Rabu, 12 Januari 2011

Pengurusan air sawah

Pengurusan air ialah gabungan proses pengambilan, penyaluran, pengawalseliaan, pengukuran, penyebaran, penggunaan dan pembuangan air. Ia tertumpu di peringkat sawah di mana proses-proses tersebut dilakukan pada kadar, kuantiti dan masa yang tepat untuk mendapatkan keuntungan maksima daripada penggunaan tanah dan air. Dalam memastikan air dapat disalurkan secara cekap, tiga perkara harus ditekankan, iaitu;
  • Pastikan ban dalam keadaan baik dan mengikut piawai; 
  • Pastikan keadaan sistem taliair utama, sekunder, tersier dan sistem saliran berfungsi dengan baik; 
  • Pastikan infrastruktur pengairan, saliran dan jalan ladang dalam keadaan baik dan diselenggarakan secara berjadual.
Rajah 1: Keratan rentas struktur sawah dan infrastruktur pengairan dan saliran


Pengurusan air sawah

Peringkat penyediaan tanah sawah
Baiki batas sawah. Sebaik-baiknya ukuran batas tidak kurang daripada 30.5 cm lebar dan 15 cm tinggi. Pemeriksaan dan pembaikan batas hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kebocoran dan menjamin simpanan air yang cukup bagi tanaman. Tanah sawah perlu diratakan dengan sempurna supaya bekalan air dapat diagihkan sama rata.



Peringkat pra tepu
Air dimasukkan ke dalam sawah untuk melaksanakan aktiviti membajak atau badai ketiga. Petani perlu memastikan air dalam sawah di keluarkan sehingga peringkat tepu sahaja (diistilahkan: air cap-cap).



Peringkat menabur benih
Air akan dibuang sehingga permukaan sawah menjadi cukup sekadar basah sahaja. Benih padi akan ditabur ke atas permukaan tanah. Pastikan taburan sekata dan seragam.
*Jika guna kaedah tabur serak dalam air, maka air dalam sawah tidak perlu dibuang.



Peringkat vegetatif (tampang)
Air dimasukkan ke dalam sawah dan aras air di dalam sawah dinaikkan secara beransur-ansur sehingga ke paras 5 cm. Pastikan batas sawah tidak bocor agar air tidak dibazirkan.



Peringkat beranak (tillering)
Selepas itu, paras air hendaklah dinaikkan dan dikekalkan pada paras 10 cm selama lebih kurang 35 hari iaitu ke peringkat beranak maksima. Air yang berlebihan hendaklah disalirkan keluar.



Peringkat bunting
Pastikan aras air di dalam sawah adalah 5 cm hingga 10 cm. Air yang terlampau dalam menggalakkan pokok padi meninggi. Ini memudahkan lagi kejadian padi rebah. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi terbit
Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi terbit penuh
Air dikekalkan 5 hingga 10 cm. Air berlebihan hendaklah disalir keluar.



Peringkat padi mengisi
Air dikurangkan ke paras 2.5 hingga 5 cm sahaja. Pastikan parit dalam sawah dalam keadaan bersih untuk memudahkan pembuangan air.



Peringkat padi masak sehingga padi dituai
Air akan dibuang sepenuhnya pada peringkat padi mula menguning. Bergantung kepada varieti padi, usia padi masak mungkin berbeza; 96 hingga 105 hari (MR 211), 100 hingga 110 hari (MR 219, MR220), 110 hingga 125 hari (MR 159, MR167, MR84, MR185).


Faedah mengurus air
  • Menjamin bekalan air yang cukup di sawah. 
  • Dapat mengelakkan pembaziran air. 
  • Dapat mengawal rumpai. 
  •  Masa yang kritikal untuk menyekat pertumbuhan rumpai bermula dari menanam hingga 25-35 hari selepas menanam (bergantung kepada jenis padi). 
  • Dapat mengelakkan pertelagahan atau salah faham di antara petani. 
  • Dapat mengawal penyakit seperti reput tangkai dan serangga perosak seperti kutu bruang. 
  • Dapat mengurangkan kos pembajaan secara mengurangkan kehilangan baja melalui larian air pemukaan dan larutlesap. 
  • Membolehkan petani menanam padi dengan lebih luas kerana kurangnya pembaziran air.


Pautan luar: Jabatan Pertanian Perak dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Tidak ada komentar:

Posting Komentar