Minggu, 01 Januari 2012

2012 - cabaran tetap sama



Tahun 2011 telah melabuhkan tirainya dan 2012 kini telah bermula. Cabaran yang dihadapi oleh dunia dan negara ini dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan memacu pembangunan pertanian yang lestari tidak pernah berubah.

Pemimpin dunia bersetuju menandatangani Matlamat Pembangunan Milenium pada sidang kemuncak dalam tahun 2000 untuk mengurangkan paras kemiskinan global. Matlamat pertama - adalah untuk mengurangkan separuh daripada kemiskinan dan kebuluran menjelang tahun 2015. Pertimbangkan statistik ini: 7 bilion orang di dunia, 1.2 bilion hidup dengan pendapatan kurang daripada AS $1 sehari dan 800 juta penduduk dalam negara yang sedang membangun kekurangan zat. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan 153 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun kekurangan zat. Enam juta daripadanya mati akibat kebuluran setiap tahun.

Adalah jelas bahawa dunia tidak dapat memenuhi keutamaan yang paling asas - memberi makan penduduknya sendiri. Anggaran FAO bahawa pengambilan kalori setiap orang harus 2,350 kalori setiap hari. Kira-kira 54 buah negara jatuh di bawah paras minimum ini - yang paling kritikal di sub-Sahara Afrika. Dan lagi, angka-angka pengeluaran makanan dunia menunjukkan bahawa makanan secara teorinya cukup tersedia untuk membekalkan 2,805 kalori setiap hari bagi semua penduduk di dunia. Masalahnya ialah makanan tidak berada pada tempatnya - tidak diedarkan dengan saksama dan kemiskinan serta suasana geopolitik yang sentiasa tidak tenteram menyebabkan negara-negara dunia ketiga tidak dapat mengimport makanan.

Pembangunan pertanian lestari (mampan)

Dunia kini perlu memberi tumpuan khususnya mengenai perubahan iklim dan mencari cara untuk menggabungkan pertumbuhan, pengurangan kemiskinan dan pembangunan yang saksama dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Rangka kerja yang menyeluruh bagi perbincangan ini adalah konsep pembangunan lestari yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak Johannesburg 2002 yang dianggap "tanggungjawab bersama untuk memajukan dan mengukuhkan saling berkait dan saling memperkukuh tunggak pembangunan mampan - pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar di peringkat tempatan, kebangsaan, serantau dan global". Dipetik dari Johannesburg Declaration on Sustainable Development: “28. We also agree to provide assistance to increase income-generating employment opportunities, taking into account the Declaration on Fundamental Principles and Rights at Work of the International Labour Organization.”

Ufuk masa bagi peralihan kepada trajektori pembangunan mampan bagi ekonomi global sederhana hingga jangka panjang walaupun terdapat keperluan segera untuk menghentikan trend menaik dalam pelepasan gas rumah hijau. Perjanjian yang ditandatangai di Bali pada bulan Disember 2007 di atas road map untuk tindakan antarabangsa mengenai perubahan iklim, rundingan dibuat dengan tujuan untuk hasil yang telah dipersetujui di Persidangan Pihak-Pihak di Copenhagen pada bulan Disember 2009. Eksekutif Setiausaha Konvensyen Rangka Kerja PBB tentang Perubahan Iklim baru-baru ini menyifatkan cabaran bagi rundingan ini dalam terma-terma berikut:

“according to the IPCC’s scientific findings, the solutions that we come up with in the context of advancing the Bali Road Map need to significantly increase the extent of adaptation to reduce vulnerability; stop the increase of global emissions within the next 10 - 15 years; dramatically cut back emissions by mid-century at the latest, and do so in a way that is economically viable world-wide.”

Strategi untuk pertanian lestari

Terdapat dua pendekatan yang kini diterima dan diiktiraf oleh dunia melalui PBB, Bank Dunia, WWF dan berbagai pertubuhan antarabangsa, NGO dan penduduk di seluruh dunia - inovasi SRI dan FFS.

Sistem Keamatan Padi (SRI)

Tanaman padi membekalkan makanan ruji kepada dunia terutama sekali Asia. Mengikut amalan sedia ada, tanaman padi berada dalam keadaan sentiasa dibanjiri air dan penggunaan baja tidak organik yang tinggi, pengeluaran padi merupakan sumber utama pembebasan gas metana dan salah satu punca utama kontaminasi tanah dan air. Dianggarkan 24-30 peratus air digunakan di seluruh dunia untuk pengeluaran padi. Dengan sokongan daripada Africare, Oxfam America, the WWF-ICRISAT Project dan Bank Dunia, satu inovasi yang dikenali sebagai Sistem Keamatan Padi, SRI telah berjaya diuji di 40 buah negara dengan keputusan yang memberansangkan. Dengan perubahan yang mudah di dalam pengurusan tanaman yang melibatkan penanaman anak pokok dalam sawah yang tidak digenangi air pada usia yang muda dengan jarak yang luas, bersama dengan penggunaan baja organik dan amalan pengurusan perosak bersepadu, tanaman padi menjadi resistan kepada perosak dan perubahan cuaca. Bergantung kepada keadaan dan situasi setempat, hasil boleh ditingkatkan sehingga 50 peratus. Penjimatan air berada diantara 25 hingga 50 peratus; kos input per hektar dapat dijimat pada anggaran 23 peratus, disebabkan oleh penjimatan air dan kimia pertanian; dan pendapatan petani meningkat. Menurut Brooks and Loevinsohn (2011, p. 11): "Di India, yang mempunyai kawasan terbesar SRI, "learning alliances" ditubuhkan untuk berkongsi pengalaman dan memulakan langkah untuk berinteraksi dengan kerajaan... (terutama sekali di peringkat setempat)... seperti di Andhra Pradesh, Tamil Nadu and Tripura.” Dalam pada itu, penglibatan institut penyelidikan lebih marginal, dengan pengalaman positif dicatatkan di China dan Indonesia. Kerajaan Kemboja, China, India, Indonesia dan Vietnam mengiktiraf sistem ini dan menjadikannya sebagai strategi nasional untuk keselamatan makanan (Africare, Oxfam America and WWF-ICRISAT Project, 2010, p. 3).

Sekolah Latihan Ladang (Farm Field School)

Disebabkan oleh pencemaran alam sekitar akibat penggunaan pestisid dan baja kimia yang berleluasa di Asia Tenggara, institut penyelidikan telah membangunkan pendekatan integrasi yang lebih kukuh bagi menambahbaik pengurusan kawalan perosak melalui pemuliharaan musuh semulajadi (seperti labah-labah dll) dan pengurusan ekologi yang lebih baik pada tanah petani. Sekolah Latihan Petani (Farmer Field Schools, FFS) telah dibangunkan lebih 10 tahun yang lalu di Indonesia dan Filipina, menyediakan peluang kepada petani belajar melalui eksperimen dan pemerhatian di ladang. Dengan sokongan daripada kerajaan Indonesia, PBB melalui United States Agency for International Development and the Food and Agriculture Organization menyebarkan pendekatan FFS kepada beberapa buah negara membangun (Bangladesh, Cambodia, China, India, Laos, Nepal, the Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam); pendekatan ini diubahsuai mengikut keperluan setempat dan diaplikasi di dalam berbagai sistem pertanian. Kemahiran pengurusan yang pelbagai telah diperluaskan termasuk di dalam pengeluaran sayuran, jagung, kapas, kentang, buah-buahan, ternakan, pengurusan kesuburan tanah, pengurusan tanah dan air, pengurusan air bawah tanah, pemuliharaan pertanian, pertanian hutan, perhutanan komuniti, perikanan dan pemuliharaan biodiversiti. Sistem inovasi pertanian telah berkembang daripada pengalaman kepada pengurusan perosak bersepadu dan Sekolah Latihan Petani menjadikannya lebih mudah melalui penglibatan aktif pelbagai pihak. Institut penyelidikan kebangsaan Filipina dan Indonesia telah menyediakan pengetahuan yang saintifik manakala organisasi bukan kerajaan di Indonesia telah membangunkan proses pedagogik yang diperlukan untuk membantu pembelajaran dewasa. Penderma bilateral dan organisasi antarabangsa (seperti FAO) sangat kritikal di dalam menyokong pembangunan Sekolah Latihan Petani di negara lain melalui sumbangan dana, perkongsian maklumat dan perundingan. Pada hari ini, FFS telah beroperasi di 87 buah negara termasuk di Asia, Afrika sub-Sahara, Amerika Latin dan Caribbean, Afrika Utara dan Timur, Eropah Tengah dan Utara, Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Pendekatan FFS menyumbang kepada pembangunan dan penjanaan kemahiran di kalangan petani, membuka kepada permintaan yang lebih tinggi untuk pengurusan tanaman yang lebih fleksibel.

Pembangunan pertanian yang lestari kini merupakan satu kemestian di dalam menghadapi cabaran yang mendatang - kekurangan tanah, kehilangan kesuburan tanah, pencemaran alam sekitar, pembasmian hutan, peningkatan pelepasan gas rumah hijau, perubahan iklim, kemiskinan dan kebuluran. Peranan semua pihak: pembuat dasar, pemodal, petani dan pengguna penting bagi memastikan pembangunan pertanian lestari di negara ini dapat dijayakan dengan lebih berkesan. Selamat Tahun Baharu 2012.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar