Jumat, 04 Maret 2011

Merata Sawah (bahagian 1)

Di dalam meningkatkan hasil padi, keadaan tanah sawah memainkan peranan yang sangat penting di dalam aktiviti penanaman padi. Tanah sawah yang baik adalah rata dan mempunyai lapisan tanah keras (hard pan) yang baik disamping mempunyai sistem pengairan dan saliran yang sempurna. Merata dan membentuk pemukaan tanah sangat penting kepada sistem permukaan sawah bagi menyokong sistem pengairan serta pertumbuhan pokok. Ia melibatkan proses bagi memastikan kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang dapat membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam. Perataan tanah perlu dilakukan hampir setiap musim menanam kerana aktiviti penanaman padi yang intensif dilakukan sepanjang musim dan penggunaan jentera berat semasa menuai hasil mengubah permukaan tanah.

Terdapat dua pendekatan yang digunakan dalam merata sawah; (1) membuat cerun yang menyokong bekalan air; dan (2) merata tanah supaya menepati keadaan terbaik dengan peralihan tanah yang minimum dan kemudian mengikut paras bekalan air di dalam petak sawah tersebut. Pendekatan kedua lebih baik kerana lebih ekonomik. Merata sawah dapat memperbaiki serta meningkatkan kecekapan air dan tenaga kerja.

Kepentingan merata sawah
(i) Menguruskan air dengan baik dan cekap;
(ii) Memperbaiki struktur hard pan tanah;
(iii) Pertumbuhan pokok seragam;
(iv) Memudahkan kerja-kerja jentera;
(v) Memudahkan kerja-kerja pembajaan, meracun dan kawalan perosak.

Merata sawah melibatkan beberapa komponen kerja seperti membuat perataan secara major (major land levelling) dan perataan secara minor (minor land levelling), membina ban di antara petak sawah, membina parit ladang serta parit tengah dan memasang kotak kawalan air.

Operasi merata tanah walaubagaimanapun merupakan gangguan yang paling intensif kepada kaedah penanaman. Oleh itu, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melakukan kerja-kerja perataan tanah. Perubahaan topografi yang besar akan mengurangkan pengeluaran sehinggalah kesuburan tanah pada kawasan tersebut dapat diganti semula. Tanah yang terlalu padat juga mengurangkan kadar resapan air menyebabkan kawasan berkenaan sentiasa ditenggelami air. Bagi sesetengah kawasan yang mempunyai tanah yang terlalu lembut atau tidak mempunyai saliran yang baik pula, jentera berat tidak dapat digunakan. Jadi, sistem saliran yang baik juga perlu diberi perhatian di dalam proses perataan tanah sawah.

Fasa kejuruteraan

Sebagai permulaan, kawasan yang hendak diratakan perlu dikaji dan keseluruhan strategi bagi pengairan dan saliran perlu dikaji. Setelah kajian dibuat, perataan secara skala kecil boleh dibuat.

Langkah pertama di dalam membuat perataan tanah ialah membuat plan bagi kawasan. Ia melibatkan kerja meletakkan grid rujukan pada kawasan berkenaan, membuat pemerhatian kepada topografi sedia ada dan membuat pengiraan untuk mendapatkan topografi baru dengan mengubah titik pada grid kawasan berkenaan mengikut plan. Setelah rangka plan permukaan tanah selesai dibuat, operasi membuat perataan dimulakan. Secara tipikalnya, ia melibatkan kerja-kerja mengubah dan mengalihkan tanah dan kesamaan pada perataan tanah ini bergantung kepada jentera serta alatan yang digunakan dan yang paling penting kemahiran operator jentera tersebut.

Pemerhatian dan pemetaan kawasan melibatkan penentuan sistem grid yang seragam dan pembentukan topografi kawasan. Bagi kawasan penanaman padi di KBLS, lot sawah boleh digunakan sebagai asas untuk pemerhatian ini. Bacaan untuk grid boleh diambil dari lokasi struktur bekalan air seperti palong konkrit bagi memudahkan kerja-kerja penentuan untuk merata tanah sawah dan juga pembinaan parit ladang.

Kecerunan yang sesuai juga perlu ditentukan mengikut keadaan kawasan dan sistem pengairannya. Alur saliran (drainage basin) perlu dibuat sama mengikut arah pada kawasan. Sempadan lot sawah tidak seharusnya mempunyai sebarang cerun–silang (cross–slope), namun bagi sesetengah kawasan, cerun–silang 2 hingga 3 peratus diperlukan bergantung kepada keadaan tanaman dan tanah.

Satu kaedah yang biasa digunakan ialah 'plane method' (kaedah perataan permukaan atau topologi) satu kaedah yang agak rasmi bagi mendapatkan paras ketinggian dan kecerunan yang sesuai untuk perataan tanah sawah.

Kaedah ini ialah regresi linear (linear regression) untuk mengukur permukaan yang rata pada satu garis lurus dalam dua dimensi (two-dimensional manifold). Perubahan akan dibuat pada bahagian tengah permukaan untuk menepati kadar boleh–ubah ‘potong dan isi’ (variable cut/fill ratios) – iaitu satu kaedah di dalam kejuruteraan dimana jumlah tanah yang dipotong (diambil) sama dengan jumlah tanah yang diperlukan bagi menambak dalam kawasan yang sama.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar