Selasa, 06 Desember 2011

Endosulfan

Nama IUPAC
6,7,8,9,10,10-Hexachloro-1,5,5a,6,9,9a-hexahydro- 6,9-methano-2,4,3-benzodioxathiepine-3-oxide

Nama lain
Benzoepin, Endocel, Parrysulfan, Phaser, Thiodan, Thionex


Endosulfan adalah insektisid organoklorin dan acaricide yang telah tamat tempoh paten dan telah dihentikan penggunaannya di peringkat global. Endosulfan merupakan kimia pertanian yang sangat kontroversi kerana ketoksikan akut, berpotensi untuk bio-akumulasi (pemendapan sisa baki racun di dalam organisma), dan peranan sebagai penghalang endokrin (sistem hormon). Kerana ancaman kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, larangan global ke atas pengeluaran dan penggunaan endosulfan telah dirundingkan di bawah Konvensyen Stockholm pada bulan April 2011. Pengharaman itu akan berkuat kuasa pada pertengahan 2012, dengan penggunaan tertentu yang dikecualikan untuk 5 tahun tambahan. Lebih daripada 80 buah negara, termasuk Kesatuan Eropah, Australia dan New Zealand, beberapa negara-negara Afrika Barat, Amerika Syarikat, Brazil dan Kanada telah mengharamkan atau mengumumkan keluar mengikut fasa masa pengharaman yang telah dipersetujui ketika Konvensyen Stockholm. Malaysia juga telah mengharamkan penggunaan endosulfan. Walau bagaimanapun, ia masih digunakan secara meluas di India, China, dan beberapa negara yang lain. Endosulfan dihasilkan oleh Makhteshim Agan dan beberapa badan pengeluar di India dan China.

Endosulfan dihasilkan pada awal 1950-an. Pada tahun 1954, Hoechst AG (kini Bayer CropScience) mendapat pengesahan USDA (Jabatan Pertanian Amerika Syarikat) untuk penggunaan endosulfan di Amerika Syarikat. Pada tahun 2000, penggunaan endosulfan dihentikan bagi kegunaan kebun dan rumah dengan persetujuan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA). U.S. Fish and Wildlife Service pada tahun 2002 mengesyorkan bahawa pendaftaran endosulfan patut dibatalkan, dan EPA mendapati sisa baki endosulfan di dalam makanan dan air menimbulkan risiko yang tidak boleh diterima. Agensi tersebut membenarkan endosulfan untuk terus berada di pasaran Amerika Syarikat, tetapi sekatan dikenakan ke atas kegunaan pertanian.

Tahun 2007: langkah-langkah antarabangsa telah diambil untuk menyekat penggunaan dan perdagangan endosulfan. Ia disyorkan untuk dimasukkan ke dalam Konvensyen Rotterdam pada Persetujuan Pemberitahuan Terlebih Dahulu (Prior Informed Consent), dan Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan untuk dimasukkan dalam senarai bahan kimia yang diharamkan di bawah Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Yang Berkekalan (Stockholm Convention on Persistent Organic Pollutants). Ini bermakna semua penggunaan dan pembuatan endosulfan di peringkat global diharamkan. Sementara itu, kerajaan Kanada mengumumkan bahawa endosulfan adalah di bawah pertimbangan untuk keluar dari pasaran, dan Bayer CropScience secara sukarela menarik balik semua produk endosulfan dari pasaran Amerika Syarikat.

Tahun 2008: Pada bulan Februari, aktivis alam sekitar, pengguna, dan kumpulan buruh ladang yang termasuk Majlis Pertahanan Sumber Asli (Natural Resources Defense Council), Persatuan Pengguna Organik, dan Pertubuhan Pekerja Ladang Amerika menyeru EPA Amerika Syarikat untuk mengharamkan endosulfan. Pada bulan Mei, pakatan saintis, kumpulan alam sekitar, dan puak-puak Artik mendesak EPA untuk membatalkan endosulfan, dan pada bulan Julai satu gabungan kumpulan alam sekitar dan pekerja memfailkan tuntutan mahkamah terhadap EPA bagi mencabar keputusan yang dibuat pada tahun 2002 untuk tidak mengharamkannya. Pada bulan Oktober, Jawatankuasa Semakan Konvensyen Stockholm menggerakkan endosulfan bersama-sama dalam prosedur untuk disenaraikan di bawah perjanjian itu, manakala India menyekat kemasukannya ke dalam Konvensyen Rotterdam.

Tahun 2009: Stockholm Convention's Persistent Organic Pollutants Review Committee (POPRC) bersetuju bahawa endosulfan merupakan pencemar organik yang berterusan dan "tindakan global wajar", yang menetapkan peringkat pengharaman global. New Zealand mengharamkan endosulfan.

Tahun 2010: POPRC mencalonkan endosulfan untuk dibawa masuk ke Konvensyen Stockholm di Conference of Parties (COP) pada bulan April 2011, yang akan membawa kepada pengharaman global. EPA mengumumkan bahawa pendaftaran endosulfan di Amerika Syarikat akan dibatalkan. Australia mengharamkan penggunaan endosulfan.

Tahun 2011: Di India, Mahkamah Agung mengharamkan pembuatan, penjualan dan penggunaan toksik racun perosak endosulfan. Mahkamah tertinggi itu berkata larangan itu akan kekal berkesan selama 8 minggu di mana sebuah jawatankuasa pakar yang diketuai oleh DG, ICMR, akan memberikan laporan interim kepada mahkamah tentang kesan bahaya racun perosak yang digunakan secara meluas. Argentinian Service for Sanity and Agroalimentary Quality (SENASA) membuat keputusan pada 8 Ogos bahawa pengimportan endosulfan ke negara Amerika Selatan akan diharamkan dari 1 Julai 2012 dan pengkomersilan dan penggunaannya dari 1 Julai 2013. Pada masa yang sama, kuantiti yang boleh diimport dan dijual dikurangkan.

Penggunaan

Endosulfan telah digunakan dalam bidang pertanian di seluruh dunia untuk mengawal serangga perosak termasuk lalat putih, afid, lelompat daun, siput gondang, kumbang kentang Colorado dan cacing kobis. Oleh kerana cara tindakan yang unik, ia amat berguna dalam pengurusan kerintangan. Walau bagaimanapun, tindakannya bukan spesifik dan boleh memberi kesan negatif kepada populasi serangga berfaedah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pengeluaran tahunan dunia yang tinggi dan meluas kira-kira 9,000 tan pada awal tahun 1980-an. Dari tahun 1980-1989, penggunaan di seluruh dunia pada purata 10,500 tan setahun, dan bagi tahun 1990-an penggunaannya meningkat kepada 12,800 tan setahun.

Di kalangan pesawah padi Malaysia, endosulfan dikenali sebagai "racun China" dan "dong peng". Penggunaannya sangat popular bagi mengawal siput gondang kerana keberkesanannya dapat dilihat 10 hingga 15 minit selepas aplikasi. Endosulfan boleh didapati dalam bentuk cecair yang dijual dalam botol aluminium atau serbuk yang dijual dalam bentuk peket kecil.

Gambar 1: Petani menunjukkan produk endosulfan yang digunakan di sawah mereka. Kredit gambar: Persatuan Pengguna Pulau Pinang - Is our rice safe from banned endosulfan

Kesan Kepada Alam Sekitar

Endosulfan adalah bahan cemar alam sekitar di seluruh pelusuk dunia. Endosulfan merupakan bahan kimia yang separa meruap dan tidak terjejas kepada proses degradasi alam sekitar. Bahan kimia ini boleh diangkut oleh udara dengan jarak yang jauh. Sebagai contoh, laporan 2008 oleh Perkhidmatan Taman Negara mendapati bahawa endosulfan merupakan bahan kimia yang biasanya mencemari udara, air, tumbuh-tumbuhan dan ikan taman negara di Amerika Syarikat walaupun kebanyakan taman ini terletak jauh dari kawasan-kawasan di mana endosulfan digunakan.

Kesan Kepada Kesihatan Manusia

Endosulfan adalah salah satu daripada racun perosak yang paling toksik di pasaran hari ini, yang bertanggungjawab kepada kejadian maut akibat keracunan racun perosak di seluruh dunia. Endosulfan juga merupakan xenoestrogen - bahan sintetik yang meniru atau meningkatkan kesan estrogen dan ia boleh bertindak sebagai penghalang/pengganggu endokrin, menyebabkan kerosakan pembiakan dan perkembangan kepada haiwan dan manusia. Dengan mengambil kira pengambilan pengguna endosulfan dari sisa baki ke atas makanan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) telah membuat kesimpulan bahawa pendedahan jangka pendek boleh melebihi dos rujukan akut dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius serta kematian.

Gambar 2: Kesan penggunaan endosulfan kepada perkembangan kanak-kanak di Kerala, India. Kredit gambar: agricorporateaccountability.net

Ketoksidan

Endosulfan sangat neurotoksik kepada serangga dan mamalia, termasuk manusia. EPA mengklasifikasikan sebagai Kategori I: "Sangat Toksik" ​​berdasarkan nilai LD50 30 mg/kg bagi tikus betina, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan sebagai Kelas II: "Agak Berbahaya" berasaskan LD50 80mg/kg pada tikus. Ia adalah GABA-gated chloride channel antagonist, dan perencat Ca2+, Mg2+ dan ATPase. Kedua-dua enzim ini terlibat dalam pemindahan impuls saraf. Gejala keracunan akut termasuk hiperaktif, menggigil, sawan, kurang koordinasi, kesukaran bernafas, loya dan muntah-muntah, cirit-birit, dan dalam kes-kes yang teruk, tidak sedarkan diri. Dos yang rendah seperti 35mg/kg telah didokumenkan menyebabkan kematian pada manusia, dan banyak kes keracunan sub-maut telah menyebabkan kerosakan otak yang kekal. Pekerja ladang dengan pendedahan endosulfan kronik berisiko mendapat ruam dan kegatalan kulit.

Kesan Pengharaman

India tegas mengharamkan pengeluaran dan penggunaan endosulfan di negara ini dengan suatu perintah mahkamah yang penting pada 13 Mei 2011. India adalah pengguna terbesar di dunia endosulfan, dan pengeluar utama dengan tiga syarikat-Excel Crop Care, Hindustan Insecticides Ltd, and Coromandal Fertilizers menghasilkan 4,500 tan setahun untuk kegunaan domestik dan 4,000 tan untuk eksport.

Pada tahun 2001, di Kerala, India, penyemburan endosulfan dikaitkan dengan beberapa siri perkembangan yang tidak normal yang diperhatikan di kalangan kanak-kanak tempatan. Pada mulanya endosulfan telah diharamkan, namun akibat wujud tekanan daripada industri racun perosak, pengharaman ini sebahagian besarnya dibatalkan. Keadaan di sana telah dipanggil "magnitudnya sebelah sahaja kepada tragedi gas Bhopal."

Pada tahun 2006, di Kerala, pampasan sebanyak RS 50.000 telah dibayar kepada waris daripada 135 orang yang telah dikenal pasti sebagai telah meninggal dunia akibat penggunaan endosulfan.

Gambar 3 (kiri): Seorang aktivis dari Persekutuan Kebangsaan Wanita India memegang sepanduk semasa protes pada bulan Disember 2010 dalam sokongan kepada mangsa racun perosak endosulfan di New Delhi. Endosulfan didakwa telah mengakibatkan kematian lebih 4,000 orang petani di Kerala kesan daripada semburan udara ke atas tanaman gajus.




Kempen untuk mengharamkan penggunaan endosulfan terus menerus bergerak di India. Di Asia, kempen ini turut dijalankan oleh PANAP (Campaign to ban Endosulfan).

Apa yang membimbangkan, pengharaman endosulfan tidak mendatangkan kesan kepada golongan petani. Racun endosulfan masih boleh dibeli dan digunakan. Rata-rata petani di India khasnya dan dunia umumnya masih menggunakan endosulfan kerana kesannya yang efektif bagi mengawal perosak tanaman dan bahan pengganti endosulfan berharga 10 kali lebih tinggi menyebabkan mereka mengesyaki pengharaman ini menguntungkan syarikat pembuat racun lain. Di Amerika Syarikat, petani mendesak pengharaman ini dilonggarkan sehingga mereka menemui pengganti yang sesuai.

Beberapa dekad lalu, dunia telah memenangi peperangan terhadap DDT. Apa yang diperlukan ialah tindakan yang sama dilakukan terhadap endosulfan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar