Selasa, 13 Desember 2011

Satu Tahun

Blog ini telah berusia setahun. Entri - Memahami krisis: penilaian semula krisis makanan 2008 dan kebangkitan Revolusi Hijau II merupakan entri pertama blog ini. Blog ini membincangkan pelbagai isu - padi SRI, Revolusi Hijau, pertanian lestari, ekonomi pertanian, teknologi pertanian, alam sekitar, biodiversiti, dan pelbagai isu-isu lain yang menyentuh soal pertanian dan makanan.

Apakah pencapaian yang dibanggakan dalam satu tahun ini? Paling membanggakan ialah kejayaan penganjuran Seminar Kebangsaan Padi SRI pada bulan Julai 2011. Ternyata SRI mula mendapat tempat di Malaysia walaupun negara ini agak ketinggalan (negara ke-40 selepas Timor Leste). Namun begitu usaha ke arah mengembangkan pertanian lestari melalui kaedah SRI tetap diteruskan bagi meningkatkan produktiviti dan memelihara alam sekitar. Amat mengujakan, kaedah SRI diterima baik oleh petani di Selangor dan mereka mempunyai pelbagai inovasi dalam pembangunan jentera dan mekanisasi. Blog ini merekodkan pencapaian mereka bersama-sama dengan blog Pertanian Selangor.

Selain padi SRI, Revolusi Hijau dan isu alam sekitar telah menjadi "tema tetap" blog ini. Selepas Krisis Makanan Global 2008, kebangkitan Revolusi Hijau II menjadi perdebatan hangat di peringkat antarabangsa. Revolusi Hijau II dicadangkan oleh Gordon Conway dan disokong oleh Bank Pembangunan Asia. Berbeza dengan Revolusi Hijau I pada 1970-an, Revolusi Hijau II mempunyai pelbagai istilah, maksud, pendekatan dan cara penyelesaian. Ekonomi Hijau, Sustainable Intensification, Geo-Greenism dan bermacam-macam lagi istilah baharu yang memberi tumpuan untuk menjadikan dunia lebih kaya, lebih sihat, lebih inovatif, lebih produktif dan lebih selamat. Isu alam sekitar (perubahan iklim, pemanasan global, pembasmian hutan, kenaikan paras laut, peningkatan paras CO2, penggurunan dll) turut ditekankan dalam Revolusi Hijau II dalam memberi tumpuan kepada pertanian lestari.

Tahun 2011 (1 November 2011) juga merupakan titik sejarah dunia - berlaku ledakan populasi dunia yang telah mencapai 7 billion penduduk -- satu lagi cabaran yang dihadapi oleh dunia untuk mengeluarkan makanan yang cukup, yang selamat dan boleh dicapai oleh penduduknya. Ketika manusia telah mencapai kemajuan yang besar dalam meningkatkan kebajikan mereka melepasi dua abad, kemajuan ini telah datang dengan kos yang berkekalan terhadap degradasi alam alam sekitar. Kira-kira separuh daripada hutan yang meliputi bumi ini hilang, air bawah tanah dan sumber-sumber yang berkurangan dan tercemar, pengurangan yang besar dalam biodiversiti telah berlaku dan, melalui pembakaran bahan api fosil, kestabilan iklim planet sedang diancam oleh pemanasan global. Dalam usaha untuk penduduk membangunkan negara bagi mencapai taraf hidup yang baik, terutamanya berbilion-bilion yang kini masih hidup dalam keadaan kemiskinan tegar, dan tambahan 2 bilion manusia yang akan ditambah kepada penduduk dunia pada pertengahan abad ini, kemajuan ekonomi yang lebih besar akan diperlukan.

Pertumbuhan ekonomi akan terus memburukkan lagi tekanan yang dikenakan ke atas sumber-sumber dunia dan alam semula jadi, yang mana pendekatan biasa tidak lagi mampan. Seperti yang dinyatakan dalam laporan PBB, pengeluaran makanan pada hari bukan lagi "urusan seperti biasa" atau business as usual. Namun, jika kita memberhentikan enjin pertumbuhan global hari ini, penyusutan dan pencemaran alam semula jadi kita masih akan terus berlaku kerana corak penggunaan dan kaedah pengeluaran yang sedia ada. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk mencari laluan pembangunan baharu yang akan memastikan kelestarian alam sekitar dan membalikkan kemusnahan ekologi, bagi menyediakan ruang untuk generasi akan datang.

Revolusi Hijau II perlu lebih "hijau" dan pada masa yang sama dapat membekalkan setiap manusia di atas muka bumi ini kalori dan nutrien yang mencukupi. Bukan bermana Revolusi Hijau I telah gagal mencapai objektifnya (meningkatkan pengeluaran makanan melalui penggunaan benih baharu, input kimia, menambah kepadatan tanaman dll) -- tetapi dunia telah melihat kesan buruk daripada Revolusi Hijau I -- kehilangan kesuburan tanah, peningkatan saliniti tanah, salah guna racun perosak yang mengakibatkan kerintangan dan pencemaran alam sekitar, pembasmian hutan dan pelepasan gas rumah hijau.

Gangguan manusia terhadap alam sekitar dan biodiversiti semula jadi merupakan faktor utama kemusnahan alam sekitar dan ekosistem di atas muka bumi ini yang membawa kepada kesan buruk kepada semua hidupan termasuklah manusia. Pertumbuhan populasi, peningkatan kekayaan dan perubahan diet secara langsung memberi tekanan kepada sistem pengeluaran makanan dunia. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, produktiviti pengeluaran perlu ditingkatkan; bermakna lebih banyak varieti baharu perlu diperkenalkan, lebih banyak tanah pertanian perlu dibuka, intensiti dan densiti penanaman perlu ditingkatkan dan lebih banyak baja dan racun kimia perlu digunakan. Namun, kita tidak boleh terus membiarkan hal ini berlaku.

Zaman batu tidak berakhir kerana dunia kehabisan batu. Zaman batu berakhir apabila manusia mula menggunakan inovasi mengubah peralatan kegunaan harian daripada batu kepada logam dan bahan-bahan lain. Begitu juga yang berlaku pada hari ini. Revolusi Hijau II memerlukan pendekatan yang berbeza dengan Revolusi Hijau I. Inovasi ke pertanian lestari pada hari ini seperti Sekolah Latihan Petani dan Sistem Keamatan Padi (SRI) membawa dunia ke arah Revolusi Hijau sebenar yang menjadikan pengeluar produk pertanian berskala kecil sebagai sasaran bagi meningkatkan pengeluaran serta membasmi kemiskinan. Seperti yang dinyatakan oleh Kofi Annan (sekarang menjawat jawatan Pengerusi Board of Alliance for a Green Revolution in Africa) dalam ucapannya di PBB, peladang kecil perlu menjadi tunjang kepada membekalkan keselamatan makanan yang mana telah dikenalpasti dan diiktiraf oleh dunia. Jumlah dan potensi yang besar kepada peladang kecil boleh meningkatkan pengeluaran makanan dan menyediakan aktiviti bagi menyara keluarga. Kita tidak boleh mempercepatkan dan meluaskan pengeluaran makanan tanpa melibatkan peladang kecil. Sejarah juga menunjukkan Revolusi Hijau yang berlaku di Asia dimulakan oleh peladang kecil yang menjadikan pertumbuhan ekonomi yang luas dan pantas.

Seperti yang dinyatakan dalam topik Ekonomi Hijau sebagai paradigma baharu - Untuk mencapai matlamat ini, strategi ekonomi baharu yang radikal akan diperlukan. Membuat keputusan ekonomi, oleh kerajaan dan ejen swasta, perlu memberi tumpuan kepada cara-cara untuk mengukuhkan, bukannya membahayakan kelestarian alam sekitar. "Ekonomi Hijau" telah dipromosikan sebagai konsep utama yang menjanjikan paradigma baharu pembangunan, yang mempunyai potensi untuk memastikan pemeliharaan ekosistem bumi di sepanjang laluan pertumbuhan ekonomi yang baharu di samping menyumbang pada masa yang sama untuk mengurangkan kemiskinan.

Tidak ada definisi yang unik bagi Ekonomi Hijau, tetapi, ditakrifkan dengan umum, terdapat persetujuan bersama dari idea asas yang menjadi asas, iaitu, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan penjagaan alam sekitar boleh menjadi pelengkap objektif strategik dan keperluan untuk mencapai kemungkinan keseimbangan di kalangan mereka. Dari segi ini, tumpuan konsep ini sepenuhnya konsisten dengan konsep pembangunan mampan yang diterangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang melihat dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar sebagai tiga tunggak pembangunan dan menekankan kepentingan ekuiti antara generasi dalam pembangunan, yang memastikan bahawa memenuhi keperluan generasi masa kini tidak menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Ekonomi Hijau memberi tumpuan ke arah penjagaan alam sekitar dan perlindungan ekosistem.

Perubahan kepada teknologi yang mampan (lestari) ke arah keselamatan makanan - Revolusi Hijau I yang sebenarnya tidak "hijau" -- Revolusi pertanian yang benar-benar hijau kini diperlukan ... Keselamatan makanan kini harus dicapai melalui teknologi hijau untuk mengurangkan penggunaan input bahan kimia (baja dan racun perosak) dan menggunakan air, tenaga dan sumber-sumber semula jadi yang lebih cekap, serta melalui peningkatan yang ketara kemudahan penyimpanan, dan pemasaran untuk mengurangkan bahan buangan dan pembaziran. Teknologi hijau yang sudah tersedia dan amalan dalam bidang pertanian yang mampan (yang telah berjaya digunakan dengan meluas bagi peningkatan produktiviti dalam konteks negara membangun) boleh dikerahkan untuk membawa transformasi radikal ke arah keselamatan makanan yang mampan, termasuk teknologi dan amalan seperti low tillage farming (pertanian yang tidak merosakkan tanah), pusingan tanaman dan interplanting (tanaman selingan), penuaian air dan kitar semula air yang cekap, agroforestry (pertanian hutan) dan pengurusan perosak bersepadu. Pembangunan varieti baharu yang menghasilkan tanaman yang berhasil tinggi, tumpuan utama Revolusi Hijau yang pertama dalam bidang pertanian, perlu diteruskan, dengan syarat pembangunan itu digabungkan dengan pengurusan air yang lebih cekap dan penggunaan agrokimia dan input organik yang lebih baik dengan ketara mengurangkan kesan buruk ekologi seperti SRI yang meningkatkan hasil tanaman di samping mengurangkan air, baja kimia dan penggunaan racun perosak melalui perubahan yang mudah dalam masa bila dan cara benih padi dipindahkan dan diberi air.

Walau apa pun cabaran yang mendatang, manusia sentiasa dapat beradaptasi dan membuat pelbagai inovasi teknologi bagi menghadapinya. Namun begitu, kita mesti mengelakkan daripada kecenderungan mengorbanankan bumi ini yang sedang menghadapi masalah berkurangnya biodiversiti untuk keuntungan mudah dalam pengeluaran makanan, kerana bukan sahaja biodiversiti menyediakan banyak kemudahan dimana manusia bergantung kepadanya tetapi juga kerana kita tidak mempunyai hak untuk melucutkan faedah ekonomi dan budaya biodiversiti daripada generasi akan datang.

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca blog ini. Semoga blog ini dapat terus memberi manfaat dan dapat mencapai batu tanda tahun kedua. Terima kasih.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar