Kamis, 30 Desember 2010

Krisis Harga Makanan Global 2008

Isu dan persoalan krisis makanan yang melanda dunia sejak kebelakangan ini menjejaskan banyak negara. Permintaan yang meningkat secara mendadak kepada bijirin utama dunia seperti gandum, beras dan jagung menyebabkan berlaku krisis yang tidak dapat dibendung. Kebimbangan global tercetus akibat krisis ini terhadap kenaikan harga bahan makanan dan kekurangan bekalan di seluruh dunia.

Food and Agriculture Organization (FAO) menyatakan Asia dan negara Pasifik yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 3.7 billion yang majoritinya bergantung kepada sektor pertanian terutama sekali bagi negara yang berada di dalam lingkungan negara defisit pendapatan makanan rendah (LIFDC). Populasi yang semakin bertambah meningkatkan permintaan kepada makanan, menjadikan indeks permintaan makanan Asia Pasifik berkembang daripada 86 mata pada 1990, kepada 120 mata pada 2005, melebihi indeks permintaan dunia di dalam dekad sebelum ini.

Import bahan makanan juga turut meningkat sebanyak 5 peratus setahun sejak era 1990-an. Peningkatan mendadak berlaku sejak 2004, hampir USD 170 billion atau 30 peratus jumlah import makanan dunia diimport oleh negara-negara Asia Pasifik. Sebanyak 25 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada bijirin dan minyak sayuran, komoditi yang amat penting dan kritikal kepada sekuriti makanan benua Asia. Peningkatan taraf hidup dan perkembangan globalisasi dilihat sebagai penjana kepada permintaan barangan mewah terutama sekali makanan yang lebih mahal dan berkualiti di kalangan penduduk Asia seterusnya dapat memberi satu perkembangan yang baik kepada sektor pertanian.

Namun demikian, pasaran barangan komoditi pertanian telah diuji dengan hebat sekali apabila harga makanan bijirin seperti gandum, beras dan jagung meningkat secara mendadak yang memberi kesan negatif yang buruk kepada negara-negara yang banyak bergantung kepada import makanan. Di dalam suku tahun pertama 2008, harga nominal bijirin dunia mencecah harga tertinggi di dalam sejarah 50 tahun. Asia sebagai sebuah benua yang menjadikan separuh daripada keperluan bijirin dunia sebagai makanan pada masa ini sedang bertarung dengan kenaikan harga bahan makanan yang tinggi. Beras yang merupakan sumber kalori (tenaga) utama kepada penduduk Asia juga berkurangan walaupun Asia menghasilkan 90 peratus keperluan beras dunia.

Lebih membimbangkan lagi, masih banyak lagi negara di Asia ini yang belum mencapai tahap sara diri atau SSL (self sufficient level) di dalam pengeluaran beras. Malaysia sebagai contoh; dengan pengeluaran beras yang hanya mencapai 1.3 juta metrik tan (73 peratus keperluan negara), baki lebih 930,000 metrik tan beras atau 27 peratus terpaksa diimport daripada negara pengeluar yang lain. Situasi ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana beras merupakan sekuriti makanan yang utama di Malaysia dan negara-negara Asia yang lain dan jika dibiarkan akan menjejaskan keadaan ekonomi dan geo-politik negara.

Krisis Makanan Dunia

Latar Belakang

Krisis makanan sedunia yang berlaku pada hari ini telah mengakibatkan kesan buruk yang berada di luar jangkaan. Krisis ini sudah meningkatkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman bijirin seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Beberapa negara Asia seperti Thailand, Vietnam dan Filipina turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.

Keadaan menjadi semakin gawat apabila beberapa negara pengeluar ini mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain. Peningkatan harga bahan makanan bijirin seperti beras, jagung dan gandum menyebabkan kehidupan golongan miskin terjejas terutama sekali di negara-negara membangun.

Timbul banyak persoalan mengenai kenaikan harga makanan dunia di kalangan banyak pihak.
  • Mengapa harga makanan meningkat? 
  • Apakah pengaruh perkembangan ekonomi di dalam pasaran makanan dunia? 
  • Adakah perubahan iklim memainkan peranan yang penting? 
  • Adakah harga makanan akan terus meningkat di masa hadapan? 
  • Bagaimana pembuat polisi bertindak ke atas perkembangan yang negatif ini?
Kenaikan harga bukan setakat makanan, tetapi KESELURUHAN komoditi utama (bukan makanan seperti petrol dan makanan seperti kelapa sawit, jagung, gandum dan beras) seperti yang dinyatakan dalam Carta 1.
 
Carta 1: Perbandingan Indeks Harga Komoditi Utama Dunia Januari 2006 hingga Januari 2008, Indeks harga “Semua Komoditi” meningkat 60%, “Makanan” (68%), “Bijirin” (132%) dan “Tenusu” (63%).

Peningkatan Indeks Harga Komoditi Makanan Dunia

Sejak awal 2008 bermula, krisis makanan mencecah status yang agak membimbangkan apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman komoditi seperti beras, gandum dan jagung susut mendadak di negara-negara pengeluar utama. Bagai yang diramal oleh kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, kegawatan krisis makanan itu tidak menunggu masa yang lama untuk meledakkan kebimbangan global.

Kesannya semakin dirasakan kini apabila kebanyakan negara berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan utama yang serius dengan penyusutan yang disifatkan terburuk sejak 1980. Bijirin utama dunia dari segi kuantiti untuk keperluan makanan terdiri daripada gandum (45%), beras (36%), jagung (12%) dan lain-lain (7%).
Carta 2: Indeks Harga Makanan April 2007-2008

Carta 3: Peratus peningkatan komoditi bijirin utama Mac 2007-2008

Carta 4: Purata Indeks Harga Makanan 200-2007

Pengeluaran beras dunia pada tahun 2007 dianggarkan berjumlah 645 juta metrik tan. Sekurang-kurangnya 114 buah negara menanam padi dan lebih 50 negara mempunyai pengeluaran tahunan menjangkau 100,000 metrik tan atau lebih. Negara Asia mengeluarkan lebih kurang 90 peratus keperluan beras dunia dengan dua negara China dan India mewakili separuh daripada jumlah ini. Negara pengeluar utama beras dunia termasuklah China (4%), India (12%), Vietnam (17%), Thailand (31%), Pakistan (10%), Amerika Syarikat (12%) dan diikuti dengan 54 negara-negara lain. Dianggarkan 3.6 billion orang dari seluruh dunia menjadikan beras dan produk daripada beras sebagai makanan. Di negara Asia seperti Bangladesh, Kemboja, Myanmar, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia beras merupakan makanan utama yang membekalkan 50 hingga 80 peratus kalori harian (tenaga) berbanding dengan negara seperti Mesir, Nigeria dan Pakistan di mana beras hanya menyumbang 5 hingga 10 peratus pengambilan kalori harian per kapita penduduk.

Namun demikian, negara-negara pengeluar beras utama dunia seperti Vietnam, India, Indonesia dan Bangladesh turut mengalami tekanan kesan daripada krisis kekurangan bekalan makanan ini sehingga menyebabkan negara-negara ini terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan eksport mereka bagi mengimbangi keperluan dalam negara.

Lebih meruncingkan keadaan lagi, harga beras import terus meningkat akibat perubahan KITARAN atau STRUKTUR.

KITARAN: Fenomena jangka masa pendek yang akan lega semula melalui masa. STRUKTUR: Faktor yang akan merubah senario / lanskap industri dalam jangka masa pendek dan panjang. Trend kenaikan harga akan berterusan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Sebagai perbandingan, harga beras dari Thailand yang dijadikan penunjuk atau penanda aras untuk pasaran dunia meningkat dari USD385.00 pada April 2008 kepada USD960.00 pada 28 Mei 2008 bagi beras putih 100% Gred B seperti yang dinyatakan dalam Carta 5.

Carta 5: Kenaikan harga beras import dari Thailand

Kekurangan Bekalan Dunia

Krisis ini juga telah menyebabkan stok bijirin utama dunia menyusut yang disebabkan oleh pengeluaran yang berkurangan dan penggunaan yang semakin meningkat. Stok bijirin telah menurun 40 peratus daripada tahun 2000 hingga 2007 seperti yang dinyatakan dalam Carta 6.


Carta 6: Stok bijirin utama dunia 1975-2008

Kesan kepada kegawatan stok makanan ini, beberapa negara pengeluar seperti Vietnam, India dan Mesir mula mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain. Perkembangan ini sekaligus menimbulkan panik di kalangan beberapa negara pengimport beras yang tertekan dengan keadaan ini.

Faktor Kemerosotan Bekalan Dunia

Stok beras merupakan stok bijirin yang mengalami kemorosotan paling kritikal di peringkat global. Faktor struktur atau fundamental dilihat sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kekurangan bekalan bijirin terutama beras di dunia.

FAKTOR STRUKTUR atau FUNDAMENTAL: Permintaan mengejar penawaran.

SEKTOR PENAWARAN


(i) Kenaikan harga kos pengeluaran – meningkatkan harga hasil pertanian kerana pertanian lebih intensif bahan api. Penyediaan tanah, pengairan, pengawalan penyakit dan perosak, pembajaan dan penuaian memerlukan bahan api terutama sekali petrol dan diesel. Di Asia, kos pengangkutan naik 30 hingga 50 peratus kerana kos bahan api naik 20 hingga 50 peratus dan Malaysia tidak terkecuali. Hakikatnya, permintaan bahan api (1.7 juta tong sehari) meningkat berbanding pengeluaran yang statik. Faktor geo-politik di kawasan pengeluaran (di negara-negara OPEC) dilihat menyumbang sebagai faktor utama.

(ii) Persaingan ke atas sumber pertanian untuk pengeluaran biofuel – di Amerika Syarikat, bijirin dikeluarkan bagi penghasilan ethanol. Menurut FAO (2007), permintaan bijirin untuk makanan meningkat sebanyak empat peratus (2000-2007) berbanding permintaan bijirin untuk biofuel 25 peratus. Amerika Syarikat menggunakan lebih 100 juta tan bijirin (terutama sekali gandum dan jagung) setahun bagi pengeluaran biofuel (ethanol). Malah, subsidi diberikan bagi pengeluaran biofuel daripada hasil pertanian menyebabkan banyak industri lebih berminat untuk menghasilkan biofuel. Pembukaan dan perluasan tanah bagi pertanian dibuat bukan untuk makanan tetapi bagi pengeluaran bahan api. Sebagai alternatif, kelapa sawit, gula dan kacang soya digunakan bagi menggantikan gandum dan beras dan menyebabkan permintaan mendadak terhadap bahan makanan ini.

(iii) Kekurangan tanah dan air kesan industrialisasi dan urbanisasi – persaingan yang wujud ke atas tanah untuk tujuan industrialisasi vs urbanisasi vs pengeluaran makanan. Selain itu persaingan ke atas air untuk tujuan industrialisasi vs urbanisasi vs pengeluaran makanan. Menurut Asian Development Bank, ADB (2008), Asia mengalami penurunan bekalan air (terutama India dan China) yang sekaligus menjejaskan sektor pertanian. Kepesatan penggunaan sumber pertanian (tanah dan air) akan menyebabkan kehausan dan akhirnya, produktiviti pertanian akan merosot.

(iv) Bencana alam di negara pengeluar – menjadikan penawaran kepada bekalan bijirin terutama sekali beras merosot yang seterusnya mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak. Menurut IMF, bencana alam yang melanda kawasan penanaman padi pada 2007 menyebabkan kerugian lebih daripada satu juta metrik tan padi. Banjir yang melanda negara-negara seperti Bangladesh, India, China dan Filipina, taufan di Myanmar, gempa bumi di China dan kemarau di Afrika dan Australia menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Permintaan bagi bekalan makanan untuk bantuan kemanusian di negara-negara yang menghadapi bencana juga turut meningkat.

(v) Stok menurun mendorong kegiatan spekulasi – kerana krisis kewangan dunia menyebabkan pulangan kepada bond, ekuiti dan aset lain menurun serta industri hartanah dan perumahan yang lembab menyebabkan peningkatan kepada “soft commodities” termasuk beras. Menurut Trump University, peningkatan harga kepada komoditi makanan lebih cepat daripada komoditi lain di dalam pasaran saham yang mana pelaburan kepada pembelian stok makanan bijirin boleh menjana keuntungan yang lebih banyak dan cepat.

(vi) “Precautionary demand” – untuk stok makanan di kalangan pengguna di negara membangun menyebabkan permintaan bagi bekalan beras meningkat. Tindakan agensi kerajaan seperti BERNAS (Malaysia), NFA (Filipina), BULOG (Indonesia) dan lain-lain meningkatkan stok untuk tujuan sekuriti makanan menyebabkan permintaan yang di luar jangkaan. Usaha agensi awam ini mendapatkan bekalan besar-besaran untuk penghantaran masa hadapan juga meningkat harga. (vii) Gaya hidup yang meningkat – disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat di China, India, dan negara ASEAN meningkatkan permintaan ke atas bijirin dan daging kerana pendapatan per kapita penduduk yang meningkat, lantaran itu gaya hidup dan pemakanan berubah. Peningkatan ke atas daging meningkatkan permintaan ke atas fidstaf (makanan) untuk ternakan (berasaskan soya dan jagung).

(viii) Faktor lain – seperti polisi tindak balas negara pengguna meningkatkan ketidakstabilan akibat daripada negara-negara pengeluar seperti India dan Vietnam melaksanakan pengharaman eksport dan kawalan harga. Selain itu, logistik yang tidak cekap menyebabkan masalah agihan seperti di Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Philippines dan Tajikistan. Bagi negara-negara pengeluar pula, harga eksport yang minimum, tindakan menghalang eksport dan mengurangkan insentif kepada pengeluar menyumbang kepada ketidakstabilan pengeluaran. Lebihan eksport dunia yang kecil, tujuh hingga 10 peratus, mengakibatkan sebarang kejutan pasaran akan menyebabkan ketidaktentuan yang ketara.

Rumusan

Kenaikan harga makanan berlaku kerana penawaran tidak dapat menampung permintaan. Dalam jangka pendek, penawaran dapat memenuhi permintaan tetapi, dalam jangka masa panjang, harga makanan dijangka terus MENINGKAT kerana masalah yang sama; sumber pertanian tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat.

Era harga pertanian dan makanan murah akan tamat kerana perubahan fundamental – terutama dari segi pengeluaran disebabkan kenaikan harga bahan api (petrol dan diesel), persaingan ke atas sumber untuk tujuan makanan dan biofuel, sumber pertanian yang kian terhakis dan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, perubahan iklim dan polisi kerajaan negara membangun yang mengabaikan pertanian kerana mengejar pertumbuhan melalui perindustrian.

Selepas Revolusi Hijau, tiada inovasi baharu yang diperkenalkan. Pertanian hanya tertumpu di negara membangun, tiada pertumbuhan yang menggalakkan dan dasar sesetengah negara-negara membangun yang mengabaikan pertanian dan makanan.

Satu struktur baharu bagi plan untuk mengatasi masalah kekurangan bahan makanan ini perlu dibuat oleh negara-negara pengeluar utama bagi membendung masalah ini dari terus berlarutan. Pembuat polisi seperti FAO dan IMF perlu menjadi penggerak utama di dalam membantu negara-negara membangun meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan seterusnya meningkatkan penghasilan makanan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar