Minggu, 27 Februari 2011

Padi SRI - dilema tenaga kerja manusia

Kajian yang dibuat di seluruh dunia mendapati salah satu punca utama petani tidak mahu dan mampu untuk mengubah kaedah tanaman konvensional kepada SRI ialah kekurangan tenaga buruh. Ini benar memandangkan membuat sistem yang memerlukan keamatan akan memerlukan pelaburan yang tinggi kepada tenaga manusia. Malah proses menanam satu hektar di Sungai Leman baru-baru ini memerlukan hampir 10 orang dengan setiap orang dianggarkan bekerja selama 8 jam sehari.

Walaupun terdapat negara yang mengamalkan SRI berjaya mengurangkan jumlah tenaga manusia untuk amalan SRI, jumlah jam di sawah tidak berubah. Di Sri Lanka dan Madagascar sebagai contoh, petani yang mengusahakan tanaman padi SRI akan menghabiskan masa 500 jam bagi setiap hektar. Kaedah SRI dilaporkan memerlukan 25% lebih masa berbanding kaedah konvensional. Nilai ekonomik akan menjadi kekangan utama kerana kadar upah meningkat dengan peningkatan buruh dan jam bekerja.

Jika tanaman padi SRI mencapai hasil yang tinggi (dan lebih tinggi berbanding kaedah konvensional), jumlah jam petani ini mungkin berbaloi kerana dibayar oleh hasil yang tinggi. Sebagaimana yang dilaporkan di Madagascar, petani yang mahir di dalam SRI pada satu tahap tidak memerlukan masa yang panjang untuk bekerja di dalam sawah. Namun begitu, amalan ini masih tidak dapat lari dari isu tenaga manusia dan kaedah SRI ini adalah kaedah yang menggunakan sepenuhnya tenaga buruh (labour intensive).

Terdapat beberapa kaedah yang diamalkan di Madagascar bagi mengurangkan beban tenaga kerja manusia. Ini termasuklah menggunakan jentera bagi penyediaan tanah sawah, menyembur baja dan racun organik, penyediaan nurseri benih yang kecil dan menggunakan khidmat petani yang mahir bagi membimbing petani lain.

Selain menanam, satu lagi cabaran utama menggunakan tenaga manusia ialah membuang rumpai dengan kaedah melandak. Jika tanah sawah perlu dilandak sehingga 8 kali semusim, bayangkan jumlah tenaga kerja dan kadar upah yang perlu diberi. Petani mempunyai pilihan membuat minimum dua kali melandak dalam satu musim jika rumpai tidak terlalu banyak. Membuat kerja melandak juga memerlukan petani mengira jumlah tenaga kerja yang setimpal dengan pendapatan. Jika terlalu tinggi kos untuk melandak, kemungkinan hasil yang diperolehi tidak mampu untuk memberi pulangan kepada kos.

Apakah penyelesaian kepada dilema ini?
  • Petani yang berminat untuk mengusahakan tanaman padi SRI boleh membuat eksperimen terlebih dahulu. Gunakan lot kecil (satu ekar) untuk eksperimen. Petani boleh menimba pengalaman sepanjang musim penanaman dengan menyimpan rekod jumlah tenaga kerja dan input yang diperlukan.
  • Penggunaan jentera menanam transplanter juga dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah tenaga buruh.
  • Mesin bagi melandak dapat mengurangkan jumlah jam bekerja dalam sawah. Beberapa inovasi petani di India dan Sri Lanka menunjukkan penggunaan mesin melandak mampu mengurangkan kos upah dan menjimatkan masa.
  • Pengawalan perosak dan kerja menyembur baja organik boleh dibuat dengan jentera penyembur.
Petani tidak seharusnya melihat kekurangan tenaga buruh sebagai kekangan bagi mencuba kaedah ini. Terdapat beberapa kaedah menggunakan teknologi bagi memudahkan kerja-kerja di sawah. SRI merupakan salah satu dari teknologi yang boleh meningkatkan hasil disamping menambah produktiviti kepada tanah, buruh dan air. Sasaran utamanya ialah meningkatkan hasil padi beberapa kali bagi kesemua faktor pengeluaran menjadi lebih produktif dan petani boleh mendapat pulangan yang lebih daripada sumber yang mereka ada, bermula dengan buruh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar