Rabu, 31 Oktober 2012

Kawalan Perosak Peringkat Awal

Dalam artikel lepas, ada dinyatakan racun serangga tidak perlu digunakan bagi tempoh 40 hari lepas tanam dan ulat lipat daun bukannya serangga perosak yang mendatangkan kerosakan serius. Namun demikian, beberapa feedback yang diterima daripada petani menyatakan serangan ulat lipat daun sangat serius sehingga merosakkan keseluruhan tanaman padi mereka kerana jumlahnya yang terlalu banyak - menyebabkan mereka terpaksa menyembur racun serangga. Jika tidak disembur, habis pokok padi kata mereka.

Penggunaan racun serangga pada peringkat awal perlu dielakkan supaya serangga predator dan parasitoid yang penting bagi kawalan biologi dapat bertapak di sawah. Namun, dilema yang dihadapi oleh petani yang diserang dengan ulat lipat daun pada kadar yang teruk menyebabkan mereka terpaksa beralih kepada kaedah kawalan secara kimia.

Bagi mengelakkan penggunaan racun pada peringkat awal, petani boleh menyembur anak padi dengan ekstrak daun neem/semambu. 2kg daun neem ditumbuk lumat bersama 30 gram sabun mandi dan direndam dalam air. Biarkan semalaman. Tapis air ekstrak daun neem dan campur dengan air pada nisbah 1:3 dan semburnya pada tanaman padi. Ekstrak daun neem boleh menyebabkan serangga perosak tidak berselera untuk makan dan membantutkan proses reproduksi.

Bagi kawalan tikus, 1kg jering tua (yang telah tumbuh akar) ditumbuk dan direndam di dalam 3 liter air yang tidak mempunyai klorin. Selepas dua hari, tapis air jering dan campur bersama air dengan nisbah 1:20. Ekstrak jering ini mempunyai sejenis bahan kimia semulajadi yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang pada tikus.

Selain penggunaan bahan-bahan semulajadi sebagai pembasmi perosak, petani perlu mengamalkan elemen kejuruteraan ekologi dengan menanam pokok berbunga di ban-ban sawah. Pokok bunga yang mudah didapati dan senang ditanam seperti pokok bunga tahi ayam, pokok bunga keembong dan bunga-bunga yang mempunyai nektar yang lain yang ada di sekeliling rumah boleh digunakan. Pokok berbunga ini boleh menarik serangga predator dan parasitoid yang menjadi rakan baik kita di dalam menguruskan perosak.

Dengan ini, petani dapat mengelakkan semburan racun kimia pada peringkat awal penanaman dan mengurangkan kos membeli racun perosak. Selamat mencuba!

Minggu, 28 Oktober 2012

Google Penguin Update

Google Penguin adalah nama kod bagi kemaskini algoritma Google yang diumumkan pada 24 April lalu. Kemaskini ini bertujuan untuk mengurangkan kedudukan (ranking) pada enjin carian laman-laman web yang melanggar Garis Panduan Webmaster Google dengan menggunakan teknik blackhat SEO, seperti kata kunci pemadat (keyword stuffing), penyamaran (cloaking), menyertai skim pautan (link farm), penciptaan kandungan salinan yang disengajakan (duplicating), dan lain-lain. Ia merupakan usaha baharu Google bagi membenteras laman-laman web yang menggunakan taktik "kotor" bagi mendapat kedudukan tertinggi dalam senarai enjin carian Google.

Berbeza dengan Google Panda yang diumumkan pada Februari 2011 yang fokus kepada on-page SEO (kandungan laman web), Google Penguin memberi fokus kepada off-page SEO. Namun begitu, kedua-duanya; Panda dan Penguin merupakan kemaskini Google bagi "membersihkan" senarai carian daripada menyenaraikan laman web yang melanggar peraturan dan kurang berkualiti.

Jadi, bagi memastikan laman web kita boleh "bekerjasama" dengan Google Penguin, berikut adalah beberapa perkara yang perlu disemak dan dipraktikkan;
  • Elakkan pautan yang "beracun" (poison link). Kurangkan penggunaan anchor text seperti sila lawati laman web Padi SRI. Cukup sekadar menggunakan pautan "call to action" seperti klik di sini. Ini bagi mengelakkan Google mengesan laman web yang cuba menggunakan kata kunci (keyword) yang sama berulangkali bagi mendapatkan kedudukan yang tinggi. Walau bagaimanapun, penggunaan anchor text tidak dilarang sama sekali, tetapi perlu digunakan dengan teratur.
  • Elakkan menggunakan kata kunci yang terlalu banyak (keyword stuffing) dalam penulisan artikel di blog atau laman web.
  • Menulis dan kemaskini blog atau laman web dengan konsisten. Elakkan membuat kandungan salinan bagi tujuan mendapat kedudukan yang tinggi. Lebihkan penulisan yang berkualiti.
  • Menggunakan laman web sosial seperti Facebook, Twitter dll bagi mempromosikan blog atau laman web. Selain itu, letakkan "social signal" kepada laman web atau blog dengan meletakkan elemen media sosial seperti Twitter tweet, Facebook like, social bookmarks, G+1, Digg, Stumble, dll.
  • Elakkan pautan dalaman (internal link) yang berlebihan. Ia akan menggambarkan laman web atau blog tersebut seperti "link farm."
  • Bina pautan di laman web yang baik dan berkualiti. Gunakan kaedah membina pautan (link building) yang beretika seperti menjadi penulis tamu kepada blog lain, meninggalkan pautan pada komen blog yang relevan serta menulis artikel yang baik dan syndicate kepada blog yang mempunyai niche yang berkaitan, web 2.0, dan direktori artikel yang berkualiti. Selain itu, membina pautan juga boleh dibuat dengan meletakkan gambar di Pinterest dan video di Youtube.