Jumat, 14 Desember 2012

Dua Tahun

Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti [Saidina Ali bin Abi Talib]

Blog ini telah mencapai batu tanda dua tahun (klik di sini bagi entri sempena Satu tahun). Banyak yang telah saya pelajari dan dikongsi bersama dalam penulisan blog ini yang kini mencecah tahun kedua. Namun, dunia ilmu sangat luas, banyak ilmu lagi yang belum diterokai untuk kita bersama-sama mencari dan belajar.

Apakah pencapaian yang unik dalam tahun ini? Salah satu pencapaian yang membanggakan ialah penganjuran bengkel SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM. Satu lagi ialah penganjuran bengkel agroekologi di LOVELY Sik Kedah.

Blog ini juga banyak membincangkan berkenaan ekonomi hijau dan pertaliannya dengan pengeluaran makanan. Pendekatan pertalian makanan dengan ekonomi ini boleh menyokong peralihan kepada kelestarian, dengan menjana manfaat tambahan berkaitan dengan integrasi yang lebih kukuh di seluruh sektor. Pendekatan pertalian ini boleh mencipta beberapa peluang, termasuk:
  • Peningkatan produktiviti sumber. Fokus pertalian adalah pada kecekapan sistem dan bukannya pada produktiviti sektor tertentu.
  • Sisa buangan sebagai sumber dalam kepelbagaian penggunaan sistem. Pengurusan yang melangkau pelbagai sektor boleh meningkatkan kecekapan penggunaan sumber secara keseluruhan. Sisa buangan boleh dijadikan sumber untuk produk-produk lain.
  • Pembangunan Merangsang melalui insentif ekonomi. Pendekatan pertalian boleh membantu untuk mengelakkan pelaburan pembangunan ke laluan yang bukan mampan.
  • Urus tadbir, institusi dan dasar. Ini termasuk melonggarkan syarat tertentu, pembinaan institusi, kemahuan politik, agen perubahan dan pembinaan kapasiti.
  • Mendapat manfaat daripada ekosistem yang produktif. Pertanian hijau boleh memberi manfaat seperti daya tahan untuk risiko iklim sambil meningkatkan keselamatan makanan.
  • Pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan hijau secara bersepadu. Pertanian hijau boleh menjana pekerjaan yang lebih banyak di luar bandar dan meningkatkan kepelbagaian dan daya tahan sistem pengeluaran.
  • Pembangunan kapasiti dan peningkatan kesedaran. Ini boleh membantu untuk menangani kerumitan terhadap pendekatan yang merentas sektor, dan untuk menggalakkan gaya hidup yang lestari dan corak penggunaan.
  • Bergerak ke arah ekonomi hijau. Sebagai pendekatan ekonomi hijau bertujuan "untuk bersatu di bawah panji-panji tunggal yang sesuai kepada keseluruhan dasar ekonomi yang relevan kepada pembangunan lestari".
Di dalam mencorakkan pengeluaran makanan yang hijau, peranan pertanian lestari amat penting. Kempen dan latihan agroekologi, natural farming dan penanaman padi SRI dilihat banyak membantu petani berubah kepada amalan pertanian yang lebih sihat, selamat dan menguntungkan. Peranan petani sangat kritikal di sini, dimana mereka perlu menjadi guru kepada rakan-rakan mereka melalui amalan contoh.

Usaha-usaha pengembangan giat dilaksanakan bagi mempromosikan pertanian lestari dan agroekologi -- terima kasih kepada pakar-pakar dari pada UKM dan UPM seperti Prof. Dr. Wan Mohtar, Prof. Dr. Sharifah Mastura, Prof. Dr. Salmijah Siraf, Prof. Madya Dr. Anizan Isahak, Prof. Datin Dr. Rosenani, Prof. Madya Dr. Siti Hajar, Dr. Habibah, Dr. Rosmizan dan ramai lagi yang tidak sempat disebut di sini yang sedia membantu dari segi ilmu dan kepakaran mereka. Di peringkat akar umbi yang menjadi barisan hadapan pejuang pertanian lestari -- Mak Tam, Pak Tam, Wahidah, Salbiah, Dr. Anni, Tn. Hj. Anuar dan ramai lagi serta petani-petani yang berterusan memperjuangkan pertanian lestari melalui kaedah SRI.

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca blog ini. Semoga blog ini terus memberi manfaat kepada pembaca dan dapat mencapai batu tanda tahun ketiga. Terima kasih.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar