Minggu, 14 Agustus 2011

Ke Arah Revolusi Hijau Sebenar untuk Keselamatan Makanan (bahagian 2)

Ke arah revolusi teknologi hijau sebenar untuk pertanian

Analisis yang sentiasa dijalankan jelas menunjukkan memerangi kelaparan dan kekurangan nutrien dalam bentuk yang lestari dan melindungi daripada harga makanan yang tinggi memerlukan pendekatan radikal yang berlainan bagi menangani halangan ke atas pengeluaran makanan di dalam kerangka pengurusan lestari sumber semulajadi yang lebih besar. Ini akan melibatkan pembangunan kerangka nasional yang komprehensif bagi pengurusan sumber yang lestari dan aplikasi teknologi dan inovasi yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti keuntungan, kestabilan, dan potensi pemindahan kesan perubahan cuaca kepada sistem pengeluaran luar bandar dan hutan. Penjimatan air, pemuliharaan tanah dan peningkatan biodiversiti perlu untuk membina sebahagian daripada pendekatan yang lestari bagi pengurusan tanah dan hutan, yang perlu mengintegrasikan biofizikal dengan sosio-budaya, institusi dan perubahan perlakuan disamping mengenalpasti kepelbagaian fungsi semulajadi dalam pertanian.

Pendekatan yang holistik, merentas-sektoral perlu, ini termasuklah mengambilkira kehilangan (trade-off) dan membina sinergi diantara sektor hutan dan pertanian. Di dalam konteks guna tanah yang kompetetif, pelbagai penyelesaian, termasuk pilihan yang sukar, hanya boleh dicapai melalui rundingan dan perbincangan. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, sinergi diantara sektor (menghasilkan inter alia, di dalam mengurangkan penebangan hutan dan meningkatkan produktiviti tanah, dan kelestarian sumber air) boleh menghasilkan keputusan "menang-menang" melalui pengurusan sumber yang lebih baik yang disediakan melalui institusi sekitar.

Pembinaan institusi yang betul sangat penting bagi menyokong pertanian berskala kecil dengan meningkatkan pelaburan dalam pertanian dan produktiviti serta memelihara sumber semulajadi. Negara mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan dalam membina infrastruktur luar bandar (termasuk jalan, kemudahan sistem pengairan dan tempat penyimpanan); memperbaiki akses pasaran (termasuk kemudahan kredit, input dan insurans); menyediakan servis pengembangan teknologi pembinaan kapasiti; menggalakkan kordinasi diantara pemegang kepentingan (stakeholder); dan mengawal hak kepada harta (termasuk dalam pengagihan semula tanah).

Pertanian lestari perlu menjadi keutamaan kepada negara membangun bagi memastikan penggunaan tenaga yang cekap dan mengurangkan penggunaan baja dan racun kimia. Subsidi yang tinggi kepada pertanian termasuk subsidi untuk pengeluar biofuel (menggalakkan perubahan pengeluaran makanan kepada minyak), telah membawa kepada ketidakseimbangan di dalam ekonomi pengeluaran pertanian dan penggunaan di seluruh dunia.

Polisi kerajaan dalam untuk memberi stimulasi kepada revolusi teknologi baharu pertanian perlu dibina di atas pengalaman yang luas berkaitan dengan inovasi di dalam 30 tahun ke belakang. Inovasi pertanian terkini menggunakan konsep sistem inovasi pertanian bagi "menjalinkan jaringan diantara pemain ekonomi dan bukan ekonomi, dan hubungan diantara pemain-pemain bagi memberi kemudahan dalam bentuk teknologi, organisasi dan pembelajaran sosial yang diperlukan bagi memberi penyelesian kepada kandungan yang spesifik" (PBB, Persidangan Pembangunan dan Perdagangan 2010). Kertas ini mencadangkan untuk mengguna konsep sistem inovasi pertanian lestari (sustainable agricultural innovation system, SAIS) bagi memberi fokus kepada pembangunan kerangka polisi yang lebih komprehensif untuk inovasi yang akan memberi respon kepada cabaran berganda di dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan kelestarian alam semulajadi. SAIS merupakan satu teras pertanian di dalam konsep "penghijauan" yang lebih besar; National Inovation System (G-NIS), yang akan dibincangkan lebih lanjut dalam penulisan akan datang.

Di dalam kerangka SAIS, empat objektif yang kritikal yang setiap satunya memerlukan sokongan polisi yang strategik bagi memberi kesan kepada transformasi ke arah pertanian lestari, iaitu;
  1. Memperbaiki akses kepada kepelbagaian teknologi.

  2. Akses yang lebih baik kepada servis sokongan, termasuk mengetepikan halangan bersifat politik yang menghalang perkembangan produktiviti.

  3. Sensitiviti jantina dalam proses inovasi pertanian.

  4. Mengukuhkan kerjasama dan perkongsinan bagi memacu inovasi.


Kerangka Sistem Inovasi Pertanian Lestari

Perspektif SAIS membantu dalam mengenalpasti kepelbagaian pemain yang mengeluar dan menggunakan pengetahuan global (termasuk universiti, institut penyelidikan, firma, petani, pegawai pengembangan, organisasi awam dan yayasan persendirian), kepentingan mereka, dalam konteks intitusi di mana interaksi berlaku di sepanjang proses inovasi, dan pembelajaran yang dinamik dan perubahan institusi. Perspektif SAIS juga menekankan kepentingan inovasi di dalam menambahbaik proses, produk dan pemasaran, dan memperkasakan organisasi dan kerjasama diantara bahagian sistem yang berbeza melalui jalinan dengan berbagai pemain.

Perspektif sistem inovasi mengenalpasti perkembangan evolusi semulajadi dalam pencapaian inovasi melalui kesan kumulatif iteraksi diantara ejen di bahagian penawaran dengan bahagian permintaan, di dalam kerangka institusi formal dan tidak formal, polisi sokongan dan penglibatan pemegang kepentingan, seperti di bawah.


Inovasi dalam pertanian

Perkembangan penyelidikan dan pembangunan pertanian tidak pernah terbantut walaupun di bahagian dunia yang paling mencabar seperti Afrika, walaupun mereka kurang mendapat sokongan untuk mengembangkan teknologi dan inovasi untuk kebaikan bersama. Dua pengalaman yang berjaya dibincangkan di bawah sebagai ilustrasi peranan pelbagai pemegang kepentingan bagi mencapai penambahbaikan yang pantas kepada produktiviti petani berskala kecil dengan amalan yang lestari kepada alam sekitar. Penglibatan secara terus petani berskala kecil di dalam proses pembelajaran berterusan dan adaptasi merupakan kunci utama kejayaan. (m/s 121 dalam laporan survey).

Sistem Keamatan Padi (SRI)

Tanaman padi membekalkan makanan ruji kepada dunia terutama sekali Asia. Mengikut amalan sedia ada, tanaman padi berada dalam keadaan sentiasa dibanjiri air dan penggunaan baja tidak organik yang tinggi, pengeluaran padi merupakan sumber utama pembebasan gas metana dan salah satu punca utama kontaminasi tanah dan air. Dianggarkan 24-30 peratus air digunakan di seluruh dunia untuk pengeluaran padi. Dengan sokongan daripada Africare, Oxfam America, the WWF-ICRISAT Project dan Bank Dunia, satu inovasi yang dikenali sebagai Sistem Keamatan Padi, SRI telah berjaya diuji di 40 buah negara dengan keputusan yang memberansangkan. Dengan perubahan yang mudah di dalam pengurusan tanaman yang melibatkan penanaman anak pokok dalam sawah yang tidak digenangi air pada usia yang muda dengan jarak yang luas, bersama dengan penggunaan baja organik dan amalan pengurusan perosak bersepadu, tanaman padi menjadi resistan kepada perosak dan perubahan cuaca. Bergantung kepada keadaan dan situasi setempat, hasil boleh ditingkatkan sehingga 50 peratus. Penjimatan air berada diantara 25 hingga 50 peratus; kos input per hektar dapat dijimat pada anggaran 23 peratus, disebabkan oleh penjimatan air dan kimia pertanian; dan pendapatan petani meningkat. Menurut Brooks and Loevinsohn (2011, p. 11): "Di India, yang mempunyai kawasan terbesar SRI, "learning alliances" ditubuhkan untuk berkongsi pengalaman dan memulakan langkah untuk berinteraksi dengan kerajaan... (terutama sekali di peringkat setempat)... seperti di Andhra Pradesh, Tamil Nadu and Tripura.” Dalam pada itu, penglibatan institut penyelidikan lebih marginal, dengan pengalaman positif dicatatkan di China dan Indonesia. Kerajaan Kemboja, China, India, Indonesia dan Vietnam mengiktiraf sistem ini dan menjadikannya sebagai strategi nasional untuk keselamatan makanan (Africare, Oxfam America and WWF-ICRISAT Project, 2010, p. 3).

Pendekatan Sekolah Latihan Ladang (Farm Field School)

Disebabkan oleh pencemaran alam sekitar akibat penggunaan pestisid dan baja kimia yang berleluasa di Asia Tenggara, institut penyelidikan telah membangunkan pendekatan integrasi yang lebih kukuh bagi menambahbaik pengurusan kawalan perosak melalui pemuliharaan musuh semulajadi (seperti labah-labah dll) dan pengurusan ekologi yang lebih baik pada tanah petani. Sekolah Latihan Petani (Farmer Field Schools, FFS) telah dibangunkan lebih 10 tahun yang lalu di Indonesia dan Filipina, menyediakan peluang kepada petani belajar melalui eksperimen dan pemerhatian di ladang. Dengan sokongan daripada kerajaan Indonesia, PBB melalui United States Agency for International Development and the Food and Agriculture Organization menyebarkan pendekatan FFS kepada beberapa buah negara membangun (Bangladesh, Cambodia, China, India, Laos, Nepal, the Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam); pendekatan ini diubahsuai mengikut keperluan setempat dan diaplikasi di dalam berbagai sistem pertanian. Kemahiran pengurusan yang pelbagai telah diperluaskan termasuk di dalam pengeluaran sayuran, jagung, kapas, kentang, buah-buahan, ternakan, pengurusan kesuburan tanah, pengurusan tanah dan air, pengurusan air bawah tanah, pemuliharaan pertanian, pertanian hutan, perhutanan komuniti, perikanan dan pemuliharaan biodiversiti. Sistem inovasi pertanian telah berkembang daripada pengalaman kepada pengurusan perosak bersepadu dan Sekolah Latihan Petani menjadikannya lebih mudah melalui penglibatan aktif pelbagai pihak. Institut penyelidikan kebangsaan Filipina dan Indonesia telah menyediakan pengetahuan yang saintifik manakala organisasi bukan kerajaan di Indonesia telah membangunkan proses pedagogik yang diperlukan untuk membantu pembelajaran dewasa. Penderma bilateral dan organisasi antarabangsa (seperti FAO) sangat kritikal di dalam menyokong pembangunan Sekolah Latihan Petani di negara lain melalui sumbangan dana, perkongsian maklumat dan perundingan. Pada hari ini, FFS telah beroperasi di 87 buah negara termasuk di Asia, Afrika sub-Sahara, Amerika Latin dan Caribbean, Afrika Utara dan Timur, Eropah Tengah dan Utara, Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Pendekatan FFS menyumbang kepada pembangunan dan penjanaan kemahiran di kalangan petani, membuka kepada permintaan yang lebih tinggi untuk pengurusan tanaman yang lebih fleksibel.

[bersambung di bahagian 3]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar