Selasa, 06 September 2011

Panas, Rata dan Sesak

Saya sedang dalam mood membaca. Satu lagi buku dibeli di MPH berkaitan Revolusi Hijau dan ekonomi dunia. Buku tulisan Thomas L. Friedman Hot, Flat and Crowded : Why We Need Green Revolution and How It Can Renew America diterjemah dalam bahasa Melayu : Panas, Rata dan Sesak : Mengapa Dunia Memerlukan Revolusi Hijau dan Bagaimana Ia Mampu Merobah Amerika. Buku ini diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan mempunyai 579 halaman.

Judul buku ini membawa maksud : Hot (pemanasan global), Flat (globalisasi seperti yang dibincangkan dalam buku beliau sebelum ini The World Is Flat) and Crowded (pertumbuhan populasi). Penulis mengajak pembaca supaya melihat dari sudut baharu, krisis perubahan cuaca yang tidak stabil dan persaingan tenaga yang semakin sengit - kedua-duanya mampu meracuni dunia jika kita melengah-lengahkan tindakan kita dan tidak bersatu ke arah itu. Hujah beliau dikongsi bersama dengan mereka yang prihatin dengan nasib Amerika pada masa depan secara global. Friedman mengusulkan bahawa strategi negara yang begitu hebat - yang dinamakan Geo-Greenism - bukanlah apa yang kita perlukan untuk menyelamatkan dunia ini daripada pemanasan melampau; ia sebenarnya apa yang kita perlukan untuk menjadikan Amerika lebih sihat, lebih kaya, lebih inovatif, lebih produktif dan lebih selamat.

Seperti di dalam buku sebelum ini The World Is Flat (Dunia Sama Rata), Friedman membincangkan era baharu - iaitu era Tenaga-Iklim - dengan memberi gambaran yang jelas tentang peristiwa yang telah berlaku baru-baru ini. Walaupun beliau menulis berkaitan Amerika, buku ini tidak tertumpu kepada masalah ekonomi Amerika, tetapi menyentuh keseluruhan ekonomi dunia.

Buku ini ditulis dalam 5 bahagian dengan 19 bab, menceritakan masalah ekonomi dan alam semulajadi. Bab 1 menceritakan bagaimana dan mengapa Citibank, Bank di Iceland dan bongkah ais di Antartika mencair pada masa yang sama. Dalam bahagian 4 dan 5, Friedman menyentuh kebangkitan kuasa ekonomi dunia yang baharu - China dan bagaimana negara ini mampu melakukan revolusi secara besar-besaran terhadap ekonominya yang harus dicontohi oleh Amerika.

Masalah alam sekitar - pembebasan gas rumah hijau, pelupusan hutan, kehilangan biodiversiti, kepupusan spesis dan penggunaan tenaga yang kurang cekap menjadi topik utama perbincangan dalam buku ini. Friedman berjaya mengaitkan masalah ekonomi dan alam sekitar dan bagaimana dunia perlu berubah ke arah ekonomi yang lebih maju dengan alam sekitar yang terpelihara.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar