Sabtu, 24 Maret 2012

Air untuk Keselamatan Makanan

Kita memerlukan 5,000 liter air untuk menghasilkan satu kilogram beras, 1,500 liter air untuk satu kilogram gandum dan 15,000 liter air untuk satu kilogram daging lembu. Jumlah penggunaan air ini dinamakan Water Foot print (kadar penggunaan air) iaitu jumlah air yang digunakan untuk menghasilkan produk dalam kuantiti tertentu. Ini boleh diperolehi melalui proses Penilaian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA). Import dan eksport produk ini akan menyebabkan tekanan terhadap permintaan air di negara pengeluar. Satu lagi fakta yang diperolehi: Tahukah anda dengan membiarkan air menitis dari paip anda akan membazir sebanyak 20 gelen air sebulan?


Rajah 1: Kadar penggunaan air (water foot print) bagi makanan terpilih

Walaupun bumi ini diliputi oleh 70 peratus air, hanya 2.75 peratus adalah air tawar, termasuk 2.05 peratus beku di dalam glasier, 0.68 peratus sebagai air bawah tanah dan 0.011 peratus daripada jumlah itu sebagai air permukaan di tasik dan sungai. Pertambahan populasi dunia menambahkan tekanan kepada persaingan guna air untuk kegunaan manusia, perindustrian dan pertanian. Air bersih dan tidak tercemar hanyalah 0.003 peratus daripada jumlah air yang boleh didapati di seluruh dunia. Satu daripada lapan penduduk dunia tidak mendapat akses kepada air yang selamat. Pengairan kepada tanaman pada hari ini mengambil 70 peratus jumlah air bersih yang ada.

Rajah 2: Kawasan pengairan dunia


Rajah 3: Taburan kawasan pengairan tanaman (juta hektar)

Dalam konteks pertumbuhan demografi, peningkatan persaingan untuk air dan perhatian yang lebih terhadap isu alam sekitar, air untuk makanan masih menjadi isu teras yang tidak lagi boleh ditangani melalui pendekatan yang sempit. Bentuk baharu pengurusan air dalam pertanian, termasuk pertanian rainfed (kawasan pertanian yang hanya mendapat bekalan air daripada hujan) dan pengairan kawasan tadahan air, pengurusan perikanan darat dan akuakultur, dan pengurusan ternakan serta padang ragut perlu diteroka dan dilaksanakan dengan cara yang komprehensif.

Petani merupakan teras utama proses perubahan dan perlu digalakkan dan dibimbing melalui insentif dan amalan tadbir urus yang sesuai, bagi memelihara ekosistem dan biodiversiti semulajadi dan meminimumkan kesan negatif mereka. Matlamat ini hanya akan dapat dicapai jika dasar yang bersesuaian digubal dan dilaksana. Institusi pengairan mesti bertindak balas terhadap keperluan petani, memastikan penghantaran air, meningkatkan ketelusan dalam pengurusan, dan pengimbangan kecekapan dan ekuiti dalam akses kepada air. Ini bukan sahaja memerlukan perubahan dalam sikap tetapi juga pelaburan dalam pemodenan infrastruktur, penyusunan semula institusi dan menaiktaraf kapasiti teknikal petani dan air.

Pada masa akan datang, permintaan untuk sistem pengeluaran pertanian yang lebih dipercayai di peringkat tempatan dan serantau dijangka terus meningkat. Malah, trend ke arah pertanian tepat dengan rantaian bekalan lebih selamat telah berlaku. Hasilnya mekanisma perlindungan pasaran domestik serta perdagangan diwujudkan. Pelaburan kepada infrastruktur pengairan dan saliran dilihat sebagai langkah jangka panjang bagi meningkatkan hasil pertanian.
Rajah 4: Pinjaman Bank Dunia kepada pembangunan infrastruktur dan indeks harga makanan global (AS$)

Pencemaran air merupakan satu masalah utama global yang memerlukan penilaian berterusan dan semakan dasar sumber air di semua peringkat. Pencemaran air merupakan ancaman serius terhadap keselamatan air dan makanan. Pencemaran air telah menyumbang kepada kematian lebih daripada 14,000 orang setiap hari. Kira-kira 700 juta penduduk India tidak mempunyai akses kepada tandas, dan 1,000 kanak-kanak India mati akibat penyakit cirit-birit setiap hari. Kira-kira 90 peratus penduduk di bandar raya China menderita daripada pencemaran air pada tahap tertentu, dan hampir 500 juta orang tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat. Di samping masalah besar pencemaran air di negara-negara membangun, negara-negara maju juga terus bergelut dengan masalah pencemaran. Dalam laporan terkini terhadap kualiti air sungai di Amerika Syarikat, 45 peratus sungai, 47 peratus tasik, dan 32 peratus daripada teluk dan muara sungai telah diklasifikasikan sebagai tercemar.

Faktor perubahan iklim dan tekanan kepada sumber air - Dari segi hidrologi dan sumber air, perubahan dalam corak hujan dalam ruang dan masa (keamatan-tempoh-kekerapan) akan menjadi penentu yang paling penting bagi pertumbuhan tanaman, kerosakan tanaman dan status persekitaran akuatik. Proses hidrologi boleh dijangka menunjukkan situasi yang lebih ekstrem dan mengakibatkan perubahan serantau dalam keseimbangan air. Perubahan kemungkinan dalam hujan dan penyejatan akan diterjemahkan secara langsung kepada perubahan yang sedia ada terhadap corak defisit kelembapan tanah, aliran masuk air bawah tanah dan aliran keluar. Bagi tanaman kalendar (bermusim), kesan yang serta-merta akan dirasai oleh pertanian rainfed yang prestasi hasil dijangka turun naik kesan daripada tekanan kelembapan di kawasan yang mempunyai taburan hujan yang rendah.

Rajah 5: Min perubahan multi-model dalam: a) hujan (mm hari-1), b) kandungan lembapan tanah (%), c) air larian (mm hari-1), dan d) penyejatan (mm hari-1). Perubahan merupakan purata tahunan untuk senario SRES A1B, untuk tempoh 2080-2099 dibandingkan dari 1980-1999.

Di kawasan-kawasan yang mengalami peningkatan hujan dan suhu, keamatan hujan yang lebih tinggi boleh merosakkan tanaman dan menghakis tanah. Impak kepada aliran sungai, air bawah tanah, tasik dan tahap simpanan empangan dan penguncupan atau pengembangan tanah lembap akan diterjemahkan kepada ketersediaan air untuk pengeluaran bagi pengairan, akuakultur dan perkhidmatan alam sekitar termasuk perikanan dan biodiversiti. Oleh itu, cabaran yang perlu ditangani adalah untuk merangka sistem sokongan termasuk pemantauan dan ramalan dan pemerhatian yang berterusan kepada pemandu sosio-ekonomi. Sistem tersebut dapat menunjukkan kepada pembuat keputusan potensi tindakan yang dirancang untuk perancangan infrastruktur baharu bagi membantu tadbir urus dan pembangunan kapasiti di dalam pengurusan sektor air.

Pengeluaran makanan global dan keselamatan makanan global tidak berkait secara langsung. Walaupun terdapat 830 juta orang di seluruh dunia kekurangan zat, terdapat makanan yang cukup dihasilkan untuk membekalkan kalori keperluan penduduk global yang semakin berkembang. Dalam hal ini, isu keselamatan makanan adalah kebanyakannya berada dalam konteks pengeluaran tempatan, tidak global, serta beberapa faktor kritikal yang tidak dikaitkan dengan perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, terdapat bukti terbaharu bahawa sistem pengeluaran makanan global berada pada tahap risiko kesan daripada kejutan bekalan, terutama sekali berkaitan dengan bijirin. Trend ini dikuatkan oleh perubahan iklim, di mana perdagangan dijangka meningkat akibat peralihan dalam corak pengeluaran. Kegagalan dalam pengeluaran di kawasan rainfed yang tidak dapat dibantu oleh pengeluaran kawasan pengairan menjejaskan keadaan.

Kesan perubahan pada pengeluaran makanan akan dirasai terutamanya terutama sekali dari segi kestabilan bekalan. Walaupun ketersediaan, akses dan penggunaan makanan kurang berkait secara langsung terhadap air, pendapatan daripada tanaman tunai daripada sistem pengairan mempunyai kaitan dengan ketersediaan air. Penggunaan makanan yang selamat juga berkait rapat dengan kebersihan dan penyediaan makanan turut bergantung kepada bekalan air.

Penduduk luar bandar merupakan golongan paling berisiko kesan daripada perubahan iklim. Walau bagaimanapun mereka mempunyai beberapa pilihan untuk menyesuaikan diri dengan kekurangan air selain daripada migrasi. Penghijrahan bermusim keluar sudah menjadi ciri konsisten masyarakat luar bandar sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan di mana keselamatan makanan berada dalam situasi yang buruk. Schmidhuber dan Tubiello (2007) menyimpulkan bahawa perubahan iklim akan menyerlahkan fokus yang sedia ada terhadap krisis makanan di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan, sementara "kebergantungan negara membangun kepada import yang semakin meningkat."

Di samping itu, kajian terkini menunjukkan bahawa mitigasi perubahan iklim boleh membantu mengurangkan kesan negatif iklim kepada keselamatan makanan, tetapi kesan daripada tindakan tersebut akan dirasai hanya selepas tahun 2050 (Tubiello dan Fischer, 2007). Ini bermakna strategi adaptasi, tanpa mengira pelepasan bahan cemar masa depan, akan diperlukan dalam beberapa dekad akan datang untuk mengurangkan kesan jangkaan perubahan iklim.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar