Sabtu, 01 Desember 2012

Trichoderma sebagai agen kawalan biologi

Jika anda membaca blog Mak Tam, ada ditulis berkenaan peranan mikrob dalam mengawal penyakit tumbuhan. Dalam penulisan tersebut, mikrob yang ditunjukkan ialah sejenis kulat (fungi) Thricoderma.

Trichoderma merupakan genus kulat yang hadir dalam semua tanah, di mana mereka adalah kulat yang paling lazim dan boleh dikultur (dibiakkan). Banyak spesies dalam genus ini bersimbiosis dengan tumbuhan. Terdapat 89 spesis kulat ini. Kulat ini membiak dengan aktif pada suhu 25-30°C, tetapi tidak akan tumbuh pada suhu 35°C. Rajah 1 (kiri) menunjukkan kewujudan koloni kulat Trichoderma secara semulajadi (dari Wikipedia). Trichoderma biasanya mempunyai konidia (spora) yang bewarna putih, hijau atau kuning. Trichoderma membuat koloni pada akar tumbuhan dan beberapa jenis (strain) kulat ini mempunyai daya saing yang tinggi dalam rizosfera dan mampu membiak ketika akar tumbuhan sedang berkembang. Trichoderma spp. juga menyerang, menjadi parasit dan mendapatkan pemakanan dari kulat lain. Mereka juga telah membangunkan pelbagai mekanisme untuk menyerang kulat lain dan meningkatkan pertumbuhan akar pokok. Sesetengah spesis Trichoderma boleh mengawal hampir semua jenis kulat dan patogen yang membawa penyakit kepada tumbuhan.


Rajah 2: Kultur Trichoderma harzianum. Kultur berwarna putih tanpa spora manakala kultur berwarna hijau menunjukkan kehadiran spora. Kredit gambar: Cornell University.

Rajah 3 (kanan): Rupa bentuk Trichoderma harzianum (dari Wikipedia). Spesis seperti T. harzianum, T. viride and T. hamatum memang dikenali sebagai agen kawalan biologi. Beberapa produk fungisid dibuat daripada T. harzianum dan dikomersilkan bagi mengawal penyakit bawaan Botrytis, Fusarium dan Penicillium spp. Selain itu, spesis seperti T. reesei, T. longibratum dan T. harzianum digunakan dalam industri bagi menghasilkan enzim.

Di samping membuat koloni pada akar, Trichoderma meningkatkan perkembangan pokok dan pertumbuhan akar. Trichoderma membantu pokok untuk menghadapi tekanan melalui perkembangan akar, melarut dan memecahkan nutrien tidak organik, menghalang pembentukan enzim patogen berbahaya dan membentuk ketahanan kepada pokok bagi melawan penyakit.


Rajah 4: Pengkolonian T. harzianum T22 pada akar rerambut jagung. Kredit gambar: Cornell University.

Beberapa kebolehan kulat ini telah dikaji oleh Cornell University. Mereka mendapati bahawa salah satu strain kulat ini meningkatkan bilangan akar umbi (beberapa meter di bawah permukaan tanah). Perkembangan ini membolehkan tanaman seperti jagung, dan tumbuhan hiasan, seperti rumput turf, untuk menjadi lebih tahan kepada kemarau. Mungkin lebih penting lagi, penyelidikan baru-baru ini menunjukkan tanaman jagung yang akarnya dikoloni oleh Trichoderma T-22 mengurangkan keperluan baja nitrogen sehingga 40% berbanding tanaman jagung yang tidak dirawat dengan kulat ini. Penggunaan organisma ini boleh menyediakan satu kaedah bagi petani untuk mengekalkan produktiviti pertanian yang tinggi tanpa meningkatkan kos input. Kajian juga menunjukkan akar kacang soya yang dirawat dengan Trichoderma T-22 lebih sihat dan panjang (Rajah 5).


Rajah 5: Perbandingan akar kacang soya yang dikoloni oleh T. harzianum T22. Kredit gambar: Cornell University.

Nota: Ketika Bengkel Agroekologi di LOVELY Sik Prof. Madya Dr. Anizan Isahak menunjukkan kultur kulat Thricoderma yang diambil daripada sawah padi SRI organik di Tunjong, Kelantan. Strain ini digunakan untuk tanaman padi bagi menggalakkan perkembangan akar padi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar