Minggu, 05 Juni 2011

Menilai kecekapan pengeluaran padi melalui kecekapan air

Setiap kali kita menuai padi, perkara yang paling biasa kita lakukan ialah menilai hasil melalui kecekapan tanah. Ada petani yang mendapat 5 tan/ha, 6 tan/ha malah ada yang mendapat 10 tan/ha. Ukuran kecekapan tanah menjadi sangat sinonim dalam industri padi dan dijadikan rujukan penting bagi melihat keseluruhan industri tanaman padi.

Di dalam menilai kecekapan pengeluaran, kecekapan tanah sebenarnya bukan nilai tunggal yang perlu kita ukur. Terdapat beberapa lagi kecekapan pengeluaran lain seperti kecekapan air, kecekapan buruh, kecekapan jentera dan kecekapan kos.


Dari perspektif pengairan, kecekapan didefinisikan sebagai kadar diantara jumlah air yang digunakan dalam evapotranspirasi, dan jumlah keseluruhan input air, termasuk hujan dan air dari sistem pengairan. Dari sudut pandangan fisiologi pula, kecekapan guna air didefinisikan sebagai hasil yang diperolehi per jumlah air yang digunakan oleh evapotranspirasi atau digunakan untuk pengairan -- kecekapan guna air diukur dengan nilai hasil pengeluaran (kg) dengan jumlah air (mm-1). Nilai tipikal bagi kecekapan guna air bagi tanaman padi di Malaysia ialah 2.3 kg mm-1 hasil pengeluaran kasar padi dengan jumlah air yang digunakan sebanyak 29,473 m3/ha setahun.

Di dalam satu eksperimen yang dijalankan selama dua tahun (2000-2001), jumlah input air diukur dalam tiga kaedah pengairan - continuous flooding, 5 hari seminggu dan 4 hari seminggu. Graf di bawah: a) tahun 2000 dan b) tahun 2001 (klik graf untuk paparan lebih jelas) menunjukkan perbezaan jumlah air yang dibekalkan. Air dibekalkan bagi tahun 2000 sebanyak 44,917 m3 ha-1 (tradisional), 34,445 m3 ha-1 (5 hari seminggu) dan 29,209 m3 ha-1 (4 hari seminggu) manakala pada tahun 2001, jumlah air adalah 45,607, 34,271 and 28,958 m3 ha-1.


Dua kaedah mengukur kecekapan air digunakan :
E1 = Evapotranspirasi / (Bekalan air + Hujan), (ET/T)
E2 = Hasil kasar / Bekalan air, (Y/I)


Jadual 2 (klik jadual untuk paparan lebih jelas) di atas menunjukkan perbezaan hasil dan kecekapan penggunaan air bagi 3 kaedah pengairan yang diuji dalam satu eksperimen. Kecekapan paling baik didapati dengan pengairan 4 hari seminggu. Mengurangkan input air secara umumnya mampu meningkatkan kecekapan hasil (kg mm-1). Berbanding dengan kaedah konvensional yang memerlukan air sepanjang tempoh tanaman, kecekapan air merosot. Dalam eksperimen ini pengairan 4 hari dalam seminggu memberikan kecekapan hasil terbaik dengan purata hasil kepada penggunaan air 2.78 kg mm-1 dan 2.76 kg mm-1.

Hasil daripada kajian ini menunjukkan terdapat kaedah yang baik untuk menjimatkan penggunaan air tanpa menjejaskan hasil. Secara faktanya, memberi sedikit perubahan kepada kaedah pengairan mampu meningkatkan kecekapan pengairan daripada 0.18 kepada 0.27.

Sesetengah sistem yang memperkenalkan teknik menjimatkan air seperti menanam dalam keadaan lembab atau tepu air (SRI), menanam dalam air yang cetek atau tepu air (SSC) dan kitaran berselang kering dan basah (AWD) mampu mengurangkan input air 40-70% tanpa mengurangkan hasil pengeluaran.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar