Senin, 14 Februari 2011

Padi bukannya tumbuhan akuatik

Satu penemuan penting di dalam SRI ialah tanaman padi bukan merupakan tumbuhan akuatik. Walaupun pokok padi boleh hidup dalam keadaan akarnya tenggelam di dalam air, sebenarnya pokok padi bukan “direka” atau dicipta untuk hidup di dalam air. Mungkin ramai yang skeptikal dengan fakta ini. Ia samalah juga jika saya memberikan fakta yang saya dapat dari sebuah buku mengenai penjagaan kucing; banyak kucing sebenarnya alah (alergik) kepada ikan. Pelik bukan?

Inovasi SRI banyak bertentangan dengan amalan biasa penanaman padi. Amalan penanaman secara SRI menggunakan anak benih padi yang muda (12 hingga 15 hari) ditanam di atas tanah yang lembab dan bukannya di dalam air. Mengikut amalan biasa bertanam padi di dalam sawah, kedalaman air di sawah ditentukan mengikut fasa pertumbuhan pokok padi seperti berikut;

Penyediaan tanah/bajak basah : tepu air
Peringkat mengubah/menanam : tepu air sehingga 5 cm
Peringkat pengakaran (10 hingga 30 hari) : 10 cm
Peringkat beranak (30 hari ke atas) : 5 cm
Peringkat tillering : 0 cm (tanah dibiar tepu)
Peringkat pembentukan panicle : 5 cm
Peringkat bunting : 10 cm
Peringkat terbit tangkai : 10 cm
Peringkat berbunga : 10 cm
Peringkat mengisi (susu) : 5 cm
Peringkat masak beku/menguning : 2.5 cm
Peringkat masak (sedia dituai) : 0 cm

Tanaman padi yang ditanam di dalam air akan mengubah fisiologinya mengikut persekitaran. Akarnya membentuk poket udara (yang dikenali sebagai aerenchyma) yang membenarkan oksigen daripada luar sampai kepada akar. Tetapi, penanaman padi di dalam air bukannya satu keadaan ideal bagi padi kerana akar padi sebenarnya memerlukan oksigen terus dari udara. Tanaman padi di dalam air juga boleh menggangu pemindahan nutrien dari tanah kepada batang dan daun.

Dengan kaedah SRI, tanah hanya perlu dibiarkan lembab ketika peringkat pertumbuhan. Apabila sampai kepada peringkat reproduktif (berbunga dan menghasilkan biji padi serta peringkat pengisian), air dinaikkan sedikit di antara 1 hingga 2 cm di atas permukaan tanah. Ini kerana di peringkat reproduktif, keperluan air bagi padi meningkat untuk pengisian padi. Air akan dikeluarkan kira-kira 10 hingga 25 hari sebelum menuai.

Apa yang menakjubkan, pokok padi akan mendapat banyak kebaikan jika tanah hanya dibiarkan kering atau sedikit lembab, sekurang-kurangnya di permukaan tanah. Ini kerana oksigen dari udara akan mudah masuk ke dalam tanah dan digunakan oleh akar. Apabila air tidak tepu di dalam tanah, akar padi akan tumbuh dengan lebih banyak untuk mencari air. Apabila terlalu banyak air, akar padi akan menjadi “malas” dan tidak akan membesar. Ini akan menghadkan keupayaan akar untuk menyerap nutrien dari tanah.

Apabila tanah tidak dibanjiri air sepanjang tempoh penanaman, masalah rumpai akan terjadi. Jadi, kerja-kerja merumpai perlu dijalankan di sepanjang tempoh penanaman supaya tidak menimbulkan persaingan kepada padi untuk air dan nutrien.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar