Selasa, 09 Juli 2013

Memperbanyakkan bacaan al-Quran di Bulan Ramadhan

Hilal (bulan sabit) yang muncul selepas matahari terbenam menandakan permulaan Ramadhan (Sumber: Wikipedia)
Bertemu sekali lagi kita dengan Ramadhan 1434H. Bulan Ramadhan adalah bulan yang kesembilan di dalam kalendar Islam dan diwajibkan untuk umat Islam berpuasa. Pada bulan ini juga umat Islam digalakkan memperbanyakkan sedekah, solat sunat, bacaan al-Quran dan beramal jariah. Selain itu, bulan Ramadhan adalah bulan bagi mengawal hawa nafsu, memupuk sifat rendah diri dan mempertingkatkan amalan-amalan yang mendatangkan kebaikan.

Bulan Ramadhan adalah bulan al-Quran sesuai dengan sunnah Nabi SAW. Menurut Riwayat Bukhari RA yang memetik Ibnu Abbas RA berkata; "Rasulullah SAW adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah SAW lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup." Hadis tersebut menganjurkan kepada setiap muslim agar bertadarus al-Quran, dan mengadakan ijtima` berkumpul dalam majlis al-Quran dalam bulan Ramadhan. Dalam riwayat hadis ini, Rasulullah memperbanyakkan amalan bacaan al-Quran pada malam hari supaya tidak diganggu oleh pekerjaan pada siang hari.

Tidak ada yang melebihi al-Quran. Allah SWT menurunkannya lain pada kitab-kitab terdahulu, di dalamnya terdapat hukum-hukum Allah yang jelas dan tegas, dari al-Quran mengalir petunjuk-petunjuk Allah untuk manusia, tidak ada kebohongan, tidak ada penyesatan, ia memberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya. Daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim). Daripada Umar Bin Al Khattab RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim). Dengan selalu membaca al-Quran, iman seseorang akan bertambah dan terus bertambah, dan tidak akan luntur apa yang telah dia yakini, hinggga berkuranglah keraguan-keraguan yang ada dalam jiwanya.

Tidak ada satu pun penyembuh hati selain al-Quran, kerana sebesar-besarnya penyakit hati adalah kekafiran dan kemunafikan serta jauh dari jalan Allah SWT. Dan tiada penawar atas penyakit-penyakit tersebut kecuali al-Quran. Alim Rabbani Syaikh Ahmad bin Abdul Ahmad as-Sarhindy berkata; "Sesungguhnya di dalam bulan ini (Ramadhan) ada kaitan yang sangat erat dengan al-Quran, dimana pada bulan tersebut al-Quran diturunkan, di dalam bulan tersebut juga dipenuhi segala kebajikan dan berkat dari Allah. Setiap kebajikan dan keberkatan yang diterima oleh umat manusia selama setahun penuh, tidak lain hanyalah setitis dari lautan rahmat Allah selama satu bulan ini. Maka sangat beruntunglah mereka yang menyambut dan menghidupkan bulan tersebut dengan melakukan amal soleh dan beribadah, dan rugilah mereka yang tidak menghidupkan bulan tersebut dengan beribadah, iaitu mereka yang berpaling dari keberkatan dan kebaikan."

Marilah kita menghidupkan Ramadhan sebagai pesta ibadah dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar