Minggu, 31 Juli 2011

Polisi pemasaran racun yang lemah - seperti rumah tanpa bumbung


Meletakkan perabot di dalam rumah tanpa bumbung akan menyebabkan perabot-perabot berkenaan dihanyutkan air ketika hujan - Misael Cerna (VSU)

Serangan wabak bena perang dalam pengeluaran padi terkini mengancam Malaysia, Thailand dan Indonesia telah disebabkan oleh penyalahgunaan racun serangga. Antara punca penyalahgunaan berleluasa adalah kawalan yang lemah terhadap pemasaran racun perosak yang diibaratkan seperti sebuah rumah tanpa bumbung. Racun ini terus dijual sebagai FMCGs (Fast Moving Consumer Goods), seperti rokok, kosmetik, sabun, detergen dan kerepek kentang. Strategi pemasaran utama tertumpu kepada pembelian berasaskan emosi (emotional buying), yang bertentangan dengan semua prinsip-prinsip IPM iaitu menggunakan racun perosak berdasarkan rasional ekonomi dan ekologi. Dalam penggunaan racun serangga di kebanyakan negara, petani telah kembali ke rutin profilaktik yang disebarkan dalam Revolusi Hijau ketika 1970-an dan 1980-an. Penyemburan berjadual merupakan amalan biasa di Asia Tenggara. Di Filipina amalan semburan mingguan ini dipanggil "Monday-Monday" dan "Seven-Seven".

Satu kebimbangan yang besar ialah penyalahgunaan racun perosak membawa ancaman kepada kesihatan manusia. Baru-baru ini pelancong meninggal dunia di sebuah hotel di Thailand di mana chlorpyrifos telah disalahgunakan untuk merawat tilam daripada pepijat. Di Thailand kira-kira 42% daripada pendedahan toksik terhadap manusia disebabkan oleh racun perosak dan kira-kira 50% daripada ini adalah dari keracunan racun serangga mengikut Profesor W. Wananukul.

Walaupun terdapat peningkatan bilangan masalah racun perosak yang berkaitan yang dilaporkan, namun terdapat lebih banyak kes yang masih tidak dilaporkan. Di Vietnam pencapaian yang besar dalam eksport beras yang mencecah 7.4 juta tan turut meningkatkan masalah penyalahgunaan racun perosak. Di kampung-kampung terpencil di Utara Vietnam, lebih 91% daripada petani menunjukkan tanda-tanda keracunan racun makhluk perosak dan bahan kimia ladang mungkin menjadi penyumbang utama kepada peningkatan dalam kes-kes kanser.

Punca utama meningkatnya penyalahgunaan racun makhluk perosak terletak pada peraturan-peraturan yang lemah dalam pemasaran racun perosak. Tidak seperti negara-negara maju, seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Australia, pemasaran racun perosak di banyak negara membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin mempunyai kurang sekatan. Hasilnya di sesetengah negara, racun perosak yang sama dijual dengan lebih daripada 500 nama, syarikat-syarikat iklan makhluk perosak mempromosi agar pengguna (petani) membuat belian emosi dan kebanyakan racun perosak dijual di kaunter (over the counter; OTC), oleh pengedar yang hanya mempunyai sedikit kepakaran atau langsung tiada.


Petani akan terus terperangkap dalam "kitaran ganas" (vicious cycle) racun makhluk perosak

Dasar pemasaran racun perosak lemah adalah seperti "rumah tanpa bumbung" dan semua perabot yang baik akhirnya akan hanyut dan musnah. Pengurusan perosak dengan teknologi yang mampan dan amalan-amalan seperti gen resistan serangga, IPM, kejuruteraan ekologi, kempen pengurangan racun serangga, penyelidikan petani, penyertaan dan latihan petani yang diperkenalkan sejak 20 tahun yang lalu di Asia telah meningkatkan pengurusan perosak (Matteson 2000) tetapi kini amat teruk terhakis. Di Indonesia, penanam padi telah kembali menggunakan racun serangga yang dilarang oleh Arahan Presiden 1986 dan berjuta-juta dollar Amerika yang dibelanjakan untuk latihan IPM hangus begitu sahaja. Baru-baru ini, Thailand mengumumkan pengharaman racun serangga yang menyebabkan serangan merebak sebagai langkah segera ke arah membangunkan sistem pengurusan perosak yang mampan. Tetapi melainkan "bumbung rumah" dibaiki (iaitu memperbaiki dasar pemasaran racun perosak) usaha itu sekali lagi akan terhakis atau musnah oleh tsunami racun perosak. Petani sekali lagi akan jatuh ke dalam kitaran ganas menyembur racun berulang-ulang kali.

Penghuni di dalam rumah tanpa bumbung tidak dilindungi. Begitu juga dasar racun perosak yang lemah meninggalkan rakyat yang tidak dilindungi; petani dan pengguna daripada kesan langsung dan tidak langsung mendapat bencana daripada racun perosak yang beracun. Mereka bukan sahaja akan mewujudkan perosak baharu dan masalah sosial yang berkaitan, mereka juga melemahkan kesihatan manusia dan ekosistem. Prasyarat asas bagi pengurusan perosak rasional, IPM dan pertanian lestari adalah fungsi "polisi racun perosak". Manakala kajian terus memberi tumpuan kepada membangunkan teknologi baharu, konsep baharu dan teknik pengurusan baharu (perabot baharu) dan lanjutan pada penyampaian maklumat dan latihan petani, sedikit perhatian perlu diberi kepada yang paling penting, bumbung dasar. Beberapa usaha mungkin mempunyai kesan serta merta tetapi tidak akan dapat dikekalkan apabila terdapat bumbung bocor. Ia adalah masa bagi saintis dan pengamal perlindungan tanaman untuk menumpukan semula perhatian bukan sahaja membangunkan teknologi "peluru perak", tetapi untuk menetapkan persekitaran yang membolehkan petani meletakkan perabot baharu (teknologi baharu) ke dalam rumah yang mempunyai bumbung atau petani akan terus menjadi mangsa jika dasar sedia ada masih berjalan seperti biasa.


Rumah dengan bumbung yang bocor - sukarnya mempromosi dan mengamalkan konsep pengurusan perosak yang lestari di dalam persekitaran yang telah terjejas akibat racun perosak - Misael Cerna (VSU)

Terma dan singkatan:

EE - Ecological Engineering
ES - Ecosystem Services
FFS - Farm Field School
IPM - Integrated Pest Management
3R3G - Three Reduce, Three Gain

Sabtu, 30 Juli 2011

Selamat Berpuasa



"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak."
(Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abu Hurairah)

Selamat berpuasa kepada semua pengunjung dan pembaca yang beragama Islam. Puasa dapat meningkatkan ketakwaan (ketaatan) kita kepada Allah SWT. Ketakwaan adalah sesuatu yang menentukan kejayaan kita di akhirat kelak. Selain daripada ketaatan kita menjalankan ibadah fardhu yang lain seperti solat, zakat atau haji, puasa juga adalah merupakan suatu kewajipan bagi kita , Umat Islam. Allah s.w.t menyebut dalam firmanNya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah : 183)

Selain daripada meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, Islam menekankan umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri, tidak mudah marah, bersifat kasar dan lain-lain perkara yang tidak baik sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan Nabi Yusuf a.s pernah berkata :
"Aku takut kekenyangan, nanti aku akan lupa orang yang lapar" ('Ibaadaatul Islam, Muhyiddin Mastu:153)

Inilah masanya kita menginsafi dan merasai kelaparan dan kedahagaan umat Islam seperti di negara Asia Barat dan Sub Sahara Afrika. Di peringkat global, 2 billion manusia hidup dalam kemiskinan; berpendapatan kurang dari AS$1 sehari dan hanya mampu makan untuk sekali sehari. Dan krisis harga makanan memburukkan keadaan. Kemiskinan global dan kelaparan mengakibatkan kebuluran seperti yang berlaku di Somalia dan rusuhan di Haiti. Inilah juga masanya kita untuk menambah amal, bersedekah serta mendisiplinkan diri daripada sifat tamak yang membawa kepada pembaziran. Tidak dinafikan bulan Ramadhan merupakan "pesta makanan", yang menyediakan pelbagai juadah yang lazat dan menyelerakan tetapi kita perlu mendisiplinkan hawa nafsu yang boleh merosakkan kita. Semoga kita sentiasa mengingati orang lain yang kelaparan ~ supaya kita sentiasa berjimat cermat dan hanya membeli makan mengikut keperluan. Diharap puasa kita semua mencapai kualiti yang terbaik dan diberikan kesihatan dan usia untuk bertemu Ramadhan akan datang. InsyaAllah.

Rabu, 27 Juli 2011

Geopolitik Baharu Untuk Makanan

Dari Timur Tengah ke Madagascar, harga makanan yang tinggi meningkatkan rampasan tanah dan menggulingkan diktator. Selamat datang kepada peperangan makanan abad ke-21.

Di Amerika Syarikat, apabila harga gandum dunia meningkat sebanyak 75 peratus, sebuku roti beharga $2.00 hanya meningkat kepada $2.10 kerana mereka mempunyai lebihan stok gandum pada tahun lepas. Walau bagaimanapun, jika anda tinggal di New Delhi, kos yang tinggi ini benar-benar membebankan: harga gandum dunia sebenarnya meningkat dua kali ganda bermakna bahawa gandum yang anda bawa pulang dari pasaran ke kilang mengisar gandum dan akhir sekali kepada pembuat capati meningkat dua kali ganda. Dan perkara yang sama juga berlaku dengan beras. Jika harga dunia beras naik dua kali ganda, begitu juga harga beras turut naik di pasaran kejiranan anda di Jakarta. Dan begitu juga kos semangkuk nasi di atas meja untuk makan malam sebuah keluarga di Indonesia. Selamat datang kepada ekonomi makanan baharu 2011: Harga makanan meningkat, tetapi kesannya tidak dirasai secara saksama. Untuk rakyat Amerika, yang membelanjakan kurang daripada satu persepuluh daripada pendapatan mereka di pasaraya, harga makanan yang melambung tinggi yang kita lihat setakat ini adalah kegusaran, bukannya kesusahan. Tetapi untuk populasi termiskin planet ini yang berjumlah 2 bilion orang, yang membelanjakan 50 hingga 70 peratus daripada pendapatan mereka ke atas makanan, harga yang melambung tinggi ini mungkin bermakna catuan makanan; daripada makan dua kali sehari kepada sekali sehari. Mereka yang berada di sepanjang deretan anak tangga ekonomi global yang lebih rendah menghadapi risiko dan mereka akan kehilangan cengkaman sepenuhnya terhadap makanan yang paling asas. Ini boleh menyumbang kepada revolusi dan pergolakan.

Menjelang tahun 2011, Indeks Harga Makanan PBB telah menghadapi keadaan "gerhana" kerana harga makanan global yang tinggi. Dengan ramalan hasil yang rendah, kerajaan di Timur Tengah dan Afrika berada dalam ketidaktentuan kesan daripada harga yang tinggi, dan dengan kebimbangan pasaran yang menghadapi kejutan demi kejutan, makanan dengan pantas telah menjadi pemandu tersembunyi bagi politik dunia. Dan krisis seperti ini akan menjadi semakin biasa. Geopolitik baharu makanan kelihatan lebih tidak menentu dan lebih banyak perbalahan daripada sebelum ini. Kekurangan makanan akan menjadi perkara biasa.

Sehingga baru-baru ini, harga yang naik secara tiba-tiba tidak menjadi begitu penting, kerana harga makanan yang agak rendah dapat dinaikkan dan membantu membentuk kestabilan politik akhir abad ke-20 di seluruh sebahagian besar dunia. Tetapi kini, kedua-dua sebab dan akibat sangat berbeza dan membimbangkan.

Dalam pelbagai keadaan, ini adalah ulangan semula krisis makanan 2007-2008, yang tidak reda bukan kerana dunia sedang cuba menyelesaikan masalah kekurangan bijirin, tetapi kerana Kemelesetan Besar meningkatkan pertumbuhan dalam permintaan walaupun cuaca yang baik membantu petani menghasilkan tuaian gandum terbesar dalam rekod. Dalam sejarah, kenaikan harga didorong oleh cuaca yang luar biasa - kegagalan monsun di India, kemarau di bekas negara Kesatuan Soviet dan gelombang haba di Midwest Amerika Syarikat. Situasi seperti ini sentiasa mengganggu, tetapi syukurlah kerana jarang berlaku. Malangnya, kenaikan harga hari ini didorong oleh trend yang mengangkat permintaan dan membuatkan ia lebih sukar untuk meningkatkan pengeluaran: di kalangan negara yang mempunyai penduduk yang berkembang pesat, menghadapi peningkatan suhu, dan sumber pengairan yang semakin mengering. Setiap malam, terdapat 219,000 orang tambahan untuk diberi makan di meja makan global.

Lebih membimbangkan lagi, dunia kehilangan keupayaan untuk "melembutkan" kesan kekurangan makanan. Sebagai tindak balas kepada harga sebelum kenaikan, Amerika Syarikat, pengeluar gandum terbesar di dunia, dapat mengemudi dunia keluar dari bencana yang berpotensi terjadi. Dari pertengahan abad ke-20 sehingga tahun 1995, Amerika Syarikat mempunyai lebihan sama ada rizab gandum atau tanah pertanian terbiar yang boleh ditanam untuk menyelamatkan negara-negara dalam kesusahan. Apabila monsun India gagal pada tahun 1965, sebagai contoh, pentadbiran Presiden Lyndon Johnson menghantar satu perlima daripada tanaman gandum AS ke India dan berjaya mengelak kebuluran. Kita kini tidak boleh berbuat demikian lagi; kerana kusyen keselamatan telah hilang.

Itulah mengapa krisis makanan tahun 2011 adalah sesuatu yang serius, dan mengapa ia mungkin akan mewujudkan lagi lebih banyak "rusuhan roti" merangkap revolusi politik. Bagaimana jika pergolakan yang menggulingkan diktator Zine el-Abidine Ben Ali di Tunisia, Hosni Mubarak di Mesir, dan Muammar al-Ghaddafi di Libya (negara yang mengimport 90 peratus bijirin) bukannya sebuah penamat cerita, tetapi permulaan? Petani dan menteri-menteri luar perlu bersedia bersama-sama, untuk satu era baharu di mana kekurangan makanan dunia akan membentuk politik global.


Penggandaan harga bijirin dunia sejak awal 2007 telah didorong terutamanya oleh dua faktor: pertumbuhan pantas dalam permintaan dan pengeluaran yang sukar untuk berkembang pesat. Hasilnya ialah sebuah dunia yang kelihatan sungguh berbeza daripada abad yang lalu dimana ekonomi global dilimpahi dengan bijirin yang melimpah-ruah. Apakah geopolitik makanan akan kelihatan dalam era baharu dikuasai oleh kekurangan makanan? Malah pada peringkat awal ini, kita dapat melihat ekonomi makanan telah muncul sebagai kuasa yang bakal memandu dunia.

Dari segi permintaan, petani kini menghadapi tekanan yang semakin meningkat. Yang pertama adalah pertumbuhan penduduk. Setiap tahun petani di dunia mesti memberi makan kepada 80 juta orang tambahan, hampir semua mereka berada di negara-negara membangun. Penduduk dunia telah meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun 1970 dan bakal mencapai 9 bilion. Kira-kira 3 bilion orang, pada masa yang sama, cuba untuk bergerak ke atas rantaian makanan, memakan daging, susu, dan telur. Ketika lebih banyak keluarga di China dan di tempat lain memasuki kelas pertengahan, mereka menjangkakan makan yang lebih baik. Tetapi penggunaan global produk ternakan bijian-meningkat secara intensif, begitu juga permintaan untuk jagung tambahan dan kacang soya yang diperlukan untuk memberi makan kepada ternakan. (Pengambilan bijian satu orang di Amerika Syarikat, sebagai contoh, adalah empat kali ganda di India, di mana sebahagian kecil gandum ditukar kepada protein haiwan).

Pada masa yang sama, Amerika Syarikat, yang pernah bertindak sebagai penampan global terhadap kekurangan hasil tuaian di tempat lain, kini menukar gandum di dalam kuantiti yang besar kepada bahan bakar untuk kenderaan, walaupun penggunaan bijirin dunia, sudah meningkat pada kadar yang pantas kepada kira-kira 2.2 bilion tan metrik setahun. Satu dekad yang lalu, pertumbuhan dalam penggunaan adalah 20 juta tan setahun. Baru-baru ini ia telah meningkat sebanyak 40 juta tan setiap tahun. Tetapi kadar di mana Amerika Syarikat menukar gandum ke dalam etanol telah berkembang lebih pantas. Pada tahun 2010, Amerika Syarikat menuai hampir 400 juta tan padi, yang mana 126 juta tan pergi ke kilang penyulingan bahan api etanol (meningkat daripada 16 juta tan pada tahun 2000). Kapasiti besar-besaran untuk menukar gandum ke dalam bahan api bermakna bahawa harga gandum kini terikat kepada harga minyak. Jadi jika harga minyak naik ke $150 setong atau lebih, harga gandum akan mengikut ke atas kerana lebih menguntungkan untuk menukar bijirin menjadi pengganti minyak. Dan ia bukan hanya fenomena AS: Brazil, yang menyuling etanol dari tebu, berada dalam kedudukan kedua dalam pengeluaran selepas Amerika Syarikat, manakala matlamat Kesatuan Eropah mendapatkan 10 peratus tenaga pengangkutan yang datang dari tenaga boleh diperbaharui, kebanyakannya biofuel, menjelang tahun 2020 ini juga mengalihkan tanah daripada tanaman makanan.

Ini bukan sekadar cerita tentang permintaan yang berkembang untuk makanan. Semuanya daripada Water table (aras air tanah) yang jatuh kepada tanah terhakis akibat pemanasan global bermakna bahawa bekalan makanan di dunia tidak mungkin dapat menjaga dan memenuhi selera yang berkembang secara kolektif. Mengambil perubahan iklim: Satu kemestian di kalangan ahli ekologi tanaman untuk setiap 1 darjah Celsius kenaikan suhu di atas suhu optimum, petani akan menghadapi penurunan sebanyak 10 peratus dalam kadar hasil bijirin. Hubungan ini lahir daripada senario yang terlalu dramatik ketika terjadinya gelombang haba di Rusia pada 2010, yang mengurangkan tuaian bijirin negara hampir 40 peratus.

Ketika suhu meningkat, aras air tanah jatuh kerana petani akan mengepam air untuk pengairan. Ini dapat meningkatkan pengeluaran makanan dalam jangka pendek, tetapi akan mewujudkan gelembung makanan yang akan meletus apabila akuifer telah berkurangan dan tiada lagi air untuk dipam. Di Arab Saudi yang gersang, pengairan telah membolehkan negara tersebut mempunyai bekalan gandum yang cukup selama lebih daripada 20 tahun; namun kini, pengeluaran gandum merundum kerana kehabisan akuifer yang merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui kerana digunakan sebahagian besarnya untuk pengairan. Saudi tidak lama lagi akan mengimport semua bekalan gandum mereka.

Selain perubahan dalam persekitaran yang menyebabkan kesukaran untuk memenuhi permintaan manusia, ada satu faktor penting yang tidak ketara untuk dipertimbangkan: Lebih setengah abad atau lebih yang lalu, perkembangan pertanian telah diabaikan. Selama berdekad-dekad, kemajuan teknologi meningkatkan produktiviti tanah dengan stabil. Malah, hasil bijirin dunia seekar telah meningkat tiga kali ganda sejak 1950. Tetapi sekarang era itu akan berakhir dalam beberapa negara-negara yang lebih maju dalam pertanian, di mana para petani telah menggunakan semua teknologi yang ada untuk meningkatkan hasil. Pada hakikatnya, petani telah "diperangkap" dengan saintis. Selepas hasil mendaki untuk satu abad, hasil setiap ekar padi di Jepun telah tidak meningkat selama 16 tahun. Di China, hasil mungkin akan mendatar tidak lama lagi. Kedua-dua negara ini sahaja mewakili satu pertiga daripada hasil pengeluaran padi dunia. Sementara itu, hasil gandum mendatar di tiga buah negara pengeluar gandum terbesar di Eropah Barat iaitu Britain, Perancis, dan Jerman.

Sabtu, 23 Juli 2011

Ke Arah Revolusi Hijau Sebenar untuk Keselamatan Makanan (bahagian 1)

Pengenalan

Krisis Makanan yang berlaku beberapa tahun lepas mendedahkan kepada dunia suatu bentuk masalah struktur yang dalam terhadap sistem makanan global dan keperluan untuk meningkatkan sumber dan mengaplikasikan inovasi dalam pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan. Pengeluaran perlu meningkat diantara 70 hingga 100 peratus menjelang tahun 2050 untuk memenuhi keperluan populasi yang bertambah. Dengan teknologi pertanian, corak amalan pertanian dan guna tanah sedia ada, sasaran ini tidak boleh dicapai tanpa menyumbang kepada pembebasan gas rumah hijau, pencemaran air dan kehilangan kesuburan tanah. Alam sekitar yang rosak akan menjejaskan pertumbuhan produktiviti pengeluaran makanan.

Mencapai tahap kelestarian dalam keselamatan makanan akan memberi peyelesaian jangka panjang kepada cabaran untuk mengatasi kelaparan dan kekurangan nutrisi, mengawal harga makanan dan melindungi alam sekitar. Walaubagaimanapun, perubahan yang radikal diperlukan kepada polisi sedia ada untuk menguatkan sistem inovasi yang rapuh dan meningkatkan sumber untuk perkembangan pertanian dan pengurusan sumber yang lestari.

Cabaran utama ialah memperbaiki insentif supaya insentif ini dapat mempromosi dan memimpin perkembangan pertanian lestari oleh petani berskala kecil. Bukti menunjukkan, kebanyak tanaman, saiz ladang yang kecil dan berada pada paras penghasilan yang tinggi dalam terma pengeluaran yang lestari dan pengurangan kadar kemiskinan luar bandar dapat dicapai.

Krisis Makanan Global dan "insecurity makanan"

Krisis Makanan Global telah meninggalkan kesan jangka panjang kepada keselamatan makanan. Peningkatan harga makanan 2007-2008 dan harga makanan yang dilihat mula naik mendadak pada 2011 mendedahkan kepada dunia ancaman serius kepada kelestarian sistem makanan global dan kapasitinya untuk membekal akses yang cukup dan berpatutan kepada makanan. Untuk menghadapi cabaran meluaskan pengeluaran makanan bagi memberi makan populasi dunia menjelang dekad akan datang memerlukan transformasi besar-besaran kepada pertanian. Revolusi Hijau (1970-an) yang sering disebut-sebut membantu meningkatkan produktiviti pertanian di seluruh dunia, tetapi mengabaikan pengurusan sumber semulajadi secara lestari dan keselamatan makanan kepada negara miskin.

Dunia hari ini memerlukan Revolusi Hijau sebenar di dalam satu bentuk pertanian yang kondusif kepada inovasi teknologi yang mensasarkan penambahbaikan yang radikal kepada produktiviti petani kecil melalui pengurusan mesra alam sumber semulajadi yang lestari yang digandingkan bersama pembangunan pertanian yang besar sebagai sokongan.

Peningkatan harga makanan yang dramatik dalam tahun 2007-2008 dan kehadiran krisis ekonomi memperlihatkan jumlah penduduk dunia yang kekurangan nutrisi menjangkau lebih 1 billion pada tahun 2009, memberi ancaman kepada ekonomi dunia, sosial dan kestabilan politik. Walaupun jumlah penduduk yang kelaparan menurun di Asia pada tahun 2010 disebabkan oleh pemulihan ekonomi, jumlah penduduk dunia yang kelaparan masih berada pada paras melebihi paras pra-krisis, dengan 925 juta penduduk dunia berada dalam keadaan kekurangan nutrisi (FAO, 2010).

The World Food Summit Plan of Action yang dianjurkan oleh FAO pada tahun 1996 menggariskan maksud keselamatan makanan (food security) sebagai:
“when all people, at all times, have physical and economic access to sufficient, safe and nutritious food to meet their dietary needs and food preferences for an active and healthy life”

Berdasarkan definasi yang diberi, kekurangan nutrisi adalah kunci kepada food insecurity. Majoriti penduduk dunia yang kekurangan nutrisi (98 peratus) berada di negara membangun, dimana dua per tiga daripadanya tertumpu di tujuh buah negara (Bangladesh, China, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, India, Indonesia dan Pakistan). Kebanyakan penduduk dunia yang kelaparan (578 juta) tinggal di Asia dan Pasifik dan 30 peratus atau 239 juta orang berada di Afrika (sub-Sahara). Jumlah penduduk dunia yang berada dalam kelaparan meningkat sebanyak 10 peratus dalam tempoh 1990 - 2010.

Graf di atas menunjukkan jumlah penduduk dunia yang kelaparan dalam tempoh 1996 hingga 2010

Carta di atas menunjukkan pecahan penduduk dunia yang kelaparan

Sebanyak 22 negara dikira sebagai menghadapi "krisis keselamatan makanan" dengan lebih 165 juta rakyatnya berada dalam kelaparan (kira-kira 20 peratus dari jumlah kelaparan dunia). 70 peratus penduduk Republik Demokratik Congo berada dalam kelaparan berbanding Côte d’Ivoire, 15 peratus.

Impak Krisis Harga Makanan Dunia 2008

Dalam tempoh 2007-2008, harga makanan naik secara dramatik. Harga jagung, gandum dan beras naik dua kali ganda dalam tempoh 2006 hingga 2008. Selepas krisis reda pada awal 2009, harga makanan kembali melonjak naik pada Februari 2011. Walaupun terdapat percanggahan bukti, kenaikan harga yang terbaru dilihat akibat daripada kadar volatility yang tinggi, yang mana meningkatkan ketidakpastian pasaran; menyebabkan kos pelaburan meningkat untuk buruh dan kapital fizikal, teknologi dan inovasi. Graf di bawah menunjukkan kenaikan harga komoditi makanan terpilih sehingga Februari 2011.

(sumber : FAO, Food Price Index)

Krisis Harga Makanan 2008 mengakibatkan impak buruk kepada ketidakstabilan geo-politik dengan lebih 30 negara mengalami rusuhan. Bukti menunjukkan 41 buah negara kehilangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 3 hingga 10 peratus akibat daripada peningkatan kos tenaga dan harga makanan. Peningkatan harga makanan juga memberi impak negatif kepada orang miskin yang membelanjakan 50 higga 70 peratus pendapatan mereka untuk makanan. Lonjakan harga makanan telah mengheret 100 juta penduduk dunia ke dalam kancah kemiskinan pada tahun 2008 dan hampir 50 juta lagi pada pertengahan tahun 2010.

Sifat impak kenaikan harga makanan banyak bergantung kepada struktur ekonomi sesebuah negara, jaringan sektoral, posisi perdagangan, kadar kemiskinan dan kepelbagaian diet. Walaupun harga yang tinggi memberikan insentif kepada peningkatan pengeluaran, banyak petani berskala kecil tidak mendapat sebarang keuntungan daripadanya kerana kekurangan akses kepada kewangan, input pertanian, pasaran dan teknologi. Di negara membangun yang mana mempunyai pengeluaran bersih isi rumah yang besar, lonjakan harga makanan meningkatkan permintaan kepada buruh dan pendapatan. Ketika negara seperti India, China dan Indonesia mengalami impak domestik yang sedikit ketika krisis melalui sekatan eksport makanan seperti beras (2008-2009), kenaikan harga makanan terkini (2011) menjejaskan pasaran domestik mereka kerana krisis terbaru melonjakkan harga makanan global; domestik dan antarabangsa.

Permintaan melebihi penawaran akan menyebabkan harga melonjak naik.Graf di bawah menunjukkan trend penawaran dan permintaan makanan 1990 - 2011.


Pengurusan sumber semulajadi yang tidak lestari sebagai ancaman kepada keselamatan makanan dan alam sekitar

Kepelbagaian sumber semulajadi (seperti tanah, air, udara dan biodiversiti) menyediakan keperluan penting untuk mengeluarkan produk dan servis yang diperlukan oleh manusia. Dalam setengah abad yang lepas, kehilangan sumber semulajadi berlaku dengan kerap berbanding abad sebelum akibat daripada campur tangan manusia dalam alam sekitar dalam bentuk aktiviti pertanian. Walaupun pertanian baik untuk membekalkan makanan, kesan gangguan alam sekitar oleh aktiviti pertanian menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar dan sosio ekonomi seperti kehilangan kesuburan tanah, pencemaran air, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, mengurangkan kapasiti produktiviti jangka panjang, kemiskinan, pemindahan dan masalah kesihatan.

Impak kepada alam sekitar

Kehilangan sumber tanah merupakan cabaran alam sekitar paling besar untuk dunia; kerana potensinya membahayakan keselamatan makanan, mengancam kestabilan masyarakat dan meningkatkan kadar kemiskinan. Didefinisikan sebagai penolakan jangka panjang fungsi ekosistem dan produktiviti, kehilangan sumber tanah berpunca daripada pengurusan tanah dan air yang lemah, termasuk penanaman yang terlalu kerap, kadar "merumput" yang tinggi, kehilangan hutan yang berleluasa dan kekurangan pengairan.

Kehilangan sumber tanah semakin meningkat, dari segi kadar jumlah dan tahap keterukan, di banyak bahagian muka bumi, dengan 40 peratus tanah daripada permukaan tanah bumi telah hilang (25 peratus hilang dalam suku abad sahaja) dan dianggarkan 1.5 billion penduduk dunia yang bergantung kepada pertanian semata-mata. Pertanian secara signifikan menyumbang kepada masalah perubahan iklim yang mana menyebabkan kesan buruk kepada pertanian. Perubahan iklim memberi impak kepada pertanian melalui pelbagai cara, dengan perubahan kepada suhu, hujan dan ketidaktentuan iklim memberi kesan kepada masa dan tempoh musim menanam dan hasil, menyebabkan kehilangan sumber tanah dan kekurangan air. Peningkatan suhu boleh meningkatkan hasil di kawasan latitud sederhana-tinggi tetapi menurunkan hasil di kawasan latitud rendah. Dijangkakan Afrika Selatan, hasil pertanian akan jatuh sehingga 50 peratus di antara tahun 2000 dan 2020; dan menjelang tahun 2080, tambahan 600 juta orang berada dalam risiko menghadapi kelaparan akibat perubahan iklim.

Akses kepada air yang cukup dan selamat sangat penting di dalam pengeluaran makanan dan kesihatan manusia. Walaubagaimanapun, permintaan dan persaingan kepada air yang semakin bertambah telah menyebabkan kekurangan yang serius kepada sumber air permukaan. Pengairan pertanian menggunakan 70 peratus jumlah penggunaan air. Kualiti air telah merosot kesan daripada aktiviti pertanian yang intensif; yang menjadi sumber utama pencemaran air di negara membangun dan maju; menjadi punca kepada masalah kesihatan manusia. Selain itu, penternakan haiwan secara intensif juga menyumbang kepada pencemaran sumber air yang serius. Penggunaan agro kimia seperti baja dan racun mencemarkan air di sepanjang laluan air.

Biodiversiti memainkan peranan yang penting kepada pertanian dan keselamatan makanan dengan menyediakan sumber bahan genetik yang mencukupi untuk tanaman serta haiwan dan bahan mentah bagi industri dan servis ekosistem yang lain. Sepanjang abad yang lalu, kita telah diperlihatkan dengan kehilangan biodiversiti melalui kemusnahan habitat, terutama sekali perubahan tanah hutan kepada pertanian.

Walaupun negara maju telah memulihkan kawasan hutan sepanjang suku abad ini, negara membangun pula terus menerus mengalami pengurangan kawasan hutan sehingga 10 peratus. Masalah penebangan hutan sangat serius di kawasan beriklim tropika lembab. Dalam tempoh 1990 hingga 2005, Afrika yang meliputi 15 peratus jumlah hutan dunia telah kehilangan jumlah kawasan hutan yang besar; mewakili 50 peratus jumlah hutan dunia yang hilang. Kemusnahan dan kehilangan habitat merupakan ancaman besar kepada hampir 90 peratus spesis burung dan amfibia yang terancam. Hutan hujan tropika yang meliputi kurang 10 peratus liputan hutan dunia merupakan habitat kepada 50 hingga 90 peratus spesis tumbuhan dan haiwan di dunia.


Trend kawasan hutan 1990, 2000 dan 2010

Perkembangan industri pertanian telah menyebabkan kemerosotan jumlah varieti dalam spesis. Sistem pengeluaran monokultur meningkatkan lagi risiko kepada alam sekitar dengan kemerosotan biodiversiti, fungsi ekosistem dan keupayaan ekologikal menangani stress. Lebih dari itu, kesan daripada eksploitasi yang berlebihan kepada sumber air telah menyebabkan hampir 20 peratus spesis ikan air tawar pupus, dan beberapa jenis ikan komersil di lautan telah terancam.

Impak kepada sosio ekonomi

Pengurusan sumber semulajadi yang tidak lestari juga menyebabkan kesan buruk kepada sosio ekonomi. Pengurangan sumber tanah mengakibatkan kehilangan produktiviti dan mengancam keselamatan makanan. Kehilangan produktiviti meninggalkan impak yang besar kepada populasi yang dihimpit kemiskinan dan kelaparan. Di sesetengah tempat, produktiviti tanah telah merosot sehingga 50 peratus akibat hakisan dan kesan "penggurunan". Secara global, 75 billion tan tanah hilang setahun mengakibatkan kerugian sebanyak $400 billion (Dollar Amerika). Kehilangan nutrien (nitrogen, fosforus dan kalium) mengakibatkan kesan buruk kepada ekonomi terutama sekali di kawasan sub Sahara Afrika. Di Asia Selatan, dianggarkan kerugian ekonomi berjumlah $500 juta daripada penggunaan air dan $1.5 billion akibat peningkatan saliniti tanah. Dalam satu kajian kes yang dijalankan di 7 buah negara membangun, dianggarkan KDNK akan merosot 3 hingga 7 peratus akibat daripada kehilangan sumber tanah.

Terdapat satu pertalian yang kuat di antara penduduk miskin yang bergantung dengan hasil pertanian dengan alam sekitar yang rapuh. Penduduk miskin lebih banyak bercucuk tanam di kawasan yang curam dan kering, tanah yang kurang subur dan jauh di pedalaman. Negara Afrika sub Sahara dan Asia Selatan mengalami kehilangan sumber tanah yang tertinggi, perkembangan populasi yang naik dan ketidakselamatan makanan. Kehilangan sumber tanah juga menyebabkan perpindahan. Kehilangan hutan akan mengakibatkan impak yang buruk kepada 1.5 billion penduduk dunia yang rata-ratanya miskin (90 peratus) dan bergantung kepada hutan untuk hidup. Sistem pengeluaran pertanian boleh mengakibatkan kualiti kesihatan manusia merosot. Pencemaran air dari penggunaan baja tidak organik dan buangan ternakan yang tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan keselamatan air minuman dan makanan akuatik. Pestisid juga memberi impak negatif kepada pekerja ladang.

Dalam menerangkan kepada sesuatu yang telah diketahui berkenaan kehilangan dan pengurangan sumber tanah, air dan biodiversiti global, kombinasi semulajadi dan faktor manusia boleh dikenalpasti, termasuk faktor tidak langsung seperti tekanan populasi, dan faktor langsung, seperti corak guna tanah. Kehilangan sumber semulajadi biasanya berpunca daripada pengurusan tanah dan air yang lemah ditambah pula dengan perubahan iklim yang mengakibatkan banjir, kemarau, perubahan tanah dan kehilangan biodiversiti. Manusia merupakan aset utama yang penting bagi mengubah alam sekitar ini melalui perhutanan semula, pengurusan sumber air, tanah dan hutan yang lestari melalui amalan dan teknologi. Pertanian berskala besar boleh mengakibatkan kehilangan sumber tanah melalui penggunaan agro kimia yang berlebihan dan pengurusan sumber yang tidak lestari bagi meningkatkan produktiviti dan keuntungan.

Keselamatan makanan dan pertanian berskala kecil

Kebanyakan makanan dikeluar dan digunakan untuk kegunaan sendiri (tempatan) menjadikan petani berskala kecil merupakan tunjang utama dalam keselamatan makanan. Majoritinya berada dalam kelompok miskin tegar dan kira-kira separuh dari penduduk dunia yang kelaparan bergantung hidup kepada 500 juta ladang di negara membangun (hampir 90 peratus jumlah ladang dunia), yang setiap satunya berkeluasan kurang dari 2 hektar. Skala ladang berbeza bagi setiap benua, dengan purata luas saiz ladang berada pada 1.6 hektar di Afrika dan Asia kepada lebih 120 hektar di Amerika Utara (jadual di bawah). Terdapat bukti yang mencadangkan purata luas ladang yang dimiliki oleh petani semakin mengecil disebabkan oleh tekanan populasi dan kekurangan tanah. 25 peratus petani luar bandar di Afrika mempunyai kurang daripada 0.1 hektar tanah per kapita.


Petani berskala kecil mendominasikan pertanian di negara membangun, dimana kehadiran wanita sangat signifikan. Di Afrika, Asia Timur dan Asia Tenggara, wanita menyumbang kepada 40 peratus jumlah tenaga kerja dalam pertanian (FAO, 2011). Walaupun jumlah petani wanita meningkat, peratus petani wanita yang mempunyai akses kepada tanah, kredit, pasaran dan teknologi sangat kecil. Di negara yang berpendapatan rendah, terdapat 3 billion penduduk di kawasan luar bandar; 2.5 billion terlibat dalam pertanian dan 1.5 billion daripadanya bergantung hidup daripada tanah pertanian yang kecil (FAO 2010, Foresight 2011). Negara dan komuniti yang bergantung kepada petani berskala kecil bukan sahaja termiskin malah berada pada paras paling terancam kepada kehilangan ekosistem. Sebagai contoh negara seperti China dan India (yang melabur dengan banyak untuk pembangunan luar bandar, merupakan negara yang tinggi kadar penduduk yang kekurangan nutrisi), sangat terdedah kepada ancaman ketidakselamatan makanan kerana keadaan semulajadi yang lemah dan ekologi yang rapuh.

Ladang yang kecil dilihat akan terus mendominasikan lanskap pertanian di masa akan datang, meletakkan cabaran yang besar bagi memerangi kemiskinan dan kelaparan. Dalam pada itu, beberapa pertubuhan dan organisasi antarabangsa menganjurkan konsesus berkaitan kepentingan memperkukuhkan peranan petani berskala kecil agar dapat mencapai ke arah keselamatan makanan, polisi yang lebih efektif perlu dibuat untuk menjamin kedudukan petani-petani ini di dalam persaingan antarabangsa dan menguatkan jaringan pasaran dan kualiti.

Beberapa kertas kajian yang dibentangkan di peringkat antarabangsa menunjukkan di negara membangun dan negara miskin unit ladang yang kecil menunjukkan peningkatan produktiviti melebihi unit ladang yang besar. Ladang yang kecil bukan sahaja menggunakan tanah secara intensif, malah mempunyai akses kepada buruh yang murah. Namun begitu, kelebihan ini mungkin tidak terpakai bagi tanaman yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi jika dibuat secara besar-besaran dan teknologi yang memerlukan input-intensif, atau apabila keadaan menjadi kritikal bagi pertanian yang cekap untuk pasaran, jaminan kualiti, kredit dan maklumat yang kurang bagi petani berskala kecil.

Kemiskinan di kalangan petani berskala kecil akan mencipta lebih banyak insentif kepada penggunaan sumber yang tidak lestari secara intensif sebagai strategi survival jangka pendek. Di Utara Zambia secara contoh, isi rumah yang kaya dengan buruh mempunyai pendapatan yang tinggi tetapi mereka juga menyumbang kepada kehilangan hutan yang besar.

Walaupun terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh petani berskala kecil, penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan mereka untuk dijadikan sebagai watak penting dalam strategi keselamatan makanan. Petani wanita memainkan peranan yang penting; di Afrika sebagai contoh, mereka mewakili lebih dari separuh output pertanian. Petani berskala kecil di negara membangun sering mengalami kekurangan nutrisi walaupun mereka merupakan pembekal utama makanan. Oleh itu, memperbaiki keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi akan bergantung secara kritikal kepada petani berskal kecil untuk mengatasi halangan bagi mengembangkan kapasiti produktiviti dan pada masa yang sama memenuhi keperluan petani wanita.

[bersambung di bahagian 2]

Kamis, 21 Juli 2011

Executive Talk oleh Dr. Ramanjaneyulu di Jabatan Pertanian Selangor

Jabatan Pertanian Selangor telah menjemput Dr. G.V. Ramanjaneyulu, Pengarah Centre for Sustainable Agriculture yang berpusat di Andra Pradesh, India untuk satu sesi ceramah. Beliau dijemput hadir ke Malaysia oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Koperasi Belia Islam Malaysia BHD (KBI). Dalam lawatan ke Jabatan Pertanian Selangor, beliau menyampaikan executive talk bertajuk "Community Managed Sustainable Agriculture (learnings from Andhra Pradesh, Chhattisgarh, Maharashtra and Punjab)" yang menceritakan pengalaman beliau membangunkan komuniti tani India ke arah pertanian lestari (gambar). Dr. Ramanjaneyulu merupakan pakar dan aktivis pertanian lestari mempunyai pengalaman yang luas berkaitan pertanian organik dan Sistem Keamatan Padi, SRI.

Sedutan ceramah beliau:

Krisis Agrarian di India


Model pengeluaran di bawah Revolusi Hijau telah meningkatkan pengeluaran makanan di India, tetapi hampir 30 peratus tanah di India menjadi tidak subur akibat peningkatan saliniti (kandungan garam dalam tanah) hasil aktiviti pertanian. Penggunaan kimia; racun dan baja yang tinggi telah menyebabkan peningkatan bilangan pesakit kanser akibat residual racun. India juga mencatatkan jumlah petani yang membunuh diri yang tinggi terutama di wilayah Maharashtra, Karnataka, Andhra Pradesh, Madhya Pradesh dan Chattisgarh; 182, 936 petani membunuh diri dari tahun 1997 hingga Disember 2008 dengan purata 17,513 petani membunuh diri setahun (seorang petani membunuh diri setiap 30 minit). Ini kerana kebanyakan petani berhutang bagi membeli racun dan baja kimia - apabila hasil pertanian tidak memberikan pulangan setimpal dan menyebabkan kegagalan mereka membayar hutang, mereka mengambil keputusan menggunakan racun tersebut untuk membunuh diri. (Gambar kanan - Majalah Down To Earth, 2004 - terdapat sebuah rencana berkaitan kadar bunuh diri yang tinggi di kalangan petani India akibat beban hutang bertajuk Suicidal State).

Selain daripada itu, banyak racun yang telah diharamkan penggunaannya digunakan secara berleluasa di India. Bancian yang dijalankan menunjukkan tahap kesedaran kepada bahaya racun di kalangan petani India tinggi, namun mereka mengabaikannya demi mencapai hasil pertanian yang banyak untuk menyara hidup. Negara India menyediakan bajet yang besar bagi subsidi pertanian dengan 50 peratus dari jumlah bajet negara untuk subsidi baja dan racun kimia.


"Subsidies queues" di India

Setiap 10 tahun, terdapat kehilangan major hasil pertanian dan banyak penduduk India yang mati. Krisis air juga memburukkan keadaan - paras air bawah tanah merosot sebanyak 2 meter setahun. Input pengeluaran terus meningkatkan kos menyebabkan pulangan kepada pendapatan petani merosot. Keadaan menjadi lebih buruk bagi petani miskin yang hanya bergantung kepada hasil pertanian semata-mata. Dalam bancian yang dijalankan pada tahun 1991 dan 2001, 8 juta petani India berhenti menjadi petani dan mencari pekerjaan lain kerana hasil pertanian yang merosot, tanah tidak subur dan beban hutang.

Andra Pradesh merupakan wilayah agrarian yang terbesar di dunia; lebih 85 peratus penduduknya adalah petani dengan purata keluasan tanah pertanian per kapita 1.4 ekar. Namun begitu, Andra Pradesh mencatatkan kes bunuh diri di kalangan petani paling tinggi di India. Kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan penduduk, keadaan cuaca yang tidak menentu dan infrastruktur ladang yang tidak lengkap memburukkan keadaan. Tiga lagi wilayah, Maharashtra, Karnataka dan Chattisgarh juga berkongsi nasib yang sama.


Gambar atas - kampung untuk dilelong - Dorli adalah sebuah kampung kecil di Daerah Vidharba, Wilayah Maharashtra dilelong pada tahun 2005 akibat terperangkap dalam jerat hutang. Semua aset - tanah, rumah, kenderaan termasuk haiwan ternakan dilelong. Majoriti penduduknya adalah petani miskin yang berhutang bagi membeli input pertanian terpaksa menggadaikan aset mereka untuk membayar hutang.

Pertanian pada hari ini sangat linear,
  • Pertanian diusaha untuk meningkatkan hasil pada jumlah spesis yang sempit menyebabkan amalan mono kultura (menanam hanya satu jenis spesis tanaman atau varieti).
  • Pengurangan kapital (tenaga, air, tanah dll) berlaku dan peningkatan tambahan input luar (baja dan racun kimia).
  • Memandang pertanian sebagai "kilang" dengan memberikan input (baja, racun, minyak dan makanan haiwan) bagi menghasilkan output (daging, bijirin dll).
  • Tidak pernah mengambilkira externalities - faktor luaran.
Ke arah Pertanian Lestari - daripada sistem konvensional dan dominan "input-driven agriculture" kepada model "knowledge skill-based and local natural resource”

Dr. Ramanjaneyulu yang merupakan pengarah Centre for Sustainable Agriculture memberikan perbentangan pencapaian dan kejayaan hasil dari usaha beliau mempromosikan pertanian lestari di India terutama sekali di Wilayah Andra Pradesh. Gambar di bawah menunjukkan sesi pengembangan bersama petani.


Pengurusan komuniti ke arah pertanian lestari - memberi fokus kepada pembangunan masyarakat tani ke arah kesedaran kepada pertanian yang lebih mesra alam yang dapat meningkatkan hasil dan membasmi kemiskinan. Program pengembangan dijalankan kepada petani bagi melatih petani. Beberapa kejayaan pengurusan komuniti dicatatkan di Andra Pradesh. Dua diantaranya ialah kampung Punukula dan Yenabavi.

Kampung Punukula - kampung pertama yang diberi gelaran "Pesticide Free Village" (kampung bebas racun) di Andra Pradesh. Kampung ini diiktiraf oleh Kementerian Pertanian Wilayah dan Kementerian Pertanian India.

Kampung Yenabavi - kampung organik dengan keseluruhan isi rumah kampung ini mengamalkan pertanian organik. Diberi anugerah Krishi Gaurav Award oleh Baba Ramdev’s Patanjali Trust kerana usaha mempromosikan pertanian lestari kepada masyarakat India. Kampung ini menerima kunjungan lebih 30,000 orang dari seluruh pelusuk India dalam tempoh 3 tahun untuk belajar kaedah pertanian lestari. Bagi tanaman padi, kaedah SRI digunakan - memberi hasil tertinggi pernah direkodkan 44 guni (75 kg seguni) bagi kawasan seluas 0.4 ekar (8.25 tan/ekar).

Menggalakkan Pembinaan Kapasiti
  • Memulihkan tanah dan kelembapan tanah secara radikal.
  • Sistem tanaman integrasi.
  • Mengadaptasi tanaman keadaan cuaca dan persekitaran bagi mengurangkan serangan dan perebakan perosak.
  • Penggunaan sumber secara lestari.
  • Memaksimumkan output dari tanah.
  • Penggunaan secara efektif input benih, baja bukan kimia, cahaya, air, tanah dll
  • Mengamalkan kaedah SRI bagi tanaman padi - memulihara sumber semulajadi yang boleh diperbaharui dan diversiti genetik flora dan fauna.
  • Pengurusan program bersama-sama petani.
Pembinaan kapasiti turut memberi fokus kepada transformasi petani dan penyatuan petani bagi melibatkan mereka ke dalam rantaian nilai. Petani dilatih bagi membina kesatuan atau koperasi yang bertindak sebagai satu organisasi yang teratur untuk membimbing dan menggalakkan amalan pertanian lestari di sepanjang rantaian nilai dengan melibatkan petani dalam bidang pemasaran disamping turut menyediakan kemudahan kredit bagi petani yang memerlukannya. Selain itu, kesatuan petani dalam koperasi dapat memberi nilai tambah kepada hasil pertanian. Koperasi petani juga dapat menyatukan bantuan dan insentif kerajaan untuk disalurkan secara efektif dan efisyen. Beberapa institusi dan badan bukan kerajaan juga dijemput bagi melibatkan diri dalam pengembangan pertanian lestari di kalangan petani.

Salah satu kesatuan koperasi petani yang sangat berjaya ialah Sahaja Aharam. Sahaja Aharam menyediakan inisiatif F2C (farmers to consumers) dengan menyediakan ruang bagi pengguna bertemu dengan petani.
  • Memberi kesedaran pertanian ekologi dengan menambah nilai hasil pertanian dalam bazar tradisional.
  • Membina rantaian nilai baru dengan model F2C bagi membantu petani meningkatkan pendapatan dengan memberi harga yang lebih baik bagi hasil yang diusahakan sendiri secara amalan pertanian ekologi.
  • Membuka ruang pekerjaan dengan nilai tambah di sepanjang rantaian nilai.
  • Melibatkan Participatory Food Quality Assurance System dan Fair Trade Model.
  • Membuka pasaran terus petani kepada pengguna (belian secara pukal atau individual).
Sahaja Aharam juga menyediakan khidmat pensijilan kepada petani "Sahaja Aharam Farm Certificate" bagi ladang yang mengamalkan pertanian organik. Produk organik akan dilabel sebagai NPM (Non Pesticidal Management-grown iaitu tanpa menggunakan sebarang input kimia atau tanaman GMO) atau label organik. Sahaja Aharam menetapkan pemantauan kualiti yang ketat melalui beberapa siri pemeriksaan kepada pematuhan standard yang telah digariskan.

Padi SRI di Andra Pradesh


Wilayah Andra Pradesh menggunakan kaedah SRI bagi tanaman padi dan sehingga kini, 15,000 ekar tanaman padi ditanam menggunakan kaedah ini. Bermula dengan kawasan seluas 300 ekar pada tahun 2003-04, kaedah ini mendapat sambutan hangat di kalangan petani. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil padi SRI tertinggi yang dicatatkan ialah 8.25 tan/ekar dengan hanya menggunakan baja dan pestisid organik. Walaupun tidak menggunakan input kimia, hasil padi SRI sangat baik berbanding tanaman padi konvensional seperti dalam jadual di bawah (klik jadual untuk paparan lebih jelas):


Perbandingan berat 1000 biji bagi padi SRI dengan padi konvensional

Mengembangkan Pertanian Ekologi yang lebih lestari

Pendekatan kepada pengembangan ke arah pertanian ekologi yang lestari di antara komuniti dilihat sangat efektif dan mula membuahkan hasil. Dengan pembinaan kapasiti petani, lebih banyak petani di India dan Andra Pradesh khususnya terlibat dalam pengeluaran makanan yang lebih sihat. Bank Dunia mengiktiraf perkembangan pertanian ekologi di India dengan menyatakan 50 peratus perkembangan pertanian lestari dapat meningkatkan hasil sebanyak dua kali ganda - yang dapat membantu membasmi kadar kemiskinan di kalangan petani. Keluaran 2009 Majalah Down To Earth (gambar kiri) menunjukkan perubahan paradigma petani ke arah pertanian organik - dengan menggunakan sumber semulajadi yang boleh diperbaharui secara cekap bagi meningkatkan hasil pertanian secara sihat tanpa mencemarkan alam sekitar. Petani juga diajar untuk menyediakan ramuan baja dan pestisid organik menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling mereka.

Pengurusan tanaman - ke arah penggunaan sumber yang cekap

Tanaman secara integrasi - membenarkan petani menanam beberapa jenis tanaman yang boleh memberikan pulangan hasil sepanjang tahun. Terdapat lebih 15,801 model integrasi yang diamalkan oleh petani di India pada hari ini dan ada petani yang mampu mengintegrasikan 7 jenis tanaman dalam ladang yang sama.

Menyimpan air hujan di dalam ladang dengan membina kolam dan parit. Kaedah ini menjimatkan kos petani dan mengurangkan risiko kehilangan hasil akibat kemarau.


Carta pie di atas menunjukkan pengurusan tanaman secara lestari dapat meningkatkan jumlah tanaman dan hasil kepada petani di India


Graf di atas menunjukkan perbandingan nilai kos dari amalan konvensional dan amalan organik bagi kawalan perosak untuk beberapa jenis tanaman. Jelas menunjukkan amalan organik menambah nilai ekonomik - mengurangkan kos, menambahkan kualiti tanaman dan meningkatkan pendapatan petani kerana harga yang lebih baik walaupun dengan jumlah hasil yang sama dengan amalan konvensional.

Dr. Ramanjaneyulu menyatakan bukan suatu kerja mudah untuk mengubah minda petani. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi dalam mengembangkan pertanian ekologi, namun pada hari ni beliau boleh berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai. Diakhir pembentangan, beliau berkongsi beberapa pautan laman web bagi mendapatkan maklumat berkaitan pertanian ekologi di India di bawah kelolaan beliau.

http://www.csa-india.org
http://www.takingroots.in
http://www.sahajaaharam.in
http://www.indiagminfo.org
http://www.agrariancrisis.in
http://www.kisanswaraj.in

Ternyata beliau merupakan seorang yang mempunyai passionate dalam bidang pertanian ekologi. Semoga kejayaan beliau membawa pertanian ekologi di India dapat dicontohi di negara ini.

ps - Dalam sesi soal jawab Dr. Ramanjaneyulu menyatakan bahawa salah satu cara mengawal bena perang ialah menjarakkan tanaman seperti kaedah SRI. Beliau juga berkongsi beberapa amalan pertanian ekologi di India - bawang putih dan cili hijau dicampur dengan minyak tanah (kerosin) merupakan insektisid organik yang paling kuat.

pss - Mak Tam, saya cadangkan beliau dijemput bagi menyampaikan ucaptama dalam Persidangan SRI Kebangsaan Kedua tahun hadapan.

Rabu, 20 Juli 2011

Dari World Economic and Social Survey 2011, PBB

Dapatkan laporan di sini

Transformasi Revolusi Hijau

Bukan lagi "business as usual"


Perubahan teknologi ke arah Pertanian Lestari - Revolusi Hijau pertama yang sebenarnya tidak "hijau."

Krisis Harga Makanan yang berlaku pada tahun 2008 menunjukkan masalah struktur sistem makanan global yang sangat mendalam - keperluan untuk meningkatkan pelaburan dan mengadaptasi inovasi dalam pertanian bagi memacu peningkatan pengeluaran makanan untuk mengatasi kelaparan dan memberi makan kepada populasi yang semakin bertambah. Bagi mencapai matlamat ini dengan menggunakan teknologi pertanian dan sistem pengeluaran sedia ada - membawa kepada peningkatan pembebasan gas rumah hijau, pencemaran air, penebangan hutan dan kehilangan kesuburan tanah, yang secara langsung memberi kesan kepada alam sekitar dan pertumbuhan industri pengeluaran makanan.

Di kebanyakan bahagian besar dunia, sistem makanan telah dibentuk oleh Revolusi Hijau yang telah diperkenalkan sejak 1970-an, yang menekankan peningkatan hasil pertanian dengan penggunaan secara intensif air dari sumber pengairan dan bahan kimia yang merosakkan alam sekitar seperti baja dan racun serta memperkenalkan benih dari varieti baru.

Revolusi Hijau dilihat memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Berdasarkan Millennium Ecosystem Assessment (2005):
  • 60 peratus dari kumpulan 24 ekosistem kini telah hilang atau dieksplotasi melebihi had ekologikal.
  • Dunia telah kehilangan 50 peratus kawasan paya sejak 1900.
  • Lebih banyak kawasan diubah kepada kawasan pertanian dalam tempoh 30 tahun sejak 1950 berbanding dalam tempoh 1700-1850.
  • Kawasan hutan telah merosot sebanyak 40 peratus dalam jangkamasa 300 tahun.
  • 25 negara telah hilang sama sekali hutan semulajadinya dan 29 negara hanya mempunyai 10 peratus liputan hutan.
  • Kadar kepupusan semasa spesis ialah 1,000 kali ganda berbanding kewujudan spesis dalam sejarah dunia.
  • Dunia telah kehilangan 50 peratus hutan bakau sejak tahun 1980.
  • Aktiviti pertanian meliputi 70 peratus guna air di dunia.
  • Empangan menyimpan 4 kali ganda jumlah air berbanding tahun 1960.

Ekonomi Hijau sebagai paradigma baru?

Bagi mencapai matlamat ini, strategi ekonomi yang radikal diperlukan. Pembuat Dasar Ekonomi, Kerajaan dan agensi swasta, perlu untuk fokus kepada jalan untuk memperkukuh kelestarian alam. "Ekonomi Hijau" telah dipromosikan sebagai konsep utama yang mengandungi paradigma pembangunan baru, yang mana aplikasinya mempunyai potensi bagi memastikan penjagaan ekosistem dunia di sepanjang pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama mengurangkan kadar kemiskinan.

Tiada sebarang definisi unik bagi Ekonomi Hijau, tetapi wujud satu bentuk persefahaman bagaimana idea asas ini diterjemahkan - menggalakkan pertumbuhan ekonomi, perkembangan sosial dan penjagaan alam sekitar boleh dijadikan objektif yang strategik dan sebarang ganti rugi (trade off) di sepanjang perjalanan ekonomi ini boleh diatasi. Fokus konsep ini sangat konsisten dengan konsep pembangunan lestari yang dihuraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengandungi dimensi ekonomik, sosial dan alam sekitar sebagai tiga tunjang utama pembangunan yang memberi penekanan kepada pentingnya ekuiti intergenerational di dalam pembangunan, yang akan memastikan usaha bagi memenuhi keperluan generasi kini dan tidak akan mengganggu generasi akan datang dalam mencapai keperluan mereka.

Revolusi Pertanian Hijau sebenar amat diperlukan sekarang...

Keselamatan makanan kini perlu dicapai oleh teknologi hijau bagi mengurangkan input kimia (baja dan racun) dan menjadikannya cekap dari segi penggunaan tenaga, air dan sumber semulajadi, disamping memberi penambahbaikan yang signifikan kepada kemudahan penyimpanan dan pemasaran bagi mengurangkan pembaziran.
(dipetik dan digabungkan dari muka 16 dan 17 laporan survey ini)

Seperti yang dinyatakan dalam laporan ini, Sistem Keamatan Padi, SRI merupakan revolusi pertanian yang lebih hijau memandangkan sistem ini mempromosikan penjimatan sumber dan mengurangkan pencemaran alam sekitar - tetapi masih mampu memberikan peningkatan hasil yang signifikan.

...Revolusi dengan fokus kepada petani berskala kecil

Memandangkan teknologi ini perlu diberi penambahbaikan dari masa ke semasa, cabaran utamanya ialah mengubah struktur insentif supaya menggalakkan penggunaan yang meluas. Survei ini menguatkan pandangan yang diambil dari komuniti antarabangsa ketika World Food Summit 1996 dan ketika memberi respon kepada Krisis Makanan 2008, yang mana menyebut, fokus utama polisi di bahagian pembekalan makanan ialah mempromosi dan membangunkan pertanian lestari, dengan melibatkan petani berskala kecil di negara membangun, memandangkan di kawasan ini peningkatan yang banyak berlaku dari segi produktiviti dan pengurangan kemiskinan luar bandar boleh dicapai. Di kebanyakan negara membangun, sumber makanan ditanam dan dimakan sendiri, meletakkan petani berskala kecil sebagai tunjang kepada sistem pengeluaran makanan.

Pendekatan yang komprehensif kepada keselamatan makanan adalah penting...

Cabaran polisi meningkat dua kali ganda. Pertama, kaedah yang efektif perlu dicari bagi mengadaptasi teknologi pertanian lestari kepada keadaan persekitaran dan keperluan petani berskala kecil. Kedua, proses inovasi yang dinamik perlu diperkenalkan di peringkat bawah, termasuklah membangunkan infrastruktur dan menyediakan servis, disamping mengukuhkan kesatuan dan kerjasama diantara petani (seperti koperasi dan penyatuan tanah), terutama sekali bagi tanaman yang memberi keuntungan jika diusahakan dalam skala besar; benefits from economies of scale. Mengambil peluang dari skala ekonomi memberikan akses kepada pasaran yang lebih luas disamping akses kepada input dan kemudahan kredit. Meningkatkan produktiviti pertanian akan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan "membebaskan" buruh untuk bekerja di sektor industri.

Pendekatan polisi yang komprehensif perlu bagi menghadapi kedua-dua cabaran ini yang mana akan melibatkan kerangka nasional yang komprehensif bagi penggunaan sumber yang lestari, dan teknologi baru dan inovasi dengan kapasiti untuk meningkatkan produktiviti, keuntungan, kestabilan, ketahanan dan potensi mititgasi kepada perubahan cuaca bagi sistem pengeluaran luar bandar. Penjimatan air, perlindungan tanah dan penambahan biodiversiti perlu untuk membentuk bahagian pendekatan secara integrasi yang mensasarkan pengurusan tanah dan sumber yang lestari serta keperluan membina sinergi diantara sektor pertanian dan hutan.

Di dalam konteks guna tanah yang kompetetif, pelbagai penyelesaian, termasuk pilihan yang sukar, hanya boleh dicapai melalui rundingan dan perbincangan. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, sinergi diantara sektor (menghasilkan inter alia, di dalam mengurangkan penebangan hutan dan meningkatkan produktiviti tanah, dan kelestarian sumber air) boleh menghasilkan keputusan "menang-menang" melalui pengurusan sumber yang lebih baik yang disediakan melalui institusi sekitar.

[bersambung - Ke Arah Revolusi Hijau Sebenar Bagi Keselamatan Makanan]

Rabu, 13 Juli 2011

Padi SRI : Menilai Kecekapan Pengeluaran Melalui Kesemua Faktor Pengeluaran

Selesai hari penuaian di Lot Padi SRI milik En. Raja di Sungai Burong. Semua yang hadir amat teruja untuk mengetahui hasil padi yang ditanam menggunakan kaedah SRI ini. Dua Institusi Pengajian Tinggi Awam, UPM dan UKM juga hadir untuk mengambil sampel bagi analisis makmal manakala Mak Tam dan Pak Tam membuat analisis hasil bagi setiap barisan (300 pokok) dan Wahidah membuat analisis hasil melalui kaedah kuadrat. Pak Deri dan Azmir membuat analisis berdasarkan jumlah pokok, bilangan tangkai yang mengeluarkan spiklet dan berat bagi 1,000 butir padi. Kira-kiranya terdapat pertembungan yang hebat diantara kaedah-kaedah statistik dalam persampelan berlaku pada hari penuaian tersebut.

Data asas yang digunakan ialah produktiviti tanah di lot En. Raja:
Luas bertanam - 0.3417 ha
Musim 1/2010 - 1.18 mt
Musim 2/2010 - 1.20 mt

Analisis awal Pak Tam dan Mak Tam:

Analisis awal Mak Tam dan Pak Tam menjangkakan hasil sebanyak 8.36 tan/ha (kasar); 7.12 tan/ha (bersih). Kaedah strip harvesting digunakan dengan 9 sampel diambil. Sampel paling rendah ialah 14 kg dan yang paling tinggi 22.8 kg. Ini menjadikan hasil bagi 0.3417 ha ialah 2.43 tan.

Pendekatan kaedah ini adalah untuk menguji variability, (kebolehubahan) di dalam plot ujian. Ujian mendapati faktor kebolehubahan pertumbuhan yang signifikan di dalam plot ujian. memandangkan 9 jalur tersebut tidak dipilih secara rawak, kita tidak boleh mengambil nilai hasil yang diperolehi bagi membuat anggaran hasil. Ujian penuaian jalur ini direka untuk membuat dua bentuk ujian: kebolehubahan di dalam plot yang telah dipilih dan potensi hasil tertinggi dari tanaman padi.

Analisis awal yang dibuat oleh Azmir dan Pak Deri:

Purata berat bagi 1,000 biji padi: 26 gram
Purata effective tillers bagi satu pokok padi SRI: 15
Purata jumlah bulir (spiklet) dalam satu effective tillers: 175

Jumlah bulir padi dalam satu pokok:
15 x 175 = 2,625 bulir

Berat (dalam gram) bulir padi bagi setiap pokok:
= 2625/1000
= 2.625
= 2.625 x 26 g
= 68.25 g/pokok

Bagi jarak tanaman 30cm x 30 cm, jumlah pokok ialah 111,111/ha
= 68.25 x 111,111
= 7,583,325.75 g
~ 7.583 tan/ha (kasar) atau 6.446 tan/ha (bersih).
atau
2.20 tan bagi lot seluas 0.3417 ha

Anggaran melebihi hasil sebenar kerana kehilangan sebilangan besar sampel dalam plot ujian dan terdapat kawasan yang besar di mana effective tillers kurang dari 10.

Analisis awal oleh Wahidah

4 sampel kuadrat diambil secara rawak dari lot sawah menggunakan kaedah CCT (Crop Cutting Technique), dengan sampel kuadrat 1m x 1m mendapatkan anggaran hasil kasar sebanyak 5.9 mt/ha atau 2.02 tan bagi lot seluas 0.3417 ha. Hasil bersih yang dijangka ialah 5.015 tan/ha atau 1.71 tan bagi 0.3417 ha.

Jumlah sampel yang kecil dan terdapat kebolehubahan di dalam kawasan sawah menyebabkan data yang diperolehi dari persampelan kuadrat mempunyai range yang besar .

Kini tiba kepada hasil sebenar setelah dituai. Wahidah dan Mak Tam memberi sms kepada saya jumlah hasil yang dituai ialah 1.33 tan bagi lot seluas 0.3417 ha. Ini menjadikan hasil sebanyak 3.892 tan/ha. Agak jauh tersasar dari kiraan kami.

Namun begitu, hipotesis awal kami (yang dikira masih terlalu awal) kaedah SRI dapat meningkatkan hasil padi. Jika dibandingkan dari dua musim sebelum, hasil padi di lot En Raja ialah 1.18 tan (Musim 1/2010) dan 1.20 tan (Musim 2/2010) manakala musim ini, (Musim 1/2011) hasilnya meningkat kepada 1.33 tan.

Penilaian kecekapan (produktiviti) dari faktor-faktor pengeluaran

i. Kecekapan tanah

Hasil padi/ha yang dicatatkan ialah 3.892 tan/ha (1.33 tan bagi 0.3417 ha).

ii. Kecekapan kos (jumlah pelaburan bagi menghasilkan 1 kg padi)

Kos pengeluaran yang terlibat :
(semua nilai dalam RM)

Baja tahi lembu ( 1 tan) : 500
Baja dan pestisid organik : 130
Kapur : 120
Upah menanam : 250
Upah membaja (10 kali) : 200
Upah melandak (4 kali) : 800
Pam air : 80
JUMLAH : 2,080

Kecekapan kos pengeluaran = jumlah kos/hasil (dalam kg)
= 2,080/1330
= RM 1.56

Kos pengeluaran bagi menghasilkan 1 kg padi ialah RM 1.56

iii. Produktiviti total (jumlah nilai pulangan dari RM 1 pelaburan)

Kos pengeluaran - RM 2,080.00
Harga padi - RM 1,300.00/tan + subsidi harga RM 248.10/tan
Pendapatan kasar - RM 2,058.97 (1.33 tan x RM 1,548.10)

Produktiviti total = pendapatan kasar/kos pengeluaran
= 2,058.97/2,080.00
= 0.98

Produktiviti total yang dicatatkan bagi lot En. Raja - pelaburan RM 1.00 menghasilkan RM 0.98

Menilai Fungsi Pengeluaran Padi SRI di Sg Burong

Fungsi Pengeluaran Cobb-Douglas merupakan salah satu blok binaan dalam teori ekonomi. Fungsi pengeluaran merupakan hubungan metematikal semua faktor pengeluaran dan output. Faktor pengeluaran yang biasa dinilai ialah buruh, kapital (nilai wang mesin, peralatan dan bangunan), teknologi dan lain-lain (seperti sumber semulajadi; tanah dan air). Di dalam ekonomi, Fungsi Pengeluaran Cobb-Douglas digunakan bagi mewakili hubungan diantara input dan output.

Analisis yang dibuat daripada faktor pengeluaran padi di lot SRI Sg Burong menunjukkan:
Faktor buruh : -0.32 (faktor buruh menyebabkan produktiviti total merosot)
Faktor input (baja, racun organik, air) : -0.29 (tidak signifikan, input dapat meningkatkan produktiviti total namun kecekapan penukaran nilai input kepada nilai output dilihat rendah)
Faktor teknologi : 2.03 (faktor teknologi memberi nilai yang signifikan)

Kecekapan Faktor Pengeluaran (Total Efficiency, TE) hanya sekitar 65.13% berbanding purata TE untuk kawasan Barat Laut Selangor; 82.37%. Kecekapan pengurusan perlu ditingkatkan kerana ruang bagi peningkatan hasil dilihat masih luas.

Faktor tanah merupakan nilai yang paling signifikan. Teori ekonomi mendapati menambah keluasan dapat meningkatkan pengeluaran output (hasil padi).

Di dalam penilaian hasil melalui Produktiviti Total (Total Productivity, TP), faktor buruh dan faktor input tidak elastik - menunjukkan faktor buruh dan input memberi respon negatif kepada output. Walaupun output meningkat, peningkatan ini tidak setimpal dengan nilai input yang diberikan - juga disebut sebagai Decreasing Return To Scale (DRS).

Biasanya, keanjalan nilai output diukur pada perubahan sama ada buruh atau kapital yang digunakan untuk pengeluaran ceteris paribus. Sebagai contoh : jika α (keanjalan nilai output buruh) = 0.15, peningkatan 1% buruh akan memberi peningkatan output (dalam bentuk nilai wang) sebanyak 0.15%. Dalam penilaian yang dibuat di lot SRI Sg Burong, nilai α = -0.32 maka peningkatan 1% buruh akan menyebabkan output merosot sebanyak 0.32%.

Apa yang perlu dilakukan seterusnya?

Menilai keperluan buruh - terdapat 4 andaian :
- stok kapital tetap (analisis jangka pendek)
- buruh adalah sama semuanya
- pasaran buruh sangat kompetitif
- firma dapat memaksimumkan keuntungan

Keuntungan Marginal dan Kos Marginal
Marginal product of labour (output dari setiap pertambahan seorang pekerja) - MPN
Harga bagi setiap output dijual - P
Keuntungan marginal = MPN*P = pulangan marginal dari produk buruh (MRPN)
Kos marginal - gaji buruh, W

Membuat keputusan bagi menggaji buruh
Jika MPN*P > W, tambah lagi seorang buruh
Jika MPN*P < W, kurangkan jumlah buruh
Firma dapat memaksimumkan keuntungan jika MPN = W/P

Adakah teknologi baik untuk buruh?
Model klasik menunjukkan;
- Nilai A (Total Factor Productivity, TFP) meningkat
- MPN meningkat
- Gaji buruh meningkat
- Output meningkat

Cadangan untuk penambahbaikan
- Faktor buruh - kos upah dan jam bekerja buruh boleh dikurangkan dengan penggunaan jentera bagi tujuan menanam dan membuang rumpai. Kos buruh bagi tujuan menyembur baja dan pestisid organik boleh dikekalkan.
- Faktor teknologi perlu diambilkira bagi memberikan nilai positif bagi faktor buruh.
- Kawalan air lebih sempurna - buat perataan tanah. Perataan tanah juga menggalakkan penggunaan input baja yang lebih cekap.
- Kos baja organik tahi lembu - adakah boleh dikurangkan? Kos nilai input (baja dan pestisid organik) yang tinggi mengheret nilai kecekapan. Mengitar semula buangan ladang (jerami) merupakan alternatif terbaik.
- Kawalan biologi bagi perosak - menanam pokok bunga yang menarik predator di sekitar ban sawah. Boleh membantu meningkatkan kecekapan faktor input (pestisid organik) dan faktor tanah.

Senin, 11 Juli 2011

Menuai Lot SRI Sg Burong 11 Julai 2011

11 Julai 2011 - Hari bersejarah. Lot SRI Pt 4 Sg Burong dituai dengan penuh bergaya.