Rabu, 22 Juni 2011

Ubi gadong untuk mengawal ulat pengorek batang

Secara umumnya ubi kayu (Manihot esculenta) merupakan sumber karbohidrat ketiga terpenting di dunia. Tanaman ubi kayu banyak ditanam di negara tropika dan sub tropika; dan Nigeria merupakan pengeluar ubi kayu terbesar di dunia. Satu lagi ubi yang sering dijadikan makanan ialah ubi gadong. Namun begitu, ubi gadong bukanlah sejenis spesis ubi kayu. Ubi gadong lebih rapat dengan keluarga keladi. Terdapat lebih kurang 19 spesis ubi gadong di Malaysia dan yang paling utama ialah Dioscorea hispida (kuning), D. piscatorum (merah) dan D. rotundata (putih). Selain itu, terdapat beberapa spesis lain ubi gadong yang boleh didapati di negara ini seperti D. batatas, D. bulbifera, D. orangeana, D. polystachya, D. schimperiana, D. alata, D. oppositifolia dan D. dumetorum.

Ubi gadong adalah sejenis tumbuhan menjalar, mempunyai umbisi bulat dan bujur bersaiz seperti keledek dan mempunyai daun seakan daun sirih berbentuk tiga segi dan tidak bercantum. Ubi gadong mempunyai pyrrolizidine alkaloid yang membentuk toksin dioscorine iaitu sejenis alkaloid yang larut air. Ubi gadong sangat bahaya dimakan tanpa penyediaan yang betul. Dahulu, ubi gadung direndam di kawasan air mengalir seperti dalam sungai sebelum dimasak untuk menghilangkan toksin dioscorine. D. dumetorum merupakan ubi gadong yang paling toksik. D. villosa pula merupakan spesis ubi gadong yang digunakan dalam pembuatan steroid di Amerika Selatan. Ubi gadong boleh menyebabkan hepatotoxicity (kerosakan hati), kerosakan saraf dan dalam sesetengah kes, menyebabkan kematian.

Secara semulajadi, banyak serangga yang memakan tumbuhan yang mempunyai kandungan pyrrolizidine alkaloid. Hasilnya, alkaloid ini akan terkumpul dalam badan serangga dan menyebabkan kerosakan saraf seterusnya mengakibatkan kematian. Terdapat juga sesetengah serangga dari keluarga Arctiidae yang menggunakan alkaloid ini sebagai racun untuk mempertahankan diri dari predator. Alkaloid ini dikenali sebagai tertiary amine dan sangat tidak disukai oleh serangga perosak.

Di Kedah, ubi gadong mempunyai peranan tersendiri dalam mengawal perosak terutama sekali ulat pengorek batang di sawah padi. Ubi gadong akan dihiris-hiris dan ditaburkan ke dalam sawah dan parit. Kaedah ini didapati berkesan untuk mengawal populasi ulat pengorek batang. Keracunan dioscorine berkemungkinan mengakibatkan kematian ulat pengorek batang. Terdapat kajian di Jepun dan Filipina menggunakan toksin dioscorin bagi mengawal larva serangga jenis Lepidoptera (kupu-kupu). Toksin ini menyebabkan larva Lepidoptera tidak lalu makan, pertumbuhan terbantut dan mati akibat kesan toksin dioscorin.

Ubi gadong yang ditanam dan cukup matang tidak mengandungi toksik. Seperti ubi kayu, sifat pahit ubi gadong dikaitkan dengan kehadiran toksin. Walaubagaimanapun, sifat pahit boleh wujud bagi D. rotundata dan D. cayenensis mungkin disebabkan oleh ejen anti oksidan iaitu polifenol atau kompoun seperti tanin. Ubi gadong liar D. dumetorum juga dikenali sebagai ubi gadong pahit dikenalpasti mengandungi alkaloid dihydrodioscorine manakala spesis D. hispida mengandungi dioscorine dan D. dumetorum mengandungi dumetorine. Ilustrasi di bawah menunjukkan kompaun kimia alkaloid bagi ketiga-tiga ubi gadong tersebut.


Sifat pahit pada ubi gadong D. bulbifera (juga dikenali sebagai ubi gadong kentang) disebabkan oleh kehadiran 3-furanoside norditerpene yang dipanggil diosbulbin. Bahan ini sangat toksik, menyebabkan kelumpuhan. Ekstrak daripadanya sering digunakan sebagai tuba bagi "memabukkan" ikan supaya mudah ditangkap. Kesan toksik juga berkemungkinan dari satu lagi jenis bahan iaitu saponin. Racun diosbulbin turut digunakan bagi memburu monyet di Zulu dan digunakan sebagai racun pada anak panah di Indonesia. Di Malaysia, pemburu haram menggunakan racun ini bagi memburu harimau.


Ubi gadong dilihat sebagai berpotensi untuk dijadikan racun organik bagi mengawal ulat pengorek batang dan siput gondang. Namun begitu, beberapa siri percubaan perlu dijalankan terlebih dahulu bagi menguji tahap ketoksikan menggunakan jumlah dos yang sesuai untuk digunakan kerana toksin saponin mampu membunuh ikan. Walau apa pun, alternatif kepada racun kimia perlu dicari bagi mengawal perosak tanpa menjejaskan kesihatan manusia dan mencemarkan alam sekitar. Toksin organik didapati tidak menyebabkan kesan residual, lebih selamat untuk digunakan dan lebih murah. Beberapa siri percubaan dan eksperimen insecticide organik dari ubi gadong dikhabarkan akan dibuat di petak percubaan padi SRI pada musim 2/2011. Blog ini akan membuat analisa kesan penggunaan ubi gadong sebagai langkah pengawalan perosak melalui eksperimen yang akan dijalankan itu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar