Senin, 19 November 2012

Kawalan perosak peringkat awal (bahagian 2)

Semasa berada di SRI-Lovely Kampung Lintang, Sik kami mengadakan perbincangan dua hala bersama-sama petani yang sedang mempelajari kaedah agroekologi. Banyak input didapati daripada petani-petani dari Kedah ini. Perbincangan ini banyak memberi fokus kepada kawalan perosak pada peringkat awal tanaman. Dalam entri sebelum ini, beberapa kaedah alternatif telah diberi bagi kawalan perosak tanpa kimia pada peringkat 40 hari pertama.

Bagi kawalan ulat layar dan kutu beruang yang biasa menyerang pada pangkal tanaman padi, petani hanya perlu menaikkan aras air sawah bagi mengelakkan serangan serangga ini.

Bagi kawalan ulat lipat daun dan ulat pengorek batang, tabur sekam bakar yang dicampur dengan sedikit garam kasar. Selain daripada menghindar perosak, sekam bakar juga dapat menyuburkan tanah.

Daun pokok Gliricidia (kacang kayu atau gamal) juga boleh digunakan bagi menghindar ulat pengorek batang. Selain itu, ubi gadung, seperti mana yang pernah ditulis sebelum ini berkesan mengurangkan serangan ulat pengorek batang. Daun kacang kayu atau ubi gadong dihiring atau dihancurkan dan ditaburkan ke sawah.

Kaedah orang tua-tua dahulu juga boleh diamalkan bagi mengawal perosak. Antaranya membakar rumpun serai wangi di atas batas sawah bagi menghalau perosak dan menabur abu dapur kepada tanaman padi.

Itulah serba sedikit ilmu yang dapat dikongsi bersama petani di Kedah. SRI-Lovely juga sangat positif dengan amalan agroekologi yang akan dibawa ke sana. Kami sedang mendapatkan benih-benih tanaman berbunga yang sesuai ditanam di atas batas sawah bagi menggalakkan perkembangan spesis serangga parasitoid dan predator.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar