Entri sempena
Persidangan SRI KebangsaanPremaratna, seorang petani di India yang menanam padi menggunakan kaedah SRI, dan apabila ditanya mengapa beliau sangat bersungguh-sungguh mengamalkan SRI, beliau menjawab: “I want to have rice paddies where my children can play safely.”
Abstrak
Sistem Intensifikasi Padi (Inggeris: System of Rice Intensification), SRI, dibangunkan di Madagascar sejak 28 tahun yang lalu, mula mendapat tempat dan momentum dengan anggaran lebih 500,000 petani di lebih 20 negara pada hari ini terlibat dengan penanaman menggunakan kaedah SRI bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka dan pada masa yang sama mengurangkan penggunaan input dan kos pengeluaran.
Artikel ini akan memberi serba sedikit pengenalan kepada SRI dan inovasi yang terlibat serta memberi fokus kepada sistem transnasional untuk inovasi yang lahir bagi memberi respon kepada peluang agronomik yang memberi kelebihan kepada isi rumah yang mempunyai sumber terhad.
Dengan rangka kerja SRI berbentuk konsep dan praktikal, petani telah membuat pelbagai inovasi. Ini adalah fokus kepada penulisan kertas artikel ini -- bagaimana petani mengubah sistem ini kepada sistem yang mengurangkan tenaga buruh (less labor-intensive), dan bagaimana mereka mengembangkan kaedah ini kepada kawasan penanaman padi dengan sistem pengairan dan tanpa sistem pengairan (rainfed). Kertas ini juga mengambil berat kepada apa yang dikira sebagai "sistem inovasi de facto" yang memberi lonjakan kepada penyebaran SRI di seluruh dunia.
Berbeza dengan inovasi pertanian yang lain, SRI dikembangkan oleh petani yang secara sukarela melabur masa dan sumber yang ada untuk mengembangkan kaedah SRI di kalangan petani lain sebagai satu kaedah pengembangan dari petani kepada petani (farmer-to-farmer extension). Disamping itu juga, wujud kumpulan-kumpulan individu dan organisasi yang menyebar dan membuat perubahan kaedah SRI, seterusnya menyokong kepada pengembangan inovasi walaupun terdapat rintangan daripada institusi-institusi penyelidikan yang telah lama bertapak.
Peranan petani dalam mengembangkan kaedah SRI dilihat sangat berjaya di India, China dan Viet Nam dimana petani menggunakan kemahiran yang diperolehi untuk mengajar dan melatih petani lain mengamalkan SRI.
Inovasi Masyarakat UmumSistem Keamatan Padi (SRI) ialah inovasi luar biasa dalam beberapa cara yang meningkatkan kecekapan tanah, buruh, air dan modal pelaburan di kawasan pengairan padi. Namun begitu dengan kesemua penjimatan yang dinyatakan, terdapat kos yang tinggi pada SRI sebagai trade off; iaitu peningkatan kos buruh pada peringkat permulaan pembelajaran bagi mengadaptasikan sistem ini. Peringkat permulaan agak mencabar kerana petani perlu mengubah amalan biasa membanjiri sawah kepada mengawal air di dalam petak sawah cukup sekadar melembabkan tanah. Namun dengan kemahiran dan keyakinan petani, SRI boleh menjadi sistem yang menjimatkan kos buruh disamping menjimatkan air (25-50%) dan benih (80-90%), mengurangkan kos (10-20%) dan meningkatkan hasil padi sekurang-kurangnya 25-50%, kadangkala 50-100% dan ada sesetengah kes melebihi 100%. Walaupun kelihatan "sounds too good to be true" produktiviti SRI telah dibuktikan di 28 buah negara seperti Madagascar, Zambia, China, Chile, Peru, Filipina, Indonesia, India, Sri Lanka, Gambia, Iraq, Iran dan Afghanistan.
SRI berperanan dengan mengubah pengurusan pokok, tanah, air dan nutrien yang diperlukan oleh tanaman padi. Lebih spesifik, SRI melibatkan kaedah menanam satu anak pokok yang muda dengan jarak yang luas, secara cermat dan cepat dipindahkan ke tanah sawah yang tidak dibanjiri air dan tanah tersebut diberi pengudaraan dan bahan organik. Amalan ini memperbaiki pertumbuhan dan sistem akar yang berfungsi dan menambah diversiti biota tanah yang dapat menyumbang kepada kesihatan tanaman dan produktiviti.
Kesan kumulatif bagi kaedah SRI bukan sahaja meningkatkan hasil (kg padi belum dikilangkan yang dituai per hektar) tanpa bergantung kepada varieti atau input agrokimia, malah juga meningkatkan hasil beras selepas dikilang (meningkatkan 10-15% hasil beras dari padi yang dikilang kerana SRI mengurangkan padi tidak berisi dan beras patah/hancur).
Dakwaan petani - dan penyelidik telah mengesahkan - tanaman padi SRI lebih resistan kepada kebanyakan perosak dan penyakit, dan lebih bertahan kepada pengaruh perubahan cuaca seperti kemarau, ribut, gelombang panas dan sejuk (hot spell dan cold snap). Bagi sesetengah varieti, tempoh kitaran tanaman (tempoh kematangan) dapat dipendekkan dengan memberikan hasil yang tinggi. Tanaman yang resistan kepada stress abiotik dan biotik dilihat penting untuk menghadapi dekad akan datang dimana petani di seluruh dunia perlu mengadaptasi tanaman mereka dengan kesan perubahan cuaca dan pertambahan bencana alam yang berlaku secara tiba-tiba. Tanaman padi SRI lebih bertahan daripada rebah akibat hujan dan ribut kerana sistem akar yang besar dan rumpun yang kuat. Secara amnya, tanaman padi SRI mengurangkan risiko agronomik dan ekonomik yang dihadapi oleh petani.
SRI berbeza dengan teknologi pertanian yang dipromosikan pada hari ini kerana sistem ini merupakan inovasi masyarakat umum, bermula bukannya dari makmal atau stesen penyelidikan, tetapi dari seorang paderi yang memberi dedikasi untuk mengembangkan sistem ini, seterusnya disebar dan digunakan oleh petani. Father Henri de LaulaniƩ meluangkan 34 tahun dalam hidupnya sehingga ke akhir hayat bekerja bersama-sama petani berskala kecil di Madagascar untuk mencari kaedah yang lebih baik bagi meningkatkan hasil dengan sasaran mengurangkan kemiskinan dan kelaparan di negara tersebut. Beliau mencari kaedah yang kos rendah dengan tidak bergantung kepada input luar yang mencemarkan alam dan mahal - dan berjaya mencapai objektif beliau dengan hanya mengubah cara pengurusan tanaman, tanah, air dan nutrien.
Secara kasarnya, selepas Perang Dunia Kedua, inovasi pertanian telah secara biasanya mengikut susunan secara linear dimana pengetahuan secara saintifik dibuat dan diubah kepada teknologi yang lebih maju. Kemudian, ia akan disebarkan melalui pengembangan (kerajaan) atau pasaran (sektor swasta) mekanisma kepada pengguna yang dipanggil pengamal (adopter). SRI adalah inovasi yang mengikuti pattern yang dinyatakan sebelum ini dimana teknologi datang sebelum sains.
Penyebaran dan penambahbaikan inovasi de LaulaniƩ -- adalah hasil dari pemerhatian dan eksperimen -- disambung oleh NGO yang ditubuhkan pada 1990 dengan rakan-rakan dari Association Tefy Saina. Usaha mereka dikembangkan melalui kolobrasi dengan universiti di Amerika Utara, bekerja bersama Cornell International Institute for Food, Agriculture and Development (CIIFAD) yang mempunyai hubungan jaringan antarabangsa. Dalam kebanyakan bahagian, inovasi ini diterima oleh komuniti yang saintifik dengan perbezaan pendapat dan penolakan, hasil daripada penilaian bertulis SRI.
Sesetengah saintis memberi respon kepada cabaran dan peluang SRI bermula di Madagascar, kemudian China, Indonesia, India, Gambia, Jepun dan beberapa negara lagi. Bagi yang memandang SRI secara serius tanpa sebarang pengalaman merupakan saintis yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan petani dan NGO, tidak hanya bergantung kepada keputusan makmal atau stesen penyelidikan. Mereka sentiasa bersedia untuk melawat tapak sawah SRI, berbincang bersama petani, kurang bergantung kepada data sekunder dan tidak menolak cadangan yang tidak saintifik yang mana merupakan perubahan paradigma dalam pengeluaran padi. Kebanyakan kerja awal SRI dibuat oleh NGO, petani dan individu yang ingin tahu bagaimana cara dan kaedah mendapat lebih hasil dengan input yang sedikit, menghargai peranan SRI dalam memberi banyak kelebihan kepada petani, pengguna dan alam sekitar jika dakwaan pengamal SRI dapat disahkan.
Mereka yang memikirkan pengetahuan petani perlu diketepikan akan terkejut dengan pengalaman petani tersebut dalam SRI. Hasil kerja empirikal oleh LaulaniƩ menunjukkan amalah petani sejak sekian lama -- menggunakan anak pokok yang telah matang berbanding yang muda, merapatkan jarak anak pokok berbanding memberikan jarak yang sesuai dan membanjiri sawah berbanding membiarkan tanah sekadar lembab - secara faktanya adalah penyelesaian segera kepada masalah petani. Namun amalan agronomik konvensional ini menyekat peningkatan hasil dan ditunjukkan dengan bukti dan fakta kukuh yang saintifik. LaulaniƩ mempelajari beberapa amalan yang berguna dalam SRI dengan memerhati amalan yang bercanggah dengan kebiasaan yang dibuat oleh petani di Madagascar - menanam anak pokok tunggal dan tidak membanjiri air dalam sawah.
Petani tidak keseorangan dalam mempercayai kaedah penyelesaian segera amalan penanaman. Sesetengah saintis yang berpengalaman sangat menyokong dan menggalakan petani menanam dengan amalan konvensional yang mempunyai had dalam meningkatkan hasil; mengatakan tanaman padi dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam keadaan dibanjiri air. Dalam beberapa tahun, petani dan saintis memerhati sawah padi yang tidak rata menunjukkan kawasan rendah yang ditenggelami air menunjukkan tanaman padi yang tidak dapat tumbuh dengan baik - berbanding dengan kawasan yang mempunyai tanah yang tinggi serta rata dan saliran yang baik. Namun tiada petani atau saintis yang mengakui dan membuat kesimpulan bahawa padi bukannya tanaman akuatik, menghargai bahawa padi tumbuh dengan baik dengan sekadar tanah dibiarkan lembab dan mempunyai saliran yang baik, dengan sesetengah keadaan perlu dikeringkan.
Menjaga tanah sawah sekadar lembab membolehkan proses aerobik untuk menggalakkan pertumbuhan dan kesihatan akar, disamping menyumbang kepada pertambahan populasi biota tanah (yang kebanyakannya aerobik). Organisma ini memberi banyak kelebihan kepada tanaman padi. Walaubagaimanapun, kepercayaan bahawa padi tumbuh dengan lebih baik dalam keadaan dibanjiri air sangat tebal di kalangan petani dan saintis padi walaupun terdapat kajian yang menunjukkan sebaliknya. Petani menaikkan air dalam sawah bagi mengurangkan jumlah buruh yang diperlukan untuk mengawal rumpai -- tidak mengambil kira "penalti" yang bakal mereka bayar akibat "melemaskan" tanaman padi di dalam air dan mengurangkan jumlah biota tanah yang berguna untuk menyuburkan tanah.
Lebih dari itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakar agronomi telah memberi amaran berkaitan apa yang dipanggil "kesan sempadan" (border effect) atau "kesan hujung" (edge effect). Ketika mana kita mengambil sampel untuk menganggar hasil daripada sawah, kita akan diberitahu supaya sampel diambil secara rawak dari tengah sawah, bukan daripada sudut atau hujung sawah. Mengapa? Kerana kita sedia maklum bahawa tanaman yang tumbuh pada garisan sempadan lebih terdedah kepada cahaya dan udara, menjadikannya lebih sihat dan memberi hasil lebih tinggi. Dengan memperkenalkan jarak yang luas, kaedah SRI dapat memberi border effect di keseluruhan lot sawah.
Berikut adalah dua kaedah yang mana petani dan saintis tersilap dalam membuat penilaian amalan yang lebih produktif. Kepercayaan dan teknik lama telah melangkaui potensi hasil. Mereka yang skeptikal terus menerus mengkritik sistem ini. Seperti yang telah dibangunkan oleh LaulaniƩ dan dievolusikan oleh petani, NGO dan penyelidik di seluruh dunia, SRI telah menunjukkan potensi, mendapat fenotaip yang lebih produktif daripada hampir semua genotaip padi, tradisional atau moden, tempatan atau yang diperbaiki, indigenus atau berhasil tinggi.
Pemahaman ini datang dari pelbagai pemerhatian dan eksperimen lebih daripada hipotesis saintifik dan percubaan terkawal. Sebagai inovasi masyarakat umum, kriteria utama dalam menilai keberkesanan SRI ialah menilai kepuasan petani serta kelebihan ekonomik dan alam sekitar yang telah dibuktikan berbanding kertas kajian dan penulisan saintifik. Kedua-dua inovasi dan kaedah SRI kelihatan luar biasa, namun mempunyai kemungkinan untuk memberi ruang kepada pertanian yang lebih kehadapan.
SRI Sebagai Sistem Untuk Inovasi PertanianSRI sangat menakjubkan bukan sahaja pada kelahirannya dan kelebihan yang dapat dihasilkan, tetapi juga pada kaedah sistem ini dibangun dan dikembangkan, dimana individu dan organisasi memainkan peranan mereka untuk mempromosikan SRI dalam cara yang tidak menjadi kebiasaan bagi sektor pertanian. Kaedah ini telahpun dikira sebagai bahan ilmiah, yang membincangkan peranan inovasi, pro dan kontra, sistem untuk inovasi yang lahir daripada dan di sekeliling SRI telah menerima perhatian dan analisis sehingga ke hari ini.
SRI telah dikembangkan dan dipersembahkan bukan sebagai teknologi tetapi sebagai metadologi berdasarkan pelbagai idea dan pandangan yang diformulakan sebagai prinsipal untuk diterjemahkan kepada amalan yang spesifik, yang mencari ruang bagi persekitaran yang sesuai untuk tanaman padi di kawasan pengairan. SRI masih menempuhi perjalanan yang jauh, sedang berevolusi dan diperbaiki. Sistem ini secara berterusan diadaptasi untuk kepelbagaian persekitaran bagi menjadikan SRI dan alam sekitar "saling memahami". SRI secara berterusan diperluaskan dan ramai yang melibatkan diri dengan sistem ini berdasarkan pengalaman yang telah dilalui.
SRI ialah inovasi yang membuka ruang kepada lebih banyak inovasi, bukannya sebagai bahan input atau pakej arahan untuk digunakan seperti mana Revolusi Hijau. Sistem ini disimpulkan sebagai set kepelbagaian idea atau pandangan.
Konsep asas SRI dapat dirumuskan seperti berikut:
- Menggunakan anak benih yang muda bagi mengekalkan potensi pertumbuhan tumbuhan matang -- walaupun tabur terus merupakan pilihan bagi SRI, satu perubahan major daripada konsep asal hasil inovasi petani.
- Mengelakkan kesan trauma pada akar -- menanam dengan cepat (kurang 2 jam daripada anak dipindahkan dari nurseri), ditanam cetek (1-2cm) dengan benih masih melekat dengan akar.
- Memberi ruang yang optimum pada tanaman - satu anak pokok bagi setiap satu "hill" dengan jarak agak jauh dan disusun berbentuk kotak .
- Tanah diberi pengairan sekadar cukup untuk melembabkan tanah bukan dibanjiri air. Konsep ini berjaya diadaptasi untuk kawasan tanaman padi tanpa sistem pengairan dan dengan sistem pengairan.
- Tanah diberi pengudaraan yang aktif sebanyak mungkin, menggunakan peralatan bagi mengawal rumpai.
- Meningkatkan bahan organik dalam tanah sebanyak mungkin dengan menggunakan kompos, sisa tanaman dan najis haiwan. Baja kimia masih boleh digunakan tetapi hasil terbaik diperolehi dengan penggunaan bersama bahan organik.
Tiga amalan pertama memberi stimulasi kepada pertumbuhan pokok, manakala tiga amalan berikutnya menggalakkan pertumbuhan dan kesihatan akar dan biota tanah.
Amalan sebenar SRI sangat dinamik walaupun dalam masa yang sama idea teras SRI yang diperkenalkan oleh LaulaniƩ masih tidak berubah dan tetap stabil walaupun setelah 8 tahun sistem ini diperkenalkan di luar Madagascar (1999 - Indonesia, China dan Bangladesh). Sistem ini telah dikembangkan di kawasan tanaman padi tanpa sistem pengairan malah ke tanaman lain. Beberapa kertas yang ditulis untuk bengkel SRI melaporkan berkenaan inovasi yang diperkenalkan kepada petani, melangkaui konsep dan amalan SRI. Kebanyakan inovasi ini dilakukan sendiri oleh petani termasuk dengan penglibatan NGO atau pertubuhan kerajaan yang bekerjasama dengan petani. Dengan mengetahui apakah inovasi yang telah lahir, lebih mudah bagi sistem inovasi untuk bangun dan berkembang.
Strategi Untuk Menyebarkan MesejOleh kerana SRI merupakan inovasi luar biasa, tiada apa yang mengejutkan bagaimana sistem ini disebar dan dikembangkan. Pada peringkat permulaan, LaulaniƩ dan Tefy Saina berhadapan kesukaran daripada agensi kerajaan untuk bekerjasama dalam mengembangkan SRI terutama sekali pusat penyelidikan di Madagascar (FOFIFA) yang menolak idea baru ini. Agak menyedihkan, hampir kesemua negara di mana SRI diperkenalkan, idea ini ditolak oleh agensi kerajaan. Maka SRI dikembangkan oleh NGO, individu, universiti dan organisasi petani yang mahu berkongsi minat dalam mencari kaedah yang mempunyai kos rendah, pertanian lestari atau pertanian alternatif.
Cornell International Institute for Food, Agriculture and Development (CIIFAD), yang ditubuhkan pada tahun 1990 di Cornell University dengan dana yang disumbangkan oleh individu serta NGO memulakan kerja dan penyelidikan untuk pertanian yang lestari dan pembangunan luar bandar di negara yang mundur, mengetahui berkenaan SRI daripada Association Tefy Saina di Madagascar pada tahun 1993. Bersama, CIIFAD dan Tefy Saina dalam tahun 1993-94 memulakan penilaian dan promosi SRI di dalam zon di sekeliling Ranomafana National Park di bawah dana projek USAID. Setelah melihat kejayaan petani meningkatkan hasil daripada 2 tan/ha kepada 8 tan/ha, selama tiga tahun berturut-turut -- tanpa menggunakan varieti baru atau bergantung kepada baja kimia, Prof. Norman Uphoff (Pengarah CIIFAD) mencari institusi di luar Madagascar bagi menilai keputusan ini kerana ketiadaan institusi di negara tersebut menyokong, termasuklah cawangan IRRI di Madagascar untuk menilai dan memahami sistem ini.
Pertubuhan pertama yang berminat dengan SRI di luar Madagascar ialah International Institute for Rural Reconstruction (IIRR), sebuah NGO di Filipina, menjemput setiusaha Tefy Saina bagi berbincang berkenaan SRI semasa persidangan NGO berkaitan padi pada Jun 1998, ditaja bersama ILEIA yang berpengkalan di Belanda. Daripada perbincangan ini muncul sebuah artikel berkenaan SRI. Pada masa yang sama, ILEIA menerbitkan beberapa artikel berkaitan SRI, dan sebuah lagi NGO yang didedikasikan kepada penambahbaikan petani kecil, ECHO yang berpengkalan di Florida menerbitkan artikel yang memberikan SRI penyebaran yang lebih luas.
Garis panduan SRI sebagai sistem inovasi mendapat sambutan positif dalam tahun yang mendatang. Kepelbagaian individu yang terlibat dalam SRI berterusan memberi sokongan dan membuat inovasi di sepanjang perjalanan mereka. Terdapat strategi serampang dua mata di mana, penyelidik akan cuba untuk mengembangkan sistem ini dengan kaedah pemahaman saintifik manakala badan pengembangan bersama NGO mengembangkan sistem ini di kalangan petani - yang memberikan promosi dan adapatasi kepada SRI lebih praktikal. Setiap satu "mata serampang" akan akan memberi sumbangan antara satu sama lain. Sejak SRI dikembangkan, tiada modifikasi genetik dan input kimia, tiada hutang atau modal diperlukan, kecuali sedikit elemen risiko dan kritikan daripada jiran yang skeptikal, serta tiada kos atau kerosakan untuk mencuba kaedah ini. Jika kaedah baru ini tidak berkesan, petani mempunyai pilihan untuk kembali kepada amalan lama. Namun >90% petani yang mencuba SRI menunjukkan kesan baik dengan sangat ketara.
SRI bukannya teknologi dan tidak bergantung kepada input yang biasa dibeli menghadapi kesukaran untuk dikembangkan oleh agensi pengembangan bagi mempromosikan inovasi ini. Daripada pemerhatian yang dibuat di Sri Lanka dan India, sistem pengembangan biasanya mempunya prestasi lebih baik dalam memberikan input pertanian atau servis berbanding menyebarkan idea secara komunikasi. Agen pengembangan dilihat lebih gembira menyampaikan baja atau benih dan peralatan pertanian berbanding memberikan latihan dan khidmat nasihat kepada petani. Ini adalah kesukaran bagi SRI untuk dikembangkan kerana ketiadaan bahan yang boleh dibawa oleh agen pengembangan kerana SRI hanya melibatkan penyebaran idea. SRI berperanan untuk memberi keuntungan kepada petani bukannya syarikat pengeluar benih, syarikat racun perosak dan penjual baja. Dengan sifat SRI, kelebihan sistem ini dapat dirasai oleh petani, pengguna dan alam sekitar.
Cabaran Operasi dan Halangan Teknikal Dalam Mengarusperdanakan (Mainstreaming) SRITentangan kepada SRI mencapai kemuncaknya pada tahun 2004, dimana pelbagai artikel negatif mengenai SRI diterbitkan, walaupun tiada peer-review daripada mereka yang memahami SRI. Artikel yang diterbitkan bagi menunjukkan kelebihan SRI, sesetengahnya sangat menakjubkan, dengan dengan set pelbagai tahun, menggunakan metadologi agronomik yang standard, mula mendapat peer-reviewed literature.
Faktor yang paling penting yang mengubah pandangan berkenaan SRI ialah tiga negara pengeluar utama beras di dunia, yang menanam dan menggunakan >60% beras dunia, mula mengiktiraf dan menyokong penyebaran SRI, pada masa yang sama meneruskan kajian dan penyelidikan.
- Di China >400,000 hektar sawah ditanam menggunakan kaedah pengurusan SRI di Sinchuan dan Zhejiang pada tahun 2007. Kaedah SRI disyorkan oleh Kementerian Pertanian pusat kepada Kementerian Pertanian wilayah.
- Di India, kerajaan pusat membuat perancangan untuk mengembangkan sistem ini kepada lebih 5 juta hektar tanaman padi di bawah program National Food Security Mission. Negeri Tripura mempunyai >70,000 petani yang mengadaptasi sistem ini dan perancangan dibuat untuk mengembangkan lagi dengan lebih luas. Negeri Tamil Nadu pula mencatatkan lebih 420,000 hektar, kira-kira 20% kawasan penanaman padinya ditanam dengan kaedah SRI. Kini, terdapat lebih 20 negeri di India mengamalkan kaedah SRI.
- Di Indonesia, Presiden S.B. Yudhoyono, yang mempunyai PhD dalam bidang pertanian daripada Agricultural University Bogor (IPB), mengiktiraf SRI dan mengarahkan Kementerian Pertanian untuk mengembangkannya dengan kaedah organik, dengan mencadangkan pembetulan kepada Revolusi Hijau.
- Di Kemboja, SRI telah digabungkan bersama Cambodian National Development Plan for 2006-2010 dengan Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar mempromosikan kaedah ini dan Perdana Menterinya meminta petani mengamalkan SRI.
- Di Viet Nam, Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar membentuk SRI sebagai teknologi yang kehadapan pada April 2007 dan akan memberi dana untuk tujuan penyelidikan dan pengembangan.
Dengan tindakan daripada beberapa negara, bersandarkan keputusan eksperimen di sawah, tentangan saintifik kepada SRI tidak dapat bertahan lama. IRRI dan CIIFAD telah bersetuju untuk bekerjasama membuat perancangan dan melaksanakan penilaian kepada kaedah SRI, memberi perbandingan dengan apa yang IRRI anggap sebagai "amalan pertanian baik". Eksperimen ini akan melibatkan beberapa pusat penyelidikan dalam membentuk usaha secara kolaborasi bagi menyelesaikan pertikaian saintifik berkaitan merit dan kesesuaian SRI. Soalan yang paling penting yang ditujukan kepada penyokong SRI ialah bagaimana untuk membesarkan skala yang efektif, berdaya maju dan berterusan.
Oleh kerana SRI tidak bergantung kepada pembelian dan pengedaran input luar -- melibatkan hanya pengetahuan, kemahiran dan keyakinan -- penyebarannya dinamik dan tidak konvensional. Cabaran yang mendatang ialah membesarkan skala pengeluaran padi SRI. Dengan persaingan bagi input kimia dan buruh, padi SRI perlu bersaing bersama dengan tanaman padi konvensional, kecuali diwujudkan segmen pasaran istimewa bagi padi SRI; seperti padi SRI organik atau natural farming. Namun begitu, mencipta segmen pasaran istimewa mungkin tidak dapat mencapai matlamat SRI - menjadikan hasil output padi lebih murah. Dilema pasaran padi sentiasa menunjukkan petani sentiasa mahukan harga belian padi yang tinggi tetapi pengguna mahu harga jualan beras yang rendah. Kaedah yang lebih sesuai ialah membuka pasaran dan mewujudkan persaingan yang sihat agar pengeluar dan pengguna menerima faedah.
Satu lagi halangan penting dalam mengadaptasikan SRI ialah mental dan sikap, dimana para petani yang menggunakan kaedah SRI diuji. Halangan permulaan ialah buruh, semasa mempelajari kaedah SRI tenaga buruh yang banyak diperlukan terutama sekali di peringkat menanam dan pengawalan rumpai. Tetapi selepas petani berjaya mendapat kemahiran dan yakin dengan kaedah ini, SRI dilihat boleh menjadi neutral malah menjimatkan tenaga buruh.
Halangan utama dalam menjalankan kaedah SRI ialah pengawalan air, dapat mengawal sistem pengairan bagi mengurangkan dan membekalkan sejumlah air yang cukup untuk tanaman. Jika sawah sentiasa dibanjiri air, kaedah SRI tidak akan berhasil. Pengawalan perosak juga memerlukan perhatian serius. Memberi pengudaraan pada tanah penting bagi mengurangkan serangan penyakit dan perosak. Kawalan Perosak Bersepadu (IPM) perlu dilaksanakan untuk bergerak bersama SRI. Seperti yang telah dibincangkan, halangan mental - mengurangkan jumlah air adalah penting bagi SRI. Kaedah ini tidak dapat dijayakan jika tiada kawalan air yang sempurna dan kepercayaan kepada sistem ini. Kekangan buruh menjadikan kerja membuang rumpai dan mengudarakan tanah sukar pada petani yang mencuba kaedah ini. Ini menjadikan satu situasi untuk petani membuat inovasi dengan rekaan alat bagi membuang rumpai dan pada masa yang sama menggemburkan tanah.
PenutupSRI perlu terus dinyatakan sebagai metadologi yang "sedang dalam pembinaan", sentiasa diubahsuai dan diperbaiki dengan usaha petani. Kita tidak boleh membuat sebarang rumusan SRI bersifat pra matang kerana sistem ini sentiasa dibangunkan untuk menjadi lebih baik. Secara tidak langsung, sistem ini membuka ruang kepada "sistem inovasi", untuk petani dan penyelidik mempelajari dan mengubahsuai mengikut kesesuaian.
Cerita berkaitan inovasi SRI masih lagi ditulis dan sudah pasti akan berterusan untuk beberapa tahun akan datang. Muncul pelbagai perdebatan di dalam jaringan SRI, berkaitan bagaimana mengembangkan SRI kepada penanaman secara organik sepenuhnya atau mengikut kaedah sedia ada; adakah perlu SRI disebarkan di kalangan petani kecil atau besar; sama ada SRI perlu diberi sempadan atau diperluaskan tanpa had; sama ada pentingnya mengurangkan jumlah buruh atau menggalakkan peluang pekerjaan; atau sama ada wujud kemungkinan mengurangkan harga makanan dengan kaedah SRI atau tidak. Nyata sekali, kajian melibatkan kesemua aspek agronomi, ekonomi, kecekapan dan produktiviti SRI sentiasa akan terus berjalan dan berkembang.