Minggu, 29 Juli 2012

Ketoksikan imidacloprid kepada lebah

Imidacloprid ialah racun serangga sistemik berasaskan nikotin, yang berasal daripada kumpulan racun perosak yang dipanggil neonicotinoid. Racun ini bertindak sebagai neurotoksin kepada serangga yang bertindak mengganggu sistem saraf serangga. Secara spesifiknya, bahan kimia ini menghalang nicotinergic (sejenis reseptor dalam sistem saraf) dan menyebabkan pengumpulan acetylcholine, neurotransmitter yang penting yang menyebabkan kelumpuhan dan kematian. Imidacloprid merupakan racun serangga yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Racun ini boleh diaplikasi dengan pelbagai kaedah; rawatan tanah, disuntik ke dalam batang tanaman, disembur menggunakan penyembur konvensional, ditabur dalam bentuk granul atau formulasi cecair dan dibuat dalam rawatan biji benih. Walaupun telah tamat tempoh paten, pengeluar utama imidacloprid adalah firma kimia Jerman, Bayer CropScience. Imidacloprid dijual dengan nama dagangan seperti Gaucho, Admire, Merit, Advantage, Confidor, Provado, dan Winner.

Imidaclorprid merupakan salah satu racun yang paling toksik kepada lebah. Ini menyebabkan beberapa negara mengawal penggunaannya dan beberapa racun jenis neonicotinoid yang lain. Menurut pakar, imidacloprid mungkin telah menyebabkan kemusnahan koloni lebah yang digelar colony collapse disorder (CCD). Tahap ekstrem oral LD50 diantara 0.005 µg a.i./lebah hingga 0.07 µg a.i./lebah menjadikan imidacloropid lebih toksik kepada lebah berbanding organophosphate dimethoate (oral LD50 0.152 µg/lebah) atau pyrethroid cypermethrin (oral LD50 0.160 µg/lebah).

Imidacloprid merupakan salah satu racun yang paling toksik kepada lebah madu, Apis mellifera. Tahap ekstrem oral LD50 ialah 0.024 µg a.i./lebah. Racun ini dikatakan menyebabkan lebah dewasa tidak kembali ke sarang mereka yang akhirnya mengakibatkan gangguan kemusnahan/keruntuhan koloni lebah (CCD). Racun lain yang mempunyai tahap ketoksikan yang sama atau melebihi imidacloprid ialah Spinosad, emamectin benzoate, Fipronil, dan neonicotinoid Clothianidin, Thiamethoxam, dan Dinotefuran.

Sekumpulan lebah memasuki sarang. Gambar: Wikipedia

Bayer CropScience dalam kajian mereka menunjukkan bahawa dos maksimum imidacloprid yang mana tiada kesan buruk telah diperhatikan dalam lebah adalah 20 ppb (bahagian per billion). Bayer mendakwa bahawa tahap sisa baki biasanya di bawah 5 ppb dalam debunga dan nektar, dan berhujah bahawa imidacloprid menimbulkan risiko yang rendah kepada lebah.

Gerard Eyries, pengurus pemasaran untuk bahagian pertanian Bayer di Perancis, menyatakan bahawa kajian mengesahkan bahawa imidacloprid meninggalkan sisa baki yang kecil dalam nektar dan debunga, tetapi tiada bukti yang mengaitkan dengan penurunan dalam populasi lebah Perancis, sambil menambah, "Ia adalah mustahil untuk mempunyai sisa baki sifar. Apa yang penting ialah untuk mengetahui sama ada kuantiti yang sangat kecil yang telah didapati mempunyai kesan negatif pada lebah." Beliau juga menambah bahawa produk ini telah dijual di 70 negara dengan tiada kesan sampingan yang dilaporkan.

David Goulson dari University of Stirling dapat menunjukkan bahawa kesan akibat penggunaan imidacloprid dalam eksperimen makmal dan rumah hijau boleh diterjemahkan kepada kesan yang besar dalam ladang. Kajian mendapati bahawa lebah yang memakan racun perosak imidacloprid mengalami kemerosotan 85% dalam bilangan permaisuri dalam sarang yang dihasilkan, dan dua kali ganda bilangan lebah yang gagal untuk kembali dari perjalanan mencari makanan.

Penyelidik dari Sekolah Kesihatan Awam Universiti Harvard menulis bahawa kajian baharu memberikan "bukti yang meyakinkan" kaitan antara imidacloprid dan fenomena yang dikenali sebagai Gangguan Keruntuhan Koloni, Colony Collapse Disorder (CCD). Diketuai oleh penulis kajian, Chensheng (Alex) Lu, menyatakan bahawa eksperimen menunjukkan dos 20 bahagian per bilion imidacloprid (dos yang kurang daripada kepekatan lebah hadapi ketika mereka mencari makanan di tanaman yang disembur), sudah cukup untuk membawa kepada CCD di dalam 94% koloni dalam tempoh 23 minggu. Sarang lebah didapati adalah hampir kosong dan penyelidik tidak menjumpai tanda-tanda serangan virus Nosema atau hama Varroa. Terdapat dua sumber pendedahan imidacloprid kepada lebah. Pertama adalah melalui nektar pokok yang disembur dengan racun perosak itu sendiri, yang diramalkan oleh penyelidik di Universiti Stirling, UK, mempunyai impak yang meluas seperti imidacloprid didaftarkan untuk digunakan pada lebih 140 tanaman di sekurang-kurangnya 120 buah negara. Kedua ialah melalui sirap jagung fruktosa tinggi yang paling banyak digunakan oleh penternak lebah di Amerika Syarikat untuk memberi makan kepada lebah mereka. Sejak aplikasi imidacloprid terhadap tanaman jagung di Amerika Syarikat bermula pada tahun 2005 kes Gangguan Keruntuhan Koloni telah meningkat dengan ketara: dari kerugian 17% hingga 20% sepanjang tahun 1990-an kepada antara 30% dan 90% daripada koloni di Amerika Syarikat sejak 2006.

Pada bulan Mei 2012, penyelidik di Universiti San Diego mengeluarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa lebah madu yang diberi dos yang kecil imidacloprid, setanding dengan apa yang mereka terima melalui nektar yang dahulunya dianggap sebagai amaun yang selamat, menjadi teragak-agak untuk makan nektar yang kurang manis dan lebih suka untuk makan hanya pada nektar manis. Ia juga mendapati bahawa lebah yang terdedah kepada imidacloprid kurang melakukan "tarian mengibaskan," pergerakan yang lebah gunakan untuk memberitahu rakan-rakan yang ditugaskan mencari makanan lokasi tumbuhan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar