Satu kompilasi keputusan daripada 11 kajian yang dibuat di 8 buah negara oleh kombinasi universiti, pusat-pusat penyelidikan pertanian antarabangsa, NGO, agensi kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan menunjukkan kaedah SRI yang diamalkan sepenuhnya atau hanya separa dapat memberi keputusan berikut berbanding dengan amalan petani yang biasa:
52% hasil purata meningkat dalam tan/ha (range: 21 - 105%)
44% penurunan purata keperluan air (range: 24 - 60%)
25% penurunan purata kos pengeluaran per hektar (range: 2.2 - 56%)
128% peningkatan purata hasil bersih per hektar (range: 59 - 412%)
(Uphoff, 2007).
Disamping meningkatkan kecekapan tanah, SRI juga meningkatkan kecekapan air - dengan bilangan pokok dari satu anak benih (ketika keperluan air kini menjadi topik hangat dan masalah kekurangan air dijangka akan berlaku). SRI mampu meningkatkan keuntungan dengan meningkatkan hasil dan mengurangkan kos pengeluaran (dengan penggunaan bahan input kimia dielakkan sama sekali). Ketika dalam peringkat pembelajaran, SRI akan memerlukan banyak tenaga buruh dan perkara ini merupakan satu kekangan kepada amalan SRI untuk dikembangkan. Namun setelah petani mahir di dalam SRI, jumlah tenaga buruh dapat dikurangkan.
Selain daripada tenaga buruh, antara keperluan SRI yang menyebabkan kekangan amalan sistem ini termasuklah:
- Pengawalan air yang cekap - supaya air dapat disalurkan dengan baik dan tetap. Jika air tidak dikawal dengan baik, kesan positif tidak dapat dicapai.
- Penggunaan baja organik. Jika bahan organik seperti sisa tanaman dan tinja haiwan kurang, petani perlu menambah kos untuk mendapatkannya.
- Motivasi dan kemahiran - kerana "keamatan" tanaman memerlukan pengetahuan dan pengurusan daripada petani, bukannya bergantung kepada bahan input yang dibeli.
- Lebih banyak kawalan perosak perlu dibuat memandangkan amalan SRI mengurangkan penggunaan racun terutama sekali pokok padi SRI mempunyai anak pokok dan kanopi yang besar.
Daripada perspektif SRI, tanaman padi dilihat sebagai organisma yang mempunyai keupayaan dan strategi untuk tumbuh dengan "kerjasama" diversiti populasi organisma dalam tanah. Kedua-dua tanaman dan biota tanah saling melengkapi antara satu sama lain di dalam bentuk hubungan simbiotik. perspektif ini sangat berbeza dengan Revolusi Hijau dimana tanaman dilihat sebagai mesin/kilang biologi yang direka dan dibentuk untuk menyediakan keperluan manusia, diberikan input dari bahan luar berbanding sifat semulajadi tanaman mendapatkan makanan dari proses endogenous sistem tanah.
Pencapaian SRI agak berubah-ubah kerana proses biologikal yang dinamik dan interaktif lebih daripada tanaman yang mempunyai potensi genetik yang terhad dan diberi input. Namun dengan data yang diperolehi dari pelbagai kajian, purata pengeluaran SRI lebih tinggi, melebihi tanaman yang bergantung kepada input. Keputusan juga menunjukkan margin yang besar dan memberi banyak peluang kepada peningkatan produktiviti kepada semua faktor pengeluaran, bukan sahaja tanah.
Artikel ini tidak akan menerangkan sebab berkaitan keputusan tersebut dengan panjang lebar. Secara ringkas, produktiviti yang dicapai dengan amalan SRI disebabkan oleh (1) SRI menggalakkan pertumbuhan sistem akar yang besar dan akar tersebut tidak "lemas" di dalam air di dalam tanah yang dibanjiri air (hypoxic soil). (2) Keadaan tanah yang aerobik dengan kehadiran bahan organik yang banyak di dalam tanah bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan dan keupayaan akar, malah meningkatkan diversiti, bilangan dan aktiviti organisma dalam tanah yang akan membekalkan nutrien secara semulajadi dan perlindungan kepada tanaman. SRI membawa kembali proses simbiotik tanaman dengan sistem tanah secara semulajadi yang telah terbentuk sejak 400 juta tahun yang lampau. (3) Dengan sistem akar yang baik dan peningkatan aktiviti biologi tanah, akar dapat menyerap nutrien seperti N, P dan K serta mikro nutrien dengan lebih berkesan menjadikan baja tidak organik tidak diperlukan. (4) Sistem ini juga mengurangkan penggunaan racun sekaligus meningkatkan populasi dan diversiti musuh semulajadi dan parasitoid kepada perosak tanaman. Amalan ini akan membawa kepada satu lagi bentuk perhubungan tanaman dengan ekologi, tropobiosis.
Namun demikian, amalan SRI tidak seharusnya dilihat cuba mengubah amalan konvensional kepada 100% organik. Penggunaan input kimia masih dibolehkan dalam keadaan terkawal dan paling minimum. Terdapat juga versi SRI yang mengamalkan pertanian padi organik sepenuhnya yang membawa logik sistem ini kepada satu tahap yang lebih tinggi. Penggunaan bahan organik dilihat mempunyai masa depan yang cerah ke arah kesihatan dan kelestarian alam semulajadi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar