Jumat, 14 Desember 2012

Kebaikan air laut kepada tanaman padi

Sebelum ini, Mak Tam ada menceritakan tentang kegunaan air laut bagi sawah dan telah menyediakan jadual penanaman di sini dan di sini. Kadar air laut yang digunakan bagi pam penyembur ialah 600 ml air laut + 25 liter air. Menurut Pak Lang, seorang petani yang giat mengamalkan kaedah penanaman SRI, beliau menggunakan campuran air laut yang lebih tinggi daripada yang disyorkan iaitu kira-kira 20 liter air laut + 200 liter air. Menurut beliau, pokok padi lebih sihat dan mampu bertahan kepada serangan penyakit reput tangkai dan hawar daun bakteria.

Rajah 1 (kiri) yang diambil daripada perbentangan Mak Tam yang bertajuk Optimizing Cost Using IMO di dalam Bengkel IPM September lalu, memberi sedikit gambaran berkenaan kebaikan air laut yang berguna untuk tanaman padi. Disebabkan itu, air laut menjadi ramuan "wajib" untuk disembur bersama produk-produk natural farming di sawah.


Rajah 2: Unsur-unsur yang terkandung dalam air laut

Beberapa kajian kebaikan air laut telah dibuat di seluruh dunia. Antaranya ialah campuran air laut yang disembur pada tanaman tomato dapat meningkatkan kandungan anti oksidan serta kandungan vitamin C dan E seperti dalam artikel dalam Rajah 3 di bawah.


Dr. Maynard Murray seorang pakar dalam bidang pertanian, biologi dan kesihatan, menulis di dalam buku yang berjudul Sea Energy in Agriculture: Renewing the Soil with Sea Solids yang diterbitkan pada tahun 1976;

“A cubic foot of seawater sustains many times more living organisms than an equivalent of soil. Seawater is literally alive, especially if its temperature is warm.”

Beliau yang memulakan kajian sejak tahun 1940, telah membuat banyak eksperimen kesan penggunaan air laut pada pelbagai jenis tanaman - epal, tomato, barli, gandum, padi, lobak, oat, jagung, kacang soya, sayuran dan pokok buah-buahan. Walaupun wujud beberapa kritikan terhadap kajiannya yang menyatakan garam akan membunuh tumbuhan dan Murray mengakuinya. Beliau kemudian menyatakan bahawa garam yang wujud bersama-sama unsur lain di dalam air laut tidak akan membunuh tumbuhan, malah membekalkan unsur dan nutrien yang membantu pertumbuhan dan perkembangan tanaman jika diberi pada kadar yang betul dan tepat.

Kajian yang dibuat selama 20 tahun mula membuahkan hasil. Beliau mendapati semua nutrien penting boleh dibekalkan oleh air laut, termasuk nitrogen. Melarutkan air laut yang lengkap bersama air segar membentuk sebatian pada kepekatan 1,000 hingga 8,000 bahagian per sejuta (ppm). Beliau menambah;

“My experiments proved adequate supplies of food can be developed if man recycles the sea.”

Murray menyedari selepas beberapa siri eksperimen kekurangan nutrien adalah elemen penting yang menyumbang kepada penyakit-penyakit tanaman: "Kajian saya jelas menunjukkan rakyat Amerika kekurangan fisiologi kimia yang lengkap kerana elemen penting yang seimbang dalam tanah telah terhakis ke laut, akibatnya, tanaman mengalami kekurangan nutrien, dan haiwan yang memakan tumbuh-tumbuhan ini juga turut mengalami kekurangan nutrien.

"Mineral telah terhakis keluar dari tanah kerana pengambilan berterusan tanaman dan hakisan. Kebanyakan tanaman memerlukan 40 unsur-unsur dari tanah. Dalam kes ini kita hanya menambah 12 sahaja unsur melalui pembajaan."

Mengakhiri penulisan beliau dalam buku tersebut, beliau menyatakan; "untuk manusia untuk terus hidup di bumi, dia mesti membuat perubahan asas. Manusia mesti melihat kepada lautan sebagai sumber unsur-unsur yang diperlukan. Unsur-unsur ini mesti dikembalikan kepada tanah supaya makanan yang lebih berkualiti, lebih sihat boleh dihasilkan. Manusia mesti berhenti memusnahkan tanah. Ini memerlukan perubahan asas dalam sistem pertanian kita. Ladang komersil yang besar perlu dipecahkan kepada kebun-kebun organik kecil yang boleh menggantikan tempatnya. Kita mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk membuat perubahan ini. Apa yang diperlukan sekarang ialah keinginan."

Beliau juga sering menyebut perkataan ini;

“Nature can teach us so much, if we would only listen.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar