Rabu, 09 Februari 2011

Percubaan SRI di Sg Leman : Satu sudut pandangan

Pada 17 Jan 2011, lot demo tanaman padi SRI dituai. Hari penuaian dijalankan dengan meriah, ramai dijemput hadir, terutama sekali pegawai-pegawai pertanian kawasan, petani dan pegawai dari beberapa badan-badan kerajaan. Ini merupakan projek perintis tanaman padi padat secara sistematik dan ditanam secara organik. Walaupun ini bukan merupakan projek SRI pertama yang dijalankan di negara ini, usaha Mak Tam dan Pak Tam amatlah dihargai kerana kesungguhan mereka ingin membawa perubahan ke dalam sektor industri padi di Selangor.

Saya sampai agak lewat, kira-kira jam menghampiri 11.00 pagi. Agak malang kerana padi telah habis dituai. Namun begitu, saya telah pun melihat keadaan padi di lot tersebut sebelum ini. Seperti mana jangkaan awal saya, hasilnya tidaklah seberapa untuk cubaan pertama padi SRI ini. Andaian saya cuma sekitar 750 kg/ekar sahaja. (Ternyata andaian saya tepat. Setelah dibawa ke pukal itulah hasil yang ditimbang). Ini menjadikan berat purata 2.25 tan untuk satu lot atau 1.88 tan/ha.

Pada malamnya pula, saya menyiapkan penilaian berkenaan dengan produktiviti dan kos pengeluaran padi SRI yang dibandingkan dengan kaedah tanaman padi konvensional untuk diberi pada Mak Tam. (Mak Tam juga sibuk membuat laporan pada malam itu).

Saya membuat beberapa penilaian sebelum ini berkenaan SRI. Melalui beberapa artikel hasil penyelidikan berkenaan SRI, bukanlah semuanya membawa berita baik dan khabar gembira. Percubaan SRI di beberapa negara seperti India, Nepal, Indonesia,Laos dan Thailand turut menunjukkan hasil padi SRI lebih rendah jika dibandingkan dengan kaedah tanaman konvensional. Namun begitu, penemuan awal bagi cubaan kali pertama ini tidak sesuai untuk dijadikan kesimpulan bahawa SRI ini gagal dan bukan merupakan satu pilihan untuk tanaman padi. Walaubagaimanapun, saya amat memahami bahawa pilihan yang dibuat oleh petani biasanya berkait rapat dengan kos yang ekonomik dan produktiviti hasil.

Kisah SRI ini boleh dibuat dalam dua bahagian; pertama, penemuan rasmi dari penyelidikan dan pengembangan pertanian, dan kedua, dari evolusi kompleks yang dibawa oleh petani, dengan penglibatan masyarakat dan inovasi di sepanjang evolusi ini. Bercakap berkenaan bahagian kedua, ketika SRI pertama kali diperkenalkan di India, petani di sana mula membuat beberapa penambahbaikan di dalam sistem ini. Walaupun dengan hasil yang tidak seberapa buat permulaan, penggunaan SRI di India menjimatkan air dan benih. Setelah beberapa percubaan dengan inovasi yang berterusan, India menjadi antara pengguna SRI yang terbesar dengan produktiviti yang membanggakan. Malah, di blog Pertanian Selangor terdapat video menunjukkan inovasi petani di India mencipta alat jentera untuk melandak.

Dan tidak terkecuali Encik Nazri, tuan tanah yang membenarkan projek SRI ini dijalankan. Beliau agak kreatif membuat beberapa pengubahsuaian alat melandak. Lakaran sejarah SRI ada menunjukkan sistem ini disempurnakan oleh inovasi petani sendiri. Mungkin beliau akan menjadi pelopor inovasi SRI di Malaysia.

Bagi saya SRI di Selangor masih perlu mengharungi perjalanan yang panjang. Saya juga difahamkan tanaman padi SRI di Tunjang, Kelantan baru memasuki musim keempat. Memperkenalkan SRI menimbulkan banyak persoalan kepada mereka yang skeptikal. Malah saya sendiri turut tergolong dalam golongan ini pada awalnya ketika saya mula-mula menulis berkenaan SRI pada 2009.

Jika kita lihat di India, Indonesia, Laos, Nepal dan negara pelopor, Madagascar, SRI diperkenalkan dan diperkembangkan oleh NGO. Namun dengan usaha dan penglibatan yang berterusan di antara NGO, petani dan badan kerajaan, tanaman padi SRI di negara-negara tersebut sangat memberansangkan. Di Malaysia, Pak Aep (Tunjang, Kelantan) dan Mak Tam (Sabak Bernam, Selangor) boleh dikategorikan sebagai "NGO" yang sedang bergerak mengembangkan tanaman padi SRI.

Ternyata projek perintis SRI ini sangat mengujakan. Saya turut mencadangkan beberapa pengubahsuaian seperti menggunakan tanaman secara baris menggunakan transplanter walaupun konsep SRI merupakan kaedah tanaman secara kotak. (Perlu perbincangan lanjut dengan Mak Tam bagaimana konsep ini akan diubahsuai). Mak Tam juga perlu memikirkan bagaimana menyediakan baja organik dalam kuantiti yang cukup untuk padi SRI memandangkan kos baja organik komersil sangatlah tinggi. Selain itu pestisid organik juga perlu bagi memastikan serangan perosak yang minimum (buah maja pun sudah dijumpai).

Setakat ini sahajalah pandangan saya. Saya akan sambung artikel seterusnya berkaitan sudut ekonomi padi SRI pada catatan akan datang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar