Jumat, 28 Januari 2011

Krisis Makanan 2011?

Dunia pernah dikejutkan dengan Krisis Harga Makanan 2008 yang mengakibatkan harga makanan ruji dan paling asas naik mendadak. Adakah krisis ini akan berulang pada 2011? Ketika bermulanya tahun baharu 2011, harga gandum ditetapkan tinggi di United Kingdom. Rusuhan makanan telah merebak di seluruh Algeria. Rusia mengimport bijirin bagi makanan lembu sehingga musim meragut (musim bunga) bermula. India sedang bergelut dengan 18 peratus kadar inflasi makanan tahunan, mencetuskan bantahan. China sedang mencari gandum dan jagung di luar negara dalam kuantiti besar. Kerajaan Mexico menjalankan urus niaga hadapan jagung untuk mengelakkan peningkatan harga yang tidak terurus. Dan pada 5 Januari, organisasi Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) mengumumkan bahawa indeks harga makanan bagi Disember mencecah paras tertinggi sejak 2008.

Graf 1: Indeks harga makanan pada Disember 2010. Perhatikan kenaikan harga makanan yang mendadak pada bulan November 2010.

Isu penukaran bahan makanan kepada bahan bakar diperdebatkan sekali lagi. Ketika krisis 2007-08, tema Food for Fuel menjadi hangat di dalam mesyuarat negara-negara G8. Persidangan G8 bagi membincangkan isu harga makanan menemui jalan buntu sehingga persidangan tersebut digelar sebagai "persidangan dinasour yang menanti kepupusan di tengah-tengah hujan meteorite". Pertumbuhan permintaan bagi penggunaan tanaman yang menghasilkan bahan bakar untuk kenderaan terus meningkat. Di Amerika Syarikat, daripada 416 juta tan bijirin yang dituai pada tahun 2009, 119 juta tan dihantar ke kilang penyulingan etanol bagi menghasilkan bahan bakar untuk kenderaan. Jumlah sudah cukup untuk memberi makan kepada 350 juta orang selama setahun. Pelaburan besar-besaran AS di kilang penyulingan etanol menyebabkan persaingan secara langsung di antara kereta dan manusia (man vs car) untuk bijirin dunia. Di Eropah, di mana banyak kenderaan bahan api diesel, terdapat permintaan yang semakin meningkat bagi minyak diesel berasaskan tumbuhan, terutamanya dari biji sesawi (rapeseed) dan minyak kelapa sawit. Permintaan ini bukan sahaja mengurangkan tanah yang boleh digunakan untuk menghasilkan tanaman makanan di Eropah, ia juga mendorong pembasmian hutan hujan tropika di Indonesia dan Malaysia untuk ladang kelapa sawit.

Apa masalahnya dengan harga makanan global?

Harga makanan baru-baru ini telah mencapai semula tahap yang dicapai semasa krisis makanan 2007-08. Penduduk di seluruh dunia mula merasai kesan dan beberapa negara-negara seperti Tunisia, Mesir atau Algeria mengalami rusuhan, disebabkan sebahagiannya oleh peningkatan kos makanan. Kenaikan harga makanan secara tiba-tiba telah mendorong berjuta-juta rakyat di negara-negara membangun terus berada di dalam kebuluran dan kemiskinan. Dan masalah ini bukan hanya terletak kepada harga yang tinggi. Harga menjadi tidak menentu, bermakna pengguna tidak boleh bergantung kepada harga tetap, dan pengeluar tidak mampu untuk merancang pelaburan mereka dengan pasti.

Bagaimana harga makanan meningkat?

Sejak Julai 2010, harga hasil tanaman telah meningkat secara mendadak. Harga jagung meningkat 74%; gandum naik sebanyak 84%; gula sebanyak 77% dan minyak dan lemak sebanyak 57%. Harga beras kekal agak stabil dengan harga pada Disember 2010 kurang daripada 4% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, daging dan tenusu juga kekal stabil, tetapi pada tahap yang tinggi. FAO berkata indeks harga makanan naik 3.4% daripada Disember, menandakan tahap tertinggi sejak organisasi mula mengukur harga makanan pada tahun 1990.

Apakah punca utama kenaikan harga?

Punca yang pelbagai dan terdapat perdebatan tentang kepentingan relatif faktor-faktor yang berbeza, tetapi pemacu utama adalah:
  • Pengeluaran menyusut akibat cuaca buruk, mungkin dikaitkan dengan perubahan iklim (contohnya kemarau melampau atau banjir, seperti yang berlaku di Australia dan Rusia); 
  • Sekatan eksport dan pembelian panik - biasanya disebabkan oleh kejutan cuaca berkaitan; 
  • Permintaan yang meningkat, untuk biofuel - yang menggunakan tanah dari pengeluaran makanan kepada pengeluaran biofuel dan untuk makanan mewah (terutamanya daging dan produk tenusu); 
  • Punca kewangan seperti susut nilai dolar, kadar faedah yang rendah dan spekulasi; 
  • Peningkatan harga minyak yang memandu kos keperluan pertanian seperti baja dan pengangkutan yang meningkat.
Siapa yang untung?

Syarikat perdagangan makanan besar telah mencatat peningkatan keuntungan syarikat - pasaraya, pengeluar benih dan baja juga menunjukkan prestasi yang baik. Beberapa syarikat perniagaantani besar, yang beroperasi di sepanjang rantaian bekalan, dan mempunyai kedudukan kukuh dalam pasaran, mendapat kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada harga yang lebih tinggi. Terdapat juga persoalan serius tentang kesan pelabur institusi besar yang telah terlibat dalam spekulasi terhadap harga makanan - aktiviti yang mungkin memburukkan lagi harga makanan dengan manipulasi berlebihan terhadap naik dan turun naik (volatility) harga makanan.

Siapa yang rugi?

Penduduk yang mudah terdedah di negara-negara membangun (dan orang miskin di negara-negara maju). Mereka yang berada di penjuru kemiskinan; penghuni setinggan yang tidak bertanah, dan pekerja ladang. Jika makanan dikurangkan, wanita dan kanak-kanak yang paling menderita kerana catuan makan cenderung memberi keutamaan kepada lelaki dalam isi rumah yang banyak.

Mengapa tidak petani miskin mendapat manfaat daripada harga yang tinggi?

Walaupun harga makanan yang tinggi dengan jelas menjadi satu ancaman kepada ramai orang miskin di negara-negara membangun, mereka juga boleh mendapat peluang kerana kebanyakannya bekerja di sektor pertanian. Walau bagaimanapun, ramai petani miskin tidak mampu untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan harga kerana beberapa sebab, termasuk akses yang terhad kepada tanah dan air dan input penting seperti baja, atau terjejas akibat kesan bencana dan konflik. Banyak petani miskin tertindas kerana mereka tidak boleh menentukan harga. Mereka terdedah kepada perubahan cuaca, sering kali tidak mampu untuk menyimpan makanan mereka, dan infrastruktur yang uzur yang boleh menghalang mereka daripada mendapat akses terus ke pasaran. Pekerja ladang juga kurang mendapat manfaat. Mereka sangat terdedah sebagai pengguna dengan harga yang lebih tinggi, walaupun mereka bekerja di dalam industri pengeluaran makanan.

Adakah cuaca yang buruk baru-baru ini mempunyai kesan?

Kebanyakan saintis bersetuju dunia akan mengalami bencana yang lebih tidak menentu dan keadaan cuaca ekstrem akibat perubahan iklim. Pada tahun lalu, kita telah melihat beberapa kejutan cuaca dahsyat berkaitan yang telah mempunyai kesan yang dramatik pada pengeluaran makanan. Pada Julai hingga Ogos 2010, Rusia telah mengalami kemarau terburuk dalam beberapa dekad, memusnahkan kira-kira 25% daripada tuaian gandum; mengakibatkan pengharaman eksport, menyebabkan pembelian panik dan peningkatan yang tinggi dalam harga makanan. Banjir di Australia pada Disember 2010 secara dramatik merosak pengeluaran di Queensland, kawasan kritikal pengeluaran gandum dan gula.

Apakah perbezaan antara peningkatan harga baru-baru ini dengan tahun 2007-08?

Keadaan semasa adalah sama 2007-08, tetapi terdapat beberapa perbezaan:
  • Stok bijirin global adalah lebih tinggi sekarang daripada tahun 2007-08. Ini kerana kebanyakan negara telah mengambil langkah menyediakan rizab bijirin sejak berlakunya krisis makanan 2007-08; 
  • Kenaikan harga tidak lagi global - di kebanyakan kawasan Afrika harga kekal stabil, kerana tanaman tidak lagi dikenakan sekatan eksport seperti pada tahun 2007-08, salah satu daripada pemacu utama harga tinggi; 
  • Harga yang meningkat merentasi semua bahan makanan, tetapi paling kritikal, makanan ruji, terutamanya bijirin, dimakan oleh banyak orang termiskin di dunia pada harga yang lebih rendah daripada kemuncak krisis pada tahun 2007-08.
Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Harga makanan mungkin meningkat sehingga pertengahan tahun ini melainkan jika kerajaan campur tangan. Harga akan terus meningkat, kemungkinan besar keadaan bertukar menjadi krisis makanan pada skala krisis 2007-08 - atau lebih teruk lagi. Jika hasil pengeluaran yang baik di beberapa negara, harga makanan boleh menjadi rendah, tetapi apa yang berlaku ialah ketidaktentuan harga akan terus menjadi masalah.

Apa yang kerajaan harus lakukan?

Kerajaan, kedua-dua negara maju dan membangun, perlu bertindak segera untuk memastikan kenaikan harga makanan baru-baru ini tidak berada di luar kawalan. Kerajaan mesti:
  • Menghalang harga makanan tidak menentu yang berterusan dengan meningkatkan sokongan (seperti subsidi baja dan benih) dan pelaburan dalam bidang pertanian kecil-kecilan untuk meningkatkan kepastian pengeluaran pada tahun 2011; 
  • Membantu mereka yang hidup dalam kemiskinan menangani kesan segera harga yang tinggi dan tidak menentu, melalui program perlindungan sosial; 
  • Dalam jangka masa panjang punca kenaikan harga makanan perlu ditangani dengan memberikan negara-negara membangun ruang untuk mewujudkan dasar-dasar yang diperlukan untuk menggalakkan pengeluaran makanan negara, meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian - yang memberi tumpuan kepada petani kecil dan wanita - dan memastikan pengeluar kecil disokong dalam usaha mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim; 
  • Negara-negara kaya mesti datang dengan kemampuan dari segi kewangan untuk menangani keperluan jangka masa pendek dan panjang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar