Jumat, 23 November 2012

Bengkel agroekologi di SRI-Lovely Sik 15 Nov 2012 (bahagian 3)

Belum habis lagi bercerita berkenaan dengan bengkel agroekologi di SRI-Lovely Sik yang diadakan pada 15 November 2012. Bengkel tamat pada jam 3.00 petang dan selepas itu disambung dengan perbincangan dua hala bersama petani. Selesai perbincangan, kami beramai-ramai terjun ke sungai. Tiada gambar sebab kamera saya murah dan tidak kalis air. Jam 4.30 petang kami bertolak ke Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda, Sik. Jika anda biasa dengan SRI-Lovely, sekolah ini berada di sebelah kanan ketika anda memasuki jalan ke SRI-Lovely.

Cuma sedikit anomali yang berlaku pada bacaan GPS saya. Jika anda mengikuti entri sebelum ini, kordinat GPS sekolah ini ialah N 06 03.030, E100 49.494. Tetapi kordinat tersebut telah tersasar lebih kurang 300 meter daripada titik asal ketika saya menandanya pada 19 Mei 2012. Saya mula berimiginasi yang bukan-bukan. Adakah plat benua telah bergerak dan berlaku perubahan benua seperti dalam filem 2012? Ataupun bumi sedang mengubah medah magnet dan kutubnya seperti dalam filem Absolute Zero? Atau alat GPS saya yang demam? Jadi ini kordinat baharu yang saya ambil pada hari itu;

N06 03.55 E100 49.643

Sampai di sekolah, kami diberi taklimat oleh Guru Besar dan seorang cikgu. Terima kasih pada pihak sekolah yang sudi melayan kami walaupun sedang cuti Awal Muharam. Persembahan multimedia berkenaan dengan sekolah ditayangkan dalam sesi taklimat.

Sesi taklimat oleh Guru Besar. Duduk dari kiri: Tuan Haji Marzuki, Dr. Anizan, Kapten (B) Zakaria dan Dr. Ruhizan

Setelah sesi taklimat dan penerangan dalam bentuk multimedia, baru saya sedar.

Sekolah ini sangat COOL!

Walaupun berada di dalam kawasan kampung, jauh daripada bandar, tiada talian Maxis (cuma talian Celcom sahaja yang ada, itu pun hidup segan, jumpa Malaikat Maut tak mahu) - berada pada jarak 33 km daripada pekan Sik dan 126 km daripada bandar Alor Setar, sekolah ini mempunyai pasukan pancaragam sendiri yang telah memenangi tempat kedua Pertandingan Pancaragam Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kedah. Sekolah ini juga memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Anti Dadah Peringkat Kebangsaan. Selain itu, sekolah ini mempunyai bengkel membuat kompos dan plot bagi tanaman padi SRI organik.

Sangat COOL!!!! Kenapa sekolah rendah saya tak buat macam ni?

Plot Projek Inovasi Pertanian Organik

Padi SRI organik

Di akhir lawatan, Guru Besar sekolah memberi cenderamata yang unik. Ikan pekasam asli buatan Sik. Ikan pekasam yang dibuat menggunakan beras goreng. Ramuan tradisi orang Utara.

Ikan jelawat dibuat pekasam dan cenderamata dari pihak sekolah

Ikan pekasam Sik sangat sedap. Mungkin sebab diberi percuma dan benda percuma memang sedap. Saya akan memborong pekasam bila saya ke sini lagi. Terima kasih kepada pihak Sekolah Seri Ampang Muda, Sik di atas layanan yang baik. Kami doakan sekolah ini terus maju jaya seperti nama kelas di sekolah ini; 1 Maju dan 1 Jaya.

Ikan jelawat dibuat pekasam,
Pekasam dimakan bercicah tempoyak,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi..

Hoi! Pantun apa ni? Ritma salah, pembayang dengan maksud pun tak betul!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar