Kamis, 14 April 2011

Kepadatan tanaman dan kesannya kepada populasi perosak

Secara umumnya, kesan kepadatan tanaman kepada populasi serangga perosak sangat luas dan kompleks. Tanaman yang padat mengubah pertumbuhan tanaman, perkembangan tanaman dan mikro iklim, yang mana akan memberi kesan kepada perosak dan musuh semulajadinya.

Tanaman yang terlalu rapat di antara satu sama lain menggalakkan populasi bena perang bertambah. Ini kerana tanaman yang terlalu rapat akan meningkatkan kelembapan, meningkatkan jumlah makanan dan menambah keselesaan bena perang untuk bergerak merosakkan tanaman padi. Penggunaan baja kimia dengan unsur nitrogen yang tinggi akan menggalakkan pertumbuhan daun dan menyebabkan kesan kerosakan bena perang bertambah buruk.

Malah ada kajian menunjukkan tanaman yang terlalu padat menyebabkan pokok tidak dapat beranak dengan banyak, masalah penapakan tanaman, pokok mudah tumbang kerana akar tidak dalam dan kekurangan nutrien kerana persaingan. Jumlah anak per unit kawasan yang sedikit akan menyebabkan peratusan yang tinggi kepada kerosakan anak akibat serangan ulat pengorek batang. Bagi kaedah tanaman secara tabur terus, tanaman terlalu padat sehingga 250 anak pokok bagi setiap meter persegi menyebabkan serangan perosak yang teruk disamping perkembangan batang tanaman terencat dan kelihatan kurus. Tanaman yang terlalu padat juga mudah tumbang jika berlaku ribut.

Kajian menunjukkan jarak tanaman 10 x 10cm mempunyai insiden serangan bena perang yang tinggi berbanding tanaman padi dengan jarak 20 x 20cm. Tanaman yang terlalu padat menyebabkan populasi bena perang, ulat pengorek batang, ulat lipat daun dan serangga perosak lain bertambah disamping mengurangkan populasi musuh semulajadi perosak.

Bagi tanaman dengan kaedah tabur terus, petani perlu memastikan penapakan tanaman diantara 100-200 anak pokok bagi setiap meter persegi. Jumlah benih sebanyak 40 hingga 100 kg per hektar mencukupi supaya tanaman padi tidak terlalu padat.

Menanam secara padat menjadi amalan biasa kerana anggapan yang tipikal mengatakan lebih banyak pokok akan menghasilkan pengeluaran yang tinggi. Persepsi ini harus diubah; petani perlu menukar amalan dengan kaedah tanaman yang memberi ruang secukupnya bagi tanaman padi supaya nutrien, udara dan cahaya dapat diperolehi dengan secukupnya untuk tanaman padi hidup subur dan sihat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar