Kamis, 21 Juli 2011

Executive Talk oleh Dr. Ramanjaneyulu di Jabatan Pertanian Selangor

Jabatan Pertanian Selangor telah menjemput Dr. G.V. Ramanjaneyulu, Pengarah Centre for Sustainable Agriculture yang berpusat di Andra Pradesh, India untuk satu sesi ceramah. Beliau dijemput hadir ke Malaysia oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Koperasi Belia Islam Malaysia BHD (KBI). Dalam lawatan ke Jabatan Pertanian Selangor, beliau menyampaikan executive talk bertajuk "Community Managed Sustainable Agriculture (learnings from Andhra Pradesh, Chhattisgarh, Maharashtra and Punjab)" yang menceritakan pengalaman beliau membangunkan komuniti tani India ke arah pertanian lestari (gambar). Dr. Ramanjaneyulu merupakan pakar dan aktivis pertanian lestari mempunyai pengalaman yang luas berkaitan pertanian organik dan Sistem Keamatan Padi, SRI.

Sedutan ceramah beliau:

Krisis Agrarian di India


Model pengeluaran di bawah Revolusi Hijau telah meningkatkan pengeluaran makanan di India, tetapi hampir 30 peratus tanah di India menjadi tidak subur akibat peningkatan saliniti (kandungan garam dalam tanah) hasil aktiviti pertanian. Penggunaan kimia; racun dan baja yang tinggi telah menyebabkan peningkatan bilangan pesakit kanser akibat residual racun. India juga mencatatkan jumlah petani yang membunuh diri yang tinggi terutama di wilayah Maharashtra, Karnataka, Andhra Pradesh, Madhya Pradesh dan Chattisgarh; 182, 936 petani membunuh diri dari tahun 1997 hingga Disember 2008 dengan purata 17,513 petani membunuh diri setahun (seorang petani membunuh diri setiap 30 minit). Ini kerana kebanyakan petani berhutang bagi membeli racun dan baja kimia - apabila hasil pertanian tidak memberikan pulangan setimpal dan menyebabkan kegagalan mereka membayar hutang, mereka mengambil keputusan menggunakan racun tersebut untuk membunuh diri. (Gambar kanan - Majalah Down To Earth, 2004 - terdapat sebuah rencana berkaitan kadar bunuh diri yang tinggi di kalangan petani India akibat beban hutang bertajuk Suicidal State).

Selain daripada itu, banyak racun yang telah diharamkan penggunaannya digunakan secara berleluasa di India. Bancian yang dijalankan menunjukkan tahap kesedaran kepada bahaya racun di kalangan petani India tinggi, namun mereka mengabaikannya demi mencapai hasil pertanian yang banyak untuk menyara hidup. Negara India menyediakan bajet yang besar bagi subsidi pertanian dengan 50 peratus dari jumlah bajet negara untuk subsidi baja dan racun kimia.


"Subsidies queues" di India

Setiap 10 tahun, terdapat kehilangan major hasil pertanian dan banyak penduduk India yang mati. Krisis air juga memburukkan keadaan - paras air bawah tanah merosot sebanyak 2 meter setahun. Input pengeluaran terus meningkatkan kos menyebabkan pulangan kepada pendapatan petani merosot. Keadaan menjadi lebih buruk bagi petani miskin yang hanya bergantung kepada hasil pertanian semata-mata. Dalam bancian yang dijalankan pada tahun 1991 dan 2001, 8 juta petani India berhenti menjadi petani dan mencari pekerjaan lain kerana hasil pertanian yang merosot, tanah tidak subur dan beban hutang.

Andra Pradesh merupakan wilayah agrarian yang terbesar di dunia; lebih 85 peratus penduduknya adalah petani dengan purata keluasan tanah pertanian per kapita 1.4 ekar. Namun begitu, Andra Pradesh mencatatkan kes bunuh diri di kalangan petani paling tinggi di India. Kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan penduduk, keadaan cuaca yang tidak menentu dan infrastruktur ladang yang tidak lengkap memburukkan keadaan. Tiga lagi wilayah, Maharashtra, Karnataka dan Chattisgarh juga berkongsi nasib yang sama.


Gambar atas - kampung untuk dilelong - Dorli adalah sebuah kampung kecil di Daerah Vidharba, Wilayah Maharashtra dilelong pada tahun 2005 akibat terperangkap dalam jerat hutang. Semua aset - tanah, rumah, kenderaan termasuk haiwan ternakan dilelong. Majoriti penduduknya adalah petani miskin yang berhutang bagi membeli input pertanian terpaksa menggadaikan aset mereka untuk membayar hutang.

Pertanian pada hari ini sangat linear,
  • Pertanian diusaha untuk meningkatkan hasil pada jumlah spesis yang sempit menyebabkan amalan mono kultura (menanam hanya satu jenis spesis tanaman atau varieti).
  • Pengurangan kapital (tenaga, air, tanah dll) berlaku dan peningkatan tambahan input luar (baja dan racun kimia).
  • Memandang pertanian sebagai "kilang" dengan memberikan input (baja, racun, minyak dan makanan haiwan) bagi menghasilkan output (daging, bijirin dll).
  • Tidak pernah mengambilkira externalities - faktor luaran.
Ke arah Pertanian Lestari - daripada sistem konvensional dan dominan "input-driven agriculture" kepada model "knowledge skill-based and local natural resource”

Dr. Ramanjaneyulu yang merupakan pengarah Centre for Sustainable Agriculture memberikan perbentangan pencapaian dan kejayaan hasil dari usaha beliau mempromosikan pertanian lestari di India terutama sekali di Wilayah Andra Pradesh. Gambar di bawah menunjukkan sesi pengembangan bersama petani.


Pengurusan komuniti ke arah pertanian lestari - memberi fokus kepada pembangunan masyarakat tani ke arah kesedaran kepada pertanian yang lebih mesra alam yang dapat meningkatkan hasil dan membasmi kemiskinan. Program pengembangan dijalankan kepada petani bagi melatih petani. Beberapa kejayaan pengurusan komuniti dicatatkan di Andra Pradesh. Dua diantaranya ialah kampung Punukula dan Yenabavi.

Kampung Punukula - kampung pertama yang diberi gelaran "Pesticide Free Village" (kampung bebas racun) di Andra Pradesh. Kampung ini diiktiraf oleh Kementerian Pertanian Wilayah dan Kementerian Pertanian India.

Kampung Yenabavi - kampung organik dengan keseluruhan isi rumah kampung ini mengamalkan pertanian organik. Diberi anugerah Krishi Gaurav Award oleh Baba Ramdev’s Patanjali Trust kerana usaha mempromosikan pertanian lestari kepada masyarakat India. Kampung ini menerima kunjungan lebih 30,000 orang dari seluruh pelusuk India dalam tempoh 3 tahun untuk belajar kaedah pertanian lestari. Bagi tanaman padi, kaedah SRI digunakan - memberi hasil tertinggi pernah direkodkan 44 guni (75 kg seguni) bagi kawasan seluas 0.4 ekar (8.25 tan/ekar).

Menggalakkan Pembinaan Kapasiti
  • Memulihkan tanah dan kelembapan tanah secara radikal.
  • Sistem tanaman integrasi.
  • Mengadaptasi tanaman keadaan cuaca dan persekitaran bagi mengurangkan serangan dan perebakan perosak.
  • Penggunaan sumber secara lestari.
  • Memaksimumkan output dari tanah.
  • Penggunaan secara efektif input benih, baja bukan kimia, cahaya, air, tanah dll
  • Mengamalkan kaedah SRI bagi tanaman padi - memulihara sumber semulajadi yang boleh diperbaharui dan diversiti genetik flora dan fauna.
  • Pengurusan program bersama-sama petani.
Pembinaan kapasiti turut memberi fokus kepada transformasi petani dan penyatuan petani bagi melibatkan mereka ke dalam rantaian nilai. Petani dilatih bagi membina kesatuan atau koperasi yang bertindak sebagai satu organisasi yang teratur untuk membimbing dan menggalakkan amalan pertanian lestari di sepanjang rantaian nilai dengan melibatkan petani dalam bidang pemasaran disamping turut menyediakan kemudahan kredit bagi petani yang memerlukannya. Selain itu, kesatuan petani dalam koperasi dapat memberi nilai tambah kepada hasil pertanian. Koperasi petani juga dapat menyatukan bantuan dan insentif kerajaan untuk disalurkan secara efektif dan efisyen. Beberapa institusi dan badan bukan kerajaan juga dijemput bagi melibatkan diri dalam pengembangan pertanian lestari di kalangan petani.

Salah satu kesatuan koperasi petani yang sangat berjaya ialah Sahaja Aharam. Sahaja Aharam menyediakan inisiatif F2C (farmers to consumers) dengan menyediakan ruang bagi pengguna bertemu dengan petani.
  • Memberi kesedaran pertanian ekologi dengan menambah nilai hasil pertanian dalam bazar tradisional.
  • Membina rantaian nilai baru dengan model F2C bagi membantu petani meningkatkan pendapatan dengan memberi harga yang lebih baik bagi hasil yang diusahakan sendiri secara amalan pertanian ekologi.
  • Membuka ruang pekerjaan dengan nilai tambah di sepanjang rantaian nilai.
  • Melibatkan Participatory Food Quality Assurance System dan Fair Trade Model.
  • Membuka pasaran terus petani kepada pengguna (belian secara pukal atau individual).
Sahaja Aharam juga menyediakan khidmat pensijilan kepada petani "Sahaja Aharam Farm Certificate" bagi ladang yang mengamalkan pertanian organik. Produk organik akan dilabel sebagai NPM (Non Pesticidal Management-grown iaitu tanpa menggunakan sebarang input kimia atau tanaman GMO) atau label organik. Sahaja Aharam menetapkan pemantauan kualiti yang ketat melalui beberapa siri pemeriksaan kepada pematuhan standard yang telah digariskan.

Padi SRI di Andra Pradesh


Wilayah Andra Pradesh menggunakan kaedah SRI bagi tanaman padi dan sehingga kini, 15,000 ekar tanaman padi ditanam menggunakan kaedah ini. Bermula dengan kawasan seluas 300 ekar pada tahun 2003-04, kaedah ini mendapat sambutan hangat di kalangan petani. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil padi SRI tertinggi yang dicatatkan ialah 8.25 tan/ekar dengan hanya menggunakan baja dan pestisid organik. Walaupun tidak menggunakan input kimia, hasil padi SRI sangat baik berbanding tanaman padi konvensional seperti dalam jadual di bawah (klik jadual untuk paparan lebih jelas):


Perbandingan berat 1000 biji bagi padi SRI dengan padi konvensional

Mengembangkan Pertanian Ekologi yang lebih lestari

Pendekatan kepada pengembangan ke arah pertanian ekologi yang lestari di antara komuniti dilihat sangat efektif dan mula membuahkan hasil. Dengan pembinaan kapasiti petani, lebih banyak petani di India dan Andra Pradesh khususnya terlibat dalam pengeluaran makanan yang lebih sihat. Bank Dunia mengiktiraf perkembangan pertanian ekologi di India dengan menyatakan 50 peratus perkembangan pertanian lestari dapat meningkatkan hasil sebanyak dua kali ganda - yang dapat membantu membasmi kadar kemiskinan di kalangan petani. Keluaran 2009 Majalah Down To Earth (gambar kiri) menunjukkan perubahan paradigma petani ke arah pertanian organik - dengan menggunakan sumber semulajadi yang boleh diperbaharui secara cekap bagi meningkatkan hasil pertanian secara sihat tanpa mencemarkan alam sekitar. Petani juga diajar untuk menyediakan ramuan baja dan pestisid organik menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling mereka.

Pengurusan tanaman - ke arah penggunaan sumber yang cekap

Tanaman secara integrasi - membenarkan petani menanam beberapa jenis tanaman yang boleh memberikan pulangan hasil sepanjang tahun. Terdapat lebih 15,801 model integrasi yang diamalkan oleh petani di India pada hari ini dan ada petani yang mampu mengintegrasikan 7 jenis tanaman dalam ladang yang sama.

Menyimpan air hujan di dalam ladang dengan membina kolam dan parit. Kaedah ini menjimatkan kos petani dan mengurangkan risiko kehilangan hasil akibat kemarau.


Carta pie di atas menunjukkan pengurusan tanaman secara lestari dapat meningkatkan jumlah tanaman dan hasil kepada petani di India


Graf di atas menunjukkan perbandingan nilai kos dari amalan konvensional dan amalan organik bagi kawalan perosak untuk beberapa jenis tanaman. Jelas menunjukkan amalan organik menambah nilai ekonomik - mengurangkan kos, menambahkan kualiti tanaman dan meningkatkan pendapatan petani kerana harga yang lebih baik walaupun dengan jumlah hasil yang sama dengan amalan konvensional.

Dr. Ramanjaneyulu menyatakan bukan suatu kerja mudah untuk mengubah minda petani. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi dalam mengembangkan pertanian ekologi, namun pada hari ni beliau boleh berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai. Diakhir pembentangan, beliau berkongsi beberapa pautan laman web bagi mendapatkan maklumat berkaitan pertanian ekologi di India di bawah kelolaan beliau.

http://www.csa-india.org
http://www.takingroots.in
http://www.sahajaaharam.in
http://www.indiagminfo.org
http://www.agrariancrisis.in
http://www.kisanswaraj.in

Ternyata beliau merupakan seorang yang mempunyai passionate dalam bidang pertanian ekologi. Semoga kejayaan beliau membawa pertanian ekologi di India dapat dicontohi di negara ini.

ps - Dalam sesi soal jawab Dr. Ramanjaneyulu menyatakan bahawa salah satu cara mengawal bena perang ialah menjarakkan tanaman seperti kaedah SRI. Beliau juga berkongsi beberapa amalan pertanian ekologi di India - bawang putih dan cili hijau dicampur dengan minyak tanah (kerosin) merupakan insektisid organik yang paling kuat.

pss - Mak Tam, saya cadangkan beliau dijemput bagi menyampaikan ucaptama dalam Persidangan SRI Kebangsaan Kedua tahun hadapan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar