Senin, 03 Januari 2011

Harga Padi dan Kos Pengeluaran

Kawasan Barat Laut Selangor boleh dikatakan amat beruntung berbanding kawasan Jelapang Padi yang lain. Padi yang dikeluarkan lebih berkualiti dan harga padinya lebih tinggi daripada tempat lain. Lebih 6,000 hektar kawasan sawah padi di Barat Laut Selangor dijadikan lot benih padi dengan lebih kurang 10 syarikat mengambil bahagian bagi pengeluaran benih daripada kawasan ini.

Harga padi tidak tetap atau wujud persaingan melampau?

Bagi memahami isu ini, kita merujuk dahulu dasar kerajaan berkenaan harga padi. Kerajaan telah menetapkan harga lantai (harga minimum) padi pada RM 750.00/tan. Harga ini telah dinaikkan sebanyak 2 kali daripada RM 550.00/tan (2002) kepada RM 650.00/tan (2006) dan yang terakhir sekali kepada harga lantai sekarang mulai tahun 2008 sebagai respon kepada Krisis Harga Makanan Sedunia.

Tahun 2002 - 2005 merupakan "zaman gelap" bagi harga padi. Ketika itu kerajaan terpaksa menetapkan harga lantai pada RM 550.00/tan bagi memastikan petani dapat menjual padi pada harga yang "berpatutan" walaupun pengilang sering menyatakan mereka mengalami kerugian. BERNAS sebagai satu badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan melalui obligasi sosialnya, akan membeli padi pada harga lantai jika tiada pengilang lain yang akan membeli padi (buyer of the last resort).

Menjelang Musim 1/2006, harga padi di kawasan Barat Laut Selangor mula melonjak naik kepada RM 650.00/tan kerana wujud persaingan diantara pengilang-pengilang swasta. Pada Musim 2/2006 hingga Musim 1/2007, harga purata padi meningkat lagi kepada RM 750.00/tan dan menjelang Musim 2/2007 harga purata padi meningkat sehingga RM 850.00/tan.

Lonjakan harga yang melampau berlaku sebaik sahaja bermulanya musim menuai (Musim 1/2008) di Barat Laut Selangor. Sawah Sempadan yang selama ini merekodkan harga terendah "dikejutkan" dengan penawaran harga padi pada RM 950.00 hingga RM 1,050.00 bagi setiap tan. Persaingan harga ini terus berlarutan hingga ke Sg Burong yang turut dikejutkan dengan penawaran harga RM 1,150.00 hingga RM 1,200.00 bagi setiap tan. Kemuncaknya, apabila Sekinchan mula menuai, harga padi terus melonjak kepada RM 1,250.00 hingga RM 1,330.00 bagi setiap tan.

Rata-rata petani amat berpuas hati kerana harga padi yang sangat tinggi pada tahun 2008 kerana pada ketika itu dunia dilanda Krisis Harga Makanan. Pengilang-pengilang swasta juga dikatakan dapat "menghidu" lebih awal kehadiran krisis tersebut dan mula mengisytiharkan "perang harga" sejak tahun 2007. BERNAS pada ketika itu merupakan pengilang yang paling "malang" kerana menjadi pilihan terakhir kepada petani untuk menjual padi.

Tempias harga ini juga terkena kepada Jabatan Pertanian yang pada ketika itu mengendalikan Loji Benih Padi. Ketika harga padi biasa berada di lingkungan harga RM 850.00 hingga RM 950.00 (tahun 2007), Jabatan Pertanian membeli benih padi daripada petani dengan harga RM 1,150.00. Harga yang "selesa" ini mula menjadi "panas" apabila pada tahun 2008, harga padi biasa melonjak kepada RM 1,250.00. Ini menyebabkan pada minggu pertama penuaian di Sekinchan sahaja, Jabatan Pertanian "kehilangan" 40 lot benih kerana harga yang ditawarkan oleh pengilang swasta lebih tinggi dan padi benih akhirnya dituai sebagai padi biasa. Rentetan daripada peristiwa itu, Jabatan Pertanian diberi kelulusan untuk membeli benih padi pada harga RM 1,400.00/tan daripada petani.

Kesan Krisis Harga Makanan ini berlarutan daripada Musim 2/2008 sehingga Musim 1/2009. Sawah Sempadan sekali lagi "dikejutkan" dengan penawaran harga pada RM 1,300.00/tan pada ketika itu. Namun pada Musim 2/2009, harga padi mulai turun sedikit demi sedikit. Bermula di Sawah Sempadan, harga yang ditawarkan sekitar RM 1,050.00/tan. Harga maksimum bagi padi biasa juga turun kepada RM 1,200.00/tan. Harga ini kekal sehingga penghujung Musim 1/2010.

Mulai Musim 2/2010, pendekatan yang berbeza pula digunakan oleh pengilang. Harga standard RM 1,150.00/tan digunakan bermula di Sawah Sempadan sehingga akhir musim menuai di Sungai Besar. Harga benih padi juga turun kepada RM 1,300.00/tan.

Harga padi tinggi, tetapi pulangan tidak seberapa?
Dari Wikipedia :
 Inflasi tolakan kos - Inflasi tolakan kos disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran yang tinggi. Kenaikan kos pengeluaran ini disebabkan oleh kenaikan harga bagi faktor-faktor pengeluaran seperti tingkat upah. Contohnya, jika kadar upah meningkat dengan tinggi maka kos pengeluaran akan meningkat.
Secara umumnya, kita melihat harga padi yang tinggi akan meningkatkan pendapatan petani. Namun adakah ini benar? Kawasan Barat Laut Selangor yang sentiasa menghasilkan pengeluaran yang tinggi tidak terlepas dari cengkaman kos pengeluaran yang semakin naik.

Rata-rata petani yang ditemui turut menyatakan kebimbangan mereka berkenaan dengan kos pengeluaran yang tinggi. Kenaikan kos pengeluaran menyebabkan pendapatan petani tidak berubah walaupun harga jualan padi meningkat. Malah dengan kapasiti ladang sedia ada, meningkatkan kos (buruh, input pertanian dll) tidak memberi pertambahan pulangan hasil yang signifikan atau dengan kata lain, kebanyakan petani telah mencapai tahap produktiviti yang maksimum. Dalam ekonomi, faktor ini disebut sebagai diminishing returns.


Wikipedia : In economics, diminishing returns (also called diminishing marginal returns) refers to how the marginal production of a factor of production starts to progressively decrease as the factor is increased, in contrast to the increase that would otherwise be normally expected. According to this relationship, in a production system with fixed and variable inputs (say factory size and labor), each additional unit of the variable input (i.e., man-hours) yields smaller and smaller increases in outputs, also reducing each worker's mean productivity. Conversely, producing one more unit of output will cost increasingly more (owing to the major amount of variable inputs being used, to little effect).

This concept is also known as the law of diminishing marginal returns or the law of increasing relative cost.


Sebagai contoh popular di Barat Laut Selangor;

Luas tanah : 1 ha
Hasil padi : 5 tan
Kos pengeluaran : RM 3,000.00
Harga padi : RM 1,150.00/tan
Subsidi harga : RM 248.10/tan

Pendapatan kasar : RM 6,990.50 (setelah ditambah subsidi harga)
Pendapatan bersih : RM 3,990.50

Pendapatan bersih sebulan : RM 665.08

Jika kos terus meningkat, dengan andaian harga padi serta hasil padi tidak turun, pendapatan bersih petani akan merosot. Fenomena ini telah mula terjadi di kawasan-kawasan yang berproduktiviti tinggi di mana petani-petani mula terasa beban kenaikan harga input dan kos-kos pengeluaran lain. Ini akan menyebabkan petani terpaksa menuntut harga padi yang tinggi kerana pendapatan bersih yang semakin berkurangan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar