Sabtu, 21 April 2012

Agro-perhutanan sebagai pendekatan pertanian mampan

Konsep Agro-perhutanan

Agro-perhutanan (agro-forestry) - juga disebut sebagai perhutanan-tani atau perhutani adalah suatu pendekatan bersepadu bagi pengeluaran tanaman dan pokok bukan-tanaman atau haiwan di atas sebidang tanah yang sama. Ia juga ditakrif sebagai pendekatan bersepadu menggunakan manfaat interaktif dengan menggabungkan pokok dan tumbuhan dengan tanaman dan/atau ternakan. Ia menggabungkan teknologi pertanian dan perhutanan untuk mewujudkan kepelbagaian, sistem penggunaan tanah yang produktif, menguntungkan, sihat dan mampan. Tanaman boleh ditanam bersama-sama pada masa yang sama, ditanam secara giliran, atau ditanam dalam plot berasingan dengan bahan yang digunakan turut juga berfaedah untuk manfaat yang lain. Sistem agro-perhutanan mengetengahkan kelebihan pokok untuk pelbagai kegunaan: untuk memegang tanah; untuk meningkatkan kesuburan melalui pengikatan nitrogen, atau melalui pengangkutan mineral dari tanah dan mengumpulkannya di bawah daun-daun yang jatuh, memberi teduhan dan untuk menyediakan bahan-bahan binaan, makanan dan bahan api. Dalam sistem agro-perhutanan, setiap bahagian tanah dianggap sesuai bagi penanaman tumbuh-tumbuhan.

Agro-perhutanan: tanaman betari (sorghum) ditanam di bawah pokok Faidherbia albida dan Borassus akeassii [sumber: Wikipedia]

Tanaman saka, yang ditanam sekali tetapi menghasilkan faedah bagi tempoh masa yang panjang akan diberi keutamaan. Reka bentuk sistem agro-perhutanan mengutamakan interaksi berfaedah antara tanaman, yang boleh menjadi pelindung dan mengurangkan hakisan akibat angin dan air. Menurut Pusat Agro Perhutanan Dunia, "Agro-perhutanan unik dan sesuai untuk menangani kedua-dua keperluan; untuk keselamatan makanan yang lebih baik dan peningkatan sumber untuk tenaga, serta keperluan untuk menguruskan landskap pertanian mampan untuk perkhidmatan ekosistem kritikal yang mereka sediakan". Agro-perhutanan telah diamalkan secara meluas di semua benua. Menggunakan sebanyak 10 peratus litupan pokok sebagai nilai rujukan, agro-perhutanan mempunyai kepentingan di Amerika Tengah, Amerika Selatan, dan Asia Tenggara, dan juga menduduki sejumlah besar daripada keluasan tanah di Afrika.

Terdapat pelbagai klasifikasi bagi sistem agro-perhutanan. Klasifikasi struktur ini termasuk: (komposisi, penstrataan dan dimensi tanaman); dengan klasifikasi berdasarkan penguasaan komponen (seperti pertanian, padang rumput, dan pokok-pokok); berfungsi (produktif, pelindung atau pelbagai guna); ekologi dan sosio-ekonomi. Secara amnya, walau bagaimanapun, sistem agro-perhutanan boleh dikategorikan kepada tiga jenis sistem yang luas: agrosilviculture (pokok dengan tanaman), agrisilvipasture (pokok dengan tanaman dan ternakan) dan silvopastoral (pokok dengan pastura dan ternakan).

Agro-perhutanan adalah sesuai untuk semua jenis tanah dan adalah penting terutamanya bagi pertanian lereng bukit di mana pertanian boleh menyebabkan kerugian pesat tanah. Pokok-pokok yang paling penting untuk menggabungkan ke dalam sistem agro-perhutanan adalah kekacang kerana kemampuan mereka untuk mengikat nitrogen dan membuatkannya boleh diambil oleh tumbuhan lain. Nitrogen meningkatkan kesuburan dan kualiti tanah dan boleh meningkatkan pertumbuhan tanaman. Antara kegunaan yang paling biasa pokok dalam sistem agro-perhutanan adalah:
  • Lorong tanaman: menanam tanaman tahunan antara baris pokok; 
  • Sempadan penanaman / pagar hidup: pokok-pokok yang ditanam di sepanjang sempadan atau garis hartanah untuk menandakan mereka; 
  • Multi-strata: termasuk taman rumah dan agro perhutanan yang menyatukan pelbagai spesies yang biasa terdapat di kawasan tropika lembap seperti di Asia Tenggara; 
  • Ladang pokok yang bertaburan: meningkatkan bilangan pokok, pokok renek atau tanaman saka yang berlorek (seperti kopi dan koko) yang bertaburan di kalangan tanaman atau pastura dan di sepanjang sempadan ladang.

Sebarang tanaman boleh digunakan dalam sistem agro-perhutanan. Apabila memilih tanaman, kriteria berikut diberi keutamaan:
  • Potensi bagi pengeluaran; 
  • Boleh digunakan untuk makanan haiwan; 
  • Sudah dihasilkan/ditanam di rantau ini, sebaik-baiknya berasal dari zon setempat; 
  • Mempunyai kandungan pemakanan yang baik untuk kegunaan manusia; 
  • Melindungi tanah; 
  • Kurang persaingan antara pokok-pokok dan tanaman.

Bagaimana Teknologi Menyumbang kepada Adaptasi Perubahan Iklim

Agro-perhutanan boleh meningkatkan daya tahan pengeluaran pertanian kepada kebolehubahan iklim semasa serta perubahan iklim jangka panjang melalui penggunaan pokok kekal untuk mempelbagaikan sistem intensifikasi dan penampan pertanian. Pokok kekal mempunyai peranan penting dalam mengurangkan kelemahan, meningkatkan daya tahan sistem perladangan dan menjadi penampan kepada pengeluaran pertanian terhadap risiko berkaitan iklim. Pokok mempunyai akar yang dalam dan rizab yang besar, dan kurang terdedah kepada bencana melampau seperti kemarau atau banjir berbanding tanaman tahunan.

Oleh itu, sistem berasaskan pokok mempunyai kelebihan untuk mengekalkan pengeluaran sepanjang tahun dalam keadaan yang lebih lembap dan kering. Kedua, pokok-pokok meningkatkan kualiti tanah dan kesuburan dengan menyumbang kepada penyimpanan air dan dengan mengurangkan tekanan air semasa hujan tahunan yang rendah. Sistem berasaskan pokok juga mempunyai kadar evapotranspirasi lebih tinggi daripada barisan tanaman atau pastura dan dengan itu dapat mengekalkan pengudaraan dalam tanah dengan cara mengepam air yang berlebihan daripada profil tanah dengan lebih cepat daripada sistem pengeluaran yang lain jika terdapat hujan atau kelembapan yang mencukupi (Martin dan Sherman, 1992).

Pokok-pokok dapat mengurangkan kesan ekstrim cuaca seperti kemarau atau hujan lebat. Sebagai contoh, gabungan rumput napier dan tanaman renek kekacang dalam kontur pagar dapat mengurangkan hakisan sehingga 70 peratus pada lereng bukit yang mempunyai kecerunan melebihi 10 peratus tanpa menjejaskan hasil jagung di tengah-tengah Kenya (Mutegi et al, 2008). Kajian juga menunjukkan bahawa komponen pokok di dalam sistem agro-perhutanan menstabilkan tanah terhadap kesan tanah runtuh dan menaikkan kadar penyusupan air (Ma et al, 2009). Sistem ini berjaya menghadkan aliran permukaan semasa musim hujan dan meningkatkan pelepasan air bawah tanah semasa musim kering. Agro perhutanan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keselamatan makanan dengan menyediakan satu cara untuk mempelbagaikan sistem pengeluaran.

Dengan mengintegrasikan pokok di ladang dan padang ragut mereka, petani mengurangkan pergantungan mereka pada tanaman ruji tunggal dan mempunyai rumput yang mencukupi untuk haiwan mereka. Sebagai contoh, jika musim kemarau memusnahkan tanaman tahunan, pokok-pokok masih akan menyediakan buah-buahan, jerami, kayu api, kayu dan produk lain yang sering mencapai nilai komersial yang tinggi. Satu kajian yang dibuat terhadap 1,000 petani dari 15 daerah di Kenya mendapati bahawa pokok buah-buahan menyumbang 18 peratus daripada hasil tanaman, dan teh dan kopi menyumbang tambahan 29 peratus daripada hasil (Place dan Wanjiku, 2006). Satu kajian lagi di Zimbabwe menyimpulkan bahawa buah-buahan memberi hasil yang lebih tinggi yang mendatangkan pulangan kepada buruh daripada pengeluaran tanaman tahunan (Mithoefer dan Waibel, 2003). Satu kajian dari Nepal menunjukkan kesan agro-perhutanan kepada kesuburan tanah dan pendapatan ladang membuktikan bahawa aplikasi agro-perhutanan memberi hampir dua kali ganda produktiviti dan pendapatan ladang.

Agro-perhutanan mempunyai potensi aplikasi yang luas dan menyediakan pelbagai kelebihan, termasuk:
  • Penggunaan tanah yang maksimum dan meningkatkan kecekapan penggunaan tanah; 
  • Produktiviti tanah boleh dipertingkatkan kerana pokok menyediakan foraj, kayu api dan lain-lain bahan-bahan organik yang boleh dikitar semula dan digunakan sebagai baja semulajadi; 
  • Peningkatan hasil. Sebagai contoh, betari dan sekoi boleh meningkatkan sebanyak 50 hingga 100 peratus apabila ditanam secara langsung di bawah Acacia albida (FAO, 1991); 
  • Agro-perhutanan menggalakkan pengeluaran sepanjang tahun dan jangka panjang; 
  • Membuka peluang pekerjaan - tempoh pengeluaran yang lebih panjang memerlukan penggunaan buruh sepanjang tahun; 
  • Perlindungan dan penambahbaikan tanah (terutamanya apabila tanaman kekacang dimasukkan) dan sumber air; 
  • Menggalakkan kepelbagaian; 
  • Menyediakan bahan-bahan pembinaan dan bahan api yang lebih murah dan lebih mudah; 
  • Amalan agro-perhutanan dapat mengurangkan keperluan untuk input yang dibeli seperti baja kimia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar