Kamis, 30 Desember 2010

Krisis Harga Makanan Global 2008

Isu dan persoalan krisis makanan yang melanda dunia sejak kebelakangan ini menjejaskan banyak negara. Permintaan yang meningkat secara mendadak kepada bijirin utama dunia seperti gandum, beras dan jagung menyebabkan berlaku krisis yang tidak dapat dibendung. Kebimbangan global tercetus akibat krisis ini terhadap kenaikan harga bahan makanan dan kekurangan bekalan di seluruh dunia.

Food and Agriculture Organization (FAO) menyatakan Asia dan negara Pasifik yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 3.7 billion yang majoritinya bergantung kepada sektor pertanian terutama sekali bagi negara yang berada di dalam lingkungan negara defisit pendapatan makanan rendah (LIFDC). Populasi yang semakin bertambah meningkatkan permintaan kepada makanan, menjadikan indeks permintaan makanan Asia Pasifik berkembang daripada 86 mata pada 1990, kepada 120 mata pada 2005, melebihi indeks permintaan dunia di dalam dekad sebelum ini.

Import bahan makanan juga turut meningkat sebanyak 5 peratus setahun sejak era 1990-an. Peningkatan mendadak berlaku sejak 2004, hampir USD 170 billion atau 30 peratus jumlah import makanan dunia diimport oleh negara-negara Asia Pasifik. Sebanyak 25 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada bijirin dan minyak sayuran, komoditi yang amat penting dan kritikal kepada sekuriti makanan benua Asia. Peningkatan taraf hidup dan perkembangan globalisasi dilihat sebagai penjana kepada permintaan barangan mewah terutama sekali makanan yang lebih mahal dan berkualiti di kalangan penduduk Asia seterusnya dapat memberi satu perkembangan yang baik kepada sektor pertanian.

Namun demikian, pasaran barangan komoditi pertanian telah diuji dengan hebat sekali apabila harga makanan bijirin seperti gandum, beras dan jagung meningkat secara mendadak yang memberi kesan negatif yang buruk kepada negara-negara yang banyak bergantung kepada import makanan. Di dalam suku tahun pertama 2008, harga nominal bijirin dunia mencecah harga tertinggi di dalam sejarah 50 tahun. Asia sebagai sebuah benua yang menjadikan separuh daripada keperluan bijirin dunia sebagai makanan pada masa ini sedang bertarung dengan kenaikan harga bahan makanan yang tinggi. Beras yang merupakan sumber kalori (tenaga) utama kepada penduduk Asia juga berkurangan walaupun Asia menghasilkan 90 peratus keperluan beras dunia.

Lebih membimbangkan lagi, masih banyak lagi negara di Asia ini yang belum mencapai tahap sara diri atau SSL (self sufficient level) di dalam pengeluaran beras. Malaysia sebagai contoh; dengan pengeluaran beras yang hanya mencapai 1.3 juta metrik tan (73 peratus keperluan negara), baki lebih 930,000 metrik tan beras atau 27 peratus terpaksa diimport daripada negara pengeluar yang lain. Situasi ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana beras merupakan sekuriti makanan yang utama di Malaysia dan negara-negara Asia yang lain dan jika dibiarkan akan menjejaskan keadaan ekonomi dan geo-politik negara.

Krisis Makanan Dunia

Latar Belakang

Krisis makanan sedunia yang berlaku pada hari ini telah mengakibatkan kesan buruk yang berada di luar jangkaan. Krisis ini sudah meningkatkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman bijirin seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Beberapa negara Asia seperti Thailand, Vietnam dan Filipina turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.

Keadaan menjadi semakin gawat apabila beberapa negara pengeluar ini mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain. Peningkatan harga bahan makanan bijirin seperti beras, jagung dan gandum menyebabkan kehidupan golongan miskin terjejas terutama sekali di negara-negara membangun.

Timbul banyak persoalan mengenai kenaikan harga makanan dunia di kalangan banyak pihak.
  • Mengapa harga makanan meningkat? 
  • Apakah pengaruh perkembangan ekonomi di dalam pasaran makanan dunia? 
  • Adakah perubahan iklim memainkan peranan yang penting? 
  • Adakah harga makanan akan terus meningkat di masa hadapan? 
  • Bagaimana pembuat polisi bertindak ke atas perkembangan yang negatif ini?
Kenaikan harga bukan setakat makanan, tetapi KESELURUHAN komoditi utama (bukan makanan seperti petrol dan makanan seperti kelapa sawit, jagung, gandum dan beras) seperti yang dinyatakan dalam Carta 1.
 
Carta 1: Perbandingan Indeks Harga Komoditi Utama Dunia Januari 2006 hingga Januari 2008, Indeks harga “Semua Komoditi” meningkat 60%, “Makanan” (68%), “Bijirin” (132%) dan “Tenusu” (63%).

Peningkatan Indeks Harga Komoditi Makanan Dunia

Sejak awal 2008 bermula, krisis makanan mencecah status yang agak membimbangkan apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman komoditi seperti beras, gandum dan jagung susut mendadak di negara-negara pengeluar utama. Bagai yang diramal oleh kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, kegawatan krisis makanan itu tidak menunggu masa yang lama untuk meledakkan kebimbangan global.

Kesannya semakin dirasakan kini apabila kebanyakan negara berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan utama yang serius dengan penyusutan yang disifatkan terburuk sejak 1980. Bijirin utama dunia dari segi kuantiti untuk keperluan makanan terdiri daripada gandum (45%), beras (36%), jagung (12%) dan lain-lain (7%).
Carta 2: Indeks Harga Makanan April 2007-2008

Carta 3: Peratus peningkatan komoditi bijirin utama Mac 2007-2008

Carta 4: Purata Indeks Harga Makanan 200-2007

Pengeluaran beras dunia pada tahun 2007 dianggarkan berjumlah 645 juta metrik tan. Sekurang-kurangnya 114 buah negara menanam padi dan lebih 50 negara mempunyai pengeluaran tahunan menjangkau 100,000 metrik tan atau lebih. Negara Asia mengeluarkan lebih kurang 90 peratus keperluan beras dunia dengan dua negara China dan India mewakili separuh daripada jumlah ini. Negara pengeluar utama beras dunia termasuklah China (4%), India (12%), Vietnam (17%), Thailand (31%), Pakistan (10%), Amerika Syarikat (12%) dan diikuti dengan 54 negara-negara lain. Dianggarkan 3.6 billion orang dari seluruh dunia menjadikan beras dan produk daripada beras sebagai makanan. Di negara Asia seperti Bangladesh, Kemboja, Myanmar, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia beras merupakan makanan utama yang membekalkan 50 hingga 80 peratus kalori harian (tenaga) berbanding dengan negara seperti Mesir, Nigeria dan Pakistan di mana beras hanya menyumbang 5 hingga 10 peratus pengambilan kalori harian per kapita penduduk.

Namun demikian, negara-negara pengeluar beras utama dunia seperti Vietnam, India, Indonesia dan Bangladesh turut mengalami tekanan kesan daripada krisis kekurangan bekalan makanan ini sehingga menyebabkan negara-negara ini terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan eksport mereka bagi mengimbangi keperluan dalam negara.

Lebih meruncingkan keadaan lagi, harga beras import terus meningkat akibat perubahan KITARAN atau STRUKTUR.

KITARAN: Fenomena jangka masa pendek yang akan lega semula melalui masa. STRUKTUR: Faktor yang akan merubah senario / lanskap industri dalam jangka masa pendek dan panjang. Trend kenaikan harga akan berterusan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Sebagai perbandingan, harga beras dari Thailand yang dijadikan penunjuk atau penanda aras untuk pasaran dunia meningkat dari USD385.00 pada April 2008 kepada USD960.00 pada 28 Mei 2008 bagi beras putih 100% Gred B seperti yang dinyatakan dalam Carta 5.

Carta 5: Kenaikan harga beras import dari Thailand

Kekurangan Bekalan Dunia

Krisis ini juga telah menyebabkan stok bijirin utama dunia menyusut yang disebabkan oleh pengeluaran yang berkurangan dan penggunaan yang semakin meningkat. Stok bijirin telah menurun 40 peratus daripada tahun 2000 hingga 2007 seperti yang dinyatakan dalam Carta 6.


Carta 6: Stok bijirin utama dunia 1975-2008

Kesan kepada kegawatan stok makanan ini, beberapa negara pengeluar seperti Vietnam, India dan Mesir mula mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain. Perkembangan ini sekaligus menimbulkan panik di kalangan beberapa negara pengimport beras yang tertekan dengan keadaan ini.

Faktor Kemerosotan Bekalan Dunia

Stok beras merupakan stok bijirin yang mengalami kemorosotan paling kritikal di peringkat global. Faktor struktur atau fundamental dilihat sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kekurangan bekalan bijirin terutama beras di dunia.

FAKTOR STRUKTUR atau FUNDAMENTAL: Permintaan mengejar penawaran.

SEKTOR PENAWARAN


(i) Kenaikan harga kos pengeluaran – meningkatkan harga hasil pertanian kerana pertanian lebih intensif bahan api. Penyediaan tanah, pengairan, pengawalan penyakit dan perosak, pembajaan dan penuaian memerlukan bahan api terutama sekali petrol dan diesel. Di Asia, kos pengangkutan naik 30 hingga 50 peratus kerana kos bahan api naik 20 hingga 50 peratus dan Malaysia tidak terkecuali. Hakikatnya, permintaan bahan api (1.7 juta tong sehari) meningkat berbanding pengeluaran yang statik. Faktor geo-politik di kawasan pengeluaran (di negara-negara OPEC) dilihat menyumbang sebagai faktor utama.

(ii) Persaingan ke atas sumber pertanian untuk pengeluaran biofuel – di Amerika Syarikat, bijirin dikeluarkan bagi penghasilan ethanol. Menurut FAO (2007), permintaan bijirin untuk makanan meningkat sebanyak empat peratus (2000-2007) berbanding permintaan bijirin untuk biofuel 25 peratus. Amerika Syarikat menggunakan lebih 100 juta tan bijirin (terutama sekali gandum dan jagung) setahun bagi pengeluaran biofuel (ethanol). Malah, subsidi diberikan bagi pengeluaran biofuel daripada hasil pertanian menyebabkan banyak industri lebih berminat untuk menghasilkan biofuel. Pembukaan dan perluasan tanah bagi pertanian dibuat bukan untuk makanan tetapi bagi pengeluaran bahan api. Sebagai alternatif, kelapa sawit, gula dan kacang soya digunakan bagi menggantikan gandum dan beras dan menyebabkan permintaan mendadak terhadap bahan makanan ini.

(iii) Kekurangan tanah dan air kesan industrialisasi dan urbanisasi – persaingan yang wujud ke atas tanah untuk tujuan industrialisasi vs urbanisasi vs pengeluaran makanan. Selain itu persaingan ke atas air untuk tujuan industrialisasi vs urbanisasi vs pengeluaran makanan. Menurut Asian Development Bank, ADB (2008), Asia mengalami penurunan bekalan air (terutama India dan China) yang sekaligus menjejaskan sektor pertanian. Kepesatan penggunaan sumber pertanian (tanah dan air) akan menyebabkan kehausan dan akhirnya, produktiviti pertanian akan merosot.

(iv) Bencana alam di negara pengeluar – menjadikan penawaran kepada bekalan bijirin terutama sekali beras merosot yang seterusnya mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak. Menurut IMF, bencana alam yang melanda kawasan penanaman padi pada 2007 menyebabkan kerugian lebih daripada satu juta metrik tan padi. Banjir yang melanda negara-negara seperti Bangladesh, India, China dan Filipina, taufan di Myanmar, gempa bumi di China dan kemarau di Afrika dan Australia menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Permintaan bagi bekalan makanan untuk bantuan kemanusian di negara-negara yang menghadapi bencana juga turut meningkat.

(v) Stok menurun mendorong kegiatan spekulasi – kerana krisis kewangan dunia menyebabkan pulangan kepada bond, ekuiti dan aset lain menurun serta industri hartanah dan perumahan yang lembab menyebabkan peningkatan kepada “soft commodities” termasuk beras. Menurut Trump University, peningkatan harga kepada komoditi makanan lebih cepat daripada komoditi lain di dalam pasaran saham yang mana pelaburan kepada pembelian stok makanan bijirin boleh menjana keuntungan yang lebih banyak dan cepat.

(vi) “Precautionary demand” – untuk stok makanan di kalangan pengguna di negara membangun menyebabkan permintaan bagi bekalan beras meningkat. Tindakan agensi kerajaan seperti BERNAS (Malaysia), NFA (Filipina), BULOG (Indonesia) dan lain-lain meningkatkan stok untuk tujuan sekuriti makanan menyebabkan permintaan yang di luar jangkaan. Usaha agensi awam ini mendapatkan bekalan besar-besaran untuk penghantaran masa hadapan juga meningkat harga. (vii) Gaya hidup yang meningkat – disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat di China, India, dan negara ASEAN meningkatkan permintaan ke atas bijirin dan daging kerana pendapatan per kapita penduduk yang meningkat, lantaran itu gaya hidup dan pemakanan berubah. Peningkatan ke atas daging meningkatkan permintaan ke atas fidstaf (makanan) untuk ternakan (berasaskan soya dan jagung).

(viii) Faktor lain – seperti polisi tindak balas negara pengguna meningkatkan ketidakstabilan akibat daripada negara-negara pengeluar seperti India dan Vietnam melaksanakan pengharaman eksport dan kawalan harga. Selain itu, logistik yang tidak cekap menyebabkan masalah agihan seperti di Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Philippines dan Tajikistan. Bagi negara-negara pengeluar pula, harga eksport yang minimum, tindakan menghalang eksport dan mengurangkan insentif kepada pengeluar menyumbang kepada ketidakstabilan pengeluaran. Lebihan eksport dunia yang kecil, tujuh hingga 10 peratus, mengakibatkan sebarang kejutan pasaran akan menyebabkan ketidaktentuan yang ketara.

Rumusan

Kenaikan harga makanan berlaku kerana penawaran tidak dapat menampung permintaan. Dalam jangka pendek, penawaran dapat memenuhi permintaan tetapi, dalam jangka masa panjang, harga makanan dijangka terus MENINGKAT kerana masalah yang sama; sumber pertanian tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat.

Era harga pertanian dan makanan murah akan tamat kerana perubahan fundamental – terutama dari segi pengeluaran disebabkan kenaikan harga bahan api (petrol dan diesel), persaingan ke atas sumber untuk tujuan makanan dan biofuel, sumber pertanian yang kian terhakis dan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, perubahan iklim dan polisi kerajaan negara membangun yang mengabaikan pertanian kerana mengejar pertumbuhan melalui perindustrian.

Selepas Revolusi Hijau, tiada inovasi baharu yang diperkenalkan. Pertanian hanya tertumpu di negara membangun, tiada pertumbuhan yang menggalakkan dan dasar sesetengah negara-negara membangun yang mengabaikan pertanian dan makanan.

Satu struktur baharu bagi plan untuk mengatasi masalah kekurangan bahan makanan ini perlu dibuat oleh negara-negara pengeluar utama bagi membendung masalah ini dari terus berlarutan. Pembuat polisi seperti FAO dan IMF perlu menjadi penggerak utama di dalam membantu negara-negara membangun meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan seterusnya meningkatkan penghasilan makanan.

Jumat, 24 Desember 2010

Makanan dan Kemiskinan

"Dunia pertanian telah memasuki tempoh yang baru, yang tidak mampan dan berisiko," kata Joachim Von Braun, Ketua Penyelidikan Institut Polisi Makanan Antarabangsa (IFPRI), di Washington, DC. Sebagai bukti, rusuhan makanan telah tercetus di negara-negara di sepanjang khatulistiwa. Di Haiti, penunjuk perasaan melaungkan "Kami lapar" memaksa Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan, 24 orang terbunuh dalam rusuhan di Cameroon, Presiden Mesir mengarahkan tentera untuk membuat roti dan Filipina menguatkuasakan hukuman penjara seumur hidup kepada pesalah yang menyorok bekalan beras. "Ia merupakan situasi yang meletup dan mengancam kestabilan politik," kata Jean-Louis Billon, Presiden Dewan Perniagaan Côte d'Ivoire dalam nada bimbang.

Harga gandum pada tahun 2007 meningkat 77% dan beras 16% (lihat Rajah 1). Ini adalah peningkatan yang paling ketara dalam harga makanan yang belum pernah terjadi. Kelajuan perubahan telah dipercepatkan pada tahun 2008. Sejak Januari, harga beras telah meningkat 141% dan harga gandum melonjak 25% dalam sehari. 40km di luar Abidjan (Côte d'Ivoire), Mariam Kone, yang menanam ubi keledek, bendi dan jagung tetapi memberi makan keluarganya dengan membeli beras import, merungut: "Beras sangat mahal, tetapi kita tidak tahu mengapa."

Harga biasanya mencerminkan perubahan dalam permintaan - bukannya masalah bekalan, seperti tuaian yang rendah. Perubahan termasuk "tekanan yang lembut ke atas" dari penduduk di China dan India yang makan lebih banyak bijirin dan daging kerana mereka menjadi semakin kaya dan hawa nafsu yang rakus program biofuel Barat, yang menukarkan bijirin kepada bahan api. Pada tahun 2008, bahagian tanaman jagung menjadi etanol di Amerika telah meningkat dan Kesatuan Eropah sedang melaksanakan program biofuel sendiri. Untuk memburukkan lagi keadaan, tingkah laku yang lebih buruk nampaknya akan mempengaruhi pasaran: kuota eksport yang besar oleh pengeluar bijirin, khabar angin yang menyebabkan belian panik oleh pengimport bijirin dan wang daripada dana lindung nilai (hedge fund) yang mencari pasaran baru.

Peralihan itu tidak dapat diikuti oleh perubahan setanding di peringkat ladang. Sebahagiannya kerana mereka tidak boleh menjadi: petani sentiasa mengambil masa untuk bertindak balas. Ia juga kerana kerajaan telah meringankan impak kenaikan harga pada pasaran domestik, "mendiamkan" isyarat yang sepatutnya menggalakkan petani menanam lebih banyak makanan. Daripada 58 negara yang reaksi mereka dikesan oleh Bank Dunia, 48 telah mengenakan kawalan harga, subsidi kepada pengguna, sekatan eksport atau tarif yang lebih rendah.

Tetapi, krisis makanan tahun 2008 hanya merupakan satu simptom kepada masalah yang lebih besar. Kenaikan mendadak harga makanan telah berakhir 30 tahun lalu di mana makanan menjadi murah, pertanian diberi subsidi di negara-negara kaya dan pasaran makanan antarabangsa diherotkan (distorted). Akhirnya, tanpa keraguan, petani akan bertindak balas dengan harga yang lebih tinggi dan keseimbangan baru akan wujud. Jika semua berjalan lancar, makanan akan mampu dimiliki lagi tanpa subsidi, lambakan dan herotan sebelum ini akan diatasi. Tetapi pada masa ini, pertanian telah terperangkap dalam keadaan terlantar. Era makanan murah telah berakhir. Peralihan kepada keseimbangan baru membuktikan makanan menjadi mahal, memberi kesan lebih berpanjangan dan lebih menyakitkan daripada jangkaan.

"Kami adalah burung kenari di dalam lombong," kata Josette Sheeran, ketua Program Makanan Dunia PBB, pengedar terbesar bantuan makanan. Biasanya, krisis makanan adalah jelas dan setempat. Musim menuai gagal, biasanya disebabkan oleh peperangan atau persengketaan, dan beban di rantau yang terjejas ini terletak secara besar-besaran pada yang penduduk termiskin. Krisis ini adalah berbeza. Ia berlaku di banyak negara pada masa yang sama, kali pertama yang telah berlaku sejak awal 1970-an. Dan ia menjejaskan orang ramai tidak biasanya dilanda oleh kebuluran. "Bagi kelas pertengahan," kata Sheeran, "ia bermakna memotong rawatan perubatan. Bagi mereka yang berpendapatan $2 sehari, ia bermakna mengeluarkan daging daripada diet harian dan menghentikan persekolahan anak-anak. Bagi mereka yang berpendapatan $1 sehari, ia bermakna mengeluarkan daging dan sayur-sayuran dan hanya makan bijirin sahaja. Dan bagi mereka berpendapatan 50 sen sehari, ia bermakna bencana besar. "Golongan termiskin telah menjual haiwan, peralatan dan rumah - menjadikan pemulihan sosio ekonomi semakin sukar.

Kerana masalah ini tidak lagi digambarkan dalam statistik negara, skala "kerosakan" adalah sukar untuk dinilai. Kesan ke atas golongan miskin akan bergantung kepada sama ada mereka adalah pembeli bersih makanan atau penjual bersih; untuk beberapa pembeli bersih, peningkatan harga mungkin cukup untuk mengubah mereka menjadi penjual. Tetapi dalam apa jua situasi, penderitaan manusia mungkin menjadi luas. Di El Salvador, penduduk miskin makan separuh sahaja daripada apa yang mereka makan dalam tahun-tahun yang lalu. Penduduk Afghanistan kini menghabiskan 50 peratus pendapatan mereka ke atas makanan daripada 10 peratus pada tahun 2006.

Suatu anggaran konservatif, kenaikan harga makanan boleh mengurangkan kuasa beli rakyat miskin dan negara yang membeli makanan sendiri sebanyak 20 peratus (di sesetengah tempat, harga meningkat jauh lebih tinggi). Lebih 1 bilion orang hidup pada $1 hari, penanda aras kemiskinan mutlak; 1.5 bilion hidup pada $1 ke $2 sehari. Bob Zoellick, Presiden Bank Dunia, menganggap bahawa inflasi makanan boleh menolak sekurang-kurangnya 100 juta orang ke dalam kemiskinan, menghapuskan semua keuntungan dan pendapatan bagi satu bilion penduduk termiskin yang telah dibuat selama hampir satu dekad pertumbuhan ekonomi.

Dalam jangka masa pendek, bantuan kemanusiaan, program-program perlindungan sosial dan polisi perdagangan akan menentukan bagaimana dunia mengatasi permasalahannya dengan masalah-masalah ini. Tetapi dalam jangka masa sederhana soalan adalah berbeza: dari mana dunia mendapat lebih banyak makanan? Jika bekalan tambahan datang terutamanya daripada petani besar di Amerika, Eropah dan lain-lain pengeluar besar, maka keseimbangan baru mungkin sama seperti yang lalu, dengan makanan dunia bergantung kepada sebilangan kecil pembekal dan mungkin terjadinya herotan perdagangan dan lambakan makanan. Penanaman gandum musim sejuk Amerika adalah 4 peratus dan kawasan penanaman ini akan terus meningkat. FAO membuat ramalan bahawa tuaian gandum di Kesatuan Eropah akan meningkat kepada 13 peratus.

Sebaik-baiknya, sebahagian besar dari tindak balas penawaran akan datang daripada pekebun kecil yang berjumlah 450 juta di dunia, di negara-negara membangun mereka yang mengusahakan hanya beberapa ekar. Terdapat tiga sebab mengapa ini adalah wajar. Pertama, ia akan mengurangkan kemiskinan: tiga perempat daripada mereka yang berpendapatan $1 sehari hidup di kawasan luar bandar dan bergantung kepada pertanian berskala kecil. Seterusnya, ia mungkin membantu alam sekitar: meningkatkan produktiviti mereka di atas tanah yang sedia ada akan lebih mesra alam daripada menebang hutan. Dan ia perlu menjadi efisien dari segi pulangan ke atas pelaburan, ia akan menjadi lebih mudah untuk meningkatkan hasil bijirin di Afrika daripada dua tan sehektar kepada empat tan sehektar daripada meningkatkan hasil di Eropah daripada lapan tan kepada sepuluh. Peluang yang lebih besar wujud di sini dan hukum pulangan berkurangan tidak terjadi.

Malangnya, tiada bonus untuk pekebun kecil. Di bahagian-bahagian Afrika Timur, petani mengurangkan kawasan yang ditanam, sebahagian besar kerana mereka tidak mampu untuk membaja (didorong oleh minyak, harga baja juga telah meningkat). Respon ini tidak universal. India meramalkan hasil tuaian bijirin meningkat; penanaman di Afrika Selatan meningkat 8% setahun. Namun, beberapa bukti anekdot, ditambah dengan kenaikan harga makanan, ini menunjukkan bahawa pekebun kecil tidak memberi respon yang cukup. "Dalam dunia yang sempurna," kata laporan IFPRI baru-baru ini, "respon kepada harga yang lebih tinggi adalah pengeluaran yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, dalam dunia sebenar, ini tidak selalunya berlaku. "Pertanian dalam pasaran baru terperangkap dalam kegagalan pasaran dan tidak bertindak balas terhadap isyarat harga."

Ini adalah benar setakat tertentu di dalam perladangan secara umum. Jika anda memiliki sebuah kilang mainan, atau medan minyak, dan harga mainan atau minyak naik, anda akan menjalankan kilang siang dan malam, untuk mengutip keuntungan maksimum. Tetapi ia memerlukan satu musim untuk tanaman berkembang supaya lebih banyak makanan dihasilkan, menunjukkan mengapa harga ladang di mana-mana cenderung untuk menjadi "melekit": 10% kenaikan harga membawa kepada peningkatan 1% dalam keluaran. Tetapi krisis makanan tahun 2008 mencadangkan harga ladang di negara-negara membangun boleh lebih melekit daripada itu.

Cara terpantas untuk meningkatkan tanaman anda adalah dengan menanam lebih banyak. Tetapi dalam jangka pendek jumlah tanah yang subur adalah terhad. (Luas kawasan yang besar yang tidak digunakan di Brazil dan Rusia akan mengambil satu dekad atau lebih untuk disediakan). Bagi tanaman padi terutamanya di Asia Timur jumlah tanah yang baik, produktif sebenarnya telah jatuh dan tertimbus di bawah konkrit kerana memperluaskan bandar. Dalam erti kata lain, kenaikan makanan kini perlu kebanyakannya datang dari hasil yang lebih tinggi.

Hasil tidak boleh dihidupkan dan dimatikan seperti paip. Menggunakan baja tambahan atau membeli jentera baru boleh membantu. Tetapi hasil yang lebih tinggi juga memerlukan pengairan yang lebih baik dan penggunaan benih dari varieti yang berproduktiviti tinggi. Selang masa antara membuat biji baru dan berkembang secara komersial mengambil masa 10 hingga 15 tahun, kata Bob Zeigler dari Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di Filipina. Walaupun seorang petani mahu untuk menanam sesuatu yang lebih produktif tahun ini, dan mampu, dia tidak boleh melakukannya melainkan jika kerja-kerja penyelidikan telah dijalankan selama bertahun-tahun.

Ia tidak berlaku. Penyelidikan dalam pertanian di negara-negara membangun dibiayai oleh kerajaan. Pada tahun 1980-an, kerajaan mula mengurangkan perbelanjaan revolusi hijau, sama ada daripada sikap berpuas hati (mempercayai bahawa masalah makanan telah berlalu), atau kerana mereka lebih suka untuk melibatkan sektor swasta. Tetapi banyak firma-firma swasta yang dibawa masuk untuk menggantikan penyelidik awam ternyata menjadi pemonopoli. Dan dalam tahun 1980-an dan 1990-an pasaran mempunyai lebihan yang besar dari negara kaya yang dibuang di pasaran, harga yang menekan dan pulangan ke atas pelaburan yang berkurangan. Perbelanjaan awam untuk pertanian di negara-negara membangun menurun sebanyak separuh di antara tahun 1980 dan 2004.

Penurunan ini mempunyai kesan yang perlahan tetapi tidak dapat dielakkan. Mewujudkan benih baru adalah hampir sama seperti merekabentuk vaksin flu: anda perlu sentiasa mengemaskini, atau haiwan perosak dan penyakit akan menafikan keberkesanannya. Apabila varieti padi IR8 telah diperkenalkan pada tahun 1966, ia menghasilkan hampir sepuluh tan sehektar, kini ia menghasilkan kurang daripada 7 tan sehektar. Di negara-negara membangun di antara tahun 1960-an dan 1980-an, hasil tanaman bijirin utama meningkat sebanyak 3 hingga 6% setahun. Sekarang pertumbuhan tahunan menurun kepada 1 hingga 2%, di bawah peningkatan permintaan (lihat Rajah 2). "Kita semua membayar harga selepas 15 tahun mengabaikannya," kata Zeigler.

Perubahan dalam struktur pertanian semakin diburukkan kesan daripada kekurangan pelaburan. Pertanian adalah hanya satu bahagian daripada rantai makanan yang bermula dari syarikat-syarikat baja dan benih yang berakhir pada satu hujung ke pasar raya. Pada masa lalu, bahagian akhir rantaian pengguna yang terdekat adalah yang kurang penting. Dasar makanan bermakna memperbaiki hubungan antara petani dan pembekal. Revolusi Hijau tahun 1960-an, sebagai contoh, membekalkan penggunaan benih baru dan baja subsidi. Malawi melakukan sesuatu yang sama sekarang. Tetapi sepanjang dekad yang lalu, hujung rantaian ini telah menjadi perkara yang lebih penting. Sebab utama mengapa petani Kenya dan Ethiopia menanam kurang tahun lalu bukan kerana baja yang mahal, tetapi petani tidak boleh mendapatkan pinjaman untuk membiayai pembelian. Pasar raya juga lebih penting kepada petani berbanding sebelum ini untuk menyumbang separuh atau lebih kepada jualan makanan, terutama sekali di kebanyakan negara membangun.

Dalam teori, peningkatan kepentingan peniaga dan pasaraya seharusnya membuat petani lebih responsif kepada perubahan dalam harga dan citarasa pengguna. Tetapi pasar raya memerlukan kualiti yang seragam, kuantiti minimum yang banyak dan tahap kebersihan yang tinggi, yang mana purata pekebun kecil di negara miskin tidak mempunyai kelengkapan untuk mencapai standard ini. Jadi peniaga dan pasar raya boleh memberi manfaat kepada petani komersial lebih daripada pekebun kecil.

Untuk memburukkan lagi keadaan, kebun kecil bertaburan di merata tempat di kebanyakan negara. Kerana pertumbuhan penduduk dan kehilangan tanah ladang, saiz ladang purata di China dan Bangladesh telah jatuh dari kira-kira 1.5 hektar pada tahun 1970-an kepada hampir 0.5 hektar sekarang; di Ethiopia dan Malawi, ia telah menurun daripada 1.2 hektar kepada 0.8 pada tahun 1990-an. Semakin kecil ladang, semakin besar beban kos bagi menjalankan perniagaan dengan peruncit besar. Pekebun kecil juga mempunyai kelemahan dalam mendapatkan pinjaman, benih baru dan inovasi lain di mana hasil yang lebih tinggi bergantung kepada faktor-faktor ini.

Kegagalan dan kesesakan pasaran membuat pekebun kecil lebih sukar untuk bertindak balas kepada harga yang lebih tinggi, walaupun tanpa gangguan yang kerajaan perkenalkan ke pasaran makanan dunia. Ini bermakna peralihan kepada keseimbangan baru akan berpanjangan dan menyakitkan. Lennart Båge, ketua Kumpulan Wang Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian, sebuah agensi PBB di Rom, berpendapat bahawa jika petani dapat mengekalkan harga yang lebih tinggi, mereka akan dapat mengatasi masalah yang melanda mereka. Dia menunjukkan, India memberi makan 17% daripada penduduk dunia pada kurang daripada 5% air di dunia dan 3% daripada tanah ladang dan bersama-sama dengan China, melihat kenaikan tanaman bijirin tahun ini. Terdapat banyak cerita-cerita kejayaan yang serupa di negara-negara lain.

Antara November 2007 dan Februari 2008, eksport beras dari Thailand (pengeksport terbesar di dunia) telah melepasi 1 juta tan metrik sebulan - bonus yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Tetapi pengeluar dan peniaga mempunyai reaksi yang bercampur-campur. Sesetengah petani menjual tanaman mereka sebelum harga melonjak. Pengilang cuba untuk menyimpan bekalan kembali, menunggu harga yang lebih tinggi. Kerajaan mengehadkan eksport di bawah paras tahun 2007. Setiausaha Agung Persatuan Pengeksport Beras Thai memberitahu IRRI bahawa "Kami tidak tahu di mana tuaian 2007." Vichai Sriprasert, pengeksport besar, berkata, "Ini adalah masa yang penting. Ia akan memberitahu cerita yang akan terus hidup dan yang tidak akan hidup."