Senin, 31 Desember 2012

Diversiti bakteria pengikat nitrogen endofitik daripada pokok buluh

Entri sebelum ini menceritakan perihal kulat yang didapati daripada daun buluh yang mereput melalui satu kajian. Kali ini, di China (wilayah Guangdong), di Kolej Pertanian, Universiti Selatan China. Sekumpulan penyelidik daripada Makmal Pembiakbakaan Tumbuhan universiti berkenaan membuat kajian berkenaan diversiti mikrob endofitik (mikrob yang menjalankan hubungan simbiotik dengan perumah) yang didapati dari pokok buluh duri (Bambusa blumeana) yang terdapat banyak di negara Asia tropika. Gambar kiri: Buluh duri (kredit: NHE Rabbitry)

Bakteria endofitik seperti Acetobacter, Azoarcus dan Herbaspirillum, yang biasa terdapat daripada tumbuhan graminaceous, menduduki tisu tumbuhan dan mampu mengikat sejumlah nitrogen bagi keperluan tumbuhan tersebut (James and Olivares, 1998; Reinhold-Hurek and Hurek, 1998). Bakteria pengikat nitrogen juga dikenali sebagai diazotroph. Berdasarkan kajian ini, pelbagai spesis bakteria endofitik dijangka boleh dijumpai daripada pokok buluh dan menjadi sumber bio mikroorganisma yang menggalakkan pertumbuhan tanaman. Kajian yang dijalankan di China ini bertujuan mencari bakteria endofitik pengikat nitrogen dan membuktikan diversiti bakteria endofitik ini hidup dalam pokok buluh.

Akar, batang dan daun buluh duri dikutip yang kemudiaannya dibersihkan. Sampel-sampel ini kemudian dibuat ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) dan Sodium Dodecyl Sulphate–Polyacrylamide Gel Electrophoresis (SDS-PAGE).

Ujian aktiviti nitrogenase

Berdasarkan pertumbuhan bakteria pada media bebas N, bilangan diazotroph yang paling hampir dalam tisu segar buluh berada dalam lingkungan 4.5x104 dan 6.6x106 sel/g. Dengan menggunakan kaedah acetylene reduction assay (ARA), 40 strain dikenalpasti sebagai diazotroph. Jadual 1 menunjukkan aktiviti nitrogenase daripada 40 pencilan yang dianggarkan melebihi 500 nmol/ml per jam (h), yang mana nilainya lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelum ini (Hafeez dan Malik, 2000). Strain z7 merekodkan 3790 nmol/ml per h, yang mempunyai aktiviti nitrogenase tertinggi. Kebanyakan bakteria pengikat nitrogen endofitik (32 strain) tertumpu di bahagian akar. Hanya 4 strain dijumpai di bahagian daun dan batang.

Jadual 1: Aktiviti nitrogenase pencilan daripada pokok buluh

Pencilan diazotroph diletakkan dalam lima kluster (I, II, III, IV and V) melalui proses kaedah SDS-PAGE (elektroforisis) jujukan protein. Analisis kepada jujukan 16 rDNA yang mewakili setiap strain menunjukkan kehadiran diversiti bakteria pengikat nitrogen (Jadual 2) yang banyak daripada genera Azospirillum (subkelas-α proteobacteria), Escherichia dan Pseudomonas (subkelas-ɣ proteobacteria), dan Aquaspirillum (subkelas-β proteobacteria). Ternyata buluh ini mempunyai diversiti bakteria pengikat nitrogen yang besar.

Jadual 2: Spesis-spesis bakteria pengikat nitrogen yang paling hampir yang terdapat pada pokok buluh

Ciri-ciri fisiologi diazotroph endofitik dan sifat-sifat biologi buluh menjelaskan mengapa kebanyakan bakteria endofitik pengikat nitrogen telah diasingkan daripada akar Bambusa blumeana. Diazotroph endofitik boleh membekalkan nitrogen dan metabolit sekunder kepada tumbuhan perumah. Tumbuhan perumah juga mengeluarkan metabolit berguna kepada bakteria dalam tanah melalui akar. Hubungan simbiotik (endofitik) ini menyuburkan pokok buluh dan menggalakkan pertumbuhan tunas baharu buluh. Akar pokok buluh menyediakan tempat yang sesuai bagi bateria ini berkembang dan membiak. Tekanan rendah oksigen pada akar berbanding dalam batang dan daun buluh memberi kesan positif dalam mempengaruhi kehidupan mikroorganisma pengikat nitrogen (Gu dan Wu, 1999; Lauren et al, 2003).

Sumber: Journal of Agricultural Biotechnology 2007

Rabu, 26 Desember 2012

Aktiviti enzim kulat daripada daun buluh reput

Kajian awal membuktikan kulat lebih aktif berbanding bakteria ketika peringkat mula pereputan. Kulat bertindak sebagai peringkat trofik pertengahan di antara daun yang gugur dan invertebrat pemakan daun (Barlocher, 1985; 1992; Suberkropp, 1992). Biojisim kulat, sporulasi, aktiviti enzim dan struktur komuniti semuanya dipengaruhi oleh komposisi daun dan oleh faktor persekitaran seperti suhu air dan kimia, yang sering berubah-ubah sepanjang tempoh pereputan daun (Suberkropp dan Chauvet, 1995; Sridhar dan Barlocher, 1997). Kebanyakan biojisim kulat pada daun reput terdiri hyphae vegetatif (tidak produktif) yang tidak boleh dikenal pasti melalui mikroskop konvensional (Nikolcheva et al, 2003). Kebanyakan kulat yang membantu pereputan daun buluh bersifat akuatik; daripada phylum Ascomycota dan Basidiomycota (Webster, 1992, Alexopoulos et al, 1996,). Mereka terdiri daripada kulat yang menghasilkan konidia eksklusif dalam persekitaran akuatik atau di dalam air yang terperangkap dalam ruang zarah tanah. Habitat pilihan mereka adalah aliran air yang bersih, mempunyai pengudaraan yang baik dan tahap pencemaran yang rendah.

Satu kajian dijalankan di Nigerian Institute for Oceanography and Marine Research, Victoria Island, Lagos bagi mengenalpasti kehadiran kulat dalam daun buluh yang reput. Sebanyak 40 pencilan (isolates) kulat telah diperolehi, dan telah dikenal pasti sebagai Aspergillus, Fusarium, Mucor, Rhizopus, Trichoderma dan beberapa genus yang tidak dikenali. Pencilan kulat dianalisa bagi mengesan kehadiran selulase dan aktiviti lignase. Semua 13 pencilan yang digunakan (yang mewakili semua kulat yang diperolehi) menunjukkan kehadiran selulase, lignin peroxidase dan manganase peroxidase.

13 kulat (Aspergillus flavus, Trichoderma viride, Trichoderma sp, Rhizopus stolonifer, Aspergillus niger, Trichoderma viride, kulat tidak dikenalpasti 3, Fusarium sp, Aspergillus sp, kulat tidak dikenalpasti 2, Mucor sp, kulat tidak dikenalpasti 1, dan Trichoderma sp yang berlainan diasingkan telah digunakan untuk analisis bagi menentukan aktiviti enzim.

Aktiviti cellulase dan lignase

Aktiviti cellulase pencilan kulat per minit yang berbeza ditunjukkan dalam Rajah 1. Kulat yang tidak dikenalpasti 2 (D2) mempunyai aktiviti cellulase tertinggi manakala kulat Aspergillus niger (C7) mempunyai aktiviti cellulase terendah. Aktiviti lignin peroxidase dan manganese peroxidase pencilan kulat per minit adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 dan 2. Rhizopus stolonifer (B17) mempunyai aktiviti lignin peroxidase tertinggi manakala Trichoderma viride (C5) mempunyai aktiviti terendah. Aspergillus sp (B10), mempunyai aktiviti manganese peroxidase tertinggi manakala Mucor sp (B13) mempunyai aktiviti terendah.

Jadual 1: Aktiviti lignin peroxidase kulat yang diasingkan

Rajah 1: Aktiviti cellulase beberapa jenis kulat yang diasingkan daripada daun buluh reput

Jadual 2: Aktiviti manganase peroxidase beberapa jenis kulat yang diasingkan daripada daun buluh reput

Schoenlein-Crusius et al. (1990) juga telah melaporkan kulat Mucor sp., Rhizopus sp., Fusarium sp, dan Trichoderma sp. yang diasingkan daripada daun reput di dalam air. Kulat-kulat ini dapat mengkoloni daun, mungkin disebabkan sifat saprophytic mereka dan sistem enzim yang cekap untuk menguraikan komponen daun buluh yang kuat yang terdiri terutamanya daripada lignin, selulosa dan hemiselulosa (Tomalang et al., 1980). Sesetengah kulat sukar dikenalpasti kerana tidak mempunyai spora seperti mana kajian Nikolcheva et al. (2003) mendapati banyak kulat yang wujud pada daun buluh yang reput mempunyai mycelia yang tidak dapat dikenalpasti melalui mikroskop biasa. Pengeluaran enzim selulase dan lignase oleh kulat yang telah dikenalpasti dan tidak dikenalpasti membawa kepada penguraian daun buluh dengan produk akhir gula ringkas. Ini adalah sangat penting dalam memudahkan aliran tenaga dan kitaran nutrien. Aktiviti penguraian unsur mangan yang dilakukan oleh kulat-kulat ini melalui manganase peroxidase dapat membantu tumbuhan menyerap unsur mangan dengan lebih mudah.

Nota: dalam entri sebelum ini - Peranan Trichoderma kepada tanaman padi ada dinyatakan berkenaan peranan kulat ini dalam mengurai dan melarutkan unsur mangan (Mn) melalui proses manganase peroxidase. Kulat ini juga menghasilkan enzim bagi mengurai substrat kompleks seperti lignin, sellulase dan hemiselulosa yang membantu dalam pereputan daun buluh dan jerami padi.

Senin, 24 Desember 2012

Makhluk halus bawah pokok buluh

Zainal, Salleh dan Budin adalah sahabat karib sejak kecil lagi. Mereka tinggal di sebuah kampung dan jarak rumah mereka tidak jauh. Di kampung itulah mereka membesar dan mencari rezeki. Pekerjaan utama penduduk kampung itu ialah menanam padi dan ketiga-tiga mereka mengusahakan sawah padi milik orang tua mereka. Selain itu, mereka juga mengambil upah meracun untuk menambah pendapatan.

Memandangkan rumah mereka berhampiran dengan surau, mereka biasa berjalan kaki untuk ke surau. Selesai solat Isyak, mereka akan melepak di kedai kopi Pak Mail dan bercerita bermacam-macam perkara. Jam 11.00 malam barulah mereka balik ke rumah. Biasanya mereka berjalan bersama-sama sambil bergurau memecah keheningan malam.

Pada suatu malam, ketika pulang dari kedai kopi mereka melalui jalan di hadapan sebuah rumah kosong yang ditinggalkan untuk pulang. Di pinggir rumah itu tumbuh pokok buluh yang sangat rimbun. Tiba-tiba Zainal ternampak sesuatu di bawah pokok buluh. Dia segera memberitahu sahabatnya Budin dan Salleh.

"Din, ko nampak tak? Macam ada benda bawah pokok buluh tu," kata Zainal sambil menyuluh bawah pokok buluh.
"Apa benda tu?" sampuk Salleh.
Budin yang juga membawa lampu suluh menyuluh bawah pokok buluh.
"Macam ada orang letak makanan jer bawah pokok buluh ni," kata Budin.
"Ye la. Ntah-ntah ada orang buat kerja khurafat kat kampung ni," kata Salleh.

Mereka memberanikan diri pergi ke pokok buluh tersebut. Budin menyuluh bekas yang diletakkan di bawah pokok buluh itu.
"Din, macam ada orang letak nasi dalam bekas ni," kata Zainal. "Ni mesti kerja orang nak minta nombor ekor," tambahnya lagi.
Tiba-tiba angin bertiup dan pokok buluh tersebut bergoyang-goyang.
"Aku rasa seram sejuk la. Jom la balik," kata Salleh.
"Aku pun. Jom balik. Nanti benda lain pulak jadinya," kata Budin.

Mereka pun secara tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dan pulang ke rumah masing-masing. Namun dalam fikiran masing-masing tertanya-tanya; siapa yang meletak nasi di bawah pokok buluh itu? Apa tujuannya? Mengapa nasi itu diletakkan di bawah rimbunan daun buluh yang kering?

Keesokan harinya seperti biasa mereka ke surau. Selesai solat Isyak, mereka duduk di kedai kopi dan Budin mula membuka cerita. Pak Mail, Wak Ngarsin dan Pak Jamal duduk semeja dengan tiga sahabat itu. Ada beberapa orang anak muda yang leka memetik gitar dan bermain dam haji juga mahu mendengar cerita yang dibawa oleh Budin, Zainal dan Salleh.

"Korang tau tak ada orang kat kampung kita ni buat benda khurafat," Budin membuka bicara sambil mulutnya mengunyah kuih pau.
"Semalam, lepas balik surau, kami lalu jalan depan rumah kosong tu, nampak macam ada orang buang ancak bawah pokok buluh tu," jelas Zainal.
"Ni mesti ada orang membela benda bukan-bukan," kata pemilik warung, Pak Mail.
Rumah tu dah lama kosong, lepas tuan rumahnya meninggal, anaknya pindah ke KL. Sampai sekarang ni tak pernahlah anaknya tu balik menjeguk rumah tu," kata Pak Jamal pula.
"Kalau dalam cerita seram kat TV tu, biasanya pokok buluh ni tempat kak ponti duduk," kata Fuad, anak muda yang bermain gitar tadi.
"Ish, korang ni. Suka sangat percaya benda-benda tahyul macam ni," kata Wak Ngarsin dengan sedikit nada marah.

Mereka terus bercerita. Dari topik hantu hingga ke politik, gosip artis dan ekonomi. Habis tiga cawan kopi dihirup Budin malam itu. Tepat jam 11.30 malam tiga sahabat itu pun pulang ke rumah masing-masing. Malam itu Budin sukar untuk melelapkan mata. Mungkin sebab minum sampai tiga cawan kopi tadi, getusnya dalam hati. Isterinya sedang lena berselimut di sebelah. Budin cuba melelapkan mata juga. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi guruh yang sangat kuat. Hujan turun mencurah-curah malam itu.

"Bang, bang. Bangun. Nanti lewat pergi surau," kejut isterinya.
Budin membuka mata dan melihat jam sudah 5.30 pagi. Dia tidak tahu pukul berapa dia terlena. Budin bingkas bangun untuk ke bilik air. Pagi itu Budin hanya keseorangan berjalan ke surau.
"Zainal dengan Salleh ni mesti syok tido. Maklumlah hujan malam tadi," kata Budin sendirian.

Budin berjalan kesorangan ke surau. Selesai solat Subuh Budin segera pulang ke rumah. Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi dan keadaan masih gelap. Seperti biasa dia melalui jalan di hadapan rimbunan buluh bersebelahan dengan rumah kosong itu. Tiba-tiba di terlihat kelibat lembaga sedang menguis-nguis daun buluh. Penglihatannya terhalang kerana keadaan yang gelap dan ditambah pula dengan rimbunan buluh yang tebal. Lembaga itu dilihat sedang membuka bekas-bekas nasi yang ada di bawah pokok buluh.

Budin melihat perbuatan lembaga itu dari tepi jalan. Kakinya seolah-olah terpaku di atas jalan. Jantungnya berdegup kencang. Dia teringat cerita Fuad tentang hantu pontianak yang membuat rumah di pokok buluh. Dahinya mula berpeluh. Lembaga itu kelihatan berjalan terbongkok-bongkok sambil menguis daun pokok buluh dan mengambil bekas-bekas nasi itu.

Tiba-tiba lembaga itu bangun dan menoleh ke arah Budin. Budin semakin takut dan badannya mula dibasahi peluh. Lembaga itu berjalan ke arahnya. Bunyi derapan kaki memijak daun kering semakin hampir ke arah Budin. Budin yang semakin ketakutan terus berlari sehingga terlucut kain pelikat yang dipakainya. Dia tidak mahu menoleh ke belakang kerana khuatir lembaga itu terbang mengekorinya.

Sampai sahaja ke rumah Budin terus masuk bilik dan terus berselimut. Dia menggigil-gigil di dalam selimut.
Isterinya kehairanan dan bertanya; "kenapa abang ni? Abang lari marathon ke? Mana kain abang?"
"Abang nampak hantu bawah pokok buluh. Hantu tu kejar abang masa balik surau tadi," jelas Budin.
"Abang ni biar betul. Mana ada hantu kat kampung kita ni," kata isterinya.

Isterinya meninggalkan Budin keseorangan dalam bilik tidur dan terus ke dapur menyiapkan sarapan pagi. Pagi itu Budin tidak turun ke sawah kerana demam panas. Sedang dia tidur sedang tidur, telefon bimbitnya berbunyi.
"Woi, Budin! Kenapa tak turun sawah hari ni? Dah pukul 9.00 pagi ni. Tido lagi ke? Kami tunggu kau la," Zainal bercakap di dalam telefon.
"Aku tak sihat la Jenal," balas Budin.
"Kau demam ke? Semalam bukan main semangat lagi nak turun meracun awal-awal pagi," Zainal bertanya dalam nada kehairanan.
"Kau datang la rumah aku. Nanti aku cerita," jawab Budin.
"Ok, Ok. Nanti lepas Zohor aku datang. Assalamualaikum." Zainal terus menamatkan perbualan dan mematikan telefon sebelum sempat Budin menjawab salamnya.
Budin meletakkan telefon bimbitnya di bawah bantal dan menyambung tidurnya. Badannya benar-benar panas. Sudah empat biji panadol ditelannya pagi itu.

Pukul 2.00 petang Zainal dan Salleh ke rumah Budin. Budin hanya berselubung di dalam selimut menyambut kedatangan mereka. Mereka bertiga duduk di beranda rumah.
"Kau ni kenapa? Tiba-tiba je demam? Semalam kau buat apa semalam, hah?" tanya Salleh dalam nada nakal. Zainal ketawa bersama Salleh melihat reaksi Budin.
"Huish. Aku demam ni sebab terkejut. Pagi tadi masa balik surau aku kena kejar hantu dekat pokok buluh tu," kata Budin.
Zainal dan Salleh memandang Budin dengan muka tidak percaya.
Kau ni betul ke? Ke kau nampak musang kot? Tak pun biawak?," celah Zainal.
"Aku nampak kelibat macam orang kat pokok buluh tu. Benda tu jalan terbongkok-bongkok sambil menguis-nguis daun buluh. Lepas tu benda tu ambil bekas nasi. Aku suluh la. Tapi gelap sangat. Nampak bayang-bayang hitam jer. Pastu dia toleh kat aku. Dia kejar aku lepas tu. Tu yang aku lari sampai tak cukup tanah. Habis kain aku pun tertinggal," jelas Budin.
Salleh dan Zainal ketawa bertambah kuat. Cerita seram Budin menjadi lawak jenaka mereka.
Budin kemudian berkata, "korang tak percaya sudah. Nanti kalau korang kena, aku pulak ketawakan korang!"
"Rilek la brader. Kitorang ni bukan tak nak percaya. Nanti bila kau dah sihat, kita pergi siasat sama-sama. Sapa punya kerja yang buat benda tu," jawab Salleh.
"Aku tak nak, korang je la yang pergi. Nanti benda tu datang kejar aku lagi. Gila kau," Budin membalas.
Mereka terus bercerita bermacam-macam hal selepas itu. Tepat jam 4.00 petang Zainal dan Salleh meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing.

Malam itu selesai solat Isyak Zainal dan Salleh menceritakan perihal sahabat mereka kepada Haji Mobin imam masjid itu. Beberapa jemaah yang belum pulang kusyuk mendengar cerita mereka. Kebetulan Pak Su Razak turut berada di situ.
"Esok korang berdua ajak Budin sekali, ikut aku," kata Pak Su Razak.
"Pergi mana Pak Su?" tanya Salleh kehairanan.
"Jangan banyak tanya. Ikut aku esok. Pukul 8.30 pagi korang bertiga datang ke rumah aku," jawab Pak Su Razak.
Salleh dan Zainal kebingungan dan tidak mampu untuk membantah. Mereka berdua pulang awal malam itu tanpa singgah ke kedai kopi. Dalam fikiran mereka tertanya-tanya apa yang Pak Su Razak mahu mereka buat.
"Mungkin Pak Su nak mengubat Budin kot," kata Zainal.
"Ye la kot. Serius semacam jer Pak Su tadi," balas Salleh.

Keesokan hari Salleh dan Zainal pergi ke rumah Budin. Budin yang sudah sedikit pulih agak kehairanan. Dia yang pada awalnya tidak mahu mengikut akhirnya terpaksa akur kerana desakan dua sahabatnya itu. Budin membonceng motorsikal Salleh untuk pergi ke rumah Pak Su Razak. Mereka tiba tepat jam 8.30 pagi di rumah Pak Su Razak. Pak Su Razak segera menghidupkan motorsikalnya dan mengajak mereka mengikutnya. Mereka bergerak perlahan menyusuri jalan kampung. Sampai sahaja di hadapan rumah kosong itu, Pak Su Razak memberhentikan motorsikalnya dan turun berjalan kaki menghala ke pokok buluh tersebut. Mereka bertiga hanya memandang Pak Su Razak dari atas motorsikal.

Pak Su Razak mengambil bekas-bekas berisi nasi di bawah timbunan daun buluh kering. Dia kembali ke motorsikalnya dan meletakkan bekas tersebut di dalam bakul motorsikal.
"Pak Su buat apa tu?" tanya Zainal.
"Korang ikut jer aku," kata Pak Su Razak.
Mereka semakin bingung. Dalam fikiran mereka mula tertanya-tanya adakah Pak Su Razak sedang membuat perkara khurafat dan mengajak mereka menyertainya. Mengapa Pak Su Razak lebih banyak mendiamkan diri? Apa yang disembunyikan oleh Pak Su Razak daripada pengetahuan mereka? Pak Su Razak menghidupkan motorsikal dan mengajak mereka ke rumah Wak Jani. Mereka hanya akur dan mengikutnya.

Mereka kemudian sampai di rumah Wak Jani. Wak Jani menyambut kehadiran mereka dan mengajak mereka ke bangsal yang dibuat di tepi rumahnya.
"Dah jadi ke, Pak Su?" tanya Wak Jani.
"Jadi. Kau tengok ni," jawab Pak Su Razak sambil menunjukkan satu bekas nasi kepada Wak Jani.
Mereka bertiga semakin kehairanan. Pak Su Razak meletakkan semua bekas nasi ke atas meja di bangsal tersebut.
"Nak buat apa dengan nasi basi ni, Wak?" tanya Salleh.
"Kita tunggu Mak Tom datang. Nanti dia tunjukkan," kata Wak Jani.
Ketiga-tiga sahabat itu berpandangan sesama mereka dan tertanya-tanya apa yang hendak dibuat?

Tidak lama kemudian sebuah kenderaan MPV sampai ke rumah Wak Jani. Wak Jani menyambut kehadiran Mak Tom bersama suaminya Pak Tom dan memperkenalkan kepada mereka bertiga. Beberapa orang kampung di situ turut hadir. Tiga sahabat itu semakin kehairanan. Mengapa ramai pula orang kampung datang di sini?

Wak Jani mengucapkan salam dan mengalu-alukan kedatangan mereka semua. Kemudian Wak Jani menerangkan tujuan mereka dipanggil ke sini bukannya untuk berubat, tetapi mempelajari teknik membuat IMO. Tiga sahabat itu semakin hairan. Selesai ucapan ringkas oleh Wak Jani, Mak Tam membuka komputer ribanya bersama projektor dan memulakan sesi penerangan berkenaan natural farming. Mak Tom memberi beberapa tafsiran ayat al-Quran berkenaan makhluk dan hidupan di bumi ini yang berzikir kepada Allah SWT. Kemudian Mak Tom menerangkan kebaikan bakteria dan kulat yang banyak terdapat di bawah pokok buluh.

"Cuba lihat daun-daun buluh yang keras. Tahu tak hanya ada mikrob tertentu sahaja yang boleh mereputkan daun buluh. Di bawah pokok buluh ini, ada berbillion-billion bakteria dan kulat yang berguna. Antaranya bakteria Azotobacter, Azospirillum, Bacillus, Pseudomonas dan Rhizobium serta kulat Aspergillus, Rhizopus dan Trichoderma. Semua mikrob ini adalah makhluk halus dan seni yang mempunyai peranan masing-masing," Jelas Mak Tom.
"Pokok buluh mempunyai suhu yang ideal untuk mikrob ini membiak. Jadi untuk kita memerangkap mikrob ini, kita perlu gunakan nasi dan letakkan selama dua malam di bawah daun pokok buluh," jelas Mak Tom lagi. "Selepas dua malam, ambil nasi ni. Seeloknya diambil pada awal pagi. Nasi yang mempunyai mikrob akan mempunyai konidia berwarna putih seperti ini. Ini dinamakan sebagai IMO1," kata Mak Tom sambil menunjukkan bekas nasi yang dipenuhi mikrob tersebut.
"Selepas tu, ambil nasi yang dah ada mikrob ni, campurkan bersama gula merah. Kalau nasi 1kg, gula merah pun 1kg. Tutup bekas dengan kertas dan peram selama 5 hingga 7 hari. Hasilnya kita dapat IMO2. IMO2 boleh digunakan untuk mereputkan jerami di sawah kita dan menjadikan jerami sebagai baja untuk menyuburkan tanah," sambung Mak Tam.

Pada pagi itu, tiga sahabat tersebut bersama beberapa orang kampung mempelajari cara-cara membuat baja natural farming bersama Mak Tom dan Pak Tom. Kemudian Mak Tom menjemput Pak Su Razak untuk berkongsi pengalaman.
"Saya buat sawah dah lama. 25 tahun," Pak Su Razak memulakan bicara. "Masa mula-mula Mak Tom perkenalkan natural farming saya memang tak percaya langsung. Tapi bila orang kat surau dah mula bercerita, saya pun cuba satu lot dulu. Lagi 29 lot saya masih guna kaedah konvensional. Bila saya sembur IMO dan MOL ni, padi saya cukup cantik. Penyakit dan perosak sangat sedikit. Saya langsung tak guna racun. Lepas tu saya mula percaya. Saya beli lagi dan guna kat semua lot padi saya. Mulai musim ni, saya buat sendiri IMO dan MOL," cerita Pak Su Razak.
Pak Su Razak menceritakan pelbagai kisah menarik sepanjang beliau menggunakan produk ini. Katanya kini dia menyembur tidak guna penutup mulut. "Apa nak takut. Ni bukan racun," katanya. "Duit saya banyak jimat. Tak perlu hantar duit ke kedai penjual racun," tambahnya lagi.

Kemudian Pak Su Razak memandang Budin. "Semalam masa saya kutip nasi bawah pokok buluh, saya nampak ada orang suluh saya. Saya pun pergi tengok siapa. Rupanya Budin. Saya pun datang dekat, sambil panggil dia, lepas tu dia lari sampai terlondeh kain," kata Pak Su Razak.
Semua yang hadir di bangsal itu ketawa terbahak-bahak. Pak Su Razak menghulurkan kain pelikat Budin yang sudah dilipat. "Mana ada hantu kat kampung ni," kata Pak Su Razak.
Merah muka Budin kerana malu. "Mana saya tahu Pak Su ada bawah pokok buluh tu. Saya ingatkan hantu nak kejar saya," balas Budin diikuti hilai ketawa orang-orang di situ.

Selesai kursus pendek di rumah Wak Jani, tiga sahabat itu pulang. Dalam perjalanan mereka masih ketawa terkenang cerita Pak Su Razak tadi. Demam Budin juga telah kebah. Mungkin kerana dia sudah tahu siapa yang duduk bawah pokok buluh itu.

Inilah rupa makhluk halus yang diperangkap dalam nasi di bawah pokok buluh

Seram tak cerita saya ni?

Penafian: Semua watak-watak yang ada dalam cerita ini hanyalah rekaan semata-mata dan segala persamaan dengan individu sebenar adalah kebetulan sahaja. Tiada mikrob atau hantu yang dicederakan dalam pembikinan cerita ini. Cerita ini mendapat klasifikasi U (umum) dan sesuai dibaca oleh seisi keluarga.

Jumat, 21 Desember 2012

Peranan Trichoderma kepada tanaman padi

Trichoderma adalah kulat yang sentiasa hadir secara semulajadi di dalam tanah dan antara mikroorganisma saphrophtic yang paling biasa yang boleh diasingkan. Trichoderma terkenal sebagai "penjajah" (pengkoloni) awal sistem akar dan terus menggalakkan pertumbuhan tumbuhan dengan meningkatkan aktiviti mikrob berfaedah dalam rhizosphere, yang merupakan "zon sengit" aktiviti mikrob yang dirangsang sekitar akar.

Pada masa ini banyak spesies individu Trichoderma digunakan secara meluas dalam program bio-pembesaran untuk pelbagai tanaman sebagai ejen penggalak pertumbuhan dengan menambah organisma ini yang dengan cepat menduduki kawasan ekologi pada sistem akar dan meningkatkan jisim akar dan kesihatan tanaman untuk kesan jangka panjang. Dalam kajian beberapa universiti yang pernah diterbitkan, pengkolonian akar oleh Trichoderma telah meningkatkan pertumbuhan akar dan pucuk jagung sebanyak 66%. Pertumbuhan akar yang ketara oleh pengkolonian Trichoderma dikaitkan dengan ketahanan fisiologi tanaman untuk menghadapi tekanan yang menghalang pertumbuhannya. Hasil kajian mendapati Trichoderma membalikkan pengoksidaan yang memudaratkan membran lipid dan protein dengan bertindak sebagai antioksidan.

Pertumbuhan yang diransang oleh Trichoderma adalah agak kompleks dan dilaksanakan melalui pelbagai interaksi dengan beberapa faktor biokimia daripada pengeluaran enzim dan sebatian bermanfaat, termasuk:
  • Memproses nutrien penting tak organik dan organik untuk tumbuhan seperti nitrogen, fosforus, kalsium, kuprum, molibdenum, magnesium, zink dan besi supaya mudah diserap oleh akar tumbuhan dan dibawa ke dalam sistem tumbuhan,
  • Membantu mengimbangi penyerapan air,
  • Mengurai dan memindahkan nutrien organik untuk kesuburan tanah,
  • Persaingan dengan organisma patogen (yang merbahaya) untuk air dan nutrien,
  • Bioremediasi bahan kimia toksik organik seperti hidrokarbon, racun kulat dan racun perosak.
Trichoderma juga dikenali di seluruh dunia sebagai ejen penghalang penyakit tanaman. Bagi tanaman padi, kulat ini mampu menghalang penyebaran penyakit bawaan kulat seperti Rhizoctonia solani dan Fusarium maniliforme.

Satu kajian menunjukkan Trichoderma mampu menjadikan tanaman padi lebih bertahan kepada kemarau. Ini kerana Trichoderma meransang pengeluaran akar yang lebih panjang kepada padi untuk mencari air.


Rajah 1. Kesan kemarau dan pengkolonian Trichoderma kepada pertumbuhan anak benih padi. Anak benih ditanam di dalam pasu plastik dalam persekitaran yang terkawal di bawah keadaan rumah kaca. Anak benih dikoloni oleh Trichoderma harzianum diasingkan dengan kod Th 56, Th 69, Th 75, Th 82 dan Th 89 dan C adalah Control (Kawalan). Selepas pemindahan pada 21 hari, benih disiram setiap hari selama 42 hari dalam pasu plastik. Selepas 42 hari pertumbuhan, air dihentikan selama 3 hingga 9 hari (rawatan kemarau), manakala benih kawalan terus disiram secara berkala. (A) 1 hari sebelum tekanan kemarau (B) 3 hari tekanan kemarau (C) 5 hari tekanan kemarau (D) 7 hari tekanan kemarau (E) 9 hari tekanan kemarau. (Govind Ballabh Pant University of Agriculture & Technology, Pantnagar, Uttarakhand, India).

Satu faktor yang baharu dicadangkan lebih khusus menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan tanaman menunjukkan Trichoderma mempunyai keupayaan untuk melarutkan mangan yang terkandung dalam MnO2. Mangan merupakan unsur mikro yang diperlukan untuk beberapa fungsi fisiologi tumbuhan termasuk fotosintesis dan dipercayai memainkan peranan utama dalam pertumbuhan dan ketahanan melawan penyakit. Tumbuhan sahaja boleh mengambil dalam bentuk kimia yang dikurangkan (Mn+2) manakala bentuk teroksida (Mn+4), ditemui dalam baja, yang pada asasnya adalah tidak larut. Pelarutan Mn+4 oleh Trichoderma telah ditunjukkan tanpa kaitan dengan perubahan pH dan tidak memerlukan pengurangan kepada Mn+2.

Trichoderma juga cekap dalam pengeluaran enzim selulase. Dalam kebanyakan kes, Trichoderma digunakan dalam proses pembuatan komersial untuk sellulase. Trichoderma mampu mengeluarkan enzim bagi mengurai substrat kompleks lain termasuk hemiselulosa dan kitin, menjadikan Trichoderma sangat berguna dalam meningkatkan kadar penguraian sisa tanaman. Trichoderma merupakan salah satu kulat yang mampu mereputkan daun buluh (selain Aspergillus dan Rhizopus) dan digunakan di seluruh dunia untuk pereputan dan penguraian jerami padi.

Kamis, 20 Desember 2012

21 Disember 2012

Hari kiamat yang diramal dalam kalendar Tamadun Maya jatuh pada hari ini, 21 Disember 2012. Namun, jika tamadun ini begitu bijak, mengapa mereka sendiri yang pupus?


Print screen Facebook rasmi Prof. Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Kiamat adalah rahsia Allah SWT dan hari tersebut pasti akan tiba. Malah, salah satu rukun iman ialah percaya pada hari pembalasan (kiamat). Para saintis di seluruh dunia juga menafikan tarikh kiamat yang disebut oleh kalender Tamadun Maya.

Kepentingan Biodiversiti Kepada Pertanian

Biodiversiti membawa kepada produktiviti yang tinggi

Ekosistem yang mengandungi beberapa spesies adalah lebih produktif daripada spesies individu tunggal. Data daripada lebih 400 eksperimen yang diterbitkan, pasukan penyelidikan antarabangsa telah menemui bukti kukuh bahawa biodiversiti dalam alam tumbuhan adalah sangat berkesan dalam asimilasi nutrien dan tenaga solar, yang menghasilkan pengeluaran biojisim.

"Komuniti tumbuhan adalah seperti pasukan bola sepak. Untuk memenangi kejohanan, anda perlukan bintang penyerang yang boleh menjaringkan gol, tetapi anda juga perlu sokongan daripada pemain yang boleh menghantar bola, mempertahankan dan memastikan gol. Pemain bintang dan pemain sokongan bersama-sama menjadi satu pasukan yang sangat berkesan," kata Lars Gamfeldt dari Jabatan Ekologi Marin di Universiti Gothenburg.

Gamfeldt adalah sebahagian daripada pasukan penyelidikan antarabangsa yang diketuai oleh Cardinale Brad (Universiti Michigan, USA), yang dalam isu khas jurnal saintifik American Journal of Botany (Jurnal Botani Amerika) ke atas biodiversiti, membentangkan kajian mengenai kepentingan biodiversiti tumbuhan dan alga, yang membentuk asas rantaian makanan. Pasukan penyelidikan berdasarkan kajian pada soalan yang sama adakah ekosistem boleh mengekalkan fungsi penting seperti pengeluaran biojisim dan penukaran nutrien apabila biodiversiti musnah dan kita kehilangan spesis penting. Dalam usaha mereka untuk mendapatkan jawapan mereka telah mengkaji beratus-ratus kajian yang diterbitkan pada daripada alga unisel hingga ke pokok-pokok. Menggunakan data daripada lebih 400 eksperimen yang sudah diterbitkan, penyelidik mendapat bukti kukuh bahawa semakin kurang spesis di dalam sesuatu ekosistem, kuantiti biojisim tumbuhan juga akan berkurangan.

Terdapat dua penjelasan utama mengapa komuniti spesis tumbuhan yang kaya mungkin lebih berkesan dan produktif. Salah satunya ialah komuniti ini mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mengandungi "super-spesis," iaitu spesis yang sangat produktif dan berkesan dalam mengawal selia proses ekologikal. Satu lagi sebab spesies yang berbeza sering mempunyai ciri-ciri yang melengkapi antara satu sama lain. "Pembahagian buruh" di kalangan spesis tumbuhan yang berbeza dalam alam semulajadi menjadikannya komuniti yang kaya dengan spesis untuk menjadi lebih produktif. Para penyelidik juga mengambil perhatian hasil daripada perubahan iklim dan kesan aktiviti manusia menyebabkan kita kini kehilangan spesis pada kadar yang pesat. Ini bermakna kita perlu memberi keutamaan kepada apa yang kita mahu untuk melindungi dan memelihara biodiversiti, dalam usaha untuk mengekalkan perkhidmatan yang manusia perlukan.

"Hampir setiap organisma di planet ini bergantung kepada tumbuh-tumbuhan untuk kelangsungan hidup mereka. Jika kepupusan spesis mengganggu proses di mana tumbuh-tumbuhan hidup, maka ia menjejaskan salah satu ciri-ciri utama yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan di Bumi," komen Cardinale Brad seorang pengarang. Gamfeldt bergabung dengan Jabatan Ekologi Marin di University of Gothenburg dan Jabatan Ekologi di Universiti Sains Pertanian Sweden.

Kepelbagaian (diversiti) tumbuhan kunci kepada mengekalkan tanaman yang produktif

Tumbuhan seperti di dalam hutan dalam jangka masa panjang lebih produktif kerana kehadiran banyak spesis di dalamnya. Kajian jangka panjang biodiversiti tumbuhan mendapati bahawa spesies masing-masing memainkan peranan dalam mengekalkan ekosistem yang produktif, terutama apabila ufuk masa yang panjang diambilkira.

Penyelidikan mendapati bahawa setiap spesis tambahan dalam plot menyumbang kepada peningkatan beransur-ansur dalam kesuburan tanah dan pengeluaran biojisim sepanjang tempoh 14 tahun.

Mereka menonjolkan kepentingan menguruskan kepelbagaian dalam prairie, hutan dan tanaman, menurut Peter Reich, pengarang utama kertas penyelidikan ekologi hutan di University of Minnesota. Reich dan rakan-rakan melihat bagaimana kesan kepelbagaian kepada produktiviti tumbuhan berubah dalam jangka panjang.

Dua eksperimen besar diadakan pada tapak penyelidikan National Science Foundation's (NSF) Cedar Creek Long-Term Ecological Research (LTER) di Minnesota, salah satu daripada 26 seperti tapak NSF LTER di seluruh dunia dalam ekosistem dari hutan ke padang rumput, tundra kepada terumbu karang.

"Kajian ini mendedahkan apa yang eksperimen jangka pendek telah terlepas pandang: kesan kehilangan biodiversiti ekosistem adalah lebih kompleks, teruk dan tidak menentu dari yang difikirkan," kata Matt Kane, pengarah program NSF LTER. "Kajian ini menunjukkan kepentingan melakukan penyelidikan jangka panjang," kata Kane, "dalam kes ini kami mendokumenkan buat kali pertama betapa pentingnya biodiversiti untuk kesihatan ekosistem dan kelestarian."

Eksperimen biodiversiti di Cedar Creek adalah eksperimen yang paling lama berjalan di dunia, kata Reich.

Tempat ini mengandungi plot dengan satu, empat, sembilan atau 16 jenis spesis tumbuhan. Penyelidikan menggunakan tumbuhan padang rumput berhayat panjang, tetapi berfungsi sebagai sistem model untuk semua tumbuh-tumbuhan, sama ada padang rumput, hutan atau baris tanaman.

Kajian ini juga menunjukkan bagaimana kepelbagaian (diversiti) berfungsi dengan menunjukkan bahawa spesis yang berbeza mempunyai cara yang berbeza untuk memperolehi air, nutrien dan karbon - dan mengekalkan mereka di dalam sesuatu ekosistem.

"Sebelum ini, kajian jangka pendek paling kurang dua tahun mendapati, kepelbagaian (diversiti) meningkatkan produktiviti, tetapi plot yang mempunyai lebih daripada enam atau lapan spesis tidak memberikan manfaat tambahan," kata Reich.

Para saintis mendapati dalam jangka masa 14 tahun, semua 16 spesis dalam plot yang paling pelbagai menyumbang kepada kesuburan tanah dan pengeluaran biojisim yang lebih tinggi.

"Mesej untuk dibawa pulang," kata Reich, "apabila kita mengurangkan kepelbagaian dalam landskap - seperti kebun jagung atau ladang pokok pain atau rumput pinggir bandar - kita gagal untuk mengambil kesempatan ke atas perkhidmatan yang berharga yang disediakan oleh biodiversiti semulajadi."

Pengarang bersama kertas ini ialah David Tilman, Forest Isbell, Kevin Mueller, Sarah Hobbie dan Nico Eisenhauer dan University of Minnesota, dan Dan Flynn dari University of Zurich.

Biodiversiti adalah komponen kritikal dalam mengekalkan pelbagai perkhidmatan ekosistem

Ketika biodiversiti merosot di seluruh dunia, terdapat kebimbangan bahawa ini akan membawa kepada penurunan dalam perkhidmatan ekosistem yang disediakan untuk manusia, seperti pengeluaran makanan, penyimpanan karbon, dan penulenan air.

Dengan menggabungkan data dari 17 eksperimen biodiversiti terbesar dan paling lama berjalan, saintis dari universiti di seluruh Amerika Utara dan Eropah telah mendapati bahawa kajian sebelum ini telah memandang ringan kepentingan biodiversiti untuk mengekalkan pelbagai perkhidmatan ekosistem di banyak tempat selama bertahun-tahun lamanya.

"Kajian sebelum ini menganggap hanya beberapa spesis sahaja yang diperlukan untuk menyediakan satu perkhidmatan di bawah satu set keadaan persekitaran," kata Prof Michel Loreau dari jabatan biologi University McGill yang menyelia kajian ini. "Kajian-kajian ini mendapati bahawa banyak spesis muncul berlebihan. Jadi, ia kelihatan seperti kepupusan banyak spesis tidak akan menjejaskan fungsi ekosistem kerana spesis lain boleh mengimbangi/mengganti kehilangan mereka."

Salah satu contohnya ialah pembasmian hutan di Borneo. Apabila pelbagai spesis pokok ditebang dan diganti dengan tanaman semula spesis tunggal seperti spesis akasia, perkhidmatan ekosistem hutan terganggu sama sekali kerana tiada lagi diversiti tumbuhan di dalam ekosistem.

Kini, dengan melihat kepada spesis tumbuhan padang rumput, penyelidik telah mendapati bahawa kebanyakan spesis yang dikaji adalah penting sekurang-kurangnya sekali bagi penyenggaraan perkhidmatan ekosistem, kerana set spesis yang berbeza penting pada tempoh tahun-tahun yang berbeza, di tempat-tempat yang berbeza, untuk perkhidmatan yang berbeza, dan di bawah perubahan global yang berbeza (contohnya, senario perubahan iklim atau penggunaan tanah). Tambahan pula, spesis yang diperlukan untuk menyediakan satu perkhidmatan untuk beberapa tahun tidak sama seperti spesis yang diperlukan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam satu tahun. "Ini bermakna bahawa biodiversiti adalah lebih penting untuk mengekalkan perkhidmatan ekosistem daripada yang difikirkan sebelumnya," kata Dr. Forest Isbell, penulis utama dan penyelidik kajian ini. "Keputusan kami menunjukkan bahawa banyak spesis diperlukan untuk mengekalkan perkhidmatan ekosistem pada pelbagai masa dan tempat dalam dunia yang berubah-ubah, dan spesis ini tidak berlebihan daripada apa yang difikirkan sebelum ini."

Para saintis yang terlibat dalam kajian ini juga menawarkan cadangan untuk menggunakan keputusan ini untuk memberi keutamaan kepada usaha-usaha pemuliharaan dan meramalkan akibat daripada kepupusan spesis. "Ia adalah baik untuk mengetahui kumpulan spesis yang menggalakkan fungsi ekosistem di bawah beratus-ratus set keadaan alam sekitar," kata Isbell, "kerana ini akan membolehkan kita untuk menentukan sama ada sesetengah spesis menyediakan perkhidmatan ekosistem di bawah keadaan alam sekitar yang biasa pada masa kini, atau di bawah keadaan yang akan menjadi semakin biasa pada masa depan." Tetapi Michel Loreau, McGill, menambah nota amaran: "Kita perlu berhati-hati apabila membuat ramalan ketidakpastian terhadap perubahan masa depan alam sekitar kerana ini bermakna kita juga perlu menjalankan pendekatan berjaga-jaga bagi memulihara biodiversiti seberapa banyak yang mungkin."

Penyelidikan ini dibiayai oleh geran penyelidikan Majlis Sains Semulajadi dan Kejuruteraan Kanada dan program Pengerusi Penyelidikan Kanada.

Ekosistem yang mempunyai biodiversiti tinggi mampu bertahan kepada tekanan

Ekosistem dengan biodiversiti pada tahap yang tinggi boleh berhadapan dengan tekanan (stress) yang lebih, seperti suhu yang lebih tinggi atau peningkatan kepekatan garam, daripada ekosistem yang mempunyai biodiversiti yang kurang. Mereka juga boleh mengekalkan perkhidmatan mereka untuk jangkamasa yang lebih panjang, penemuan daripada ahli botani dan ekologi dari Universiti Zurich dan Göttingen. Kajian mereka menyediakan bukti pertama hubungan antara intensiti tekanan dan fungsi ekosistem.

Suhu purata yang lebih tinggi dan peningkatan kepekatan garam adalah faktor tekanan yang dihadapi oleh ekosistem pada hari ini berikutan perubahan iklim. Walau bagaimanapun, adakah semua ekosistem bertindak balas terhadap tekanan dengan cara yang sama dan apakah kesan tekanan pada perkhidmatan ekosistem, seperti pengeluaran biojisim? Ahli botani dan ekologi dari Universiti Zurich dan Göttingen mendapati kepelbagaian spesis dalam ekosistem membantu untuk bertahan kepada stress.

Para saintis mengkaji sebanyak 64 spesis mikroalga yang mempunyai sel tunggal daripada Koleksi Kultur Alga SAG di Göttingen. Ia berada dalam rantaian makanan yang paling bawah dan menyerap CO2 daripada alam sekitar berbahaya melalui fotosintesis. "Lebih banyak spesis mikroalga yang ada dalam sistem, lebih mantap sistem ini bagi menghadapi tekanan sederhana berbanding dengan sistem yang mempunyai spesis yang kurang," kata Bastian Steudel pengarang pertama yang menjelaskan salah satu keputusan eksperimen. Sistem dengan beberapa spesis yang lebih tinggi itu boleh menyimpan pengeluaran biojisim mereka dengan stabil dan lebih lama daripada mereka yang mempunyai biodiversiti yang rendah.

Secara keseluruhan, penyelidik mengkaji enam intensiti yang berbeza pada dua kecerunan tekanan. Dalam kes intensiti yang sangat tinggi, kesan positif biodiversiti berkurangan atau terhenti sama sekali. Walau bagaimanapun, peningkatan tekanan dalam sistem yang mengandungi hanya beberapa spesis mempunyai kesan yang jauh lebih negatif berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap biodiversiti yang tinggi. "Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap biodiversiti di bawah tekanan adalah amat penting untuk mengekalkan pengeluaran biojisim," kata Steudel, penyelia PhD Michael Kessler, yang merumuskan kepentingan projek penyelidikan tersebut.

Jumat, 14 Desember 2012

Kebaikan air laut kepada tanaman padi

Sebelum ini, Mak Tam ada menceritakan tentang kegunaan air laut bagi sawah dan telah menyediakan jadual penanaman di sini dan di sini. Kadar air laut yang digunakan bagi pam penyembur ialah 600 ml air laut + 25 liter air. Menurut Pak Lang, seorang petani yang giat mengamalkan kaedah penanaman SRI, beliau menggunakan campuran air laut yang lebih tinggi daripada yang disyorkan iaitu kira-kira 20 liter air laut + 200 liter air. Menurut beliau, pokok padi lebih sihat dan mampu bertahan kepada serangan penyakit reput tangkai dan hawar daun bakteria.

Rajah 1 (kiri) yang diambil daripada perbentangan Mak Tam yang bertajuk Optimizing Cost Using IMO di dalam Bengkel IPM September lalu, memberi sedikit gambaran berkenaan kebaikan air laut yang berguna untuk tanaman padi. Disebabkan itu, air laut menjadi ramuan "wajib" untuk disembur bersama produk-produk natural farming di sawah.


Rajah 2: Unsur-unsur yang terkandung dalam air laut

Beberapa kajian kebaikan air laut telah dibuat di seluruh dunia. Antaranya ialah campuran air laut yang disembur pada tanaman tomato dapat meningkatkan kandungan anti oksidan serta kandungan vitamin C dan E seperti dalam artikel dalam Rajah 3 di bawah.


Dr. Maynard Murray seorang pakar dalam bidang pertanian, biologi dan kesihatan, menulis di dalam buku yang berjudul Sea Energy in Agriculture: Renewing the Soil with Sea Solids yang diterbitkan pada tahun 1976;

“A cubic foot of seawater sustains many times more living organisms than an equivalent of soil. Seawater is literally alive, especially if its temperature is warm.”

Beliau yang memulakan kajian sejak tahun 1940, telah membuat banyak eksperimen kesan penggunaan air laut pada pelbagai jenis tanaman - epal, tomato, barli, gandum, padi, lobak, oat, jagung, kacang soya, sayuran dan pokok buah-buahan. Walaupun wujud beberapa kritikan terhadap kajiannya yang menyatakan garam akan membunuh tumbuhan dan Murray mengakuinya. Beliau kemudian menyatakan bahawa garam yang wujud bersama-sama unsur lain di dalam air laut tidak akan membunuh tumbuhan, malah membekalkan unsur dan nutrien yang membantu pertumbuhan dan perkembangan tanaman jika diberi pada kadar yang betul dan tepat.

Kajian yang dibuat selama 20 tahun mula membuahkan hasil. Beliau mendapati semua nutrien penting boleh dibekalkan oleh air laut, termasuk nitrogen. Melarutkan air laut yang lengkap bersama air segar membentuk sebatian pada kepekatan 1,000 hingga 8,000 bahagian per sejuta (ppm). Beliau menambah;

“My experiments proved adequate supplies of food can be developed if man recycles the sea.”

Murray menyedari selepas beberapa siri eksperimen kekurangan nutrien adalah elemen penting yang menyumbang kepada penyakit-penyakit tanaman: "Kajian saya jelas menunjukkan rakyat Amerika kekurangan fisiologi kimia yang lengkap kerana elemen penting yang seimbang dalam tanah telah terhakis ke laut, akibatnya, tanaman mengalami kekurangan nutrien, dan haiwan yang memakan tumbuh-tumbuhan ini juga turut mengalami kekurangan nutrien.

"Mineral telah terhakis keluar dari tanah kerana pengambilan berterusan tanaman dan hakisan. Kebanyakan tanaman memerlukan 40 unsur-unsur dari tanah. Dalam kes ini kita hanya menambah 12 sahaja unsur melalui pembajaan."

Mengakhiri penulisan beliau dalam buku tersebut, beliau menyatakan; "untuk manusia untuk terus hidup di bumi, dia mesti membuat perubahan asas. Manusia mesti melihat kepada lautan sebagai sumber unsur-unsur yang diperlukan. Unsur-unsur ini mesti dikembalikan kepada tanah supaya makanan yang lebih berkualiti, lebih sihat boleh dihasilkan. Manusia mesti berhenti memusnahkan tanah. Ini memerlukan perubahan asas dalam sistem pertanian kita. Ladang komersil yang besar perlu dipecahkan kepada kebun-kebun organik kecil yang boleh menggantikan tempatnya. Kita mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk membuat perubahan ini. Apa yang diperlukan sekarang ialah keinginan."

Beliau juga sering menyebut perkataan ini;

“Nature can teach us so much, if we would only listen.”

Dua Tahun

Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti [Saidina Ali bin Abi Talib]

Blog ini telah mencapai batu tanda dua tahun (klik di sini bagi entri sempena Satu tahun). Banyak yang telah saya pelajari dan dikongsi bersama dalam penulisan blog ini yang kini mencecah tahun kedua. Namun, dunia ilmu sangat luas, banyak ilmu lagi yang belum diterokai untuk kita bersama-sama mencari dan belajar.

Apakah pencapaian yang unik dalam tahun ini? Salah satu pencapaian yang membanggakan ialah penganjuran bengkel SRI-Mas : National Workshop on Sustainable Rice Production: Re-Visiting IPM. Satu lagi ialah penganjuran bengkel agroekologi di LOVELY Sik Kedah.

Blog ini juga banyak membincangkan berkenaan ekonomi hijau dan pertaliannya dengan pengeluaran makanan. Pendekatan pertalian makanan dengan ekonomi ini boleh menyokong peralihan kepada kelestarian, dengan menjana manfaat tambahan berkaitan dengan integrasi yang lebih kukuh di seluruh sektor. Pendekatan pertalian ini boleh mencipta beberapa peluang, termasuk:
  • Peningkatan produktiviti sumber. Fokus pertalian adalah pada kecekapan sistem dan bukannya pada produktiviti sektor tertentu.
  • Sisa buangan sebagai sumber dalam kepelbagaian penggunaan sistem. Pengurusan yang melangkau pelbagai sektor boleh meningkatkan kecekapan penggunaan sumber secara keseluruhan. Sisa buangan boleh dijadikan sumber untuk produk-produk lain.
  • Pembangunan Merangsang melalui insentif ekonomi. Pendekatan pertalian boleh membantu untuk mengelakkan pelaburan pembangunan ke laluan yang bukan mampan.
  • Urus tadbir, institusi dan dasar. Ini termasuk melonggarkan syarat tertentu, pembinaan institusi, kemahuan politik, agen perubahan dan pembinaan kapasiti.
  • Mendapat manfaat daripada ekosistem yang produktif. Pertanian hijau boleh memberi manfaat seperti daya tahan untuk risiko iklim sambil meningkatkan keselamatan makanan.
  • Pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan hijau secara bersepadu. Pertanian hijau boleh menjana pekerjaan yang lebih banyak di luar bandar dan meningkatkan kepelbagaian dan daya tahan sistem pengeluaran.
  • Pembangunan kapasiti dan peningkatan kesedaran. Ini boleh membantu untuk menangani kerumitan terhadap pendekatan yang merentas sektor, dan untuk menggalakkan gaya hidup yang lestari dan corak penggunaan.
  • Bergerak ke arah ekonomi hijau. Sebagai pendekatan ekonomi hijau bertujuan "untuk bersatu di bawah panji-panji tunggal yang sesuai kepada keseluruhan dasar ekonomi yang relevan kepada pembangunan lestari".
Di dalam mencorakkan pengeluaran makanan yang hijau, peranan pertanian lestari amat penting. Kempen dan latihan agroekologi, natural farming dan penanaman padi SRI dilihat banyak membantu petani berubah kepada amalan pertanian yang lebih sihat, selamat dan menguntungkan. Peranan petani sangat kritikal di sini, dimana mereka perlu menjadi guru kepada rakan-rakan mereka melalui amalan contoh.

Usaha-usaha pengembangan giat dilaksanakan bagi mempromosikan pertanian lestari dan agroekologi -- terima kasih kepada pakar-pakar dari pada UKM dan UPM seperti Prof. Dr. Wan Mohtar, Prof. Dr. Sharifah Mastura, Prof. Dr. Salmijah Siraf, Prof. Madya Dr. Anizan Isahak, Prof. Datin Dr. Rosenani, Prof. Madya Dr. Siti Hajar, Dr. Habibah, Dr. Rosmizan dan ramai lagi yang tidak sempat disebut di sini yang sedia membantu dari segi ilmu dan kepakaran mereka. Di peringkat akar umbi yang menjadi barisan hadapan pejuang pertanian lestari -- Mak Tam, Pak Tam, Wahidah, Salbiah, Dr. Anni, Tn. Hj. Anuar dan ramai lagi serta petani-petani yang berterusan memperjuangkan pertanian lestari melalui kaedah SRI.

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca blog ini. Semoga blog ini terus memberi manfaat kepada pembaca dan dapat mencapai batu tanda tahun ketiga. Terima kasih.

Senin, 10 Desember 2012

Pengurusan jerami padi

Jerami padi adalah sisa tanaman padi yang sering diabaikan dan akhirnya dibakar kerana tidak diperlukan. Pembakaran jerami mencemarkan alam sekitar, malah menyebabkan kehilangan nutrien penting.


Rajah 1: Jerami dan tunggul padi yang dibakar (sumber: MARDI)


Rajah 2: Nutrien yang keluar dari tanah sawah selepas tuai (sumber: MARDI)

Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan jerami padi sangat penting bagi membekalkan semula nutrien kepada tanah untuk digunakan oleh tanaman padi pada musim yang akan datang. Mengembalikan jerami ke dalam sawah melalui pereputan mikrob dapat membantu mengekalkan kesuburan dan kesihatan tanah, menaikkan pH tanah dan meningkatkan aktiviti mikrob yang baik kepada tanah.


Rajah 3: Jerami yang reput di dalam tanah dapat membekalkan nutrien kepada tanaman (sumber: MARDI)

Rajah 4: Kajian oleh Prof Iswandi Anas (sumber: Mak Tam)

Jika anda masih belum tahu bagaimana membuat IMO2 dan FPJ kangkung, anda boleh muat turun Panduan Natural Farming di sini. Atau rujuk di sini bagi ilustrasi bergambar pembuatan IMO1 dan IMO2. Kadar penggunaan yang disyorkan ialah 100 ml IMO2 dan 100 ml FPJ kangkung dicampur bersama 20 liter air dan disembur kepada jerami. Jerami akan direputkan oleh mikrob dan nutrien penting daripada jerami ini boleh digunakan oleh padi.


Rajah 5: Jerami yang disembur dengan IMO dibajak ke dalam tanah

Unsur yang paling tinggi dalam jerami padi ialah silikon atau silika (Si). Silika diperlukan untuk pembentukan daun, batang dan akar yang kukuh dan pembentukan lapisan sel epidermis bersilika yang tebal untuk lebih tahan terhadap penyakit kulat dan bakteria serta serangga perosak.

Silika menjadikan daun padi tegak dan ini akan meningkatkan kecekapan penggunaan cahaya dan seterusnya kecekapan penggunaan N. Kekurangan silika menyebabkan daun menjadi lembut dan longlai serta saling bertindih dan mengurangkan aktiviti fotosintesis dan mengurangkan hasil padi. Selain itu, kekurangan silika juga menjadikan pokok mudah dijangkiti penyakit seperti karah atau bintik perang. Kekurangan yang serius akan mengurangkan bilangan tangkai/m2 dan biji bernas setangkai selain pokok mudah rebah.

Dengan mengembalikan jerami padi kepada tanah, petani dapat menjimatkan kos pembajaan dan kawalan perosak.

Bacaan tambahan:
Memasukkan jerami segar ke dalam tanah siri 2 dan;
Memasukkan jerami segar ke dalam tanah siri 1

Minggu, 02 Desember 2012

Kajian berkenaan phyllochron - Teknik SRI

Dalam artikel Model Tillering Katayama, ada dinyatakan berkenaan phyllochron. Phyllochron adalah selang masa, atau tempoh masa, memisahkan pertumbuhan permulaan bagi dua daun pada tiller yang sama. Ia adalah satu sifat yang berubah-ubah, yang berkaitan dengan suhu (jumlah suhu purata harian). Phyllochron mempengaruhi jumlah effective tillers yang memberi pengaruh yang besar kepada hasil padi.

Satu kajian telah dibuat oleh Universiti Pertanian Tamil Nadu bagi mengenalpasti fasa perkembangan phyllochron melalui teknik tapak semaian dan kaedah SRI menggunakan alat rolling marker (klik di sini untuk melihat bagaimana alat ini digunakan). Kajian ini melaporkan bahawa pengeluaran tiller boleh dioptimumkan dengan mengubah anak benih pada usia yang lebih muda berbanding dengan kaedah penanaman ubahsuai nurseri. Bilangan maksimum anak padi yang dihasilkan oleh tanaman padi adalah berkadar songsang dengan panjang phyllochron. Jadi, lebih singkat tempoh masa phyllochron, lebih tinggi bilangan anak (tillers).

Pemodelan phyllochron yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1951 apabila Katayama membentangkan kaedah-kaedah pertumbuhan yang beliau kaji melalui kemunculan daun pada batang utama dan anak tanaman padi, gandum dan barli. Terdapat ciri yang telah terbina di dalam pembangunan fisiologi bagi tanaman padi yang mana pengeluaran tiller berlaku secara kerap dan berurutan yang digambarkan melalui phyllochron. Hasil kajian ini telah mewujudkan suatu model yang dinamakan Model Tillering Katayama. Berkelaar (2001) melaporkan bahawa untuk tillering maksimum, tumbuhan perlu melengkapkan sebanyak mungkin phyllochron semasa fasa vegetatif. Setiap tiller akan menghasilkan dua lagi phyllochron di bawah keadaan yang sesuai (Singh et al., 2007). Apabila anak benih dipindahkan secara berhati-hati di peringkat awal pertumbuhan, trauma kerosakan akar yang berlaku semasa mencabut dikurangkan berikutan pertumbuhan pesat phyllochron pendek.

Mobasser et al. (2007) memerhatikan benih tanaman padi yang tinggal dalam tempoh yang lama di nurseri menyebabkan pertumbuhan tunas tiller utama pada nod lebih rendah yang membawa kepada kemerosotan pengeluaran tiller. Apabila benih tidak ditanam terlalu dalam, proses penapakan dan beranak akan bermula lebih awal bagi kaedah tabur terus. Tetapi, anak padi yang dipindahkan mengambil sedikit masa untuk beranak kerana ia memerlukan lebih banyak masa untuk pulih daripada "kejutan" pemindahan. Apabila benih padi dipindahkan pada masa yang tepat dari segi umur, tillering dan pertumbuhan akan berjalan seperti biasa (Mobasser et al, 2007), dan hanya bilah daun menjadi kurang dihasilkan semasa tempoh vegetatif yang membawa kepada hasil yang kurang jika pemindahan dilewatkan. Bilangan maksimum anak padi yang dihasilkan oleh tanaman padi adalah berkadar songsang dengan panjang phyllochron (Katayama, 1951), yang bergantung kepada tahap stress. Jarak yang lebih luas, ketersediaan radiasi solar, suhu sederhana, pengudaraan tanah, dan bekalan nutrien menggalakkan phyllochron yang pendek yang meningkatkan bilangan anak padi dalam tanaman padi (Anon, 2004).

Sawah padi SRI akan kelihatan sangat teruk selama sebulan atau lebih selepas pemindahan, kerana anak padi kelihatan begitu nipis dan kecil dengan jarak tanaman yang besar. Dalam bulan pertama tanaman padi sedang bersedia untuk beranak, dan pada bulan kedua, proses beranak (pengeluaran tiller) bermula. Pada bulan ketiga, sawah akan "meletup" dengan pertumbuhan tiller yang pesat. Untuk memahami mengapa, anda perlu memahami konsep phyllochron, satu konsep yang terpakai kepada ahli keluarga rumput, termasuk bijirin seperti beras, gandum dan barli (Itoh et al., 2001). Penyokong SRI mengesyorkan pemindahan benih semasa phyllochron ketiga, pada peringkat tumbuhan ini mempunyai hanya dua daun, untuk mengelakkan pengurangan dalam tiller berikutnya dan menggalakkan pertumbuhan akar. Pemindahan awal dalam amalan SRI menggalakkan perkembangan tiller pada tanaman padi.

Temuan kajian - Perkembangan tiller mengikut jarak tanaman

Rajah 1: Model Tillering Katayama

Rajah 2: Jarak tanaman 25cm x 25 cm (berbentuk petak)

Rajah 3: Jarak tanaman 25cm x 25cm (berbentuk segitiga zig-zag)

Rajah 4: Jarak tanaman 25cm x 35cm (berbentuk oblong)


Keseluruhan proses boleh dijelaskan melalui demonstrasi yang mudah

Phyllochron adalah tempoh masa antara kemunculan satu phytomer (set tiller, daun dan akar yang muncul dari tumbuhan) dan kemunculan seterusnya. Pemodelan phyllochron pertama kali diterbitkan pada tahun 1951 apabila Katayama membentangkan kaedah-kaedah pertumbuhan daun di batang utama bagi anak padi, gandum dan barli.

Pertumbuhan tiller akan ditunjukkan menggunakan cincin yang diperbuat daripada paip plastik. Daun dari tumbuhan yang kelihatan berumput akan ditampal pada cincin. Setiap cincin akan menunjukkan tempoh pertumbuhan (phyllochron). Jadi phyllochron kedua akan mengeluarkan satu tiller, sementara phyllochron kesepuluh dalam kaedah tanaman berbentuk petak ialah 8, zig zag 9, dan oblong 10. Model ini membantu kita menjelaskan mengapa perlu untuk pemindahan tunggal anak benih bagi meningkat bilangan anak.


Rajah 5: Perkembangan tiller pada tanaman padi mengikut tempoh pertumbuhan (phyllochron)

Semasa peringkat pertumbuhan phyllochron kedua, tiller pertama muncul dari pangkal utama pokok, dan kemudian tiller kedua muncul pada peringkat keempat phyllochron. Cincin penanda akan menunjukkan tempoh pertumbuhan (phyllochron). Jadi, pada peringkat cincin phyllochron ke-12 kaedah tanaman dalam bentuk petak menghasilkan 19 tiller, zig zag 22, dan oblong 29. Jika pemindahan dilakukan sebulan selepas benih ditanam di nurseri, tumbuhan sudah berada phyllochron keempat yang mana sudah terlewat.

Pemindahan benih akan meletakkan stress kepada anak benih. Anak benih tersebut perlu menumpukan tenaga dan nutrien untuk pertumbuhan sel bagi memulihkan trauma semasa pemindahan dan tiller tidak akan terbentuk dalam tempoh ini. Jika pemindahan tidak dilakukan dengan baik, tumbuhan hanya akan membentuk tiller pada peringkat akhir phyllochron kelima yang akan menjejaskan fasa beranak aktif dan pada ketika itu, kita tidak boleh mengharapkan lebih daripada 16 anak padi yang akan muncul.

Bagi kaedah SRI, pemindahan perlu dilakukan semasa peringkat phyllochron kedua atau ketiga untuk anak benih pulih dengan lebih cepat dari trauma serta tekanan semasa pemindahan.

Faktor yang boleh menggalakkan tillering
  • Penanaman awal (anak benih muda yang masih melekat biji).
  • Mengurangkan trauma semasa pemindahan anak benih.
  • Menanam anak benih tunggal dengan jarak yang luas.
  • Membuat pengudaraan tanah dan membuang rumpai menggunakan alat landak.
  • Kaedah pengairan secara berselang kering-basah.
  • Saliran di pertengahan musim (pada usia padi 45-50 hari).

Rajah 6: Jadual Model Tillering Katayama

Seperti yang kita dapat lihat dari jadual Katayama di atas, tiller pertama muncul dari batang utama pada phyllochron keempat. De Laulanié telah mendapati bahawa jika anak benih padi dipindahkan selepas daripada phyllochron ketiga, tumbuhan yang terhasil akan kehilangan semua tiller dari baris pertama yang mewakili kira-kira 40% daripada jumlah anak padi, dan sebarang kelewatan pemindahan selanjutnya membawa kepada kerugian besar kepada jumlah anak padi (Persatuan Tefy Saina, 1992).

Kadar pengeluaran (production) tiller padi adalah lebih cepat dari penubuhan (establishment) tiller maksimum (ketika umur 35-40 hari) dan akan menjadi perlahan selepas itu, tetapi pengeluaran tiller akan berterusan sehingga peringkat berbunga (Vergara, 1979). Huang et al. (1996) dan Quyen et al. (2004) mendapati bahawa tiller yang bermula lewat berkembang pada kadar yang lebih perlahan, akhirnya mati kerana bekalan nutrien tidak mencukupi dan kekurangan cahaya akibat teduhan.

Hasil dan perbincangan

Memindahkan anak benih juga mewujudkan tahap tekanan tertentu, yang mana akan mempengaruhi kadar perkembangan phyllochron selepas diubah (Yamamoto et al., 1995). Pemindahan benih muda boleh mengurangkan tekanan dalam tempoh yang singkat berbanding dengan benih yang lebih tua (Yamamoto et al., 1998) kerana kandungan nitrogen yang tinggi (Yamamoto et al., 1998), dan keupayaan tumbuhan untuk menjana kadar pembangunan phyllochron yang lebih cepat (Anon, 2004). Kandungan nutrien yang tinggi dalam endosperma semasa phyllochron kedua dan ketiga menyokong pemulihan yang lebih cepat kepada benih muda, dan apabila anak benih dipindahkan selepas peringkat phyllochron keempat mengambil sedikit masa lagi untuk pemulihan dari kejutan pemindahan (Yamamoto et al., 1998). Itulah sebab mengapa anak benih perlu dipindahkan ketika bijinya masih melekat. Krishna dan Biradarpatil (2009) mendapati bahawa tanaman padi akan mempunyai phyllochron yang pendek dan mempunyai anak padi yang banyak apabila benih dengan usia kurang daripada 12 hari dipindahkan (peringkat dua daun). Keputusan menunjukkan phyllochron terjejas dengan corak penanaman berbeza. Jarak yang luas mempunyai kesan yang besar ke atas peringkat phyllochron pada tanaman padi.

Sabtu, 01 Desember 2012

Trichoderma sebagai agen kawalan biologi

Jika anda membaca blog Mak Tam, ada ditulis berkenaan peranan mikrob dalam mengawal penyakit tumbuhan. Dalam penulisan tersebut, mikrob yang ditunjukkan ialah sejenis kulat (fungi) Thricoderma.

Trichoderma merupakan genus kulat yang hadir dalam semua tanah, di mana mereka adalah kulat yang paling lazim dan boleh dikultur (dibiakkan). Banyak spesies dalam genus ini bersimbiosis dengan tumbuhan. Terdapat 89 spesis kulat ini. Kulat ini membiak dengan aktif pada suhu 25-30°C, tetapi tidak akan tumbuh pada suhu 35°C. Rajah 1 (kiri) menunjukkan kewujudan koloni kulat Trichoderma secara semulajadi (dari Wikipedia). Trichoderma biasanya mempunyai konidia (spora) yang bewarna putih, hijau atau kuning. Trichoderma membuat koloni pada akar tumbuhan dan beberapa jenis (strain) kulat ini mempunyai daya saing yang tinggi dalam rizosfera dan mampu membiak ketika akar tumbuhan sedang berkembang. Trichoderma spp. juga menyerang, menjadi parasit dan mendapatkan pemakanan dari kulat lain. Mereka juga telah membangunkan pelbagai mekanisme untuk menyerang kulat lain dan meningkatkan pertumbuhan akar pokok. Sesetengah spesis Trichoderma boleh mengawal hampir semua jenis kulat dan patogen yang membawa penyakit kepada tumbuhan.


Rajah 2: Kultur Trichoderma harzianum. Kultur berwarna putih tanpa spora manakala kultur berwarna hijau menunjukkan kehadiran spora. Kredit gambar: Cornell University.

Rajah 3 (kanan): Rupa bentuk Trichoderma harzianum (dari Wikipedia). Spesis seperti T. harzianum, T. viride and T. hamatum memang dikenali sebagai agen kawalan biologi. Beberapa produk fungisid dibuat daripada T. harzianum dan dikomersilkan bagi mengawal penyakit bawaan Botrytis, Fusarium dan Penicillium spp. Selain itu, spesis seperti T. reesei, T. longibratum dan T. harzianum digunakan dalam industri bagi menghasilkan enzim.

Di samping membuat koloni pada akar, Trichoderma meningkatkan perkembangan pokok dan pertumbuhan akar. Trichoderma membantu pokok untuk menghadapi tekanan melalui perkembangan akar, melarut dan memecahkan nutrien tidak organik, menghalang pembentukan enzim patogen berbahaya dan membentuk ketahanan kepada pokok bagi melawan penyakit.


Rajah 4: Pengkolonian T. harzianum T22 pada akar rerambut jagung. Kredit gambar: Cornell University.

Beberapa kebolehan kulat ini telah dikaji oleh Cornell University. Mereka mendapati bahawa salah satu strain kulat ini meningkatkan bilangan akar umbi (beberapa meter di bawah permukaan tanah). Perkembangan ini membolehkan tanaman seperti jagung, dan tumbuhan hiasan, seperti rumput turf, untuk menjadi lebih tahan kepada kemarau. Mungkin lebih penting lagi, penyelidikan baru-baru ini menunjukkan tanaman jagung yang akarnya dikoloni oleh Trichoderma T-22 mengurangkan keperluan baja nitrogen sehingga 40% berbanding tanaman jagung yang tidak dirawat dengan kulat ini. Penggunaan organisma ini boleh menyediakan satu kaedah bagi petani untuk mengekalkan produktiviti pertanian yang tinggi tanpa meningkatkan kos input. Kajian juga menunjukkan akar kacang soya yang dirawat dengan Trichoderma T-22 lebih sihat dan panjang (Rajah 5).


Rajah 5: Perbandingan akar kacang soya yang dikoloni oleh T. harzianum T22. Kredit gambar: Cornell University.

Nota: Ketika Bengkel Agroekologi di LOVELY Sik Prof. Madya Dr. Anizan Isahak menunjukkan kultur kulat Thricoderma yang diambil daripada sawah padi SRI organik di Tunjong, Kelantan. Strain ini digunakan untuk tanaman padi bagi menggalakkan perkembangan akar padi.