terbukti berkesan dan dipromosikan melalui SRI. Dengan membiarkan tanah berada sekadar dalam tepu air, atau lembab sahaja, tanaman padi dapat hidup dalam keadaan aerobik dan mengeluarkan potensi hasil lebih baik.
Dalam keadaan sumber air semakin menjadi kritikal seperti yang dihadapi oleh petani pada masa kini, kita perlu bersedia untuk mengubah mindset dan membuat perubahan. Topik ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam penulisan akan datang - menanam dalam keadaan saturated soil culture dan kaedah alternate wetting and drying.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar